petikan Berita Harian, 30 December 1999
Oleh Hanim Mohd Salleh
MUZIK Melayu, biarpun mungkin belum menembusi pasaran dunia, telah menunjukkan kemantapan dan kekuatannya yang tersendiri. Daripada era muzik P. Ramlee serta seniman sezamannya atau sebelumnya seperti Wandly Yazid, Zubir Said, Kassim Masdor dan kemudian S. Atan, Ahmad Nawab sehingga menjadi lebih gemilang di bawah teraju M. Nasir, Ramli Sarip, Suhaimi Md Zain (Pak Ngah), kita dapat berbangga melihat muzik Melayu terus segar melangkah ke alaf baru.
Namun daripada ratusan penggiat muzik dan penyanyi yang merancakkan persada muzik Melayu dari era 50-an, mengapakah hanya segelintir saja yang menjadi ingatan dan masih bertahan?
Muzik yang dibawa mereka menjadi jawapannya.
Dalam satu wawancara khas dengan Berita Harian, seniman M. Nasir berkata apa yang berlaku dalam sepanjang abad ini ialah secara sedar atau tidak, para penggiat muzik Melayu telah membiarkan diri mereka terlalu dipengaruhi budaya asing dan leka meminjamkan budaya bukan milik Melayu sehingga akhirnya mereka rasa tersekat, lantas terkandas di tengah jalan.
"Banyak yang berlaku kerana rasa terikut-ikut. Kita tengok orang Barat buat rock berjaya, kita pun ikut buat tetapi tak faham apa yang kita buat. Bila tiba saat kita sedar kita tak boleh pergi jauh lagi, kita rasa tersekat. Nak ubah, dah terlambat. Imej boleh diubah, tetapi gaya muzik yang dibawa susah nak diubah," kata Nasir.
Nasir percaya muzik Melayu boleh melangkah lebih jauh daripada benua Nusantara jika seniman memandang jauh terhadap semua karya-karyanya.
"Muzik yang saya bawa adalah muzik yang memang saya nak buat. Ia bukan secara tak sengaja. Saya merancang dan dapat jangkakan apakah kesan muzik itu nanti. Apa yang saya buat, semuanya sudah difikirkan tentang hasil dan kesannya.
"Memang ramai pemuzik hanya tahu buat, tetapi tak fikir jauh. Sebab itu, tiba satu saat, mereka jadi buntu. Tak tahu apa nak buat lagi kerana tak terfikir kesan muzik mereka," Nasir berkongsi rahsia.
Nasir memulakan karyanya dengan menghasilkan rock selatan dan kemudian beralih ke 'progresif rock' sebelum beliau cepat-cepat menemui lombong emasnya dalam muzik Nusantara.
"Tetapi dalam menghasilkan lagu-lagu Nusantara, elemen pop dan rock tetap dikekalkan. Itu untuk perasa," ujarnya.
P. Ramlee telah berjaya memberi jiwa terhadap lagu-lagu Melayu dengan caranya sendiri sehingga menawan hati masyarakat hari ini.
Namun muzik Melayu melihat kegoncangannya apabila pop dari Barat yang dipengaruhi kumpulan The Beatles mula menular ke rantau ini, sehingga menjangkiti peminat muzik setempat. Maka lahirlah Angkatan Pop Yeh Yeh.
"Boleh dikatakan, dari zaman 60-an hingga awal 80-an, muzik kita adalah muzik yang dipengaruhi budaya luar. Kita pinjam budaya orang dan kita melakukannya kerana perasaan. Masa tu, orang buat muzik, menyanyi kerana minat, bukan nak buat duit. Sebab itu ramai yang lenyap hari ini. Dengan pinjam budaya orang, kita tak boleh teruskan perjuangan dan kembangkan karya. Paling banyak, boleh main di kelab malam," ujarnya.
Menurut Nasir, beliau menghasilkan lagu-lagu rock untuk kumpulan seperti Alleycats, Search dan Wings sebagai satu protes dengan caranya tersendiri.
"Bila orang gilakan rock, rock tumbuh menggila. Bukan susah nak tubuhkan kumpulan rock. Tapi hairannya dia orang tak faham apa dia orang buat. Mereka memonyetkan budaya orang sampai satu ketika, mereka tiba-tiba sedar mereka tak ada masa depan. Masa tu, mereka cuma tahu buat duit, mencari populariti, tetapi tak ada sifat tanggungjawab terhadap muzik," kata Nasir.
Kemudian menjelang akhir 80-an dan awal 90-an, timbul penggiat seni yang bangkit daripada zaman terikut-ikut. Mereka ini, Nasir golongkan sebagai pemuzik pemikir. Antaranya termasuklah S. Amin Sahab, kumpulan Rausyanfikir, Harmoni dan Kopratasa.
"Tetapi orang yang pandai berfikir ini kebanyakannya tak ada rupa. Dalam dunia hiburan, visual tu penting. Orang nak tengok yang cantik-cantik. Sebab itu seniman pemikir ni lambat tangkap perhatian. Tetapi mereka bertahan. Mereka tetap berkarya," ujar Nasir.
Menurut Nasir, apabila beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi seniman profesional, beliau berangkat dengan penuh keyakinan.
Apabila ditanya potensi muzik Melayu ke pentas dunia, Nasir berkata siapa saja boleh melakukannya tetapi kejayaannya hanya dapat diakui jika masyarakat dunia memandang kepada 'Melayu'nya, bukan setakat mengenal penyanyinya saja.
"Siapa pun boleh pergi London, Amerika, kalau nak. Tapi kalau orang setakat kenal kita sebagai penyanyi dari Malaysia atau Singapura, buat apa? Saya mahu orang kenal saya sebagai penyanyi Melayu. Semua seniman berjaya sekarang pegang kuat kepada warisan budaya mereka. Warisan budaya yang menguatkan mereka di mana-mana," ujarnya.
Sedang muzik Melayu terus liar menawan pendengar, Nasir berkata para penggiat juga tidak harus lupa untuk menjadi pengusaha yang lebih baik untuk memasarkan lagu-lagu warisan bangsa.
"Sekarang ini, orang Melayu belum menguasai industri muzik Melayu itu sendiri. Yang berkuasa, syarikat rakaman dan pengedar, yang terus buat duit, semua bukan Melayu.
"Tetapi saya rasa kita belum bersedia untuk merampas kuasa itu. Semua orang kena buat kerja, faham industri muzik ini dan ada keinginan untuk berkuasa," tambah Nasir lagi.


