ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label Konsert Jelajah - M.Nasir...Kembara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Konsert Jelajah - M.Nasir...Kembara. Papar semua catatan

Rabu, November 11, 2015

Pesta kembara M. Nasir

petikan Kosmo Online 11 November 2015
Oleh ARINA AZLAN
Foto Aizzul A.Majid


Tenaga dan aura M. Nasir tidak hilang momentum sepanjang lebih dua jam durasi konsert.

Hujung minggu lalu, hampir 10,000 peminat telah datang membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor untuk menyaksikan persembahan penutup tirai jelajah konsert M. Nasir...Kembara yang sudah bermula sejak Mei lalu.

Meskipun hujan renyai turun di Shah Alam sejam sebelum konsert bermula, ternyata cuaca begitu tidak mematahkan semangat ribuan peminat tegar Datuk M. Nasir yang setia menunggu sejak pukul 7 malam, hujung minggu lalu.

Pentas konsert dibuka oleh kumpulan pemuzik Pita Hati yang dijemput untuk bersama-sama berkongsi pentas dengan sifu muzik, sekali gus ayah kepada tiga daripada lima anggota band itu di hentian terakhir jelajah M. Nasir...Kembara.

Dalam kalangan peminat muzik indie, Pita Hati sememangnya punya pengaruh, namun keterujaan penonton pada malam berkenaan adalah M. Nasir.

Selain Pita Hati, seorang lagi penyanyi yang sedang menempa, Fynn Jamal muncul menggamatkan suasana stadium dengan lagu single terbaharunya, Suatu Pernah.

Sejak jelajah konsert berkenaan dimulakan di Pahang, Johor dan Pulau Pinang, Fynn merupakan artis undangan tetap yang muncul di setiap persembahan. Pada malam tersebut, Fynn turut melahirkan penghargaan buat M. Nasir kerana sudi menjemput dan memberi kepercayaan buatnya untuk terlibat dalam jelajah berkenaan.

“Terima kasih kepada sifu kerana memberi saya ruang untuk menumpang di pentasnya dan percayakan nilai seni saya,” laung Fynn di atas pentas sebelum mengakhiri persembahannya.

Pada malam itu, Fynn turut membawakan empat buah lagu termasuk Arjuna Beta, Terbang Tunduk dan Tahu.

Sifu kekal hebat

Saat yang dinanti-nanti peminat akhirnya tiba apabila M. Nasir naik ke pentas sambil melakukan gimik membuat sebuah lukisan pada sehelai kain rentang hitam yang dipasang khas di kiri dan kanan pentas.

Dengan diiringi alunan muzik dikir barat yang diketuai pelawak Sabri Yunus, M. Nasir yang ringkas berjaket hijau dan bercelana jeans hitam kelihatan bersahaja sambil tersenyum ke arah penonton.

Sebaik sahaja alunan dikir barat terhenti, pentas terus digegarkan dengan muzik lagu Rajawali. Sebaik sahaja M. Nasir membuka mulut menyanyikan bait-bait permulaan lagu berkenaan, dewan mula bergemuruh dengan tepukan peminat yang sudah terbakar teruja hanyut dalam irama konsert.


Seramai hampir 10,000 penonton membanjiri konsert M. Nasir...Kembara di Stadium Malawati pada Sabtu lalu.

Sukar untuk menepis kenyataan bahawa M. Nasir masih memberikan satu impak hebat. Berada di konsert berkenaan tidak ubah seperti berdiri dalam sebuah temasya muda-mudi, biarpun dikemudikan seorang lelaki yang sudah melewati usia 50-an.

Penonton bukan setakat terhibur, malah turut menyumbang kemeriahan konsert apabila bersama-sama menyanyikan setipa lirik lagu yang dipersembahan tanpa perlu diminta.

Tenaga dan stamina yang dipamerkan M. Nasir juga mengagumkan apabila beliau langsung tidak berhenti rehat sepanjang dua jam setengah berdendang dan menari mengikut rentak lagu di atas pentas. Sesekali beliau mengelap peluh yang membasahi wajahnya.

Tidak keterlaluan untuk menamakan Raikan Cinta sebagai kemuncak konsert berkenaan. Saat lagu tersebut berkumandang, penonton di tempat duduk aras atas berpusu-pusu turun ke arah paling bawah untuk menari bersama-sama.

Mereka berkumpul di hadapan pentas sambil melambai-lambai tangan dan mengikut rentak gerakan M. Nasir. Tidak ketinggalan tangan-tangan yang bersungguh-sungguh menghala telefon pintar ke arah pentas untuk merakam persembahan penyanyi kesayangan mereka itu.

Rata-rata peminat terdiri daripada generasi yang agak berusia, ironinya mereka juga seperti M. Nasir yang kekal bersemangat daripada lagu pertama sehingga judul terakhir dipersembahkan.

Pada usia 58 tahun dan kekal bertenaga mendendangkan 23 buah lagu, ternyata kehebatan M. Nasir tiada tolok bandingnya. Beliau masih berbisa walau sudah 40 tahun merajai muzik tempatan.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan termasuklah Mustika, Juwita, Keronchong Untuk Ana, Mentera Semerah Padi, Ada, Bonda, Hati Emas, Kepadamu Kekasih, Hijab Kekasih dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Sesuai dengan gelaran sifu iaitu guru, M. Nasir membuktikan bakat seni andai dijaga dan dikekalkan kualitinya, pasti tidak akan lenyap ditelan zaman.

'Taring' 4 dekad M Nasir

petikan Harian Metro 11 November 2015
wahiduzzaman@hmetro.com.my

Berseronok lebih tiga jam di Konsert M Nasir... Kembara pada malam Sabtu lalu di Stadium Malawati, Shah Alam satu kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

AKSI bertenaga dalam konsert jelajah terakhir rangsang penonton berdiri, menari dan menyanyi bersama.

Itulah pesona M Nasir yang sentiasa ligat beraksi di atas pentas. Bahkan menerusi beberapa persembahan berskala besar beberapa tahun kebelakangan ini Konsert Sang Pencinta pada 2013 dan Konsert Hati Emas Kembara tahun lalu, pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamad ini tidak mengecewakan.

Dan, buat kesekian kali­nya figura berjiwa besar ini sekali lagi menunjukkan taring pada konsert yang meraikan empat dekad kembara seninya.

Tampil bertenaga mengalunkan 20 lagu, M Nasir menawan kira-kira 10,000 penonton.

Tepat jam 8.30 malam, kumpulan Pita Hati dan Fynn Jamal membuka tirai persembahan dengan lagu popular mereka.

Bekas vokalis kumpulan Kembara ini muncul setengah jam kemudian dan memberi laluan kepada pengarah dan pelawak terkenal Sabri Yunus menghiburkan hati penonton manakala dia pula pula khusyuk melukis karya abstrak di dua keping kanvas di kiri kanan pentas.

Usai mempamerkan bakatnya itu, M Nasir memulakan persembahan dengan lagu Rajawali Terbang Tinggi, Apokalips dan Bukalah Hatimu.

Keterujaannya terpancar menerusi aksi lincahnya dengan iringan tujuh pemuzik dan penyanyi latar.

Dia kemudian mengikat perhatian penonton menerusi himpunan lagu popular berentak rancak dan perlahan iaitu Mustika, Phoenix Bangkit Dari Abu, Andalusia, Juwita (Citra Terindah) dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Daya tarikan bintang ternama ini bukan hanya pada vokal uniknya, tetapi ramai terpesona dengan gerak tubuhnya yang bebas bergerak mengikut alunan muzik.

Apabila mendendangkan lagu balada seperti Keroncong Untuk Ana, Bonda, Malam dan Kepadamu Kekasih, lenggok dan kelantangannya suaranya tetap mengasyikkan. Malah, peminat turut sama menyanyi apabila dia menyampaikan lagu Keroncong Untuk Ana.

Aksi bertenaganya tatkala menyanyikan lagu Raikan Cinta, Hati Emas, Gerhana dan Ada turut merangsang penonton berdiri, menari dan menyanyi bersamanya.

Kemuncak persembahan adalah apabila penghibur kesayangan ramai ini mendendangkan lagu Keramat, Mentera Semerah Padi dan Sentuhan Listrikmu yang mendapat sorakan gemuruh penonton.

M Nasir sempat bergurau kononnya persembahan sudah berakhir dan disambut dengan jeritan penonton memintanya terus menyanyi. Dia kemudian memanggil semua pemuzik dan penyanyi latar ke tengah pentas untuk persembahan penutup yang disampaikan secara akustik. Menerusi lagu Langgam Pak Dogo yang dipetik daripada album Phoenix Bangkit (2001) itu maka bernoktahlah siri jelajah Konsert M Nasir... Kembara.

Sebelum ini M Nasir menjayakan siri jelajah konsert sama di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang pada 24 Mei lalu, Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun), Dewan Milenium Kepala Batas, Pulau Pinang (5 September).

Seniman tak lapuk dek hujan

petikan Utusan Malaysia 11 November 2015
Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin


DISEBALIK serius, dia suka bergurau dan sesekali begitu sinikal.

Konsert yang membalut rasa nan manis ke dunia peminat

DETIK 8.30 malam, saya masih di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. Konsert bermula pukul 8.45 malam, demikian undangan kepada media dibuat. Apa lagi, pecutan kereta sekitar 180 kilometer satu jam, 9.05 malam sudah di Stadium Melawati, Shah Alam.

Sepantas itu? Ya, kenapa tidak? Setelah lebih lima tahun tidak bersua muka dalam acara konsert ‘berkongsi rasa jiwa’ milik dia, tak tahu kenapa, konsert ini membangkitkan keinginan cukup luar biasa untuk hadir.

