petikan Berita Harian, 8 Mei 1996
"Saya buat filem bukan nak meletup... Saya sedar filem 'Merah' sedang dinantikan hasilnya, terutama karyawan dan pengkritik filem. Namun, saya tidak mahu memikirkan semua itu kerana tidak mahu tumpuan menyiapkan filem ini terganggu... Disebabkan sudah dikenali, mereka menunggu hasil karya saya. Tapi saya tidak ambil kisah hal itu."
— M. Nasir.
SAMA ada filem pertama arahannya akan meletup seperti filem Yusof Haslam, perkara itu tidak merunsingkan pengarahnya, M. Nasir.
"Saya buat filem bukan nak meletup" kata M. Nasir yang dalam peringkat post-production terakhir membabitkan penyuntingan dan pemasukan suara.
Katanya kepada Berita Harian Malaysia:
"Saya sedar filem Merah sedang dinantikan hasilnya, terutama karyawan dan pengkritik filem. Namun, saya tidak mahu memikirkan semua itu kerana tidak mahu tumpuan menyiapkan filem ini terganggu."
Beliau juga tidak menafikan soal ingin melihat sama ada sesebuah filem meletup atau tidak memang dinantikan oleh semua pengarah filem, terutama apabila ada pengarah yang sudah menghasilkan filem yang mencapai tahap box office.
"Disebabkan sudah dikenali, mereka menunggu hasil karya saya. Tapi saya tidak ambil kisah hal itu," katanya.
Filem Merah kini di peringkat penyuntingan dan dijangka siap sepenuhnya beberapa minggu lagi.
Beliau juga sudah memohon kepada Wajib Tayang Finas dan berharap filemnya itu dapat ditayangkan pada Julai atau Ogos depan.
"Banyak filem sudah siap sekarang, tapi ada juga yang belum daftar dengan Wajib Tayang. Saya sudah hantar permohonan ke sana (Wajib Tayang) dan berharap Merah dapat ditayangkan pada Julai atau Ogos depan," katanya.
M. Nasir berkata seperti filem lain, Merah juga tidak dapat mengelak dari sudut komersil kerana membariskan pelakon yang sudah ada nama selain mempunyai populariti tersendiri.
Bagaimanapun, katanya, beliau berpendapat bukan satu kesalahan untuk memilih pelakon yang sudah dikenali kerana selain menepati watak yang diperlukan, ia juga dapat memenuhi cita rasa penonton.
"Kita kena faham mengapa orang nak tengok filem. Mereka keluar duit, sanggup naik bas atau apa saja semata-mata nak tengok wayang. Sudah pasti ada dorongan mereka hendak buat macam itu.
"Jadi, kita kenalah juga hargai pengorbanan mereka. Yang pasti, ada yang hendak menonton filem kerana nak tengok lakonan orang tertentu. Sama ada dia puas atau tidak itu terpulang kepada mereka.
"Tapi bagi saya, pemilihan pelakon untuk filem ini dibuat kerana mereka sesuai dengan watak yang disediakan, bukan kerana nama saja," jelasnya.
Di samping mengarah, M. Nasir juga memegang salah satu watak penting dalam filem Merah. Tetapi beliau menyifatkannya sebagai bukan tugas yang membebankan.
"Jadi pengarah tidak semestinya tidak boleh berlakon. Teraju kita masih pegang. Macam pengarahan, kalau saya berlakon, ada pembantu yang mengendalikan kerja arahan," katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa filem pertamanya itu tidak menggunakan peralatan canggih seperti sistem rakaman terus (direct sound) kerana selain kosnya yang agak mahal, ia juga rumit untuk dikendalikan.
"Sistem rakaman terus ini susah untuk dikendalikan terutama pada babak action. Ia juga lambat. Tapi itu tidak mustahil untuk digunakan oleh semua pengarah pada masa akan datang," katanya.
Nasir juga berpuas hati dengan lakonan para pelakonnya, terutama Awie dan Ziana Zain.