Ahad, Mac 02, 1986

M Nasir merayu dipendekkan masa pengharaman

petikan Berita Minggu, 2 March 1986

Oleh BUDIMAN A.R.

Penyanyi, pelakon dan pencipta lagu telah membuat rayuan kepada pihak berwajib Malaysia supaya mengurangkan tempoh pengharaman ke atasnya. 

Nasir telah diharamkan dari mengambil bahagian dalam pertunjukan-pertunjukan pentas di Malaysia selama dua tahun, selepas beliau didapati tidak mempunyai perrnit kerajaan ketika menyertai satu pertunjukan di Johor Bahru. 

Rayuan yang dikemukakan oleh Nasir itu, bagaimanapun, sehingga kini belum mendapat keputusan.

 Beliau mengharapkan agar rayuan itu dapat diterima oleh pihak yang berkenaan. kerana "seni adalah sumber mata pencarian saya". 

"Buat masa ini, kalau ada pihak penganjur atau produser filem yang mahukan khidmat saya, mereka terpaksa menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pengharaman itu, seperti mendapatkan permit khas, kata Nasir. 

Sementara itu, Nasir juga belum memutuskan sama ada hendak meninggalkan atau tidak syarikat piring hitam PolyGram apabila tempoh kontraknya berakhir dalam beberapa bulan lagi. 

Nasir menafikan khabar-khabar angin yang mengatakan kononnya beliau telah membuat keputusan untuk meninggalkan PolyGram. 

Nasir menegaskan bahawa PolyGram merupakan syarikat pertama memberinya peluang sebagai pencipta lagu dan penerbit album.

Semasa dengan syarikat itulah. katanya, beliau menimba dan meluaskan pengalaman. "Walaupun kontrak saya dengan PolyGram akan tamat tidak lama lagi, saya belum membuat sebarang keputusan. 

Banyak perkara yang harus saya fikirkan secara terperinci dan mendalam," katanya. 

Ramai dari kalangan dunia piring hitam merasakan bahawa Nasir tidak akan kerugian kalau beliau memutuskan untuk meninggalkan PolyGram. 

Menurut mereka, banyak syarikat piring hitam yang sedla mempelawanya untuk menjadi penerbit atau pencipta lagu sepenuh masa.