Menapak di jalanan selepas parkir, Fynn Jamal menunggu kemunculan kami, berdendang-dendang. Sederhana nuansa ruang stadium apabila Fynn beralun dengan melodi sejujurnya, sungguh dia mampu menerobos ke jiwa sekalian yang berada di depan mata. Meskipun suara Fynn biasa-biasa sahaja, sesekali ‘terbabas’, pun dia menghantar bahasa dari jiwa membuatkan kita boleh saja menerima.

Dan, detik sekitar 9.45, lelaki itu muncul. Tidak dengan terus menggapai mikrofon, dia memilih untuk beraksi sebagai pendekar di kanvas hitam, di kanan dan kiri pentas. Hasil curahan idea tiba-tiba itu, telah menancap molekul molekul seni tersendiri, yang begitu mahal harganya.
Shah Alam menjadi lokasi keempat konsert M.Nasir selepas Kuantan, Pahang, Pasir Gudang, Johor dan Kepala Batas, Pulau Pinang.

Dipenuhi hampir 10,000 peminat, kehadiran pelawak dan pengarah, Sabri Yunus untuk mendendangkan puisi, intro yang begitu molek sekali.

Menarik untuk saya tulis, Konsert M. Nasir... Kembara ini, lebih 70 peratus daripada penghuninya adalah anak muda. Peliknya, mereka hadam lagu dan khatam banyak album seniman ini mesti ada antaranya telah diterbitkan pada 70 dan 80-an. Inilah kelebihan sebenar seorang seniman, dia menakluk waktu meski di luar zaman. Dia adalah Datuk Dr. M.Nasir yang seluruh Malaysia dan Singapura tabik hormat.

2015 barangkali bukan lagi zaman M.Nasir, tetapi karyanya kekal pada tampuk kuasa. Satu dalam berjuta, bahasa jiwanya kekal berbekas sehingga ke beberapa lapisan anak-anak zaman. Karyanya tidak mati, sebaliknya hidup subur merentasi zaman-berzaman dan itu yang diterjemahkan dalam perjalanan kembara selama hampir tiga jam itu.

Sekali gus jadi bukti, anak muda kita bukan hanya penggila rap merapu, ganas yang diadun menjadi lagu. Anak anak muda hari ini punya jiwa molek, malah sentiasa menyokong usaha berdakap dengan manusia dan kemanusiaan, hidup dan kehidupan. Cuma barangkali, selepas N. Nasir, siapa lagi? Tanya yang perlu ada jawabnya.

Malam itu, dia membawa Rajawali terbang tinggi, membuka tirai dengan mesej kemanusiaan sarat berselirat diikuti Apokalips, maka di sini melantunlah suara penuh nikmat, daripada sang pemuja di bawah pentas. Sifu terus menari dengan lenggok dan bahasa minda yang tampak begitu ‘merdeka’, kemudian membawa Mustika kepada kami.

Lagu berusia juga hampir 30 tahun itu, kedengarannya sangat ‘mesra’ dan ‘selesa’ meskipun pada bibir anak-anak sekecil sepuluh tahun yang kebetulan ada di belakang penulis. Anak kecil berkenaan bersama rombongan keluarganya kelihatan cukup menikmati Mustika yang berdendang.

Arggg... ketika Keroncong Untuk Ana yang pernah didedikasi seseorang, zaman cinta monyet zaman sekolah (kononnya), bulu roma saya meremang-remang. Tetiba teringat akan seribu kisah sebagai anak sekolah. Meskipun tiada sedikit pun konsonan yang menjurus kepada makna ‘Ana’ dalam panjang nama saya, entah kenapa lagu berkenaan dipilih untuk berbicara tentang cinta.
tidak hairanlah Keroncong Untuk Ana begitu membekas dan menjadi bias kenangan.

Sejujurnya, 22 tahun dalam bidang kewartawanan, seni dan hiburan, lagu penyanyi yang paling banyak saya hafal, melekat di jiwa dan minda ialah datang daripada dia.

Maka, seorang ibu tiga anak, meninggalkan seketika dunia keibuannya kerana ke konsert? Usah dihairankan sangatlah. Kalau hayati lirik Apokalips ada celah yang mengatakan: “Ada masanya aku suka apa yang aku suka.”

Terimakasih sifu!

Konsert jujur

MENYAKSIKAN konsert ini selama tiga jam juga, apa yang saya dapat nyatakan adalah aura yang dimiliki lelaki ini bagaikan tidak pernah terusik dek zaman.

Siapa sangka, pelakon filem Selubung berumur 58 tahun ini juga seperti tidak dimamah usia, masih tegap dan kacak. Saya yakin tiada siapa yang dapat menyangkal energi yang dimilikinya di atas pentas tempoh hari.

Memanaskan konsert pada malam itu dengan hampir dendangan 20 lagu terbaik miliknya, saya pasti M.Nasir cukup teliti dalam memahami apa yang dimahukan setiap peminat yang hadir. Mustika, Phoenix Bangkit, Andalusia, Keroncong Untuk Ana, Bonda, Juwita, Tanya Sama Itu Hud-Hud merupakan antara rangkaian lagu terbaik yang didendangkan penyanyi ini pada malam itu.

Sesuai dengan gelaran ‘sifu’ yang dimiliki, kelebihan M.Nasir tidak sekadar menyanyi, ada masanya dia cukup menceriakan suasana dengan lawak bersahaja. Mungkin yakin dengan kehebatan sistem bunyi di konsert itu juga, M.Nasir sempat berlaku jujur dengan memberitahu ada bahagian lagu yang dia tidak mampu nyanyikan kerana terlupa lirik. Nampak seperti tidak patut berlaku di sebuah konsert besar seperti itu, namun sebagai penonton pada malam itu, jika M.Nasir sendiri tidak berlaku jujur, pasti penulis sendiri sebenarnya tidak akan sedar.

Itu antara rentetan kisah yang berlaku di sepanjang konsert M.Nasir... Kembara ini. Jika masih ada yang mahu mencari jawapan untuk soalan di atas sebelum ini, penulis minta hentikan sahaja. Bagi penulis seni tidak seharusnya dibandingkan melalui kehebatan, tetapi kepuasan masing-masing. Sementara itu konsert anjuran Luncai Emas ini ditaja First Postpaid oleh Celcom dengan kerjasama Perodua.

Isnin, November 09, 2015

M Nasir pukau 10,000 penonton

petikan Sinar Harian 9 November 2015
NORHIDAYYU ZAINAL, FOTO: AFIQ RAZALI

SELEPAS tujuh bulan ‘mengembara’, penyanyi dan komposer, Datuk M Nasir berjaya menamatkan siri jelajah Konsert M Nasir... Kembara di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 7 November lalu.

Berjanji untuk tampil dengan kelainan, ternyata seniman unggul itu benar-benar menepati janjinya lantas berjaya memukau 10,000 peminat yang hadir.

Sememangnya tiada elemen kejutan, namun M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad tetap memberikan persembahan yang lebih mantap dan bertenaga.

Mana tidaknya, bagaikan mendapat satu ‘tenaga’ baharu, M Nasir mampu ‘merangsang’ peminatnya untuk berdiri, menari dan menyanyi bersama-samanya sekali gus ‘melupakan’ seketika usia sebenarnya yang sudah pun menginjak 58 tahun.

Tirai konsert dibuka menerusi persembahan menakjubkan daripada kumpulan Pita Hati dan Fynn Jamal sekali gus membantu menghangatkan lagi suasana, tepat jam 9 malam.

Kesempatan itu ternyata tidak disia-siakan oleh Fynn apabila mempersembahkan lagu-lagu popularnya iaitu Arjuna Beta, Terbang Tunduk, Tahu, Sepertinya dan single terbarunya, Suatu Pernah.

Tidak mahu peminat menunggu lama, M Nasir muncul dengan gimik mewarnakan dua kanvas kosong di kanan dan kiri pentas, setengah jam kemudian.

Menariknya, gimik itu dibuat khas demi peminatnya sebagai mengekspresikan bakat melukisnya di atas pentas sekali gus mewarnai suasana konsert dengan cara yang cukup unik.

Masakan tidak, selain mencipta nama sebagai penyanyi dan komposer tersohor, M Nasir juga adalah seorang pelukis yang hebat.

Tidak keseorangan, gimik itu turut diiringi pengarah dan pelawak, Sabri Yunus selain pertunjukan pencak silat yang dibawakan oleh dua anak muda.

Ia kemudian disusuli dengan tiga lagu, Rajawali Terbang Tinggi, Apokalips dan Bukalah Hatimu tanpa henti dengan iringan tujuh pemuzik dan tiga penyanyi latar.

Pada masa sama, M Nasir turut mengambil kesempatan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan padu peminatnya sepanjang 40 tahun kariernya dalam industri seni.

“Selamat datang semua. Terima kasih kerana sudi hadir.

“Tahniah pada anda sekalian, sukar macam mana sekalipun, pokoknya anda sudi datang.

“Terima kasih sekali lagi,” katanya.

Vokalis kumpulan Kembara itu terus mengikat tumpuan peminat dengan rangkaian lagu popularnya antaranya Mustika, Phoenix Bangkit Dari Abu, Andalusia, Hijab Kekasih, Bonda, Juwita, Kepadamu Kekasih, Sahabat Gua dan Malam.

Tidak sekadar menyanyi, ternyata M Nasir juga pandai menarik perhatian peminatnya dengan gayanya yang tersendiri.

Pada masa sama, M Nasir juga bijak berinteraksi dengan peminatnya bahkan gaya spontannya ketika berceloteh turut mengundang tawa selain benar-benar menikmati perjalanan konsert itu.

