ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label Konsert Phoenix Bangkit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Konsert Phoenix Bangkit. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 28, 2001

M.Nasir masih belum tergugat

petikan Utusan Malaysia 28 Oktober 2001

Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA
SETENGAH daripada usianya dihabiskan dengan bermain muzik. Perkataan jemu tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.

Justeru, tidak hairanlah pada malam Konsert Phoenix M. Nasir yang berlangsung di Singapura minggu lalu seniman yang juga dikenali sebagai sifu industri muzik memahat satu lagi sejarah peribadi apabila berjaya menyelesaikan tugasnya dengan cemerlang di bumi kelahirannya.

Pada usia 44 tahun, Nasir membuktikan faktor usia bukan halangan untuk dia merapatkan hubungan dengan peminat setianya menerusi konsert.

Biarpun kesakitan akibat penyakit batu karang baru-baru ini masih lagi terasa, tanggungjawab menghiburkan khalayak tetap menjadi keutamaannya.

Di hadapan lebih 3,000 penonton di Suntec City, Singapura, Nasir mendendangkan hampir 20 buah lagu. Celotehnya tidak banyak seperti penyanyi lain.

Beberapa teman yang sering membuat liputan mengenai Nasir menyuarakan pendapat sudah tiba masanya Nasir melupakan pentas pertunjukan yang besar seperti itu dan mencadangkan supaya Nasir terus berkarya dan memberi tumpuan kepada karya-karyanya kerana seniman itu sudah hilang taringnya di pentas.

Saya hormati persepsi teman-teman yang sememangnya mengenali Nasir dengan cukup rapat. Bagaimanapun, saya kurang bersetuju dengan cadangan mereka kerana persembahan Nasir pada malam itu menghiburkan dan dia adalah lambang penghibur lelaki yang sebenar.

Lebih dua jam Nasir membawa peminatnya melayari perjalanan seninya.

Alunan lagu-lagu yang pernah dipopularkannya ketika bersama kumpulan Kembara membuatkan penonton leka mendengar suara Nasir.

Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana antara pilihan Nasir. Dia juga mengejutkan penonton dengan mengundang adiknya Zul bermain gitar. Zul muncul di celah-celah penonton.

Balada Seorang Nelayan pula membuatkan penonton riuh dan menjerit kerana karya Nasir yang dinyanyikan oleh S. Sahlan itu menyimpan nilai sentimental tersendiri.

``Aku amat suka dengan lagu ini,'' katanya sebelum menyanyikan lagu tersebut. Selesai mendendangkan lagu itu pula, dengan selamba Nasir berkata: ``Nelayan banyak berjasa kepada kita dan aku hanya boleh tulis lagu untuk mereka.''

Jauh di sudut hati Nasir sebenarnya dia cuba untuk menelusuri hati setiap lapisan pendengar yang cintakan karyanya.

Justeru, pemilihan lagunya merangkumi cita rasa pelbagai sudut lapisan masyarakat yang selama ini menjadi tonggak kekuatan Nasir untuk terus berdiri mempertahankan bakat seninya.

Nasir turut mengundang pelawak Sabri Yunus dan Pak Ya untuk memeriahkan segmen khas lakonan dalam loghat Kelantan.

Nasir bersama kedua-dua tetamunya itu membuatkan malam semakin hangat apabila masing-masing `bercakaran' menerusi nyanyian lagu Langgam Pak Dogo.

Lagu-lagu lain yang menuntut Nasir begitu aktif di pentas ialah Bila Rumi Menari, Raikan Cinta dan Sahabat Gua.

Sentuhan Listrikmu, Melawan Arus, Dalam Sayembara, Bikin Filem, Ekspres Rakyat dan lain-lain turut menjadi pilihan Nasir.

Hebatnya Nasir pada malam itu dapat dilihat sehingga dia tidak dilepaskan peminat-peminatnya selagi irama lagu Hijab Kekasih tidak kedengaran. Dan Nasir terpaksa akur dengan permintaan peminat-peminatnya.

Kekuatan Nasir pada malam itu turut terletak pada kemahiran tinggi pemuzik profesional serta penyanyi latar yang mengiringi Nasir sepanjang persembahannya.

Hadir sama pada malam konsert itu ialah isterinya, Marlia Musa bersama anak-anak serta kaum keluarga Nasir yang menetap di Singapura.

Khamis, Oktober 25, 2001

M.Nasir - Konsert Phoenix gegar Singapura

petikan Utusan Malaysia 25 Oktober 2001


M. Nasir (kiri) dan Sabri Yunus dalam konsert di Suntex City, Singapura Ahad lalu.

Oleh ROSLI MANAH
Disebabkan komitmen yang tinggi terhadap karier seni dan hasrat untuk menghiburkan peminat membuatkan M.Nasir sanggup mengadakan konsert walaupun kesihatannya tidak mengizinkan.

Penyanyi yang menghidap penyakit batu karang itu kelihatan semacam menahan sakit semasa beraksi di atas pentas di Suntex City, Singapura Ahad lalu.

Malah dia juga tidak melompat sebagaimana kemunculannya di dalam konsert sebelum ini sebaliknya mengatur pergerakan dengan cermat.

Semasa mengajak penonton menari M. Nasir berkata: ``Saya yang ada batu (batu karang) ini pun boleh menari takkan anda semua tak boleh menari.''

Dia juga telah meminta untuk dihantar ke klinik sebaik sahaja selesai membuat persembahan setelah mula merasa sakit.

Pihak Warner Music yang membawa wartawan dari Malaysia melaporkan keadaan penyanyi itu tidak membimbangkan.

Walaupun sakit, persembahan hampir dua jam di Singapura itu kelihatan bertenaga dan menghiburkan. Sesuai dengan konsert yang dinamakan Konsert Phoenix Bangkit M. Nasir Singapura 2001, dia memulakan persembahan dengan lagu Phoenix Bangkit Dari Abu.

