ANALITIC

Khamis, Mei 14, 2026

Teater Muzikal Sulung: M. Nasir Mencari Liu

petikan BERNAMA 14 Mei 2026

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama)  Selepas puluhan tahun menghidupkan dunia seni menerusi muzik dan lakonan, legenda muzik tanah air Datuk M. Nasir membuka satu lagi dimensi baharu dalam perjalanan seninya menerusi penerbitan teater muzikal "Mansur & Liu".

Naskhah itu menjadi projek teater muzikal sulung yang diterbitkan bersama-sama dengan isteri Datin Marlia Musa, dan mereka sedang mencari "Liu", iaitu watak heroin yang bakal menghidupkan pementasan berkenaan. Marlia berkata pemegang watak Liu perlu memiliki ciri-ciri tersendiri, termasuk gerak tari yang gemalai, tutur bicara yang bijaksana serta suara lunak dan gemersik bagi melengkapkan gandingan dengan karakter Mansur. "Ini adalah teater muzikal pertama kami. Sebelum ini, kami hanya mendengar suara, melihat lakonan dan gerak tari. Jadi, kami mahu melihat semuanya diterjemahkan secara nyata menerusi bakat-bakat baharu dalam pementasan ini nanti," katanya dalam kenyataan.

Bagi merealisasikan pencarian itu, sesi uji bakat terbuka "M. Nasir Mencari Liu" akan berlangsung esok di Club Chinois, JW Marriott Hotel Kuala Lumpur bermula 3 petang dan mempelawa bakat-bakat berpotensi untuk tampil. - BERNAMA

-

‘Saya tak tahu, mungkin penyamar’ – M. Nasir nafi balas komen netizen

petikan HibGlam 14 Mei 2026

oleh HELMI ANUAR 

PENYANYI dan komposer terkenal M. NASIR menegaskan tidak tahu menahu dirinya tular dalam media sosial kerana sering membalas komen netizen dan pempengaruh.

Menurut M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir bin Mohamed Sam, 69, dia tidak pernah ambil tahu tentang media sosial.

“Apa? Saya aktif di media sosial? Dekat mana? Yang mana satu?

“Saya tak berapa ikut sangat la. Saya tak tahu,” katanya.

Ditanya jika benar dirinya tidak tahu, maka siapa yang menjawab soalan-soalan daripada netizen?


“Tak tahu. Mungkin penyamar,” komennya sewaktu usai sidang Konsert Cipta 4 di Ipoh, Perak susulan komen-komen yang dibuat dalam media sosial.

Terdahulu kemunculan penyanyi yang terkenal dengan gelaran sifu itu dalam media sosial terutamanya Instagram mendapat perhatian ramai.

Terbaharu pula, komposer terkenal itu mencuri tumpuan dengan komen balasnya terhadap pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai DMA Islam.

Pempengaruh tersebut menyamakan anak seni dengan anak bodoh.

M. Nasir dilihat membalas kenyataan tersebut dengan menulis ‘baik anak sains’.

Komen balas M. Nasir telah mendapat lebih 23 ribu tanda suka, ratusan komen dan hampir 2 ribu ulang siar.

Malah ada yang menggelarnya sebagai ketua baharu Threads menggantikan Kamal Adli.

Dalam perkembangan lain, M. Nasir bakal muncul dengan Konsert Cipta 4 yang akan berlangsung pada 4 Julai 2026 bertempat di Unifi Arena Bukit Jalil. – HIBGLAM