‘Kegilaan’ M Nasir!


Suasana konsert menjadi semakin hangat ketika M Nasir menyampaikan koleksi lagu ‘berbisanya’ seperti Raikan Cinta, Hati Emas dan Gerhana.

Malah, sesuai dengan genrenya yang agak rancak, ‘kegilaan’ penghibur itu dengan aksi lincah turut mengheret peminatnya untuk bersama-sama berdiri, menari dan menyanyi di bawah pentas.

Bahkan, di satu sudut di bawah pentas terdapat sekumpulan anak muda ghairah menari tarian zapin ketika penghibur berbakat besar itu mengalunkan seleksi lagu popularnya.

Bukan itu saja, persembahannya ketika mengalunkan lagu Keroncong Untuk Ana turut mengundang penonton untuk menyanyi serentak.

M Nasir yang turut sama teruja sekali lagi mengajak peminatnya untuk menyanyi dan menari bersama-samanya menerusi lagu berhantunya, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan Ada.

“Inilah peluang terakhir anda untuk berjoget,” selorohnya.

Stadium kembali gamat apabila lagu Mentera Semerah Padi berkumandang dan menjadi antara kemuncak terbaik konsert pada malam itu.

Malah, ia turut mendapat sorakan gemuruh daripada peminatnya.

Sebagai memenuhi permintaan peminatnya yang bersorak agar meneruskan lagi konsert tersebut, M Nasir kemudiannya menyanyikan lagu Sentuhan Listrikmu.

Selepas terbuai seketika dengan alunan vokalnya yang mantap, M Nasir sekali lagi terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya sebagai tanda penamat konsert terbabit.

“Saya terpaksa mengucapkan selamat malam.

“Semoga kita dapat berjumpa lagi pada masa yang menyeronokkan, intim dan mendatangkan hasil di kemudian hari,” katanya sambil tertawa.

Dan sebagai hadiah istimewa buat semua peminat setianya, M Nasir mengakhiri persembahan dengan lagu Langgam Pak Dogo yang dipetik daripada album Phoenix Bangkit, sekali gus menoktahkan siri jelajah konsert berkenaan.

“Saya mencuba untuk menyanyi sebuah lagu.

“Tapi, saya tak berapa hafal lagu ini. Ia adalah hadiah istimewa daripada saya untuk anda supaya anda tak marah saya apabila pulang nanti.

“Terima kasih dan selamat malam,” akhirinya.

Secara keseluruhannya, konsert selama tiga jam itu memperlihatkan keupayaan M Nasir menyampaikan 20 lagu popularnya sepanjang empat dekad penglibatannya dalam industri muzik tanah air.

Lebih membanggakan, dapat dilihat ‘aura sifu’ yang ada di dalam diri M Nasir sekali gus menjadi satu penanda aras bagi semua generasi dan mungkin tidak keterlaluan jika menganggapnya sebagai ‘hero’ muzik yang hebat.

Bahkan, peminat yang hadir juga teruja menghayati nyanyian dan falsafah yang diselitkan dalam setiap karya penyanyi dan komposer popular ini.

Sebelum ini, M Nasir telah menjelajah ke tiga lokasi di luar Kuala Lumpur bagi menjayakan konsert solonya itu.

Tiga lokasi itu ialah Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, Pahang pada 24 Mei, Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun) dan Dewan Milenium Kepala Batas, Pulau Pinang (5 September).

Terdahulu, Stadium Malawati sudah dibanjiri dengan peminat setianya yang terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur seraya ingin menjadi sebahagian daripada sejarah 40 tahun M Nasir.

Lebih menarik lagi, sebelum konsert bermula, M Nasir menerusi syarikat miliknya, Luncai Emas mencari bakat baharu dalam bidang nyanyian menerusi program Let’s Nyanyi.

Sesi uji bakat program itu berlangsung di Stadium Malawati bermula seawal jam 11 pagi dan dibuka kepada semua peringkat umur.

Melengkapkan lagi portfolionya, M Nasir yang terkenal dengan watak Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang sudah pun melangsungkan dua konsert di Istana Budaya iaitu Konsert Sang Pencinta pada 2013 dan Konsert Hati Emas Kembara,  tahun lalu.

Ahad, November 08, 2015

Konsert Kembara M Nasir labuh tirai di Shah Alam

petikan Berita Harian 8 November 2015
Oleh Farhana Ab Rahman
farhana@bh.com.my

M Nasir mempersembahkan kira-kira 20 lagu popularnya pada konsert berdurasi lebih tiga jam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir menutup tirai siri jelajah Konsert M Nasir ...Kembara dengan persembahan bertenaga di hadapan 10,000 penonton di Stadium Malawati, di sini, semalam.

M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, 58, mempersembahkan kira-kira 20 lagu popularnya pada konsert berdurasi lebih tiga jam itu.

Biarpun sudah berkecimpung dalam persada seni tempatan selama empat dekad, ternyata M Nasir masih mampu memukau penonton yang hadir.

Persembahan penyanyi yang mendapat gelaran sifu dalam kalangan penyanyi tempatan itu dimulakan dengan dendangan puisi oleh pelawak dan pengarah, Sabri Yunus.

M Nasir tampil di pentas mewarnakan kanvas berwarna hitam bagi menzahirkan emosinya. Karyawan kelahiran Singapura itu menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti Mustika, Phoenix Bangkit, Andalusia, Keroncong Untuk Ana, Bonda, Juwita, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan banyak lagi.

Dia turut mempelawa peminat untuk turut sama berdansa mengikut irama lagu yang dipersembahkannya.

Penonton yang berada di bahagian atas stadium berpusu-pusu ke hadapan pentas untuk berjoget bersama-sama penyanyi lagenda itu.

FYNN Jamal membuka tirai sebagai artis pembukaan bagi konsert M Nasir. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Lagu Mentera Semerah Padi menjadi klimaks konsert apabila peminat rata-rata berdiri dan berjoget mengikut lenggok M Nasir.

Kehangatan konsert diteruskan dengan dendangan lagu Sentuhan Listrikmu yang mendapat tepukan gemuruh dari semua yang hadir.M Nasir menyampaikan lagu Langgam Pak Dogo atas permintaan peminat menginginkan beliau terus membuat persembahan. Kumpulan Pita Hati dan Fynn Jamal membuka tirai sebagai artis pembukaan bagi konsert M Nasir itu.

Stadium Malawati adalah lokasi terakhir bagi Konsert M Nasir... Kembara setelah menjelajah ke tiga buah negeri iaitu Pahang, Johor dan Pulau Pinang

. Antara penonton yang hadir pada Konsert M Nasir ...Kembara di Stadium Melawati, Shah Alam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sketsa pembukaan oleh Sabri Yunus pada konsert M Nasir. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Aura Luar Biasa Sifu Di Konsert Kemuncak M Nasir Kembara

petikan mstar , 8 November 2015
Oleh: KEMALIA OTHMAN
kamelia@thestar.com.my


M.Nasir. Foto NAZGHOUL MEPORTAL

SHAH ALAM: Penyanyi Datuk M.Nasir ternyata mempunyai aura tersendiri apabila berjaya memberikan persembahan mantap dan bertenaga konsert kemuncak jelajah M.Nasir Kembara yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini, malam Sabtu.

M.Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, yang berusia 58 tahun itu juga mampu menyanyi, menari tanpa rehat dan minum air sepanjang 2 jam setengah persembahan di hadapan 10,000 penonton.


M.Nasir menunjukkan skil melukis pada konsertnya. Foto NAZGHOUL MEPORTAL

Konsert jelajah M Nasir Kembara bermula pada Mei lalu di Kuantan, Pahang, Pasir Gudang, Johor dan Kepala Batas, Pulau Pinang turut mendapat sambutan hangat.

Konsert dibuka kira-kira pukul 9 malam dengan persembahan nyanyian artis undangan Fynn Jamal dengan empat buah lagu popularnya iaitu Suatu Pernah, Sepertinya, Tahu, Terbang Tunduk dan Arjuna Beta.

M.Nasir yang muncul dengan lagu pertama berjudul Rajawali Terbang Tinggi kemudian menyanyikan 20 buah lagu popular sepanjang 40 tahun penglibatanya dalam industri muzik tanah air.

Selain itu, pemilihan lagu menarik dan diiringi pemuzik hebat menjadi faktor persembahan M Nasir malam itu akan terus diingati oleh peminat-peminat tegarnya.

Fynn Jamal, sebagai penyanyi jemputan Konsert M.Nasir. Foto NAZGHOUL MEPORTAL

Antara lagu yang dinyanyikan Apokalips, Tanya Sama Itu Hud Hud, Juwita, Bonda, Mustika, Hijab Kekasih, Raikan Cinta dan Phoenix Bangkit Dari Abu.

Beliau turut menyanyikan lagu-lagunya ketika bersama kumpulan Kembara iaitu Hati Emas, Kepadamu Kekasih, Gerhana dan Keroncong Untuk Ana.

Peminat yang pada awalnya duduk di kerusi masing-masing mula berkumpul di hadapan pentas bagi memberi semangat dan melihat persembahan M Nasir dengan lebih dekat.

M Nasir kemudian menutup persembahan kira-kira pukul 12 malam dengan lagu popularnya Ada dan Semerah Padi.

Isnin, November 02, 2015

Kembara seni M Nasir

petikan Sinar Harian 2 November 2015
Aqmar Mustaza


KEMBARA figura ini telah bermula bukan sedekad yang lalu, tetapi telah pun menjangkau ke usia empat dekad lamanya.