Bekas anggota kumpulan Kembara itu turut menyanyikan lagu-lagu nostalgia bersama kumpulan itu iaitu Hati Emas, Gelora dan Gerhana.

Ternyata lagu nostalgia menarik minat penonton yang turut menyanyi bersama-sama semasa dia menyanyikan lagu itu.

Semasa ingin menyanyikan lagu Balada Seorang Nelayan, M.Nasir berkata, dia teringin menyanyikan lagu itu semasa Kembara menghasilkan album pada akhir tahun 70-an namun lagu itu dinyanyikan oleh Sahlan.

M.Nasir juga menyanyikan lagu berkonsep blues antaranya Bikin Filem, Sayembara Hidup dan Ekspres Rakyat.

``Semasa saya mula-mula belajar muzik, saya turut cuba menghasilkan lagu blues dan soul,'' katanya sebelum menyanyikan lagu-lagu itu.

Persembahan lagu Langgam Pak Dogol bersama Sabri Yunus, Pak Ya dan kumpulan dikir barat Rajawali menjadi kemuncak konsert tersebut.

Sebelum M. Nasir muncul, Sabri dan Pak Ya membuat sketsa watak Pak Dogol dan Wak Long, dua watak badut dalam permainan wayang kulit. Ia selari dengan lagu tersebut yang berasaskan muzik dikir barat dan wayang kulit.

Sketsa dipanjangkan untuk membolehkan M. Nasir menukar pakaian. Dia muncul dengan pakaian ala-ala padang pasir sesuai dengan konsep lagu yang kesemuanya berteraskan muzik Arab.

Dia menyanyikan lagu-lagu petikan album terbaru yang bertema muzik Arab seperti Sahabat Gua, Bila Rumi Menari, Melawan Arus, Raikan Cinta dan Masirah.

M.Nasir menyanyikan sebuah lagu bonus berjudul Hijab Kekasih apabila penonton tidak berganjak dan memintanya meneruskan persembahan.

Nasir tetap lincah

petikan NSTP e media 25 Oktober 2001
Oleh Ahmad Saufi Mansor

PERCAYA atau tidak, sebaik sahaja selesai menyampaikan lagu Hijab Kekasih atas permintaan penonton di Suntec City, Singapura, malam Ahad lalu, penyanyi terkenal M Nasir dikejarkan ke klinik berhampiran untuk membuat pemeriksaan.

Ia bukan keadaan mencemaskan sebaliknya hanya prosedur biasa yang perlu dilakukan M Nasir untuk memeriksa tiub khas yang diletakkan dalam tubuhnya, tambah pula dia baru selesai beraksi lincah di pentas lebih dua jam.

Bagaikan tidak ingat kesakitan yang menimpa dirinya, M Nasir begitu lincah dan bersemangat untuk memuaskan hati lebih 4,000 penonton rata-ratanya warga Singapura yang tidak sabar menanti kemunculannya di pentas.

Namun begitu masih ada kelemahan dalam konsert Phoenix M Nasir seperti bak kata mereka (wartawan) yang pernah menonton persembahannya sebelum ini, tiada keistimewaan dan penyanyi itu kelihatan seperti anti-klimaks.

Malah lagu menarik, Hijab Kekasih langsung tidak tersenarai dalam 20 buah lagu bakal didendangkan M Nasir, sebaliknya dia hanya mendendangkan lagu itu selepas diminta penonton yang tidak mahu berganjak dari tempat duduk.

Demi tidak mengecewakan harapan peminat setia di Kota Singa, M Nasir secara terbuka (biarpun barisan pemuzik sudah hilang dari pentas) kembali menyampaikan Hijab Kekasih kerana penonton memang menunggu.

Kesalahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada M Nasir apabila dia gagal mendendangkan lagu dengan baik disebabkan belum pulih daripada penyakit batu karang sehingga menyebabkan konsert tertunda.

Nyata penantian peminat yang menunggu sejak 5 Oktober hingga 21 Oktober lalu, serta sanggup tidak memulangkan kembali tiket dibeli lebih awal kerana berkeyakinan M Nasir akan muncul di Singapura, akhirnya terbalas jua.

M Nasir yang diiringi pemuzik tetap seperti Nan (gitar), Ramli Rebana, Firdaus, Zul Mahat (keyboard), Mohar (seruling), Jay Jay (bass), Ujang (dram), Syed Omar (gambus) dan Ojai (gendang Sunda) begitu mantap di atas pentas.

Tepat jam 9 malam, muncul dua pemuda mengibarkan bendera hitam di kiri dan kanan pentas sambil layar di kiri dan kanan juga terpampang lambang inlay album Phoenix Bangkit, sebelum M Nasir muncul mendendangkan lagu Phoenix Bangkit.

Penyanyi itu menari lincah mengikut rentak lagu tatkala wajah penonton mula seronok sambil bertepuk tangan mengikut kelincahan M Nasir mendendangkan lagu tanpa henti sebelum bersambung dengan lagu Tari Cinta.

Persembahan M Nasir malam itu bertambah energetik apabila dia mendendangkan lagu Rimba Mistikal yang dipetik daripada album Solo, dan diikuti lagu Semakin Nyata sambil dia ke kanan dan ke kiri menguasai pentas.

Untuk merehatkan diri seketika, M Nasir mula berbicara dengan penonton sambil mengucap terima kasih kerana sudah datang menyaksikan persembahannya. Kesempatan itu digunakan untuk bercerita nostalgianya bersama kumpulan lama, Kembara.

Uniknya M Nasir begitu menghargai zaman silamnya apabila bercerita detik itu penyanyi sekadar memakai kasut Fung Keong untuk mencari sesuap nasi, selain membuat lawak sambil meminta bapanya yang turut hadir supaya tidak menari sama sebaliknya cukup dengan menghentak kaki mengikut muzik.

