petikan Berita Harian, 16 Ogos1992
Oleh Hanim Mohd Saleh
KITA telah melihat kejayaannya. Kecemerlangannya. Penyanyi-penyanyi baru dan lama berlumba-lumba mahu merakamkan lagu ciptaannya.“Saya sudah mencipta lagu yang mudah. Saya sudah hasilkan lagu yang ‘complicated’. Sekarang, saya mahu ikut rasa hati...mahu menyelami lebih dalam...walaupun ini bermakna ramai peminat muzik tidak akan faham...dan ketinggalan dengan apa yang bakal saya lakukan. Saya tidak mahu menunggu lagi.”
— M. Nasir
Malah rasanya, kalau nama M.Nasir terselit dalam sebuah album baru, ia seperti menjadi paspot untuk penyanyinya menjadi popular.
Artis mana yang tidak mahu orang yang bertanggungjawab menaikkan nama kumpulan “top” seperti Search, Wings, Alleycats, Kris, penyanyi Rahim Maarof, Hattan dan ramai lagi itu juga membantu mengharumkan namanya?
Benar. Nasir telah mencipta sejarah dalam persada seni suara Melayu, tetapi anehnya, jauh di lubuk hatinya beliau tetap merasakan perjalanannya menerokai ilmu muzik selama berbelas tahun itu begitu lembap merangkak.
Hatinya gusar kerana beliau rasa terikat dengan kehendak dan selera pendengar, sedangkan beliau tahu, kebolehannya mencipta lagu adalah lebih jauh daripada apa yang sudah terdedah.
“Saya sudah mencipta lagu yang mudah. Saya sudah hasilkan lagu yang ‘complicated’.
“Sekarang, saya mahu ikut rasa hati...mahu menyelami lebih dalam...walaupun ini bermakna ramai peminat muzik tidak akan faham...dan ketinggalan dengan apa yang bakal saya lakukan. Saya tidak mahu menunggu lagi,” kata Nasir dalam wawancara eksklusif dengan *Berita Minggu* baru-baru ini.
Beliau, yang ditemui di studio Digitron di Petaling Jaya, melahirkan perasaannya itu apabila ditanya langkah beliau seterusnya setelah berjaya menghasilkan banyak lagu-lagu popular.
Nasir, yang baru selesai menjalani penggambaran filem *Selubung* yang dilakonkan bersama Deanna Yusoff, kini sibuk menyiapkan album *Double Trouble* yang pertama kali menggandangkan kumpulan Search dan Wings.
Beliau juga sedang menyusun lagu untuk album Inggerisnya yang pertama yang menurutnya, akan dijadikan sebagai senjata untuk meneroka muzik antarabangsa — bukan setakat menembusi pasaran Indonesia dan Jepun, malah “ke mana saja yang mampu saya bawa,” ujar bapa kepada dua orang anak itu.
Sebelum ini, beliau telah menyelitkan sebuah lagu Inggeris berjudul *Monsoon Dance* dalam album *Saudagar Mimpi*.
“Saya mahu melakukannya secara besar-besaran. Kalau dulu, album saya boleh terjual sebanyak 50,000 unit, sekarang saya nak cuba mencapai 500,000.
“Kalau dulu saya hanya masuk pasaran Melayu, sekarang saya nak jual album saya ke pasaran antarabangsa, bukan saja sebagai penyanyi tetapi artis mutlak,” kata Nasir penuh bersemangat.
Tetapi mengapa baru sekarang, setelah menghasilkan kira-kira 300 lagu lebih, Nasir memikirkan untuk melangkah jauh sedangkan beliau mampu melakukan lebih awal daripada artis lain?
Nasir termenung seketika, kemudian baring di sofa yang beliau duduk seolah-olah mahu lelapkan mata untuk mencari jawapannya.
Tetapi beberapa saat kemudian, beliau bangun dan duduk semula. Sambil membetulkan rambutnya yang telah dipotong hingga ke paras tengkok, Nasir berkata:
“Memang saya seharusnya sudah melangkah lebih jauh daripada apa yang saya lakukan selama ini — lebih dari setakat balada rok, Nusantara dan lagu-lagu rakyat.
“Tetapi kerana penghayatan pendengar terhadap nilai artistik sesebuah muzik masih rendah, saya terpaksa melambatkan peningkatan kerana permintaan muzik yang masih kebelakang.”
