ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label filem Merah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label filem Merah. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 29, 1997

Kesan 'Merah' ke atas M. Nasir

 petikan Berita Harian, 29 Ogos 1997


FILEM sulung arahan M. Nasir, Merah, berjaya membolot hadiah wang tunai M$70,000 ($38,661) setelah meraih Anugerah Filem Terbaik, dalam majlis Anugerah Skrin dan Bintang Popular 96.

Menyifatkan kemenangan itu sebagai pendorong bagi beliau bergiat lebih aktif dalam bidang pengarahan dan penerbitan filem, M. Nasir, ketika ditemui Berita Harian Malaysia, berkata: "Kejayaan filem ini memberikan kesan amat mendalam ke atas saya. Ia adalah kejayaan semua pihak yang terbabit menjayakan filem ini. Memang pada mulanya saya tidak menyangka filem ini mampu mengalahkan filem lain yang dicalonkan. Ternyata kenyataan itu salah dan saya agak terkejut dengan kemenangan ini."

Merah, terbitan syarikatnya, Luncai Emas, merupakan kali pertama M. Nasir mengarah dan menerbitkan sebuah filem sejak lebih sedekad beliau bergiat dalam bidang seni.

Dalam satu temubual awal dari itu, M. Nasir dilaporkan tidak begitu runsing sama ada filem pertama arahannya itu akan meletup atau tidak seperti filem oleh Yusof Haslam.

"Saya buat filem bukan nak meletup," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui Awie memainkan peranan utama dalam filem Merah yang kini dicalonkan ke Festival Filem Asia Pasifik, di Pulau Cheju, Korea Selatan, dari 6 hingga 9 Oktober ini.

"Filem di Malaysia mempunyai satu tren iaitu menjadikan seorang bintang terkenal sebagai daya penarik dan penampilan Awie ini adalah segala-galanya, dia berlakon dengan baik dan mempopularkan filem itu sekaligus," tambahnya.

Sementara itu, Awie berbangga dan terharu dengan pencapaiannya menerusi filem Merah, yang turut memberinya pengiktirafan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik tahun lalu.

"Awie terharu kerana peminat setia masih lagi bersama Awie dan lebih mengejutkan, Awie menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik.

"Dengan kejayaan ini, terbuktilah bahawa usaha mengambil penyanyi menjadi pelakon bukan sekadar melepas batuk di tangga dan Awie sahut cabaran itu," katanya.

Di samping itu, Awie menyifatkan kemenangannya itu sebagai bukti penyanyi juga boleh menjadi pelakon yang terbaik jika diberi peluang membuktikannya.

"Saya terkejut dengan kemenangan ini. Secara langsung, saya dapat buktikan yang seorang penyanyi juga boleh meraih gelaran Pelakon Terbaik.

"Pernah satu ketika dulu, seorang kenalan saya merendahkan kebolehan saya dan mengatakan saya hanya boleh menjadi penyanyi yang baik. Tetapi hari ini, saya berjaya membuktikannya," kata Awie.

Selain daripada anugerah itu, Awie juga memenangi dua lagi kategori yang dipertandingkan iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular. Dengan itu, beliau membawa pulang M$16,000.

Gandingan tenaga antara M. Nasir dengan Awie mungkin tidak berakhir di situ kerana M. Nasir bercadang mengambil Awie untuk filem terbarunya, Gagak Kayangan.

Menurut akhbar Harian Metro, M. Nasir berkemungkinan mengajak Awie membawa peranan penting dalam filem keduanya yang berunsur komedi itu.

"Saya sekarang di peringkat prapenerbitan untuk Gagak Kayangan. Saya harap filem itu juga akan berjaya. Kalau tiada halangan, mungkin Awie akan dipilih berlakon dan saya sedang mengkaji perkara itu. Namun, saya pilih Awie bukan kerana dia menang hari ini tapi sebab dia sememangnya berbakat sebagai pelakon dan penyanyi," kata M. Nasir yang belum memberi sebarang kata putus.

Dengan kemenangan beliau di majlis anjuran bersama stesen TV swasta, TV3, dan Berita Harian Malaysia, di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam, Ahad lalu, M. Nasir, berkata:

"Saya percaya kemenangan ini akan memberi saya keyakinan yang lebih kepada filem terbitan dan arahan pertama saya ini."

