Rabu, April 22, 2009

Malique, jelmakanlah dirimu!

petikan Utusan Malaysia 22 April 2009

SELEPAS Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP2008), Papa tidak sabar untuk menantikan kehadiran Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung pada 2 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Biarpun ramai mengata- kan AIM tidak lagi relevan dengan industri muzik yang semakin merudum, AIM masih lagi mampu untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah memberikan hasil yang terbaik.

Papa dengar orang kuat AIM, siapa lagi kalau bukan Jennifer Thompson atau lebih dikenali sebagai J. Tho tengah pening kepala untuk memikirkan konsep persembahan pada malam itu.

Kalau boleh J. Tho enggan menampilkan artis yang sama tetapi apa nak buat banyak kriteria yang perlu diambil kira dalam memuaskan hati semua pihak.

Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah Datuk Sheila Majid, Misha Omar, Faizal Tahir, Meet Uncle Hussain, Hujan, Chakra Sonic dan ramai lagi.

Papa dengar J. Tho masih lagi sedang berusaha untuk mendapatkan bekas anggota kumpulan Too Phat, Malique untuk membuat persembahan.

Bukan sahaja J. Tho, pihak wartawan juga mencari Malique untuk sesi fotografi dan temu ramah tetapi Malique terlalu sukar untuk dicari serta dihubungi.

Tiada siapa yang tahu di mana sebenarnya Malique berada kini. Padahal, Malique merupakan salah seorang calon AIM tahun ini.

Kalau nak tahu, sifu M. Nasir terlalu kepingin mahu nyanyikan lagu Mentera Beradu bersama Malique di AIM selepas gagal berbuat demikian untuk ABP2008.

Kalau Malique membaca akhbar ini, jangan terlalu lama bersembunyi.

Sekarang orang sedang menyeru nama anda dek kerana impak lagu Mentera Beradu.

Nanti lama sangat bertapa, orang dah tak peduli, susah juga anda nanti. Permintaan orang tidak baik dihampakan.

Mana tahu, pintu hati Malique terbuka untuk keluar dari persembunyian dan mahu membuat persembahan pada malam AIM nanti kan.

Papa percaya kolaborasinya bersama M. Nasir akan menjadi sebuah persembahan yang mantap kalau ia menjadi kenyataan.

Jumaat, April 17, 2009

AIM16 bakal saji persembahan hebat

petikan mstar 17 April 2009
Oleh WAHIDA ASRANI

DEBARAN Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung pada 2 Mei depan sudah mula dirasai bukan saja di kalangan karyawan dan penggiat seni tanahair yang tercalon sebagai finalis, malah peminat-peminat muzik tempatan.

Senarai calon akhir sudah pun diumumkan baru-baru ini dan menyaksikan banyak perubahan dari segi penjurian yang mana penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza dan penyanyi hip-hop Joe Flizzow dilihat 'menguasai' AIM16 ini dengan masing-masing memperolehi tujuh pencalonan menerusi album Lentera Timur dan President.

Apa yang pasti, AIM16 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada jam 8.30 malam itu turut menjanjikan banyak persembahan hebat oleh penyanyi-penyanyi terkemuka tanahair yang akan menampilkan gandingan artis pelbagai genre muzik.

Barisan artis yang bakal membuat persembahan pada acara berprestij itu ialah Datuk Sheila Majid, M.Nasir, Faizal Tahir, Misha Omar, Meet Uncle Hussein, Hujan, Joe Flizzow, Goldkartz, Chakrasonic dan Man Jiang Hong.
Antara barisan artis yang terlibat untuk persembahan dan sebagai penyampai anugerah AIM16

Penyanyi popular Indonesia, Rossa juga turut diundang membuat persembahan pada malam itu.

Persembahan artis-artis tersebut akan diiringi oleh kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan komposer dan Pengarah Muzik, Ramli M.S.

Mengulas mengenai persembahan artis-artis terbabit, kata Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson, beberapa artis lain juga dijangka akan turut serta membuat persembahan pada acara tersebut.

Namun, buat masa ini, pihak penganjur masih lagi meneliti artis yang bakal terlibat itu.

"Untuk buah sesebuah 'show' bukanlah satu perkara yang mudah. Malah, kami juga berdepan kesukaran untuk memilih artis-artis tersebut.

"Seboleh mungkin, kami ingin tampilkan sesuatu yang berbeza untuk AIM16 ini. Apa yang pasti, kami memang amat teliti dari segi pemilihan artis untuk menjayakan persembahan ini," kata Jennifer yang ditemui pada sidang media AIM16 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, semalam.

Ditanya mengapa AIM16 tidak membuka ruang yang banyak kepada artis-artis indie lain seperti Bunkface dan Pesawat untuk membuat persembahan pada acara gilang-gemilang itu, kata Jennifer, pihaknya akui muzik indie semakin menguasai industri ketika ini, namun banyak kriteria yang perlu dipertimbangkan oleh penganjur.

"Kami faham sekarang ini begitu ramai artis indie yang mempunyai potensi hebat. Tetapi AIM adalah di bawah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan seperti mana yang diketahui ramai, mereka yang ingin menyertai AIM perlulah menjadi ahli RIM.

"Kami akui, separuh daripada ahli-ahli RIM memang terdiri daripada artis indie. Jadi, kami perlu mengambilkira faktor ini juga untuk memilih artis yang akan menjayakan AIM.

"Selain itu, kami juga perlu melihat dari segi material yang mereka ada. Kalau kami pilih artis yang tidak ada material atau produk di pasaran, ia seperti sia-sia kerana kami tidak langsung dilihat seperti membantu mereka," kata Jennifer.

Dalam pada itu, AIM16 kali ini juga menyaksikan gandingan sekali lagi tiga pengacara iaitu Afdlin Shauki, Adibah Noor dan Bob Lokman.

Dan antara penyampai-penyampai anugerah pada malam itu pula ialah Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Jaclyn Victor, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.

Sementara itu, persembahan bergerak AIM16 masih lagi diteruskan di dua buah lokasi iaitu Sungai Petani Mall, Sungai Petani pada 18 April dan Queensbay Mall, Pulau Pinang pada 25 April depan.

Antara artis-artis yang terlibat di dalam persembahan bergerak itu ialah Alyah, Dina, Hujan, Meet Uncle Hussein, Misha Omar, Reshmonu, Shila dan The Times.

Tiket berharga RM50 untuk menghadiri AIM16 boleh didapati di pejabat Akademi dengan menghubungi talian 03-40445388.

Sabtu, April 04, 2009

Pesona karya cipta populariti

petikan Bintang Popular 4 April 2009
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


SIAPA tak kenal M Nasir, siapa pula tak sanjung Maya Karin. Anugerah Tuhan pada dua bintang besar dalam dunia nyanyian dan lakonan itu nyata dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh mereka. Mereka yang bernasib baik boleh dianggap bertuah kerana dengan bakat dan kebolehan, nama mereka terus popular hingga kini.

M Nasir walaupun tiga dekad mengabadikan diri sebagai anak seni, dirinya masih kekal jadi perhatian. Karya yang indah terus tercipta. Begitu juga si cantik, Maya Karin. Bermula dengan perjalanan seni yang berliku akhirnya pelakon yang sinonim dengan gelaran `pontianak cantik' itu mencipta sejarah baru apabila dua kali dinobatkan aktres terbaik pada festival antarabangsa.

Jika M Nasir mengambil masa bertahun-tahun untuk terbabit dalam seni yang pelbagai, bukan saja bergelar penyanyi, malah terkenal sebagai komposer, pencipta lagu, pelakon, pengarah dan pelukis, Maya juga ingin mengikut jejak penyanyi dan komposer bergelar sifu itu.

Secara jujur, M Nasir akui: "Saya tiada apa-apa petua untuk terus kekal sebagai anak seni. Cuma saya percaya, jika kita sentiasa memberikan karya yang terbaik, Insya-Allah kita akan bertahan.

"Bagaimanapun, tak semua orang akan dapat nikmat berkenaan, hanya mereka yang bernasib baik mampu berjuang dalam bidang seni hingga ke akhir hayat. Dan selagi tak menutup mata dan termampu, saya mahu terus berjuang.

"Saya juga sekadar berkarya, tapi karya itu yang melekat di hati peminat. Dalam industri ini, saya bukan sekadar bekerja, tapi pesona yang kita cipta akan membuatkan orang ingat selalu. Pesona pula perlu kejujuran, selain mencerminkan identiti. Apapun saya sentiasa panjatkan kesyukuran apabila terpilih dalam lingkungan berkenaan. Kini darah seni yang mengalir dalam diri saya diturunkan kepada anak-anak."

Finalis kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular bersama Malique pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu berkata, lima cahaya matanya mahu menyambung perjuangannya dalam bidang seni. Dua daripadanya menunjukkan minat dalam bidang muzik sama ada bergelar penyanyi dan bermain muzik, manakala tiga lagi yang masih bersekolah juga cenderung ke arah itu.

Dengan nada perlahan, penyanyi dan komposer berusia 52 tahun itu berkata: "Saya tak pernah galakkan anak-anak mengikut jejak saya sebagai anak seni, tetapi anak pertama dan kedua mempunyai minat mendalam dalam bidang muzik. Mereka mahu menyanyi dan bermain muzik.

"Saya tak terkejut kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Saya memberi sokongan pada mereka, buat masa ini, mereka masih berlatih dan mencari arah. Saya tak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan anak-anak untuk memastikan mereka juga menempa kejayaan.

"Jika saya mampu menaikkan nama penyanyi atau kumpulan lain sejak dulu lagi, kenapa saya tak membantu anak-anak saya. Saya juga sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk rakaman album mereka tetapi biarlah mereka berlatih dulu dan cukup ilmu."

Maya rancang terbit album ketiga

Maya pula akui, dirinya tak pernah mendabik dada dengan apa yang dilimpahi, malah sentiasa memanjatkan syukur menjadi insan terpilih dalam bidang seni.

Semakin jelita, wanita kacukan Melayu-Inggeris itu berkata: "Sejak dulu saya tak pernah berubah. Saya sentiasa memastikan saya masih Maya Karin yang dulu walaupun sudah mengecapi arus populariti dan berkahwin. Kadang kala saya tersenyum apabila ramai yang lupa saya sudah bergelar isteri kerana mereka melihat saya sebagai Maya Karin yang masih bujang.

"Kehidupan saya juga tak banyak berubah walaupun sudah lapan bulan bergelar isteri. Saya percaya sifat kesederhanaan yang diterapkan dalam diri sejak dulu buat saya tidak berubah.

"Saya bukanlah artis kontroversi, bukan juga artis seksi. Jadi tak banyak yang dapat diperkatakan dan dicetuskan. Saya pula lebih selesa membicarakan mengenai hala tuju dalam bidang seni."

Maya berkata, selepas mengecapi kejayaan dalam bidang lakonan dan pengacaraan, hanya satu impiannya belum terlaksana iaitu bergelar penyanyi yang baik.

Finalis Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2008 itu berkata, kalau diikutkan minatnya lebih ke arah bidang nyanyian, namun nasib belum menyebelahinya walaupun sudah memiliki dua album, berjudul Maya Karin dan Bukan Qalamaya.

"Dulu saya fobia apabila ramai menganggap saya tak boleh menyanyi, hanya mempertaruhkan paras rupa dan macam-macam lagi kata-kata pedih yang dihamburkan pada saya.

"Saya akui dua album dulu hanyalah percubaan, ketika itu keinginan bergelar penyanyi begitu melonjak di jiwa tetapi hasilnya kurang memuaskan. Kini tak lagi, selepas enam tahun tiada album baru, saya akan tampil dengan album ketiga tidak lama lagi.

"Album ini agak berbeza dengan album dulu. Saya mengambil masa bertahun-tahun memikirkan konsep yang sesuai dan menunggu lagu yang berkualiti dan serasi dengan vokal saya.

"Saya tak mahu menoleh ke belakang lagi mendengar kata cemuhan orang. Saya berazam mahu membuktikan album saya juga mendapat tempat di hati peminat. Sehingga kini, saya sudah memilih enam lagu ciptaan Audi Mok, cuma saya belum dapat lirik yang bagus," katanya yang bakal muncul sebagai jurucakap produk minuman terkenal tidak lama lagi.

INFO: M Nasir

Nama: Mohamad Nasir Mohamad @ M Nasir
Usia: 52 tahun
Asal: Singapura
Tarikh Lahir: 4 Julai 1957
Pendidikan: Diploma Seni Lukis dari Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura.
Album: Untuk Pencinta Seni (1979), Dia Ibuku (1981), Solo (1988), Saudagar Mimpi (1991), Canggung Mendonan (1993), Konsert Akar M Nasir - Manifestasi Akustika (1995), Terbaik M Nasir (1998), Srikandi Cintaku (1999), Prahara Seni Abadi (2001), Phoenix Bangkit (2001) dan Sang Pencinta (2006).
Album (Bersama Kembara): Kembara (1981), Perjuangan (1982), Generasiku (1983), 1404 Hijrah (1984), Seniman Jalanan (1984), Duit (1985) dan Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986).
Filem: Kembara Seniman Jalanan, Selubung, Fenomena, Balada, Simfoni Duniaku, Merah, Perempuan Melayu Terakhir, Animasi Putih dan Puteri Gunung Ledang.
Lagu Popular: Hati Emas, Mentera Semerah Padi, Ghazal Untuk Rabiah, Andalusia, Phoenix Bangkit Dari Abu, Aduh Saliha, Lagu Cinta Lagu Jiwa (duet dengan Mawi) dan Juwita Citra Terindah.
Pencapaian (antaranya): Anugerah Kembara AIM, Artis Paling Popular Anugerah Bintang Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1994, Anugerah Khas Bintang Popular ABPBH 2007.

INFO: Maya Karin

Nama: Maya Karin Roelcke
Tarikh Lahir: 29 Oktober 1979
Usia: 30 tahun
Tempat lahir: Bayreuth, Jerman
Pendidikan: Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing dalam bidang media dan pemasaran
Album: Maya Karin dan Bukan Qalamaya
Pengacara: Wavelength (TV3), Ratu Sehari (Astro Ria), Channel [V] dan Beauty Secret From The East (TV3)
Filem: Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Waris Jari Hantu, 1957 - Hati Malaya, Anak Halal dan Duyung
Pencapaian (antaranya): Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2001; Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2005; Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka dan Pelakon Terbaik di Festival Filem Seram & Fantasi Estepona 2005 di Sepanyol dan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21.
Duta: L'oreal Paris, Tag Heuer, Celcom, Tahun Terumbu Karang 2008 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, selain jurucakap MYEG, projek memperbaharui lesen secara online Kementerian Pengangkutan.

Solekan & Dandanan: Rose Suci (012- 902 1217)
Produk: Elysyle Cosmetics Elken