Persembahan diteruskan dengan lagu nostalgia Kembara, Hati Emas dan sedang leka menghayati lagu tiba-tiba kedengaran deruman gitar dari tempat duduk penonton. Rupa-rupanya M Nasir membuat kejutan dengan membawa adiknya, Zul (bekas anggota kumpulan Tenggara) bergandingan dengannya.

Sambil menyanyi M Nasir berseloroh, dia tidak mampu menghimpunkan semua anggota asal Kembara iaitu A Ali dan S Sahlan kerana masing-masing sudah ada komitmen, tetapi kehadiran Zul tetap tidak menghampakan.

Perjuangan menjadi kesinambungan Zul dan M Nasir apabila kedua beradik itu beraksi gagah di pentas demi menghiburkan penonton sambil Zul mempamerkan skil bermain gitar. Kedinginan dewan malam itu diteruskan dengan kehangatan lagu Gerhana.

Sebaik sahaja Zul mengundurkan diri, M Nasir mendendangkan lagu Dah Lagu Tu dan Oh Anak yang dipetik dari album Phoenix Bangkit. Bagaikan ada urutan, M Nasir yang meminati muzik blues di zaman awalnya sebelum beralih ke irama soul mendendangkan lagu Bikin Filem.

Tidak ketinggalan M Nasir turut mendendangkan lagu Ekspres Rakyat sebelum diteruskan dengan lagu Bukalah Hatimu dalam versi joget.

Sebenarnya sejak menjadi penyanyi ada sebuah lagu yang disukai M Nasir namun terpaksa diberikan pada orang lain, tetapi dalam konsert itu M Nasir mendendangkan lagu berkenaan, Balada Seorang Nelayan dengan penuh emosi.

Apabila tiba pada bahagian ôpengorbanan ayahmu sayang jangan kau lupakanö, M Nasir kelihatan melambai pada anak-anaknya yang hadir bersama Marlia Musa. Emosi sedih M Nasir dihilangkan apabila dia kembali bergembira dengan lagu rancak, Sentuhan Listrikmu.

Tatkala mendendangkan lagu itu, M Nasir turun dari atas pentas menghampiri penonton sambil bersalaman dengan mereka.

Ketika M Nasir mengambil kesempatan bersalin pakaian, muncul Sabri Yunus dan Pak Ya berjenaka dalam loghat Kelantan diiringi remaja dari kumpulan Dikir Barat Rajawali sebagai intro lagu Langgam Pak Dogo.

Dia kemudian mendendangkan lagu Sahabat Gua, Bila Rumi Menari serta Melawan Arus di mana M Nasir meminta penonton berdiri sambil bergelek mengikut rentak muzik, dan respon daripada peminat agak membanggakan.

Akhirnya lagu yang ditunggu-tunggu penonton muncul jua apabila M Nasir mendendangkan lagu popularnya, Raikan Cinta dan diikuti Masirah sambil diiringi kanak-kanak berpakaian serba hitam dari Kumpulan Seri Warisan.

Rabu, Oktober 17, 2001

Sudah nasib M Nasir

petikan NSTP emedia 17 Oktober 2001

SS rasa nak tergelak apabila mendengar cerita seorang teman mengenai nasib yang dialami M Nasir sejak pulang ke rumah. Yelah sebelum ini dia ditahan wad selepas menjalani pembedahan batu karang di sebuah hospital pakar swasta.

Tup tup balik rumah ada perkara lain pula berlaku. Tentu pembaca sudah berteka-teki tentang apa yang terjadi pada sifu seorang ini yang kebetulan menang anugerah Penyanyi Lelaki Popular ABP, baru-baru ini.

M Nasir beritahu teman SS tu, dia ditanduk kambing! Dengar sahaja cerita pasal kena tanduk terbayang dalam kepala SS, M Nasir memang ada bela kambing di rumahnya. Cuma dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius.

Gamaknya kalau M Nasir cedera, nampaknya impian peminat ingin menyaksikan komposer hebat ini beraksi dalam Konsert Phoenix Bangkit di Suntec City, Singapura bakal tidak menjadi kenyataan seperti yang berlaku sebelum ini.

Apa yang pasti, SS difahamkan M Nasir sudah bersedia untuk muncul dalam konsert itu pada 21 Oktober ini di mana ia menjanjikan persembahan bertenaga buat peminat tidak kira di Kota Singa atau Semenanjung.

Ada satu perkara yang SS nak puji M Nasir ni. Dia adalah seorang artis yang memiliki semangat waja, biarpun sakitnya masih belum pulih sepenuhnya tetapi demi tidak mengecewakan peminat, dia sanggup berbuat apa sahaja.

Jadi buat peminat yang begitu merindui aksi paling hebat dan bertenaga dari M Nasir kena tunggu kemunculannya di Suntec City untuk menyusuri alam seni ciptaannya!

Rabu, September 26, 2001

Konsert Phoenix Bangkit di Singapura

petikan Utusan Malaysia 26 Sept 2001 

PENYANYI dan komposer terkenal, M. Nasir akan mengadakan Konsert Phoenix Bangkit di Suntex City, Singapura pada 5 Oktober ini. 

Konsert itu lanjutan daripada konsert yang sama dirakamkan oleh stesen ntv7 baru-baru ini. 

Phoenix Bangkit M. Nasir menjadi isu hangat baru-baru ini apabila Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) memotong segmen deklamasi puisi dalam persembahan untuk siaran stesen itu. 

Pengurus Produksi Luncai Emas Sdn. Bhd., Mohd Khirin Omar berkata, pihaknya berharap, konsert itu akan mendapat sambutan hangat seperti Konsert Gembala M. Nasir yang diadakan pada tahun 1999.

Menurutnya, memandangkan kejayaan Konsert Gembala di Singapura itu, pihaknya dan Kawan Creative International Pte. Ltd. sekali lagi menganjurkan konsert penyanyi itu. 