Rabu, Januari 15, 1997

Filem Merah Akan Dijadikan Komik

Petikan Berita Harian 15 Januari 1997
Oleh Hanim Mohd Saleh

Pelancaran bakal dibuat selepas Hari Raya Puasa

SETELAH berjaya mencapai kutipan lebih RM1.5 juta (RM850,000)  filem Merah akan menemui peminatnya menerusi komik pula. Pengarah Urusan Luncai Emas yang menerbitkan filem itu, Junainah Johari. berkata komik setebal 80 muka surat itu akan dilancarkan selepas Hari Raya nanti.

Ilustrasi watak dan latar belakang Merah dibuat oleh pelukis bebas yang menyiapkan poster “Merah” Mohd Fuad. 

“Kami memang telah merancang mengeluarkan komik filem Merah jauh sebelum filem itu ditayangkan. Memang ada cadangan agar kami menghasilkan novel seperti Yusof Haslam mengeluarkan novel Maria Mariana tetapi kami memilih komik kerana ia lebih mudah dibaca dan berwarna warni. 

Secara kebetulan, kami sudah mempunyai pelukis ilustrasi yang berbakat untuk menguruskan komik ini, kata Junaidah.  

Selain cerita penuh filem, komik Merah juga menjawab beberapa persoalan yang timbul daripada kisah  di Іayar pеrаk.

Mengulas mengenai sambutan filem Merah yang sejak Disember lalu ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia dan Singapura, Junainah berkata pihaknya tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap hasil kutipan filem itu.

"Kalau sudah melebihi RM 1 juta, kami rasa sudah merupakan satu pencapaian yang baik kerana selain filem Yusof Haslam “Maria Mariana tahun lalu, filem filem Malaysia yang lain gagal mencapai sebanyak itu, kata Junainah.

Kami akan menghasilkan filem kedua, tetapi bukan dalam tempoh yang terlalu cepat. Mungkin tahun depan. tambahnya.

Ahad, Disember 22, 1996

Review Filem : Nasir bawa penonton berfikir dalam ‘Merah’

 petikan Berita Harian, 22 December 1996

SEBAGAIMANA M. Nasir mengangkat isu-isu kehidupan yang tidak dilihat oleh mata kasar orang lain menerusi lagu-lagunya, begitulah juga beliau melakukannya menerusi filem pertamanya, Merah.

Nasir, pengarah, penulis lakon layar dan cerita asal Merah, membawa penonton berfikir dan nilaikan dilema warga hina yang hidup bergelandangan dan terpaksa memilih jalan seterusnya apabila tiba di persimpangan.

Merah, adalah filem realis yang mempunyai makna berlapis — daripada nama-nama wataknya hinggalah kepada dialog-dialognya yang kaya dengan falsafah. Ia membentangkan masalah kehidupan biasa — moral, kejujuran dan cinta — tetapi berjaya lari daripada pendekatan biasa dengan prasarana segar, mantap dan tajam pengertiannya.

Cerita ini bertambah segar dengan pendekatan naratif oleh watak utamanya, Merah, lakonan Awie.

Cerita bermula dengan pertemuan semula Merah dengan sahabat lamanya, Salleh (Hani Mohsen), sebaik saja dia dibebaskan dari penjara. Menerusi pertemuan itu, kita didedahkan bahawa Merah, Salleh dan seorang lagi rakan sekampung mereka, lima tahun lalu pernah merompak sebuah bank kerana terdesak dengan kesempitan hidup. Ketika melarikan diri, mereka terjebak dalam satu kepungan polis. Merah menyuruh Salleh dan Hassan melarikan diri sementara dia seorang menghadapi hukumannya.

Lima tahun kemudian, Merah mendapati Salleh masih hidup dalam kesusahan, dikelilingi tiga orang anak. Salleh menuduh Hassan melarikan wang rompakan mereka. Merah marah. Tetapi apa yang Merah tidak tahu bahawa kekayaan yang dinikmati Hassan hari ini adalah hasil kerja kerasnya sendiri — biarpun perniagaan yang diceburinya, begitu menyalahi undang-undang.

Merah cuba menjalani kehidupan lurus, tetapi hidup sebagai banduan sering menemukan beliau dengan kehidupan di lorong hitam. Akibatnya beliau juga rasa terhina apabila mendapat tahu kaunselor yang semakin rapat dengannya, Kasih (Ziana Zain), rupa-rupanya anak seorang hartawan.

