ANALITIC

Khamis, Jun 30, 1988

Nasir nafi mutu merosot

petikan Berita Harian, 30 Jun 1988

Oleh A. Kadir Pandi

Penulis sambilan

Pencipta lagu M. Nasir tidak mengakui dan tidak menafikan apabila diajukan pertanyaan apakah mutu lagu-lagu ciptaannya kini merosot. 

Kata beliau, setiap lagu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan pendengarnya juga berlainan. 

Ini terpulang kepada mereka untuk menilai sendiri sama ada lagu itu bermutu atau tidak. 

"Saya harus berkemampuan menukar selera para pendengar melalui tren dan perkembangan muzik semasa," katanya. 

Nasir sendiri tidak faham kenapa persoalan itu boleh ditimbulkan sedangkan lagu-lagu ciptaannya sejak kebelakangan ini menampakkan sedikit kelainan seperti lagu-lagu nyanyian The Bloodshed, Search dan Wings. Lagu-lagu mereka mendapat sambutan baik. 

Nasir berkata lagi: "Saya sendiri merasakan Fantasi Bulan Madu sesuatu yang unik dan tersendiri kalau dibandingkan dengan lagu-lagu ciptaan saya yang lain. 

Lagu itu begitu hit sekali. Jadi, untuk menjawab pertanyaan itu saya mahu pendengar menilai sendiri dengan baik dan wajar. 

Penentuan nilai dan mutu lagu itu harus diukur pada tahap perkembangan seni muzik," jelas Nasir. 

Nasir juga memberitahu dia sedang bersiap sedia untuk berlakon dalam drama swasta, 

Novel Atika, keluaran Fauziah Ahmad Daud Production. 

Ini adalah drama swasta kedua bagi Nasir. Drama pertama ialah Jeneral Hambali arahan Rahim Razali dan keluaran ASA XX.

Mempunyai kekuatan sendiri : Terpulang kepada pendengar untuk buat penilaian.