Sepanjang tempoh itu jugalah, dia sudah arif dengan segala sepak terajang dan onak ranjau di dalam industri seni.

Tidak hanya mempunyai suara emas, figura ini juga mempunyai sentuhan istimewa dalam pembikinan lirik dan lagu.

Maka tidak keterlaluan untuk melabelkan Datuk M Nasir sebagai satu ikon seni di dalam industri seni muzik khususnya.

Biarpun aliran muzik kian berubah, namun namanya belum pernah pudar bahkan pengaruh muzik yang dibawa masih relevan sehingga ke hari ini.

Jika diimbas kembali perjalanan kariernya, pelbagai pencapaian telah diraih malah, pengembaraannya juga belum menemui titik noktahnya.

Justeru bagi melengkapkan lagi portfolio sebagai penghibur, pelatun yang terkenal dengan lagu Mantera Semerah Padi ini bakal melengkapkan konsert solo ‘M. Nasir...kembara’ di lokasi terakhir iaitu di Shah Alam pada 7 November ini.

Sebelum ini, M Nasir telah menjayakan konsert dia tiga lagi lokasi terpilih iaitu di Kuantan, Pahang, Pasir Gudang, Johor, dan Seberang Jaya, Pulau Pinang 24 Mei lalu.

Menurut M Nasir, biarpun Shah Alam merupakan lokasi terakhir untuk konsert ini, namun persiapan dan latihan tetap giat dijalankan.

Katanya, dia juga turut membuat latihan untuk beberapa lagu baharu, yang turut di campur dengan beberapa lagu lama untuk dipersembahkan pada malam konsert yang dijangka akan mengambil masa selama dua jam itu.

"Secara keseluruhannya saya jangka akan membawa 20 buah lagu, antaranya seperti Rajawali, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Apokalips, Gerhana, Kepadamu Kekasih, Mustika, Mantera Semerah Padi, Keroncong Untuk Ana.

"Selain itu ada juga beberapa lagu baharu yang akan diselang-selikan. Tetapi bukan single yang baharu dikeluarkan, tetapi lagu yang agak baru yang pernah saya keluarkan.

"Bagaimanapun jumlah 20 buah lagu itu juga bergantung kepada keadaan kerana kalau ikutkan saya ada dua jam untuk buat persembahan," katanya kepada Zass ketika ditemui di Holiday Inn Glenmarie, yang menjadi penaja penginapan untuk M Nasir
semasa konsert itu kelak.

Di tanya kejutan pada konsert terakhir itu kelak, M Nasir berkata, sebagai penghibur, dia tidak meletakkan kejutan sebagai satu tarikan untuk konsert itu nanti. Bagaimanapun katanya, ada beberapa elemen pada konsert berkenaan nanti menjadi tarikan kepada penonton.

"Apa yang pasti, saya memang teruja dan tidak sabar untuk bertemu peminat di Kuala Lumpur dan saya percaya, akan ada peminat dari luar Kuala Lumpur yang turut hadir kelak," katanya yang turut mengundang Fynn Jamal selaku penyanyi undangan.

Buah tangan baharu

Tidak meletakkan Kuala Lumpur sebagai lokasi terakhir kembaranya, pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamad ini turut merancang untuk mengadakan konsert jelajah di beberapa pekan kecil suatu hari nanti.

Apatah lagi kongsinya, dia kini dalam proses menyiapkan album terbaharu dan akan dilancarkan sekitar tahun hadapan.

"Tentu sekali kita tidak mahu konsert ini berakhir setakat ini sahaja. Tapi saya fikir dengan adanya album baharu, tentu lebih seronok untuk kita ke menjelajah ke tempat lain pula.

"Apa yang pasti untuk album baharu ini, muziknya lebih kontemporari dan biarpun selepas 10 atau bila-bila sahaja, muziknya masih sesuai untuk didengari tanpa mengira peringkat umur.

"Untuk album baharu ini, saya bekerja keras dalam menghasilkan muzik yang terbaik, manakala untuk lirik lagu, saya turut bekerjasama dengan komposer lain.

"Kita tunggu hasilnya apabila ia dikeluarkan kelak," ujarnya.

Di tebak dengan peredaran semasa industri muzik kini, ujar penyanyi berusia 58 tahun ini, unsur dan kata-kata negatif mengenai industri tidak memberi halangan buatnya mengeluarkan album baharu.

"Memang kalau ikutkan ada sahaja momokan mengenai industri kini, tapi kalau semua nak takut, apa yang akan jadi kepada industri?

"Apa yang penting, kita tahu cara dan jalannya serta kepercayaan dalam menghasilkan sesuatu," katanya yang menyimpan hasrat untuk berduet dengan muka baharu seperti Faizal Tahir, Hazama dan Hafiz Suip.

Diusik mengenai penglibatannya dalam dunia lakonan pula, M Nasir berkata, dia tidak pernah sekali pun meninggalkan bidang lakonan. Namun sekiranya ditawarkan dengan skrip yang menarik, dia bersedia untuk kembali beraksi.

"Untuk yang tidak tahu, saya ada terlibat dengan pembikinan filem Abang Long Rajawali, ia diarahkan oleh Mamat Khalid. Tapi saya tak tahu bila filem itu keluar.

"Sebenarnya kalau ada tawaran dan skrip tersebut menarik, saya tidak kisah untuk menerima," katanya yang kali terakhir muncul dalam filem Magika sebagai penunggu Tasik Chini.

Jumaat, Oktober 23, 2015

Penutup konsert kembara M. Nasir

petikan Kosmo 23 Oktober 2015
Oleh HARYATI KARIM

PENYANYI Datuk M. Nasir yakin konsert jelajah penutupnya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada pukul 8.30 malam, 7 November nanti akan menerima sokongan daripada peminat. Beliau bersikap optimis meskipun Konsert M.Nasir...kembara itu bersaing dengan empat buah konsert besar pada bulan yang sama.

Paling ketara, beliau berkongsi tarikh konsert penyanyi kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza dengan Konsert Satu Suara Volume 2 pada 7 dan 8 November ini. Sementara itu, tiga buah konsert besar akan berlangsung serentak pada 31 November ini iaitu Wings 30 Tahun, Hujan 10 Tahun dan Konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta yang membabitkan ramai penyanyi terkenal seperti Anuar Zain, Akim & The Magistret, Raihan, Opick dan Humood Al Khudeer.

"Berdasarkan kejayaan di tiga buah negeri iaitu Pahang, Johor dan Pulau Pinang, saya yakin peminat setia tetap akan turun padang menyaksikan konsert M. Nasir. Saya sendiri tidak tahu mengapa secara tiba-tiba banyak konsert besar dianjurkan pada waktu yang cukup dekat. Namun, saya lihat ia senario yang sihat untuk industri muzik tempatan," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Konsert M. Nasir...kembara di Talent Lounge, Damansara, Selangor baru-baru ini.

Sungguhpun begitu, penyanyi yang juga seorang komposer terkenal itu tidak menafikan wujud persaingan merebut penonton antara konsert tersebut. Namun, pihaknya cuba membuat persiapan sebaik mungkin untuk menarik perhatian peminat ke konsertnya.

"Persaingan itu memang ada, tetapi peminat tegar saya tetap akan hadir walaupun terdapat banyak konsert dalam waktu yang sama. Ada peminat yang datang ke setiap konsert. Kesungguhan mereka membuatkan saya terharu dengan sokongan yang diberikan. Apa pun saya akan cuba yang terbaik," jelasnya.

Bercakap tentang konsert jelajah terakhirnya di Stadium Malawati yang diserikan dengan persembahan pembukaan daripada penyanyi Fynn Jamal, terdapat sedikit perubahan lagu dalam persembahannya.

Terangnya, disebabkan terdapat peminat yang sama dalam setiap konsert, perubahan perlu dilakukan untuk menyuntik elemen segar. Katanya, andai single terbaharunya telah dipilih, beliau akan memberi persembahan istimewa dengan menyanyikan lagu terbaharu.

"Memang akan ada perubahan, tetapi tidak besar antaranya, senarai lagu akan diubah. Sekarang, saya dalam proses pembikinan album terbaharu. Jika telah mendapat keputusan lagu mana yang akan diangkat sebagai single pertama, saya akan menyanyikan lagu tersebut khas buat peminat di Stadium Malawati. Mereka akan menjadi orang pertama yang akan mendengar lagu terbaharu saya," ujarnya.

Dalam pada itu, M.Nasir turut mengesahkan kumpulan Kembara tidak akan menyertai konsert jelajah terakhirnya disebabkan jadual mereka yang padat.

"Kumpulan Kembara tidak akan mengiringi persembahan saya di Stadium Malawati. Memang pada sidang akhbar sebelum ini, saya mempunyai perancangan untuk mengundang mereka, tetapi tiada rezeki kerana semuanya sibuk dengan kerja," beritahunya.

Selain daripada konsert, pada tarikh yang sama turut diadakan karnival di pekarangan luar stadium. Selain pelbagai gerai jualan yang dibuka bermula pukul 10 pagi, tarikan utama karnival tersebut adalah program Lets Nyanyi yang merupakan pencarian bakat baharu untuk menjadi artis rakaman Luncai Emas.

Bagi yang tidak berkesempatan hadir di konsert sebelum ini, mereka masih boleh menghantar video rakaman nyanyian sendiri menerusi laman sosial Instagram dengan menggunakan hashtag #LETSNYANYI dan #ESCAPEbyCelcom. Tarikh tutup penyertaan video adalah pada 15 November 2015.

Pemenang bakal diumumkan pada Disember depan dan berpeluang untuk menjadi artis rakaman Luncai Emas yang akan menerbitkan single dan muzik video mereka.

"Saya mencari seorang penyanyi yang bukan sahaja mempunyai bakat nyanyian, tetapi juga hadir dengan pakej lengkap. Selain suara, penampilan amat penting. Jadi, nasihat saya, datang uji bakat dengan penuh persediaan. Saya tidak kisah genre lagu yang dipilih kerana tidak mencari pengganti M.Nasir, sebaliknya bakat baharu yang boleh diketengahkan," tutur M.Nasir

Khamis, Oktober 15, 2015

M Nasir akhiri konsert jelajah di Stadium Malawati

petikan Berita Harian 15 Oktober 2015

Oleh Farhana Ab Rahman
 farhana@bh.com.my
M Nasir bakal mengakhiri konsert jelajah di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 November ini. - Foto Rohanis Shukri


KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Datuk M Nasir bakal mengakhiri konsert jelajah di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 November ini.

Bandaraya Anggerik itu adalah lokasi terakhir program berkenaan selepas dia selesai menghiburkan peminatnya di Kuantan, Pasir Gudang dan Pulau Pinang.

Konsert Jelajah M Nasir sememangnya dinantikan oleh peminat muzik tempatan kerana beliau bukan saja menyanyi dan mencipta lagu malah turut mempunyai kelebihan dalam menghiburkan peminat dengan auranya tersendiri.

Persembahannya yang bakal menyanyikan lagu-lagu hit di zaman kegemilangan Kumpulan Kembara, akan diiringi pemuzik dan penyanyi latar profesional. Konsert selama dua jam itu adalah pelengkap siri jelajah Konsert M Nasir...Kembara yang dibawakan oleh Celcom dengan kerjasama Perodua dan syarikat miliknya,

Luncai Emas Sdn Bhd. Celcom menawarkan diskaun sebanyak 30% kepada pelanggan yang akan dimaklumkan menerusi pesanan ringkas selain tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain itu, Celcom turut menawarkan 'Nada Dering Pemanggil CMT' dari lagu-lagu Luncai Emas dengan melayari www.thecube.my atau m.thecube.my dari telefon mudah alih, atau dengan mendail *888# dari telefon mudah alih dan pilih lagu.

Rabu, Oktober 14, 2015

Komposer Senior Gagal Ikut Trend Muzik - M. Nasir

Petikan Mstar 14 Oktober 2015 5:45 AMOleh: FERIDE HIKMET ATAK
feride@thestar.com.my

M. Nasir (tiga dari kiri) bersama mereka yang terlibat dalam konsert Kembaranya. FOTO: BRIAN MOH

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk M.Nasir berkata komposer senior tempatan gagal mengikut trend muzik terkini menyebabkan mereka menghadapi persaingan sengit dengan komposer muda.

M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, 58, bagaimanapun menyifatkan perkara itu adalah normal yang dihadapi oleh komposer muzik di mana-mana negara.

"Perkara ini berlaku di mana-mana negara apabila komposer senior terpaksa mengejar trend semasa agar lagu diterima. Diakui tidak semua lagu yang dihasilkan memikat pendengar.

"Kita perlu ikut pasaran muda. Macam saya, lagu yang saya hasilkan sentiasa ke depan. Sampaikan orang muda pula tak terkejar.

"Jadi nak hasilkan lagu ni, kita perlu seimbang, daripada segi idea dan trend," katanya kepada mStar Online.

M. Nasir ditemui pada sidang media konsert M. Nasir Kembara yang diadakan di Talent Lounge, Menara Mustapha Kamal, di sini pada Selasa.

Bekas vokalis kumpulan Kembara yang popular sekitar tahun 1980-an itu berkata, selepas melihat kejayaan siri konsert jelajahnya di Kuantan, Pasir Gudang dan Pulau Pinang sebelum ini, beliau yakin lokasi terakhir di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor mampu menarik lebih ramai peminat.

Ia bakal berlangsung pada 7 November depan pukul 8.30 malam.

"Macam biasa, saya akan bagi persembahan yang lebih baik berbanding konsert-konsert  sebelum ini.

"Saya mengharapkan ia berjaya bukan saja dari sudut sambutan peminat tetapi juga daripada segi persembahan yang akan saya bawakan pada malam konsert,” katanya.

Persembahan pembukaan konsert itu akan diserikan dengan penyanyi Fynn Jamal.

Nama konsert Kembara ini dipilih bukan atas faktor M. Nasir sebagai anggota kumpulan Kembara sebelum ini tetapi kerana perjalanan seni beliau sepanjang berada dalam industri dan kekal sehingga sekarang.

Bagi yang ingin menempah tiket, boleh layari wwww.ticket2u.biz atau hubungi  talian 03-41478600.

Tiket-tiket dijual pada harga RM50, RM100, RM200 dan RM350.
berkerjasama dengan Fynn Jamal dalam konsertnya.

Rabu, September 16, 2015

Aura berbisa M Nasir

petikan Harian Metro 16 September 2015
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

Mantap, menghiburkan dan terbaik. Inilah perkataan sesuai bagi membayangkan kemeriahan Konsert Kembara M Nasir 2015 di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang yang dihadiri hampir 2,000 penonton, baru-baru ini.

Sambutan memberangsangkan di dua lokasi sebelum ini di Kuantan, Pahang dan Pasir Gudang, Johor membuktikan aura Datuk M Nasir, 58, masih lagi berbisa.

Pemilihan lagu menarik dan diiringi pemuzik hebat menjadikan persembahan M Nasir pada malam itu akan terus diingati terutama selepas dia lama tidak mengadakan persembahan di Pulau Pinang.

M Nasir berkata, kejayaan sesuatu persembahan adalah hasil gandingan mantap di antara penyanyi, pemuzik dan peminat.

“Kepuasan peminat adalah keutamaan kami. Terima kasih atas kehadiran semua dan inilah hadiah buat anda,” katanya.

M Nasir juga kini sibuk dengan penerbitan lagu untuk Ella dan albumnya sendiri tidak lama lagi.

“Saya mempertaruhkan lapan lagu. Ia masih lagi mengekalkan konsep moden kontemporari, nusantara dan kemelayuan,” katanya yang turut bersyukur kerana terus dihargai peminat selepas lebih 40 tahun terbabit dalam bidang seni.

Dalam konsert itu M Nasir membawakan lagu popularnya seperti Apokalips, Mustika, Rajawali Terbang Tinggi, Tanya Sama Itu Hud Hud, Raikan Cinta, Hijab Kekasih, Phoenix Bangkit Dari Abu, Juwita, Bonda dan banyak lagi.

Beliau turut membawakan lagu-lagunya ketika bersama kumpulan Kembara seperti Hati Emas, Kepadamu Kekasih, Keroncong Untuk Ana dan Gerhana.

Konsert jelajah ini akan berakhir di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 November ini.

Dalam pada itu, konsert berkenaan turut menampilkan Fynn Jamal dalam persembahan pembuka.

Fynn yang diiringi band diketuai pemuzik AG Coco membawakan lagu-lagunya seperti Suatu Pernah, Tahu, Sepertinya, Arjuna Beta dan Terbang Tunduk.

Fynn ketika ditemui berkata, dia amat bertuah kerana impiannya untuk berkongsi pentas dengan M Nasir menjadi kenyataan.

Selain Pulau Pinang, Fynn turut tampil dalam konsert di Pasir Gudang dan Kuantan, sebelum ini.

“Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan berdebar, namun dalam masa sama bangga kerana dapat menghiburkan peminat di sini. Pastinya ia satu kenangan yang tidak mungkin akan dilupakan begitu saja terutama dapat berkongsi pentas dengan M Nasir,” katanya.

Sabtu, Ogos 29, 2015

M Nasir teruskan kembara

petikan Harian Metro 29 Ogos 2015
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Sambutan menggalak­kan di Kuantan dan Pasir Gudang, Johor membuatkan penyanyi, komposer, penulis lirik dan pelakon tersohor Datuk M Nasir teruja untuk meneruskan seri jelajah Konsert Kembara

M Nasir 2015 di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, Sabtu minggu depan.

M Nasir, 58, ketika ditemui berkata, dia mengharapkan konsert anjuran Luncai Emas Sdn Bhd ini dapat menjadi kenangan bukan saja dalam kalangan peminat di Pulau Pinang, tetapi Perak, Kedah dan Perlis.

Menurutnya, kejayaan di dua lokasi sebelum ini menjadi pendorong dan semangat buat dirinya untuk memberikan persembahan mantap dan istimewa.
“Saya ingin mengajak semua peminat hadir memeriahkan konsert istimewa ini. Ini pertama kali saya mengadakan konsert di Kepala Batas,”katanya.

M Nasir bakal membawakan lagu popularnya daripada album solo termasuk ketika bersama Kembara seperti Mustika, Phoenix Bangkit Dari Abu, Andalusia, Hati Emas, Bila Rumi Menari, Kerocong Untuk Ana, Gerhana, Duit, Bonda, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Sang Pencinta dan banyak lagi.
Selain M Nasir, konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan daripada Fynn Jamal yang akan membawakan lagu popularnya seperti Arjuna Beta dan Terbang Tunduk.

Bagi Fynn, peluang berkongsi pentas dengan legenda muzik terkenal itu adalah satu penghormatan buatnya yang memang meminati karya M Nasir sejak bangku sekolah.
“Pastinya ini akan menjadi kenangan istimewa buat saya dan menjanjikan persembahan istimewa nanti,” katanya.

Sempena konsert berkenaan, karnival mini turut diadakan di pekarangan dewan pada Jumaat dan Sabtu depan bermula jam 10 pagi hingga 11 malam. Antaranya pencarian bakat nyanyian dan per­sembahan busker.

Tiket konsert berharga RM50 dan boleh dibeli dengan melayari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600 dan 019-2111600.

Ahad, Jun 21, 2015

Sentuhan Listrik Sahabat Gua!

Oleh Saudagar Mimpi dengan kerjasama Portdy yang melaporkan dari celah celah kerusi tiket marhean...
gambar : sumber FB Ronggeng Sahabat

REVIEW :
KONSERT JELAJAH M NASIR ..... KEMBARA
Sabtu : 13 JUN 2015
Stadium Tertutup Pasir Gudang
Johor


Review paling pendek yang tertunda.....

Majlis Meet & Greet Datuk M Nasir

Ok.... Sebelum cerita pasal konsert, kita cerita dulu mengenai Majlis Meet & Greet yang julung kali telah dianjurkan Luncai Emas bersama Fan FB Ronggeng Sahabat. Seminggu sebelum konsert iaitu pada 6 Jun 2015 (Sabtu) telah diadakan majlis Meet & Greet Datuk M Nasir di Kembara Cafe, Angsana Johor Bahru. Majlis ini telah diusahakan oleh Facebook Ronggeng Sahabat M.Nasir bersama Luncai Emas. Menurut salah seorang fans yang mula mendengar Kembara sejak umur 6 tahun & mengikuti karya M Nasir sejak dari album SOLO, blogger Portdy Marlon Sly  seramai lebih kurang 50 peminat M Nasir dari dalam dan luar Johor Bahru telah hadir. Gathering telah bermula seawal 4 petang di Kembara Cafe dengan jamuan hi-tea pelbagai juadah. Selepas Asar diadakan pula show busking dari beberapa talent termasuk dari Manager Kembara Cafe sendiri.

Datuk M Nasir serta pengiringnya telah tiba ke Kembara Cafe jam 6 petang selepas mengadakan promo di ruang legar Angsana. Selesai  jamuan,  MC telah jemput ahli Ronggeng Sahabat bergambar bersama DMN. Ini diikuti majlis menanda autograf untuk ahli Ronggeng yang hadir.


Majlis diakhiri dengan persembahan bersahaja DMN yang mendendangkan 3 buah lagu untuk Fans Ronggeng Sahabat.  Lagu yang didendangkan secara akustik oleh DMN pada petang itu adalah  Ada, Cermin Mimpi & Tanya Sama Hud Hud.


Syabas dan tahniah kepada Admin Ronggeng Sahabat yang telah menjayakan sebuah majlis yang bermakna buat fans Ronggeng Sahabat.



Hari Konsert

13 JUN 2015 (Sabtu)
Stadium Tertutup Pasir Gudang
Johor
8.00 - 12.00 tengah malam.

Sebelum ini rasanya sudah terdengar ramai yang berpendapat M.Nasir sepatutnya beraksi pula di tempat lebih besar, lebih lapang dan lebih terbuka supaya  setiap lapisan masyarakat dan generasi dapat menikmati karyanya dengan cara masing masing. Terpulang jika pada masa itu ada peminatnya mahu berdiri, menari, menari ronggeng dan bertepuk tampar, atau ada pula sebilangan kecil yang mahu memilih untuk duduk untuk menikmati irama dan lagu lontarannya. Seperti bait lirik lagu Apokalips." Ada masanya kita suka ......"
Sudah tentu tiada pancaran laser pada penonton yang mengeluarkan handphone, rasanya inilah konsert yang wajib peminat sifu pergi.  Sempena 40 tahun penglibatan beliau dalam muzik, impian itu dilaksanakan menerusi konsert jelajah  M Nasir .... Kembara .

Berbeza dengan konsert solo M Nasir sebelum ini yang tidak menampilkan "Opening Act", konsert jelajah kali ini tampil bebeza. Pita Hati, Spider dan Fynn Jamal mengisi slot pembukaan selama lebih kurang satu jam setengah. Terus terang SM malam itu datang untuk tengok M Nasir di pentas jer..., jadi semasa Opening Act sempat jugalah aku berjalan ke hulur ke hilir keluar masuk stadium. Tidak ketinggalan juga penampilan Zoul-Kembara mengisi ruang permainan gitar elektrik di atas pentas pada malam itu.  

Lebih kurang jam 9.50 malam Datuk M Nasir muncul di atas pentas. Sebagaimana jiwa seorang pelukis, gimik contengan cat merah biru pada kiri dan kanan pentas memulakan persembahan diiringi tiupan seruling Mohar. Meminjam kata rakan SM, Portdy kelmarin, konsert  ini adalah "The Best of...M Nasir" Peminat boleh meneliti setlist lagu yang dibawa oleh M Nasir dalam konsert di Pasir Gudang ini dan  menilainya sendiri. Semua lagu hits dari album solonya didendangkan. Tiada lagu dari album terakhir Sang Pencinta dinyanyikan pada malam itu. Sudah tentu lagu wajib seperti Hati Emas dan Mentera Semerah Padi tidak ketinggalan dalam set-list.

Lagu  yang tidak dijangka seperti lagu "Bonda" umpama lagu bonus buat peminat yang SM berpendapat sudah lama tidak dinyanyikan.  Datuk M Nasir seperti biasa memberi persembahan yang terbaik dan bertenaga pada setiap lagu diiringi penonton yang ada menyanyi bersama dalam beberapa lagu. Tidak ketinggalan ada juga gelagat suara-suara nakal yang meminta Datuk M Nasir menyanyikan lagu Hari Raya!

Dari segi corak permainan  sudah tentu ianya persembahan yang mantap kerana dibarisi oleh pemuzik handalan yang biasa mengiringi M Nasir dalam Konsert-konsertnya di Istana Budaya sebelum ini seperti Aznan (Gitar), Ujang (Drum), Mohar (Seruling), Paang (Perkusi) dan ramai lagi.

Pujian patut diberi kepada produksi yang rajin dan memberi usaha yang  secocok dengan tempat seperti di Stadium Tertutup Pasir Gudang ini. Walaupun begitu sudah tentu terdapat sedikit kelemahan disana sini tapi masih ada ruang yang boleh diperbaiki pada masa akan datang. Contohnya layar video yang tidak memberi fokus kepada pemain gitar Zoul atau Nan yang menyolo!

Berikut adalah setlist lagu yang telah dipersembahkan dalam konsert M Nasir ...Kembara di Pasir Gudang

Setlist.

1.  Rajawali Terbang Tinggi
2.  Apokalips
3.  Bonda
4.  Mustika
5.  Buka Hatimu
6.  Tanya Sama Hud hud
7.  Sentuhan Listrikmu
8.  Sahabat Gua
9.  Raikan Cinta
10. Bunga Bakawali - penampilan Zoul Kembara
11. Gerhana - penampilan Zoul Kembara
12. Hati Emas - penampilan Zoul Kembara
13  Mentera Semerah Padi
14. Kepadamu Kekasih
15. Ada
16. Keroncong Untuk Ana



Konsert jelajah M.Nasir...Kembara ini dijadualkan akan singgah di Pulau Pinang pada 5 September 2015 dan berakhir di Stadium  Malawati, Shah Alam pada 7 November 2015.

* Tambahan : Sesiapa yang berminat untuk membaca review yang lebih intensif, sila ke blog Portdy.

Rabu, Jun 17, 2015

Sifu kekal berbisa

petikan Utusan Malaysia 17 Jun 2015
OLEH MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI

M. NASIR masih bertenaga dan mampu memukau penonton sewaktu persembahan pada Konsert Jelajah M Nasir di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasri Gudang (MPPG), baru-baru ini.

Gelaran sifu yang diberi kepada individu berusia 57 tahun ini memang selayaknya kerana pada usia itu, dia masih mampu memberikan persembahan penuh berkualiti lebih daripada dua jam.

Bukan sahaja melalui aspek nyanyian, tetapi persembahan tarian, penguasaan pentas, interaksi dengan penonton serta gaya tersendiri membuatkan dia terus kekal mengungguli industri nyanyian tempatan sehingga kini.

Datuk M.Nasir yang pertama kali mengadakan konsert jelajah sepanjang karier solonya menerusi Konsert M.Nasir...Kembara memang tidak perlu dipertikai lagi kebolehan dan bakat seni yang dimiliki.

Konsert kedua daripada empat lokasi bertempat di Stadium Tertutup Pasir Gudang pada 13 Jun lalu menjadi saksi kehebatan penyanyi yang popular dengan lagu-lagu malar segar yang melonjakkan namanya.

Sebelum berpeluang menyaksikan kehebatan ‘sifu’, penonton yang hadir dihidang dengan aksi pembukaan bertenaga daripada artis undangan seperti kumpulan Pita Hati, Spider serta seorang artis wanita meningkat naik, Fynn Jamal.

Semangat dan mood penonton dinaikkan dengan persembahan lagu-lagu seperti Sahabat, Laukku Cukup Masin, Aladin, Terbang Tunduk dan Arjuna Beta terlebih dahulu.

Kemunculan ‘sifu’ ke atas pentas disambut dengan sorakan peminat yang hadir daripada seluruh negeri Johor, tidak kurang dari Negeri Sembilan, Melaka juga negara seberang, Singapura.
Sesuai dengan jiwa seni yang menebal dalam diri, M.Nasir memulakan persembahan dengan melukis menggunakan cat di dua kanvas lukisan bersaiz besar sambil diiringi muzik pembukaan.
Tidak menunggu lama, persembahan dimulakan dengan lagu Rajawali, Apokalips, Bonda, Mustika, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan Sentuhan Listrikmu.

Menariknya, setiap lagu yang didendangkan diselitkan dengan persembahan tarian yang pelbagai rentak dan gaya yang menarik, mencuit hati sekaligus membangkitkan keinginan penonton untuk menari sama.

Peralihan rentak muzik dan suasana yang berbeza-beza tidak langsung mencacatkan suasana dan pengalaman menyaksikan secara langsung aksi vokalis kumpulan Kembara itu.

Energi yang dimiliki penyanyi ini sememangnya setaraf atau mungkin lebih daripada penyanyi muda separuh usianya kerana walaupun beraksi tanpa rehat, dia tetap mampu memberi persembahan penuh kualiti.

Penonton terus disajikan dengan lagu-lagu popular seperti Sahabat Gua, Hati Emas, Mentera Semerah Padi, Kepadamu Kekasih, Ada dan Keroncong Untuk Ana.

Ternyata, konsert jelajah solo itu memartabatkan lagi kedudukan serta pencapaian penyanyi tersebut dan pastinya, penonton akan dapat menikmati pengalaman indah yang amat berharga.

Konsert ketiga dan keempat dalam siri jelajah Konsert M.Nasir...Kembara selepas ini akan singgah di Pulau Pinang dan Shah Alam pada 5 September dan 7 November tahun ini.

Ahad, Mei 31, 2015

Siapa kata saya eksklusif ? - M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 31 Mei 2015
AMIRAH AMALY SYAFAAT


MENGHASILKAN karya yang sentiasa diingati adalah formula M. Nasir untuk menjadikan namanya terus kekal bertahan dalam industri hiburan tempatan.

Malah lelaki berusia 57 tahun yang digelar sifu ini sentiasa memastikan perjalanan seninya itu penuh warna-warni agar peminat terus bersama-samanya.

“Peminat pada hari ini juga sudah semakin pandai memilih. Perlu ada faktor yang hebat supaya peminat terus ‘melekat’ dengan penyanyi itu.

“Lagi satu, perlu ada pendedahan. Kalau tidak, jangka hayat mereka tidak lama. Silap hari bulan penyanyi itu akan dilupakan begitu sahaja,” katanya yang sudah berdiri teguh selama empat dekad dalam industri hiburan.

Pun begitu, dalam terus mempertahankan kredibilitinya sebagai penyanyi hebat, M. Nasir mengakui dia juga berdepan dengan cabaran sepanjang perjalanannya mengharungi dunia seni.

Malah sebagai seorang penyanyi yang sudah berada pada kedudukan yang tinggi, dia tidak pernah meletakkan dirinya dalam kelompok eksklusif.

Lebih selesa menjadi dirinya sendiri dan tidak terikat dengan perkara yang boleh membataskan dirinya, kata M. Nasir:
“Saya buat apa yang saya suka. Saya juga menjaga apa yang saya buat. Tiada istilah eksklusif. Lagipun siapa kata M. Nasir eksklusif?

“Dalam soal berkarya, semua orang ada bahagian masing-masing. Begitu juga dengan saya. Cuma harapannya adalah setiap yang saya buat itu diterima dengan baik.”

Kesal

Dalam pada itu, mengulas mengenai Konsert M Nasir... Kembara di Kuantan, Pahang yang dikatakan kurang mendapat sambutan memberangsangkan, M. Nasir ada penjelasan tersendiri.

Kata M. Nasir, dia menganggap perkara itu sebagai satu risiko yang perlu dihadapi terutama selepas terpaksa menunda sehari lewat dari tarikh persembahan konsert yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 23 Mei.

Pertukaran tarikh pada saat-saat akhir itu dibuat selepas membayangkan pasukan bola sepak Pahang dijangka mara ke perlawanan akhir Piala FA pada 23 Mei lalu.

“Saya sedikit kesal dengan perkara yang berlaku tapi itu risiko yang perlu dihadapi jika persembahan dibuat pada masa yang salah.

“Saya terlepas pandang tentang perkara itu sehingga menyebabkan jualan tiket kurang memberangsangkan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, M. Nasir memberitahu, dia juga sedia maklum dengan sikap kebanyakan masyarakat hari ini yang gemar membeli tiket pada saat-saat akhir.

Begitu juga dengan situasi segelintir pihak yang perlu sentiasa diingatkan tentang hari persembahan walaupun sudah diuar-uarkan dalam tempoh yang lama.

Berkongsi cerita tentang pemerhatiannya sewaktu Konsert M Nasir... Kembara di Kuantan, menurut penyanyi itu, dia teruja apabila melihat rata-rata penonton yang hadir terdiri daripada golongan muda.
“Saya nampak beberapa kelompok pengunjung yang terdiri daripada golongan muda berseronok sepanjang konsert dijalankan.

“Kehadiran mereka sudah cukup untuk mengubati kekecewaan saya itu,” katanya sambil mengakui semakin bersemangat untuk terus menghasilkan karya-karya baharu dan segar mengikut peredaran masa.

Rabu, Mei 27, 2015

Simbahan cat gimik sifu

petikan Harian Metro 27 Mei 2015
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my

Kanvas putih di kiri dan kanan pentas seolah-olah menjadi saksi perjalanan seni Datuk M Nasir menerusi konsert solonya M Nasir... Kembara di Stadium Tertutup Kompleks Sukan (Sukpa) Pahang, Kuantan, Ahad lalu.

Seniman yang sinonim dengan gelaran sifu dalam industri muzik tanah air itu melakar karya seni dengan simbahan cat menerusi medium berkenaan sebagai gimik pada konsert berkenaan.
Karya itu sekali gus mencerminkan kembara empat dekad perjuangan artis prolifik itu sebagai penyanyi, penulis lirik, komposer, penerbit album, pelakon dan pelukis masih unggul dalam kelasnya tersendiri.

Ternyata pada usia mencecah 58 tahun, M Nasir masih memiliki aura tersendiri apabila penonton amat teruja menyanyikan lagu-lagu popularnya sehingga ada kalanya menenggelamkan vokal penyanyi itu.

M Nasir yang mengenakan kemeja-T biru tua berlengan panjang dan seluar merah hati memulakan persembahan dengan lagu Rawajali Terbang Tinggi diikuti Apokalips.

Walaupun konsert itu bermula agak lewat iaitu jam 10.15 malam, peminat tetap memberi sorakan padu dan bekerjasama setiap kali M Nasir meminta menyanyi bersamanya.

Sebanyak 14 lagu dendangannya tidak menghampakan peminat langsung, malah liriknya sentiasa diingati membuatkan penyanyi kelahiran Singapura itu benar-benar terharu dan merakamkan ucapan terima kasih berkali-kali kepada hadirin.

“Terima kasih kepada anda semua yang berada di sini malam ini (Ahad) walaupun esok adalah hari bekerja. Terima kasih kerana masih menjadi peminat saya dan menyanyi bersama saya,” katanya.
Lagu lain yang didendangkan ialah Mustika, Bonda, Tanya Sama Itu Hud Hud, Raikan Cinta, Hati Emas, Gerhana, Mentera Semerah Padi, Ada, dan Bunga Bakawali yang didendangkan bersama anggota Kembara, Zoul yang juga adiknya.

Persembahan M Nasir semakin panas apabila peminat mula memenuhi ruangan di bahagian hadapan pentas ketika lagu Tanya Sama Itu Hud Hud.

“Kita gegarkan dewan ini kerana saya tahu anda semua datang dari jauh untuk menyaksikan persembahan ini dan saya gembira dapat menghiburkan anda semua,” katanya.

M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad kekal bertenaga dengan pergerakannya di atas pentas dan ternyata ia adalah aksi yang sentiasa ditunggu peminat.

“Ya, saya tahu sebahagian peminat saya di sini berusia 40 tahun dan tahu lagu nyanyian saya tetapi saya lebih terharu apabila ramai remaja menghafal lirik lagu yang saya sampaikan malam ini,” katanya.

Hampir 3,000 peminat hadir menyaksikan konsert itu yang turut menampilkan artis undangan iaitu kumpulan Spider dan Fynn Jamal serta penyair tempatan, Marsli No yang mendeklamasikan sajak berjudul Kembara disulami persembahan silat.


Persembahan diiringi pemain gitar, Nan, Mohar (seruling), Ujang (drum), Kelly (bass), Firdaus dan Eddie Slam (keyboard), Pa’Ang (percussion) dan penyanyi latar Izat, Eja dan Awai.
Konsert tajaan Celcom dan PERODUA itu akan meneruskan penjelajahan di tiga lagi lokasi di seluruh negara iaitu Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor pada 13 Jun ini, Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan berakhir di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, pada 7 November.

Terdahulu pada petang sebelum konsert, peminat berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan penyanyi itu selama hampir satu jam di sebuah hotel di Kuantan.


“Saya rasa bersyukur, teruja dan tak sabar buat persembahan pada konsert ini. Memang sudah lama saya tak buat konsert jelajah secara solo begini dan kali terakhir ialah Konsert Andalusia 15 tahun lalu.

“Saya bersama syarikat saya Luncai Emas Sdn Bhd sudah merancang konsert ini sejak dua tahun lalu dan hanya dapat merealisasikannya malam ini dan semoga peminat dapat menerima persembahan saya,” katanya.

Ahad, Mei 17, 2015

M. Nasir kembara lagi

petikan Utusan Malaysia 17 Mei 2015
SYED MUSSADDAD SYED MAHDI

KUALA LUMPUR 7 MEI 2015 - Sidang akbar konsert M. Nasir Kembara
Sidang akbar konsert M. Nasir Kembara di Talent Lounge , Menara Mustapha Kamal Damansara

GETAR hatinya berdegup kencang tatkala memikirkan tentang perjalanan konsertnya nanti. Meskipun segala-galanya sudah dirancang dengan baik, namun debarannya tetap dirasai oleh M Nasir menanti detik bersejarah itu.

M. Nasir
Walaupun sudah berpengalaman dalam pelbagai persembahan dan konsert solo berskala besar, M Nasir tidak menafikan yang perasaan teruja tetap dirasai sama seperti kali pertama melakukannya dahulu.

Dia yang bakal mengadakan Konsert M Nasir... Kembara di Johor, Pahang, Selangor dan Pulau Pinang sedikit masa lagi berjanji memberikan persembahan yang terbaik.

Menyifatkan konsert jelajah kali ini sebagai peluang yang tidak harus dilepaskan oleh peminat, sudah pasti M Nasir mengharapkan akan meninggalkan kenangan manis buat mereka.

“Sejujurnya saya bersyukur dan teruja dengan peluang yang diberikan dan tidak sabar menantikan hari konsert. Jika mengikut sejarah, konsert jelajah bukan sesuatu yang baharu buat saya.

“Dulu sekitar tahun 1980-an, saya dan kumpulan Kembara cukup aktif melakukan konsert jelajah di seluruh negara. Kami pernah membuat persembahan pembukaan untuk konsert kumpulan Alleycats dan beberapa konsert yang lain.

“Walaupun pernah mengadakan konsert solo di Istana Budaya sebelum ini, kali ini perasaannya lain memandangkan ia sesuatu yang cukup besar.

“Salah satunya, kepercayaan yang diberikan pihak penaja kepada saya dan jumlah penonton yang datang boleh menjangkau sehingga 10,000 orang. Kalau di Istana Budaya tempatnya agak terhad,” jelas M. Nasir lagi.

Kali terakhir dia mengadakan konsert berskala besar di luar pada tahun 2000 menerusi Konsert Andalusia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan menawan Istana Budaya menerusi dua buah konsert iaitu Konsert Sang Pencinta pada 2013 dan Konsert Hati Emas Kembara pada tahun lalu.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan seni penyanyi dan komposer ini, pastinya tahu seleksi lagu dan album yang pernah dihasilkan oleh M Nasir sama bersama kumpulan Kembara mahupun secara solo.

Tempoh empat dekad di dalam industri muzik tanah air sudah cukup untuk memahatkan nama M Nasir sebagai antara legenda yang senantiasa hadir dengan karya-karya baharu dan segar mengikut peredaran masa.

Menyifatkan setiap konsert mempunyai cabaran tersendiri, penyanyi yang popular dengan lagu Hati Emas ini tidak menafikan setiap siri konsert mempunyai cabaran yang hampir sama bila melibatkan aspek teknikal.

Tidak menganggap pemilihan lagu sebagai hal terbesar, M Nasir lebih risau tentang kehadiran penonton memandangkan ini merupakan konsert berbayar dan kebanyakan mereka sudah terbiasa dengan konsert percuma.

Kenangan
TIDAK mahu terus meninggalkan kumpulan Kembara, M Nasir mendedahkan yang dia tetap akan mengundang kumpulan tersebut dalam salah satu siri jelajah konsertnya nanti.
Pun begitu, dia awal-awal lagi enggan memberitahu di mana lokasi tepat kumpulan Kembara bakal membuat persembahan.

“Saya menjemput kumpulan Kembara kerana perjalanan muzik saya bermula dengan mereka. Banyak lagu yang popular dinyanyikan sewaktu saya bersama kumpulan Kembara. Jadi, apa salahnya saya membawa peminat untuk mengimbas nostalgia bersama mereka,” katanya ringkas.

Selain itu M Nasir juga enggan mendedahkan tentang bentuk persembahannya nanti secara terperinci. Baginya dia akan sedaya upaya memastikan konsert tersebut meninggalkan kenangan manis kepada penonton.

“Sebagai penyanyi sudah pasti saya mengharapkan persembahan itu nanti meninggalkan impak kepada semua. Ini bukan penutup kepada kerjaya seni saya tetapi sebahagian daripada perjalanannya sahaja.
“Masih banyak perkara lain yang boleh diterokai dan saya beranggapan empat lokasi ini sudah cukup ‘cantik’ untuk mencatatkan kenangan manis kepada saya untuk tahun ini,” katanya yang mendapat tajaan daripada syarikat telekomunikasi Celcom kali ini.
Selain itu pihak Luncai Emas juga turut menjalankan pencarian penyanyi baharu menerusi program Lets Nyanyi yang turut diadakan di tapak konsert. Pemenang terpilih akan menjadi anak didik M. Nasir dan berpeluang menjadi penyanyi rakaman dengan Luncai Emas

Konsert M. Nasir...Kembara akan berlangsung di empat buah negeri dan akan bermula di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang pada pukul 8 malam, 24 Mei ini.

Selain itu, konsert turut diadakan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun), Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor (7 November).

Tiket untuk dua buah lokasi iaitu di Kuantan, Pahang dan Pasir Gudang, Johor dijual pada harga berbeza. Tiket di Kuantan dijual pada harga RM65 dan RM125, manakala tiket di Pasir Gudang dijual pada harga RM75 dan RM155.
Harga tiket untuk konsert di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor akan diumumkan kelak.

Selasa, Mei 12, 2015

Konsert "M Nasir.. Kembara" di Kuantan di tunda pada 24 Mei

petikan meportal.net 11 Mei 2015
Oleh Nazghoul

Peminat Datuk M Nasir, khasnya di Kuantan bakal  berpeluang menyaksikan konsert solo penyanyi, penerbit dan komposer popular itu pada 24 Mei ini tidak seperti yang dijadualkan sebelum ini, iaitu pada 23 Mei.

Kembaranya yang bakal bermula  Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, Pahang pada 24 Mei ini seterusnya akan berlabuh Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun), Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 November ini.

Penundaan konsert di Pahang adalah disebabkan untuk memberi peluang serta ruang kepada peminat bolasepak negeri Pahang untuk memberikan sokongan kepada Skuad Tok Gajah yang dijangka bakal beraksi pada peringkat akhir untuk merebut Piala FA.

Peminat yang sudah mendapatkan tiket tidak perlu bimbang kerana anda boleh menggunakan tiket tersebut pada keesokkan harinya. Konsert “M.Nasir..Kembara” di Kuantan bakal menyaksikan persembahan hebat dengan artis undangan seperti Fynn Jamal, Spider dan kumpulan Kembara.

Peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM65.00 dan RM125.00.  Pembelian secara online boleh di buat dengan melayari www.ticket2u.biz.  Sebarang pertanyaan serta informasi terkini boleh menghubungi 03-414786000 atau 03-6156 6700




Jumaat, Mei 08, 2015

Penyanyi M. Nasir Jelajah 4 Negeri Sempena 40 Tahun Jadi Artis

petikan Mstar, 8 Mei 2015 2:01 AM
 Oleh: MUHAMMAD ADNAN (Wartawan Pelatih UiTM)


PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Datuk M. Nasir bakal mengadakan siri konsert jelajah di empat negeri bagi menghargai peminat di luar Kuala Lumpur sempena 40 tahun penglibatannya dalam bidang seni.

M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, 58, berkata, beliau berasa teruja dengan konsert solo itu dan mengharapkan ia dapat meninggalkan kesan kepada penonton.

“Saya amat bersyukur serta teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan konsert jelajah ini yang akan bermula di Kuantan.

“Untuk menarik minat orang ramai datang ke konsert ini adalah satu cabaran tetapi saya mengharapkan ia berjaya bukan saja dari sudut sambutan malah dari segi persembahan yang akan saya berikan,” katanya kepada mStar Online.

M. Nasir ditemui pada sidang media konsert M. Nasir Kembara yang diadakan di Talent Lounge, Menara Mustapha Kamal, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas vokalis kumpulan Kembara sekitar tahun 1980-an berkata, terdapat slot khas akan dibuat dalam konsert tersebut dengan mengundang kumpulan itu semula.

M Nasir sudah 40 tahun bergelar artis.

Katanya, selain kumpulan Kembara, beberapa artis generasi muda turut dijemput untuk membuat persembahan pembukaan.

“Kami akan berbincang dan akan adakan segmen khas buat kumpulan Kembara sebagai artis undangan tetapi hanya di beberapa lokasi tertentu sahaja.

“Bagi persembahan pembukaan, penyanyi generasi muda seperti Spider, Fynn Jamal dan Pita Hati akan turut sama menjayakan konsert ini,” katanya.

Konsert ini dijadualkan berlangsung bermula di Stadium Tertutup Sukan Pahang (Sukpa) pada 23 Mei 2015, Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun), Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan Stadium Malawati Shah Alam, Selangor (7 November).

Nama konsert Kembara ini dipilih bukan atas faktor M Nasir sebagai anggota kumpulan Kembara sebelum ini tetapi kerana perjalanan seni beliau sepanjang berada dalam industri dan kekal sehingga sekarang.

Bagi yang ingin menempah tiket, boleh layari ticket2u.biz atau hubungi  talian 03-41478600.

Belian terus boleh dilakukan di Luncai Emas Sdn. Bhd, Bandar Baru Sg Buloh, Selangor serta di empat lokasi tersebut.

Tiket-tiket dijual pada harga RM65, RM75, RM125 dan RM155 berbeza mengikut lokasi tertentu.

Gambar tambahan dari MalaysiakiniGambar dari FB Luncai Emas



UPDATED! 
KONSERT DI STADIUM TERTUTUP SUKPA KUANTAN DI TUNDA KE 24 MEI 2015.