Cerita ini bukan soal orang baik dibalas baik dan orang jahat akan mendapat hukumannya, sebaliknya mebongkar hati manusia yang begitu sukar memilih jalan yang lurus selepas sekali berbuat jahat.

Sebagai pengarah, Nasir telah menangani filem ini dengan baik, teratur dan tepat megena sasarannya.

Kejayaan terbesarnya ialah mengubah penampilan Awie sebagai pelakon. Awie langsung mengikis imej penyanyinya seperti yang ditonjolkan dalam kesemua filemnya bersama Yusoff Haslam. Beliau relaks, manja tetapi pada masa yang sama sukar ditumbangkan oleh lawannya — ciri watak hero yang mengingatkan saya kepada pelakon Patrick Swayze.

Sabtu, Disember 14, 1996

'Merah' jadi rebutan pemilik panggung

 petikan Berita Harian, 14 December 1996

GANDINGAN IDEAL: Dengan barisan pelakon utama yang mengemukakan Ziana Zain (kiri), Nasir (tengah) dan Awie (kanan) sebagai bintang utamanya, filem keluaran Nasir ini dikatakan bakal mendapat sambutan baik dari orang ramai.

FILEM pertama arahan M.Nasir, Merah menjadi rebutan pemilik panggung seluruh Malaysia.

Menurut Yusoff Haslam, pengarah urusan Skop Productions yang ditugaskan memasarkan filem tersebut, sejumlah 40 panggung telah membayar sebanyak M$100,000 ($65,000) sebagai cengkeram untuk mendapatkan hak tayangan Merah mulai Khamis depan.

Di Singapura, filem itu menemui penonton sejak kelmarin di Pavillion, Golden Village di Tampines.

Yusoff berkata, tempahan awal yang dibuat oleh para pemilik panggung tersebut menunjukkan mereka yakin dengan kemampuan M. Nasir menghasilkan filem bermutu tinggi dan bakal mendapat sambutan orang ramai.

Reaksi itu juga menunjukkan bahawa kemunculan Ziana Zain dan Awie, sebagai antara pelakon filem tersebut, tidak menjejas minat orang ramai biarpun sebelum ini kedua-dua penyanyi itu dilaporkan telah mendapat pendedahan yang berlebih-lebihan di layar perak sehingga menjemukan sesetengah pihak.

"Selain daripada itu, saya percaya ramai yang tak sabar untuk melihat kebolehan Nasir menangani filemnya sendiri kerana beliau telah diakui begitu unggul menghasilkan kerja seni," kata Yusoff.

Ditanya pendapat beliau sendiri mengenai filem itu, Yusoff berkata beliau menganggap Merah sebagai "cermin semangat Nasir".

"Filem ini ada gaya tersendiri. Tetapi kita tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi mengenai kutipannya kerana ini merupakan filem pertama arahannya. Tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan ceritanya," kata Yusoff.

Yusoff juga menjelaskan bahawa biarpun Nasir masih menggunakan penyanyi dalam filem itu, beliau bijak menggarapnya dengan baik kerana kedua-dua Ziana dan Awie langsung tidak dihilangkan daripada imej glamour penyanyi.

Filem ini mengupas kisah masyarakat yang terpaksa melakukan kesalahan kerana terhimpit dengan pelbagai kesusahan.

Ia menjejak kehidupan bekas banduan, Merah (Awie) yang cuba meneruskan kehidupannya selepas dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan merompak.

Dia mendapati kawan yang pernah merompak bersamanya dulu, Salleh, sudahpun berkahwin dan hidup dalam keadaan serba sederhana. Seorang lagi kawan mereka, Hassan, pula menikmati kemewahan hasil wang rompakan yang dilarikan.

Dalam pada itu, Merah menjalin hubungan dengan kaunselornya, Kasih (Ziana) yang sentiasa mengekori langkahnya untuk memastikan dia tidak terjebak kembali dalam jenayah.

Isnin, September 30, 1996

M. Nasir guna kepakaran '$6m Man' untuk edar 'Merah'

 petikan Berita Harian, 30 September 1996

SENIMAN M. Nasir akan menggunakan kepakaran penerbit 'Six Million Dollar Man' iaitu Yusof Haslam, untuk mengedarkan filem pertama arahannya, Merah.

Beliau juga menyerahkan kepada syarikat Yusof, Skop Productions, untuk menentukan tarikh baru yang paling sesuai selepas tarikh asal penayangan filem itu, November ini, ditarik balik.

Nasir bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut kemungkinan Merah terpaksa menunggu agak lama kerana membatalkan tayangan pada tarikh yang sudah ditetapkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Yusoff mendapat gelaran 'six million dollar man' kerana kejayaannya mengutip lebih MS6 juta menerusi filem Sembilu II.

Hampir kesemua filem Yusoff dalam dekad ini berjaya mencapai kutipan lebih M$1 juta.

"Keputusan menarik balik tayangan filem Merah bukan dibuat secara mengejut. Sekarang kami melantik Yusof Haslam. Kami memilihnya kerana keupayaannya dari segi pemasaran filem.

"Saya fikir beliau lebih berpengalaman. Dan kini terserahlah kepada pihak Skop untuk mencari tarikh yang difikirkan paling sesuai untuk penayangan filem ini.

"Saya harap tarikh baru penayangannya nanti tidaklah terlalu lama," kata Nasir, sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian Malaysia.

Menurut Nasir, syarikatnya, Luncai Emas, masih belum mempunyai kepakaran untuk mengatur strategi pemasaran filem, tetapi mereka akan tetap membantu dari segi penyusunan promosi filem itu.

"Kami belum ada pengalaman. Harapkan nama saya saja belum dapat memasarkan filem ini dengan baik. Sebab itulah kita perlukan pengedar bebas. Bagaimanapun, kami tetap akan membantu dari segi promosi," katanya.

Bagaimanapun, Nasir mengaku terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan penayangan filem Merah ditangguhkan daripada tarikh asalnya.

Ini termasuk penglibatan Awie, pelakon utamanya, dalam promosi filem Tragedi Oktober yang dikhuatiri "akan terlalu mendedahkan" penyanyi tersebut kepada peminatnya.

Selain itu, Nasir juga berpendapat November bukan musim yang sesuai kerana secara umum, waktu itu ramai yang mengambil cuti hujung tahun.

"Secara umum, mereka yang bercuti panjang ini tidak akan menonton filem, kerana tumpuan mereka ialah menghabiskan cuti saja," jelasnya.

Sementara itu, Yusof mengesahkan syarikatnya menjadi pengedar filem Merah.

Kata Yusof, Skop Productions akan mengadakan pertemuan dengan Luncai Emas dan BMG Music untuk memutuskan tarikh baru penayangan filem itu.

"Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai soal tarikh penayangan baru filem itu. Hak mengedar itu belum sepenuhnya.

"Lagipun, kami belum ada perbincangan secara rasmi (mengenai tarikh tayangan). Bagaimanapun, kami akan mengadakan perbincangan dengan BMG dan Luncai Emas untuk menentukan tarikh yang sesuai.

"Walaupun hanya sekadar pengedar, saya juga perlu mengambil kira persetujuan daripada penerbitnya," katanya sambil mengharapkan tarikh tayangan tidak dijadikan isu besar.

Rabu, Ogos 07, 1996

Nasir lega 'Merah' dilulus

 petikan Berita Harian, 7 August 1996


M NASIR: Filem pertama arahannya dijadual temui penonton November ini.

FILEM pertama arahan M.Nasir, Merah mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem Malaysia dengan sedikit potongan membabitkan dialog yang tidak sesuai.

Bagaimanapun, potongan itu langsung tidak menjejas keseluruhan cerita tersebut.

"Merah mengalami beberapa potongan tetapi tidak banyak. Cuma ada adegan yang mempunyai dialog yang dianggap tidak sesuai.

"Yang penting, cerita tidak terjejas dan ini amat melegakan. Sudah tentu saya lega dengan keputusan ini," katanya.

Nasir yang baru pulang dari Sydney, Australia, untuk menguruskan proses mastering dan pengadunan album terbaru Awie, berkata filem Merah telah pun dihantar kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan berharap ia dapat ditayangkan menjelang November ini.

Filem Merah, yang memulakan penggambaran Oktober lalu membariskan ramai pelakon popular antaranya Hani Mohsin, Awie, Ziana Zain, Jalaluddin Hassan, Razzi Rahman, kumpulan rap Nico dan Nasir sendiri.

Sementara itu, pengarah urusan Luncai Emas, Junainah Johari, berkata sebelum filem Merah menemui penonton, pihaknya dengan kerjasama BMG Music akan melancarkan album soundtrack filem tersebut.

"Kita akan memulakan promosi filem ini secara berperingkat-peringkat. Ia akan dimulakan tidak lama lagi apabila kita sudah dimaklumkan mengenai tarikh penayangan filem itu," kata Junainah.

Album tersebut memuatkan lagu-lagu terbaru termasuk lagu tema Merah yang dinyanyikan Awie, M.Nasir, Ziana Zain dan Joey.

"Kecuali sebuah lagi daripada Nico, yang lain belum pernah diperdengarkan kepada umum," kata Junainah.

Beliau menambah, album itu diharap dapat dilancarkan sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum filem Merah ditayangkan kepada orang ramai. — BHM.

Rabu, Mei 08, 1996

M. Nasir tak kisah 'Merah' meletup atau tidak

petikan Berita Harian, 8 Mei 1996


 "Saya buat filem bukan nak meletup... Saya sedar filem 'Merah' sedang dinantikan hasilnya, terutama karyawan dan pengkritik filem. Namun, saya tidak mahu memikirkan semua itu kerana tidak mahu tumpuan menyiapkan filem ini terganggu... Disebabkan sudah dikenali, mereka menunggu hasil karya saya. Tapi saya tidak ambil kisah hal itu."

 — M. Nasir.

SAMA ada filem pertama arahannya akan meletup seperti filem Yusof Haslam, perkara itu tidak merunsingkan pengarahnya, M. Nasir.

"Saya buat filem bukan nak meletup" kata M. Nasir yang dalam peringkat post-production terakhir membabitkan penyuntingan dan pemasukan suara.

Katanya kepada Berita Harian Malaysia:

"Saya sedar filem Merah sedang dinantikan hasilnya, terutama karyawan dan pengkritik filem. Namun, saya tidak mahu memikirkan semua itu kerana tidak mahu tumpuan menyiapkan filem ini terganggu."

Beliau juga tidak menafikan soal ingin melihat sama ada sesebuah filem meletup atau tidak memang dinantikan oleh semua pengarah filem, terutama apabila ada pengarah yang sudah menghasilkan filem yang mencapai tahap box office.

"Disebabkan sudah dikenali, mereka menunggu hasil karya saya. Tapi saya tidak ambil kisah hal itu," katanya.

Filem Merah kini di peringkat penyuntingan dan dijangka siap sepenuhnya beberapa minggu lagi.

Beliau juga sudah memohon kepada Wajib Tayang Finas dan berharap filemnya itu dapat ditayangkan pada Julai atau Ogos depan.

"Banyak filem sudah siap sekarang, tapi ada juga yang belum daftar dengan Wajib Tayang. Saya sudah hantar permohonan ke sana (Wajib Tayang) dan berharap Merah dapat ditayangkan pada Julai atau Ogos depan," katanya.

M. Nasir berkata seperti filem lain, Merah juga tidak dapat mengelak dari sudut komersil kerana membariskan pelakon yang sudah ada nama selain mempunyai populariti tersendiri.

Bagaimanapun, katanya, beliau berpendapat bukan satu kesalahan untuk memilih pelakon yang sudah dikenali kerana selain menepati watak yang diperlukan, ia juga dapat memenuhi cita rasa penonton.

"Kita kena faham mengapa orang nak tengok filem. Mereka keluar duit, sanggup naik bas atau apa saja semata-mata nak tengok wayang. Sudah pasti ada dorongan mereka hendak buat macam itu.

"Jadi, kita kenalah juga hargai pengorbanan mereka. Yang pasti, ada yang hendak menonton filem kerana nak tengok lakonan orang tertentu. Sama ada dia puas atau tidak itu terpulang kepada mereka.

"Tapi bagi saya, pemilihan pelakon untuk filem ini dibuat kerana mereka sesuai dengan watak yang disediakan, bukan kerana nama saja," jelasnya.

Di samping mengarah, M. Nasir juga memegang salah satu watak penting dalam filem Merah. Tetapi beliau menyifatkannya sebagai bukan tugas yang membebankan.

"Jadi pengarah tidak semestinya tidak boleh berlakon. Teraju kita masih pegang. Macam pengarahan, kalau saya berlakon, ada pembantu yang mengendalikan kerja arahan," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa filem pertamanya itu tidak menggunakan peralatan canggih seperti sistem rakaman terus (direct sound) kerana selain kosnya yang agak mahal, ia juga rumit untuk dikendalikan.

"Sistem rakaman terus ini susah untuk dikendalikan terutama pada babak action. Ia juga lambat. Tapi itu tidak mustahil untuk digunakan oleh semua pengarah pada masa akan datang," katanya.

