ANALITIC

Sabtu, Jun 29, 1996

Sudah lega, M. Nasir sambung kerja semula

petikan Berita Harian 29 Jun 1996

Oleh Hanim Mohd Saleh 

 “Insiden ini membuka mata saya tentang nilai kemanusiaan sebenar. Siapa kawan, siapa lawan.”

 — M. Nasir.

KINI masanya menyambung kerja yang terbengkalai.

Setelah isu pengharaman ke atas semua karyanya di media elektronik reda, penggubah lagu M. Nasir bersiap-siap pula untuk ke Hongkong.

Tujuannya bagi menyelesaikan proses akhir filem pertama arahannya, Merah, yang seharusnya dibuat minggu lalu.

“Sepatutnya saya dah ke Hongkong dan siapkan filem ini. Tetapi selagi isu itu tak selesai, saya rasa tak boleh bergerak.

“Kalau saya keluar negeri, nanti timbul pula cerita saya merajuk dan bawa diri,” katanya sambil tertawa ketika dihubungi Berita Harian sebaik saja tersiar berita mengenai pengharaman itu ditarik balik mulai Isnin ini.

Nasir digam sejak 15 Jun lalu, setelah beliau didakwa menghina Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dengan kata-katanya, “Siapa Mahathir?”

Nasir memberitahu Berita Harian lagi, walaupun perasaannya amat tertekan akibat insiden itu, beliau terus menjalankan kerjanya seperti biasa, terutama menguruskan album terbaru penyanyi Awie.

“Saya sedih juga apabila kerakyatan saya pula dipersoalkan. Orang tua saya kedua-dua orang Malaysia... ada tanah di Muar dan selalu balik kampung,” ujarnya.

Keluarganya di Singapura, terutama bapanya, seorang imam masjid di Teck Whye, dan ibunya, seorang guru mengaji, juga terganggu perasaan, katanya.

Sepanjang 11 hari digam, kata Nasir lagi, beliau menerima banyak sokongan moral daripada rakan, peminat dan orang ramai yang yakin beliau tidak bersalah.

Beberapa rakan artis dari Singapura, termasuk Art Fazil, juga datang ke rumahnya.

“Insiden ini membuka mata saya tentang nilai kemanusiaan sebenar. Siapa kawan, siapa lawan,” kata anak ketiga dalam sembilan adik-beradik itu.

Berita penarikan semula tindakan itu juga menggembirakan ramai artis Malaysia, terutama yang pernah menggunakan lagu-lagu Nasir.

Antaranya termasuklah penyanyi Awie, yang mengakui banyak bergantung pada lagu-lagu Nasir untuk albumnya.

“Awie rasa lega kerana masalah ini dah selesai. Selama lebih seminggu, fikiran Awie kacau kerana memikirkan kerja keras dan duit yang telah banyak dihabiskan untuk hasilkan projek kami bersama,” kata Awie yang merupakan pelakon utama filem Merah.

Tiada ulasan: