petikan Berita Harian, 29 Ogos 1997
FILEM sulung arahan M. Nasir, Merah, berjaya membolot hadiah wang tunai M$70,000 ($38,661) setelah meraih Anugerah Filem Terbaik, dalam majlis Anugerah Skrin dan Bintang Popular 96.
Menyifatkan kemenangan itu sebagai pendorong bagi beliau bergiat lebih aktif dalam bidang pengarahan dan penerbitan filem, M. Nasir, ketika ditemui Berita Harian Malaysia, berkata: "Kejayaan filem ini memberikan kesan amat mendalam ke atas saya. Ia adalah kejayaan semua pihak yang terbabit menjayakan filem ini. Memang pada mulanya saya tidak menyangka filem ini mampu mengalahkan filem lain yang dicalonkan. Ternyata kenyataan itu salah dan saya agak terkejut dengan kemenangan ini."
Merah, terbitan syarikatnya, Luncai Emas, merupakan kali pertama M. Nasir mengarah dan menerbitkan sebuah filem sejak lebih sedekad beliau bergiat dalam bidang seni.
Dalam satu temubual awal dari itu, M. Nasir dilaporkan tidak begitu runsing sama ada filem pertama arahannya itu akan meletup atau tidak seperti filem oleh Yusof Haslam.
"Saya buat filem bukan nak meletup," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui Awie memainkan peranan utama dalam filem Merah yang kini dicalonkan ke Festival Filem Asia Pasifik, di Pulau Cheju, Korea Selatan, dari 6 hingga 9 Oktober ini.
"Filem di Malaysia mempunyai satu tren iaitu menjadikan seorang bintang terkenal sebagai daya penarik dan penampilan Awie ini adalah segala-galanya, dia berlakon dengan baik dan mempopularkan filem itu sekaligus," tambahnya.
Sementara itu, Awie berbangga dan terharu dengan pencapaiannya menerusi filem Merah, yang turut memberinya pengiktirafan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik tahun lalu.
"Awie terharu kerana peminat setia masih lagi bersama Awie dan lebih mengejutkan, Awie menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik.
"Dengan kejayaan ini, terbuktilah bahawa usaha mengambil penyanyi menjadi pelakon bukan sekadar melepas batuk di tangga dan Awie sahut cabaran itu," katanya.
Di samping itu, Awie menyifatkan kemenangannya itu sebagai bukti penyanyi juga boleh menjadi pelakon yang terbaik jika diberi peluang membuktikannya.
"Saya terkejut dengan kemenangan ini. Secara langsung, saya dapat buktikan yang seorang penyanyi juga boleh meraih gelaran Pelakon Terbaik.
"Pernah satu ketika dulu, seorang kenalan saya merendahkan kebolehan saya dan mengatakan saya hanya boleh menjadi penyanyi yang baik. Tetapi hari ini, saya berjaya membuktikannya," kata Awie.
Selain daripada anugerah itu, Awie juga memenangi dua lagi kategori yang dipertandingkan iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular. Dengan itu, beliau membawa pulang M$16,000.
Gandingan tenaga antara M. Nasir dengan Awie mungkin tidak berakhir di situ kerana M. Nasir bercadang mengambil Awie untuk filem terbarunya, Gagak Kayangan.
Menurut akhbar Harian Metro, M. Nasir berkemungkinan mengajak Awie membawa peranan penting dalam filem keduanya yang berunsur komedi itu.
"Saya sekarang di peringkat prapenerbitan untuk Gagak Kayangan. Saya harap filem itu juga akan berjaya. Kalau tiada halangan, mungkin Awie akan dipilih berlakon dan saya sedang mengkaji perkara itu. Namun, saya pilih Awie bukan kerana dia menang hari ini tapi sebab dia sememangnya berbakat sebagai pelakon dan penyanyi," kata M. Nasir yang belum memberi sebarang kata putus.
Dengan kemenangan beliau di majlis anjuran bersama stesen TV swasta, TV3, dan Berita Harian Malaysia, di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam, Ahad lalu, M. Nasir, berkata:
"Saya percaya kemenangan ini akan memberi saya keyakinan yang lebih kepada filem terbitan dan arahan pertama saya ini."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan