petikan Berita Harian, 20 October 1982
Oleh EUNOSASAH.
ALLEYCATS berjaya sekali lagi menerima anugerah Piring Platinum untuk album kelima mereka yang antaranya mengandungi lagu 'Andainya Ku Pergi Dulu' kerana album tersebut laris dijual dalam pasaran dan melebihi 60,000 unit.
Larisnya jualan album tersebut menunjukkan bahawa kumpulan tersebut masih popular dalam dunia muzik Melayu.
Satu lagi kumpulan dari syarikat rakaman yang sama dengan kumpulan Alleycats yang juga popular ialah Kembara.
Kembara ternyata telah membuktikan kebolehan dan kemampuan untuk memenangi hati peminat-peminat mereka.
Ini jelas dengan melihat bahawa album sulung mereka telah begitu laris dijual dalam pasaran.
Bagi Alleycats pula, hampir setiap album yang dikeluarkan mereka telah berjaya mendapat tempat paling atas dalam arena hiburan Melayu di Malaysia dan Singapura.
Dalam album keempat mereka, Alleycats juga telah membuktikan kehandalan mereka bila lagu nyanyian David Arumugam dari ciptaan M. Nasir berjudul 'Hingga Akhir Nanti' begitu digemari ramai.
Cuba nasib
Sekali lagi dalam album kelima mereka, lagu ciptaan M. Nasir berjudul 'Andainya Ku Pergi Dulu' diminati ramai dan menjadi siulan dan nyanyian ramai anak-anak muda.
Kini Alleycats mencuba nasib lagi dengan lahirnya album keenam mereka yang telah pun diedarkan dalam pasaran. Lagu 'Andainya Ku Tahu' dalam album keenam itu juga dilihat menjadi kegemaran.
Mungkinkah album tersebut juga berjaya seperti album mereka yang lalu? Hanya masa yang akan menentukan.
Berbalik kepada kumpulan Kembara, mungkinkah kumpulan itu akan menjadi persaingan hebat kepada kumpulan Alleycats?
Ini adalah berdasarkan kepada LP sulung Kembara yang terus laris dijual.
Lagu-lagu seperti 'Senandung Buruh Kasar', 'Ekspres Rakyat', 'Hati Emas' dan 'Lagu Untuk Seorang Ibu' dalam album tersebut begitu baik dan diminati ramai.
Album Kembara itu telah berjaya menerima anugerah Piring Emas dari syarikat PolyGram kerana berjaya dijual lebih 25,000 unit.
Apakah dua buah kumpulan muzik dari sebuah syarikat rakaman yang sama itu akan terus menjadi kumpulan yang diminati ramai sehingga tiga atau lima tahun lagi?
Tetap kukuh
Apa yang ketara sekarang ialah mereka memang sedang pesat mempersiapkan diri untuk menuju ke arah itu.
Kedua-dua kumpulan itu harus berusaha lebih gigih lagi agar kedudukan dan populariti mereka tetap kukuh di hati peminat-peminat mereka.
Alleycats dan Kembara, saya kira sama-sama handal. Hanya perbezaan yang jelas antara kedua-dua kumpulan itu ialah Alleycats telah lebih dulu menapak dan menguasai pasaran berbanding dengan Kembara yang baru saja melahirkan sebuah album.
Bagaimanapun, Kembara akan muncul dalam album kedua mereka tidak berapa lama lagi. Berjayakah mereka kelak mencuri hati peminat? Sama-samalah kita menantinya. Oleh EUNOSASAH.