Konsert itu telah mendapat sokongan dan penajaan promosi daripada stesen radio dan televisyen di sana. 

``Kami berharap akan menerima sokongan daripada semua media cetak di Singapura dan Malaysia supaya dapat menghangatkan lagi usaha-usaha promosi konsert itu,'' katanya. 

Konsert Phoenix Bangkit M. Nasir menyaksikan penyanyi itu membawakan lagu-lagu daripada album terbaru itu dengan lagu-lagu hit seperti Raikan Cinta, Phoenix Bangkit dan Langgam Pak Dogo. 

Album M. Nasir yang mula dipasarkan pada pertengahan Jun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Kata Mohd Khirin lagi, pada konsert itu juga, M. Nasir akan mengimbas kembali lagu-lagu popularnya seperti Express Rakyat, Andalusia dan Kias Fansuri yang turut mengetengahkan 15 pemuzik termasuk penyanyi latar. 

Selain itu, tambah beliau, persembahan M.Nasir juga akan turut diiringi oleh seorang pemain gendang Sunda yang diterbangkan khas dari Indonesia. 

Mengenai pemilihan lokasi persembahan pula, Mohd Khirin berkata, kali ini, Konsert Phoenix Bangkit M. Nasir akan dipentaskan di dewan yang lebih besar bagi keselesaan peminat penyanyi itu.

``Daripada maklum balas yang diterima, kami amat gembira dengan peminat M. Nasir di Singapura yang sudah tidak sabar lagi menunggu persembahan M.Nasir,'' katanya. 

Beliau memberitahu, tiket-tiket untuk menyaksikan konsert itu boleh dibeli dengan harga S$48, S$68, S$88 dan S$108 di semua outlet SISTIC di Singapura dan juga menerusi Luncai Emas dengan menelefon 03-61561357 (Nieza).

Khamis, September 06, 2001

Penyair kecewa kebebasan berkarya disekat

petikan Utusan Malaysia 6 September 2001

Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin
Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) perlu melihat bahasa-bahasa puitis yang disampaikan di dalam puisi dan sajak daripada sudut yang pelbagai sebelum membuat penilaian terhadapnya.

Paling penting, mereka yang berkenaan perlu melihat mesej yang ingin disampaikan oleh seseorang penyair daripada sudut intelek dan kefahaman yang luar biasa sifatnya.

Untuk menilai sesebuah karya, pihak berkenaan wajar melihat ia dari sudut pandangan sebagai seniman dan karyawan yang berjiwa besar.

``Jika kita melihat sajak dan puisi daripada sudut politik, ia akan menjadi isu politik.

``Tetapi jika kita melihat sesebuah karya daripada sudut pandangan sebagai seorang seniman, ia menghantar makna yang lebih mendalam dan jauh lebih intelek,'' kata penyanyi lagu-lagu puisi dan penyair Sani Sudin.

Sani mengulas mengenai tindakan LPFM yang tidak meluluskan penyiaran segmen puisi yang disampaikannya dalam konsert Phoenix Bangkit M. Nasir, baru-baru ini.

Turut mendeklamasikan puisi dalam konsert yang disiarkan di stesen ntv7 itu ialah Pyanhabib dan Marsli N.O.

Penampilan penyair-penyair ini dalam konsert berkenaan sealiran dengan konsep itu yang disiarkan pada malam menyambut kemerdekaan negara yang ke-44 30 Ogos lalu.

LPFM mengeluarkan arahan berkenaan kepada stesen ntv7 dengan alasan sajak yang dideklamasikan oleh penyair terkemuka tanah air ini boleh mengundang kontroversi dan provokasi.

Di dalam konsert berkenaan, Nasir memilih tiga rakan baiknya itu untuk menyampaikan puisi masing-masing di dalam memberi nadi dan kelainan, berbanding dengan konsert yang pernah diadakannya sebelum ini.

Menurut Sani lagi, puisi seharusnya tidak hanya menceritakan perihal yang memuji-muji dalam sesuatu perkara.

Sebaliknya, ia boleh juga menyampaikan kritikan yang berada di tahap seharusnya dan semua pihak wajar menerimanya daripada sudut positif.

Sementara itu, menurut Marsli N.O, puisi Menyintaimu, Aduhai Tanah Airku yang dideklamasikan olehnya pada konsert berkenaan dihasilkan bertolak daripada perasaan dan tanda tanya di dalam dirinya setelah melihat cara kebanyakan rakyat menyambut malam keramat, 31 Ogos.

``Puisi berkenaan mempersoalkan apakah sudah cukup untuk kita menjadi seorang warganegara Malaysia yang mencintai tanah airnya jika menyambut 31 Ogos dengan berdansa dan hiburan semata-mata?''

Menurutnya, jika kontroversi dijadikan alasan puisi berkenaan disekat penyiarannya, ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

``Nama pun puisi. Banyak menggunakan bahasa perlambangan dan simbolik. Sebagai penyair, kami melihat sesuatu dari sudut pandangan yang berbeza,'' jelasnya yang didatangkan khas dari Pahang untuk terbabit dalam persembahan berkenaan.

Sementara itu, Pyanhabib yang turut muncul dalam konsert berkenaan mendeklamasikan sajak Assalamualaikum Malaysia yang ditulis pada awal tahun 80-an.

Sajak berkenaan pernah dibacakan di hadapan pemimpin-pemimpin negara dan di universiti tempatan di pelbagai tempat.

``Sajak ini mengenai kecintaan terhadap Malaysia tetapi daripada pandangan yang terbalik. Kalau orang lain cakap fasal merdeka setahun sekali, saya pun cakap fasal merdeka juga, tetapi `merdeka' yang bagaimana?.

``Semua orang dilahirkan berbogel, kemudian diberi berpakaian. Tetapi pakaian masing-masing tidak sama saiz dan coraknya,'' jelasnya, sinis.