Misalnya, lagunya yang begitu popular ketika ini, *Apokalips*, diminati kerana liriknya yang menarik, kerana ada ungkapan “alif, ba, ta” di dalamnya.
“Tetapi orang tak faham falsafah lagu itu. Pendengar cuma tahu lagu itu sedap didengar dan tak ramai yang peka dengan kelainan muziknya,” kata Nasir. *Apokalips* adalah bahasa Greek yang membawa erti “wahyu”.
Akibat sikap pasif pendengar terhadap muzik, tambah Nasir, muzik Melayu sehingga kini terperuk sebagai muzik kelas dua berbanding dengan muzik Barat dan Jepun, sedangkan pemuzik Melayu berkemampuan tinggi untuk meningkatkan muzik Melayu ke taraf antarabangsa.
“Masalah kita di sini ialah kita ni suka ‘hu ha’ dengan pencapaian yang kecil. Apabila ada artis tembus pasaran antarabangsa, kita dah heboh-heboh kononnya muzik kita sudah hebat.
“Sebenarnya nak nyanyi di luar Malaysia, Singapura atau Indonesia tak susah, yang susah ialah bagaimana nak lariskan album.
“Tak guna kita begitu ghairah cakap pasal penyanyi di peringkat antarabangsa, kalau album tak laris. Akibatnya, bangsa lain ragu-ragu dengan kebolehan kita sebenarnya.”
Ditanya apa yang harus dilakukan untuk meningkatkan taraf penghayatan pendengar setempat terhadap muzik, Nasir berkata:
“Tugas saya bukanlah untuk mendidik. Saya adalah seorang artis dan tugas saya adalah untuk mencipta.
“Pihak media — radio, televisyen, majalah dan akhbar sepatutnya menjadi golongan pertama yang memainkan peranan, tetapi oleh kerana kebanyakan orang media tidak arif dalam muzik, maka mereka juga perlu terlebih dahulu dididik.
“Saya kecewa kerana beberapa stesen radio kita bersikap terlalu komersil. Nilai artistik dalam rancangan hiburan hampir tak ada. Ada pula radio yang suka sangat putar lagu Indonesia, yang bagi saya, sudah begitu ‘stagnant’, tidak ada pembaharuan.
“Sebab itu kebanyakan lagu-lagu Melayu masih dianggap ‘inferior’,” kata Nasir.
Mengenai muzik setempat pada masa depan, Nasir menganggap muzik rok yang menguasai dunia muzik Melayu sejak lebih 10 tahun lalu, tidak akan hangat selalu dan akan digantikan dengan pelbagai corak muzik baru yang diperkenalkan.
Lebih-lebih lagi kini dua kumpulan rok gergasi, Search dan Wings, telah diharamkan di Malaysia.
“Rok tetap akan hidup, tetapi tidak hangat dulu kerana orang dah jelak. Saya sendiri dah muak. Dah 10 tahun saya perah otak cipta lagu rok. Cukup!” kata Nasir.
Antara lagu-lagu ‘emas’ M. Nasir
MASIH ingat lagu-lagu popular ciptaan M.Nasir yang begitu hangat satu ketika dulu? Beliau telah mencipta ratusan irama syahdu dan lirik yang penuh puitis. Berikut, kami imbas kembali antara lagu-lagu yang pernah menjadi siulan anak-anak Melayu:
* Senandung Semalam (Alleycats)
* Jika Kau Bercinta Lagi (Alleycats)
* Kabus (Ideal Sisters).
* Hingga Akhir Nanti (Alleycats).
* Dua Insan (Yunizar/M.Nasir).
* Dia Ibuku (Yunizar)
* Satu Masa (Yunizar/M.Nasir)
* Hanya Sekali (Ideal Sisters)
* Hati Emas (M.Nasir)
* Bas No.13
* Cetak Rompak (M.Nasir)
* Bunga Bakawali (Kembara)
* Empat Penjuru (Kembara)
* Fantasia Bulan Madu (Search)
* Satu Hari Di Hari Raya (M.Nasir)
* Keroncong Untuk Ana
* Mustika (M.Nasir)
* Cinta Kristal (Rahim Maarof)
* Sentuhan Kecundang (Ekamatra)
* Sejati (Wings)
* Tiara (Kris)
* Inang Pulau Kencana (M.Nasir)