Nasir juga berpuas hati dengan lakonan para pelakonnya, terutama Awie dan Ziana Zain.

Isnin, November 27, 1995

Merah' cabar kemampuan M. Nasir sebagai pengarah

petikan Berita Harian, 27 November 1995

Oleh Hanim Mohd Saleh

"Perkara pertama yang terlintas di fikiran kami (Nasir dan Awie) ialah untuk membuat filem action thriller. Kemudian selepas berbincang lagi, kami rasa perlu buat muzikal. Jadi akhirnya kami campurkan kedua-duanya sekali... action thriller-muzikal."

FILEM Merah, yang bakal menguji kemampuan penggubah lagu M.Nasir sebagai sutradara, tidak akan bersandarkan kecantikan pelakon wanita yang biasanya berlaku dalam filem-filem Malaysia.

Pelakon dan personaliti lelaki menguasai keseluruhan filem tersebut. Mereka terdiri daripada Awie (yang memegang watak Merah), Hani Mohsin, penyanyi Razzi Rahman, ahli bina badan Ishak Raja Etam dan Mohd Amin serta stuntman Arash Mohd dan M.Nasir sendiri.

Satu-satunya pelakon yang disifatkan cantik dalam filem itu ialah penyanyi Ziana Zain.

Bagaimanapun, Nasir cepat menjelaskan bahawa Ziana, yang memegang peranan utama, tidak akan ditonjolkan dari segi tarikannya, sebaliknya diberi watak mencabar yang berbeza daripada peribadi dirinya sebenar.

Merah mengisahkan seorang lelaki yang terperangkap dalam situasi sukar. Apabila gagal mendapatkan wang untuk merawat neneknya yang sakit, Merah bersama Hassan (M.Nasir) dan Salleh (Hani Mohsin) merancang satu rompakan bank.

Tetapi dia ditangkap dan dipenjara selama lima tahun. Selepas dibebaskan, dia bertemu kaunselor bernama Kasih (Ziana) dan jatuh-cinta kepadanya.

"Saya sedar saya mempunyai dua tanggungjawab besar dalam Merah, tetapi memandangkan adegan lakonan saya hanya sedikit, saya yakin boleh tumpukan perhatian kepada arahan," kata Nasir.

Filem itu adalah projek usahasama antara BMG Pacific dan syarikat Nasir, Luncai Emas. Ideanya timbul ketika Nasir dan Awie berbual untuk menghasilkan filem lakonan mereka, kata Nasir.

"Perkara pertama yang terlintas di fikiran kami ialah untuk membuat filem action thriller. Kemudian selepas berbincang lagi, kami rasa perlu buat muzikal. Jadi akhirnya kami campurkan kedua-duanya sekali... action thriller-muzikal," kata Nasir dalam sidang akhbar filem tersebut di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.

Tidak seperti dua filem sebelum ini (Sembilu dan Sembilu II) yang menonjolkan Awie dan Ziana sebagai penyanyi sebagaimana watak mereka di luar filem, Merah bakal menguji kebolehan sebenar mereka dalam bidang lakonan.

Bahkan Ziana dan Awie kali ini tidak perlu menyanyi, kecuali menyumbang suara sebagai penyanyi latar.

Nasir berkata, mungkin sukar bagi Awie menukar gaya lakonannya.

"Semua orang tahu gaya Awie bercakap, berjalan dan menyanyi. Tugas saya ialah memastikan wataknya dalam Merah jauh sekali daripada wataknya sebagai Awie sebenar," kata Nasir sambil menambah bahawa beliau telah mengarahkan penyanyi tersebut agar menurunkan berat badannya untuk filem itu.

Watak Awie dalam filem tersebut ialah seorang yang panas baran, pendendam dan kasar.

"Saya benar-benar ghairah untuk menghidupkan watak ini. Oleh kerana jadual kerja saya begitu ketat, saya menggunakan setiap masa yang terluang menghayati skrip dan menonton seberapa banyak filem yang boleh," kata Awie.

Filem yang menelan belanja M$800,000 ($447,200) itu, dihasilkan dengan kerjasama Nasir dan Awie sendiri dengan skripnya ditulis bersama penulis lirik, Loloq.

"Skrip itu telah diubah sebanyak lapan kali sebelum kami semua setuju sebulat suara dan memulakan penggambaran," kata Nasir.