Menyentuh mengenai LPFM, Pyan menjelaskan ``saya tak tahu apa relatifnya segmen puisi tu kena `gam'. Setahu saya, LPFM kerja tapis filem, bukan tapis puisi.

``Banyak kerja lagi yang sepatutnya LPFM tapis. Siri kartun TV bersepah babak yang sepatutnya mereka tapis,'' katanya lagi.

Sementara itu, M. Nasir yang kecewa dengan penilaian LPFM itu turut menjelaskan kenapa dia memilih puisi di dalam persembahannya selama satu setengah jam itu.

``Saya pilih mereka sebab itulah yang paling tepat dengan memaknakan hari kemerdekaan. Tidak ada apa-apa yang silap pada bacaan dan puisi mereka, pada pandangan saya,'' jelasnya.

Selain itu, deklamasi tiga penyair itu juga selari dengan aliran yang ingin disampaikan di dalam album Phoenix Bangkit itu sendiri. Nasir turut melahirkan rasa kecewa dengan keputusan LPFM itu dan menyifatkan persembahan penyair berkenaan sebagai sesuatu yang memberangsangkan walaupun daripada sudut hiburan.

``Sayangnya ia tidak sampai kepada penonton. Sesuatu yang tidak sampai, hasilnya tentu mengecewakan,'' katanya lagi.

Konklusinya, jika kontroversi menjadi alasan pihak LPFM untuk menidakkan penyiaran sajak berkenaan di TV, ia satu kesilapan besar.

Kreativiti seniman sewajarnya tidak disekat oleh pihak berkenaan kerana karya mereka seringkali menjadi penyampai mesej penting ke arah kesejahteraan dan keamanan negara.

Rabu, September 05, 2001

Konsert khas -- Lembaga penapis potong segmen puisi

petikan Utusan Malaysia 5 September 2001

Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin

Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) telah memotong segmen deklamasi puisi oleh tiga penyair dalam konsert khas kemerdekaan, Phoenix Bangkit M. Nasir yang disiarkan di stesen ntv7 baru-baru ini.

Konsert yang diadakan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-44 ini menampilkan penyair Marsli N.O, Pyanhabib dan Sani Sudin sebagai artis undangan.

Semasa menyaksikan rakaman itu pada 17 Ogos lalu, semua puisi-puisi itu menjurus kepada patriotisme dan kemerdekaan dalam bahasa yang puitis. Rakaman itu disiarkan di ntv7 pada malam menjelang ulang tahun kemerdekaan.

Menurut sumber daripada ntv7, arahan itu diterima beberapa jam sebelum rakaman itu ke udara sedangkan pihak ntv7 telah menghantar rakaman untuk dinilai pada 27 Ogos lalu.

Difahamkan pemotongan segmen puisi itu dikatakan beberapa perkataan di dalam puisi-puisi berkenaan yang tidak sesuai dengan keadaan semasa dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada khalayak.

Justeru, ntv7 memilih untuk menyiarkan terus konsert berkenaan dengan memotong segmen tersebut meskipun agak terjejas kerana penampilan tiga penyair berkenaan turut memainkan peranan dalam konsert tersebut.

Marsli N.O mendeklamasikan puisi Menyintaimu, Aduhai Tanah airku yang disampaikan dalam nada yang keras dan mendalam maknanya.

Puisi itu mengajak masyarakat berfikir kembali cara-cara dan haluan yang sepatutnya dilakukan oleh generasi hari ini di dalam meraikan sambutan hari kemerdekaan negara.

Bait yang berbunyi ``Apakah bangsa berani dan merdeka ini berani jiwanya hanya dengan disemarakkan oleh nyanyi dan dansa di padang-padang''.

Marsli memilih untuk berbicara dengan khalayak melalui sajak tersebut tentang bagaimana seharusnya yang dinamakan bangsa yang besar dan merdeka jiwanya.

Puisi berkenaan juga menghantar mesej yang cukup murni dalam menghargai jasa-jasa pemimpin lama dan baru yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara.

Puisi Kembang Kempis oleh Sani Sudin pula mengenai kekuatan dalaman yang harus ada dalam diri seorang warga negara merdeka. Dideklamasikan dengan gaya bersahaja, Sani mendapat perhatian khalayak yang nyata cukup terhibur dengan caranya.

Tindakan LPFM memotong segmen puisi memberi gambaran puisi itu akan mencetuskan kontroversi atau provokasi kepada khalayak. Benarkah puisi itu bahaya dan kenapa pula arahan itu sampai ke saat akhir sebelum rakaman tersebut ke udara?

Ini adalah kontroversi terbaru LPFM yang bertindak ke atas program untuk TV. Sebelum ini LPFM mengharamkan penyiaran filem Tjut Nyak Dhien arahan Eros Djarot dari Indonesia yang juga dirancang disiarkan di ntv7.

Tjut Nyak Dhien adalah sebuah filem sejarah tokoh srikandi Acheh yang mengabdikan diri kepada perjuangan menentang Belanda. Arahan supaya tidak menyiarkan filem ini diterima sehari sebelum tarikh siarannya sedangkan ntv7 telah membuat banyak publisiti tentang filem tersebut.

LPFM tidak pernah sunyi daripada perhatian kerana kerap terjebak dengan tindakan yang kontroversi. Sebelum ini LPFM banyak diperkatakan kerana memotong babak yang ``difahami'' tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Malah pernah bertindak nekad mengharamkan filem tempatan, Fantasia arahan Aziz M. Osman dan Amok arahan Adman Salleh. Bagaimanapun akhirnya kedua-dua filem itu dilepaskan untuk tayangan dengan beberapa potongan.

Sementara itu M. Nasir ketika dihubungi berkata, dia kecewa dengan pemotongan itu kerana pada pandangannya kehadiran tiga penyair itu menepati konsep kemerdekaan yang hendak ditonjolkan.

``Bagi saya tidak ada yang silap dalam puisi mereka. Kena dengan konsep Phoenix Bangkit,'' kata M. Nasir.

``Benda dah lepas nak buat apa lagi. Tapi apa yang saya nak sampaikan tak tercapailah,'' kata penyanyi itu.

Sabtu, September 01, 2001

Kelainan M Nasir Papar Unsur Ketuhanan Dalam Lagu

petikan Berita Harian Singapura 1 September 2001
sumber: Instagram nornizarmohamed
OLEH HANIM MOHD SALEH hanim@sph.com.sg

UNSUR ketuhanan yang terdapat dalam album nasyid dengan lagu-lagu M.Nasir mungkin tidak banyak berbeza. Tetapi sementara kumpulan seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz berzikir dan bertafakur dalam irama yang penuh mendayu-dayu, Nasir pula sering memilih rentak yang menggegar dan menggoncang perasaan.

Nasir berjoget sambil mengajak orang Meraikan Cinta kepada Yang Maha Esa. Beliau berserampang 12 dalam menyepadukan semangat keislamannya dalam Phoenix Bangkit.

Ketika membuka sejarah-sejarah Islam menerusi banyak karya seninya termasuk Tanya Sama Itu Hud Hud, Andalusia, Bila Rumi Menari dan termasuk menyelitkan kisah dari surah Sahibul Kahfi dalam Sahabat Gua, beliau tidak teragak-agak berjoget dan bertandak lagak orang yang sedang bertemasya.

Seorang teman juga pernah menganggap cara Nasir seperti mempermain-mainkan ayat-ayat suci dan sejarah Islam.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan Berita Harian, Nasir tidak menolak perasaan "takut” dicerca sebagai orang yang mempermainkan Al-Quran.

Namun katanya, beliau dapat memahami rasa tidak senang terhadap sesetengah pemerhati kerana tanggapan seperti itu seperti sudah menjadi satu stigma - kalau bercakap mengenai agama ia harus disertakan dengan nada yang biasa diterima oleh jemaahnya.

"Dunia adalah satu permainan. Sama ada kita bermain-main, kita dipermainkan atau kita yang memainkan peranan itu. Ana pun, kita semua menghala kepada yang Satu.

“Yang ini pun Dia, yang itu pun Dia. Tetapi dah jadi sur orang hanya ambil yang satu saja, yang lagi satu tak ambil. Apa salah orang yang diam dengan orang yang goyang-goyangkan badannya kalau dalam hati mereka, sama saja isinya," kata Nasir sambil tertawa kecil.
Biarpun lagu-lagunya sarat dengan sejarah Islam dan melahirkan rasa cinta terhadap Tuhan, Nasir tidak menganggap albumnya sebagai sebagai satu wadah dakwah, sebaliknya ia merupakan satu perkongsian pengalaman dan pandangan.

“Cakap pasal Islam kena berdakwah ke? Saya cuma bercerita dan merakamkan kekeliruan manusia, cuba membuka pandangan mereka mengenai muslihat hidup, benda-benda yang orang tak nampak atau tak sedar. 
"Bagi saya, baik atau buruknya pengalaman atau peristiwa yang diketengahkan itu, ia tetap ilmu dan kita patut belajar atau ambil tahu," kata sifu kelahiran Singapura itu.

Keintiman Nasir terhadap unsur-unsur kerohanian secara tidak langsung semakin menarik beliau untuk terus meneroka irama Timur Tengah yang begitu jelas dan ketara menguasai album solonya yang dikatakan mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan. Orang kita dapat terima irama Arab sebagai sabahagian budaya mereka kerana Islamnya, bukan kerana lain.

“Apa yang berlaku di sana, kita sama-sama rasa. Macam lagu Masirah anak al-durrah. Saya rakamkan sebab cukup terganggu dengan peristiwa di Palestin, kanak-kanak ditembak semasa berlindung dalam pelukan bapanya. Kita terima Arab kerana lagu ketika mengaji Al-Quran. Lagu kita dengan lagu mereka, sama.

"Tetapi yang kelakarnya, apabila cakap pasal Arab, orang hanya bayangkan lagu qasidah dan yang baik-baik. Padahal kalau digali khazanah seni Arab dan hiburan mereka, mereka sebenarnya lebih liar. Orang Melayu yang tak faham isi Al-Quran pun yang kebanyakannya jauh lebih konservatif," kata Nasir.



BUKAN SEMUA YANG MODEN DARI BARAT

JAUH daripada mahu berdakwah, Phoenix Bangkit mencapai satu kemenangan yang lebih bererti — mengikis unsur muzik Barat yang menurut penyanyi M. Nasir, yang begitu lama menjajahi muzik Melayu.

"Selama ini, orang anggap apa yang moden itu semuanya datang dari Barat sebab muzik Timur dah dijajah. Bila zaman pop datang, mereka cipta rhythm and blues dan rock-n-roll. Timur kecoh sebab kita ada budaya sendiri dan susah nak sesuaikan diri dengan permodenan," ujar beliau dalam satu wawancara eksklusif dengan Berita Harian.

"Sebab itulah kita tengok banyak orang Timur kelihatan macam orang Barat, tetapi secara rohani, mereka menggelapah.

"Saya bukanlah seorang pesimis, jadi saya cuba teroka semua jenis muzik. Kita lalui semua bukan kerana ikut-ikut, tetapi kerana nak cari macam mana kita nak angkat muzik kita sendiri. Kita buat pop tetapi kita tonjolkan unsur joget atau Serampang 12-nya.

"Muzik kita dah lama lengkap. Tengok saja gendang; kita ada gendang ada bass, ada rhythm, tak perlu pakai drum sebenarnya. Kita ada semua asas rentak, inang, joget, masri dan zapin.

"Kalau kita dapat ubah stigma muzik itu, bahawa yang Timur dan tradisonal itu itu bukan silam tetapi boleh ke depan, barulah boleh hidup.

"Orang yang suka pinjam budaya orang, akan rasa tersendat satu hari nanti sebab dia buat apa yang bukan dia punya. Tengoklah berapa ramai artis popular kita dah jadi mangsa? Balik-balik yang itu juga mereka nak tonjolkan. Orang pun dah tak kuasa nak tengok,” kata Nasir lagi.

Kejayaan Nasir memerdekakan muziknya akan jelas dirasakan dalam konsert Phoenix pada 5 Oktober ini. Sesuai dengan konsep Timur Tengahnya, beliau akan hanya menggunakan peralatan yang dianggap ada unsur Melayu'nya.

Untuk mendapatkan tiket konsert yang berharga $109, $89, $49, $49 (termasuk yuran Sistic), sila ke kaunter Sistic atau ke lelama mn <www.sistic.com.sg

Selasa, Ogos 21, 2001

Kemerdekaan konsert M. Nasir penuh bererti

petikan Utusan Malaysia 21 Ogos 2001

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Kemerdekaan yang diperjuangkan oleh generasi lampau adalah nikmat yang tidak mungkin mampu dibayar oleh generasi hari ini. Kemerdekaan terlalu tinggi nilainya bagi rakyat negara ini.

Bagi seniman M. Nasir, tiada kata-kata yang paling tepat untuk menggambarkan erti kemerdekaan yang menjangkau 44 tahun itu.

Bagaimanapun impian untuk meletakkan muzik tempatan ke taraf dunia adalah percubaan terbaik bagi memaknakan kemerdekaan.

Itulah yang digambarkan M. Nasir dalam rakaman konsert selama satu setengah jam yang dibuat di stesen ntv7 Jumaat lalu.

Konsert ini akan disiarkan di ntv7 pada 30 Ogos ini. ntv7 yang menjadikan M. Nasir sebagai model sambutan kemerdekaan stesen itu dianggap suatu yang paling tepat.

Seperti semua orang tahu, karya-karya muzik M. Nasir bukan hanya gambaran kreativiti seninya yang pelbagai, malah melambangkan kemerdekaan jiwa seorang yang sewajarnya dimiliki oleh setiap orang.

M. Nasir menyanyikan semua sepuluh lagu yang terdapat di dalam album terbarunya, Phoenix Bangkit. Album yang memuatkan lagu-lagu yang menggali hubungan tradisi Melayu dan Arab itu adalah yang terbaik daripada komposer ini.

Sahabat Gua menjadi lagu pembuka tirai yang memberi aspirasi diikuti dengan Melawan Arus, Bila Rumi Menari, Oh! Anak, Dah Lagu Tu, Pheonix Bangkit Dari Abu, Langgam Pak Dogo, Hijab Kekasih, Raikan Cinta dan Maisarah.

Konsert yang berkonsepkan santai ini memberi peluang kepada peminat Nasir untuk melihat persembahannya dari dekat sambil duduk bersila di atas lantai.

Tiga sahabat karib M. Nasir, Pyanhabib, Sani Sudin dan Marsli N.O turut mendeklamasikan puisi dalam konsert itu.

M. Nasir diiringi oleh sembilan pemuzik berpengalaman terdiri daripada Saharuddin Saniman, Jay-Jay, Nan, Mohar, Ramli, Taheera Rosheena dan Zulkifli Mahat serta Ahmad Firdaus Mahmud.

Meskipun tidak banyak berinteraksi dengan khalayak tetapi kata M. Nasir, ``Kita renunglah betul-betul maksud merdeka kita''. Kata-kata ringkas ini sudah cukup untuk menyampaikan mesej dari dalam fikirannya ke pentas konsert.

Kata-kata itu diperjelaskan menerusi kesepuluh lagu yang dinyanyikan pada konsert tersebut jelas membawa makna dan mesej yang amat mendalam. Merdeka pada tafsiran biasa hanyalah bebas daripada penjajah.

Namun kemerdekaan fizikal tidak cukup untuk semua orang menikmati kemerdekaan yang lebih bermakna.

Bertolak daripada situ, M. Nasir cuba membawa satu pengertian merdeka yang lebih luas melampaui pengertian yang difahami oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

Lagu Masirah misalnya mengimbau intifadah perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekaan dan kedaulatan wilayah. Persembahan M. Nasir disokong oleh pantomim yang menterjemahkan maksud merdeka yang lebih luas.

``Saya mahu kita rakyat Malaysia merdekakan diri daripada pemikiran yang mengongkong dan tidak lagi dibelenggu stigma luaran,'' katanya.

Merdeka yang diperjuangkan oleh komposer ini ialah kemerdekaan pemikiran yang bebas daripada unsur asing dan pada masa yang sama mengekalkan jati diri sebagai acuan mengisi kemerdekaan.

Isnin, Ogos 20, 2001

Muzik M Nasir bangkit jiwa merdeka

petikan emedia 20 Ogos 2001
Oleh Nor Akmar Samudin

SIFU M Nasir tidak perlukan tempat besar dan gah untuk mengadakan konsert istimewanya. Cukup hanya di sebuah studio.

Itulah yang berlaku ketika rakaman Konsert Phoenix Bangkit di Studio 1, ntv7, pada Jumaat lalu. Walaupun jumlah penonton terdiri dari kalangan ahli Kelab Sahabat yang hadir tidak sampai 200 orang tetapi ia amat berjaya.

Siapa tidak kenal cara M Nasir membuat persembahan di pentas. Sebelum ini pun sewaktu menyertai pertandingan, persembahan biasa atau konsert, dia muncul sempoi dan santai dengan baju longgarnya.

Kekuatan dan kelebihannya terletak pada irama dan lagu miliknya. Bukan gimik yang berlebih dan tidak kena serta menyakitkan mata.

Berbalik kepada rakaman konsert yang berkonsepkan relaks dan mesra itu, ia tidak menyediakan kerusi seperti kebiasaannya. Penonton kena duduk bersila di atas tikar getah yang dibentang di depan pentas yang berbentuk gua.

Atas permintaan Nasir juga setiap yang hadir disyaratkan berpakaian serba putih. Tetapi dia sendiri tidak menyarungkan pakaian sedemikian. Dia mengenakan kemeja jingga, berjaket dan berseluar kelabu. Menjawab soalan itu, seperti biasa tiada jawapan yang jitu daripadanya.

Apapun kecacatan yang sedikit itu tidak merosakkan ‘majlis’ kerana tumpuan lebih kepada lagu dan persembahannya. Sehingga habis rakaman tiada seorang pun mahu melonggarkan sila masing-masing.

Keadaan itu memaksanya menyanyikan lagu Phoenix Bangkit Dari Abu sebanyak tiga kali. Nasir tampaknya begitu mesra melayani ‘karenah’ peminat dengan kesanggupannya memenuhi permintaan mereka.

Konsert yang memuatkan semua lagu dari album Phoenix Bangkit itu mengandungi mesej hebat dan mendalam, menghiburkan serta menaikkan semangat patriotisma. Lagu yang dipengaruhi kombinasi elemen muzik Timur Tengah dan Melayu itu diadaptasikan ke dalam konsert yang begitu kreatif dan simbolik.

Rakaman dimulakan dengan lagu Sahabat Gua, Melawan Arus, Bila Rumi Menari, Oh! Anak, Dah Lagu Tu, Phoenix Bangkit Dari Abu, Langgam Pak Dogo, Hijab Kekasih, Raikan Cinta dan Masirah.

Mendengar lagu daripada album atau cakera padat tentu berbeza apabila menyaksikan persembahan secara langsung. Tiga lagunya dipersembahkan dalam susana cukup ceria, Bila Rumi Menari, Langgam Pak Dogo dan Masirah.

Seperti Langgam Pak Dogo yang memulakan pembukaan lagu dengan perbualan dalam loghat Kelantan. Agak membosankan jika setakat mendengarnya menerusi radio, cakera padat atau kaset tanpa disertai visual.

Tetapi apabila lagu itu ‘dikonsertkan’ ia menjadi ‘lain’ dan mampu membuat penonton goyang kepala. Tambahan kehadiran pelawak Sabri Yunus dengan perut buncit dan punggung tonggeknya, Pak Ya dan Haji Aiman.

Mereka juga yang menyumbangkan suara dalam lagu itu ketika rakaman. Ia dilengkapi persembahan dikir barat. Langgam Pak Dogo juga disempurnakan dengan persembahan dikir barat. Ia cukup membangkitkan semangat kebangsaan dan anti penjajahan diselitkan pembacaan puisi bertemakan kemerdekaan oleh tiga sahabatnya, Pyan Habib, Usop Kopratasa dan Masli.

Bagaimanapun memenuhi kehendak konsep konsert, sepanjang rakaman M Nasir tidak bercakap sepatahpun hanya meneruskan nyanyian dari satu lagu ke lagu seterusnya.

“Kurang kepuasan tidak dapat berinteraksi dengan penonton tetapi terpaksa juga kerana konsepnya begitu. Kali ini saya membiarkan muzik berperanan sebagai penyampai mesej.

“Tetapi saya rasa segala apa yang hendak disampaikan sudah diluahkan melalui 10 lagu itu yang memperkatakan mengenai perjuangan, kehidupan manusia dan alam.

“Setiap elemen tambahan yang dimasukkan dalam lagu itu ada ‘peranan’ masing-masing bukan sekadar memenuhi ruang kosong depan pentas.

“Kanak-kanak melontar bola plastik melambangkan jihad,” jelasnya ketika ditemui selepas rakaman.

Menurut penerbit dan pengarah konsert, Shahila Harun Shah, konsert itu bukan sekadar hiburan kerana setiap lagunya dipersembahkan melalui gaya penceritaan yang berbeza-beza.

Jelas Pengarah Seni Konsert, Jalil Ngah, persembahan konsert itu menggunakan teknik installation concept di mana setnya direka khas menggambarkan suasana di dalam gua.

“Cara itu juga nampak seperti Nasir sedang jamming dengan pemuzik handalan yang pernah bekerjasama dengannya. Kehadiran kumpulan dikir barat dan kanak-kanak membangkitkan semangat patriotik di mana secara simboliknya mereka mewakili generasi akan datang,” katanya.

Sepanjang konsert M Nasir diiringi penyanyi latar Syed Azlan Syed Abu Bakar (Arab), Tijah Muhammad (Eija) dan Rustam Mustafah.

Kelebihan yang ada pada M Nasir juga disokong sembilan pemuzik berpengalaman Saharuddin Saniman (dram), Mohd Fauzi Darus atau Jay-Jay (bass), Aznan Alias atau Nan (gitar utama), Ramli Hamid dan Ramli Abdullah (gendang), Muhardiman Ismail atau Mohar (seruling), Taheera Rosheena Mohamed (percussion), Zulkifli Mahad dan Ahmaed Firdus Mahmud (keyboard).

Mereka antara ‘angkatan’ yang bekerja dengannya sewaktu menghasilkan album Phoenix Bangkit.

Sebenarnya konsert itu mempunyi serampang dua mata. Di samping memperkenalkan lagu album barunya, Phoenix Bangkit, ia juga rkaman khusus menyambut kemerdekaan negara yang ke-44.

Konsert itu diterbitkan kerjasama Ten Ten On Pictures dengan Luncai Emas akan disiarkan pada 30 Ogos, 10.40 malam menerusi slot ntv, Mesti Tonton Merdeka.