Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
Sambutan menggalakkan di Kuantan dan Pasir Gudang, Johor membuatkan penyanyi, komposer, penulis lirik dan pelakon tersohor Datuk M Nasir teruja untuk meneruskan seri jelajah Konsert Kembara
M Nasir 2015 di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, Sabtu minggu depan.
M Nasir, 58, ketika ditemui berkata, dia mengharapkan konsert anjuran Luncai Emas Sdn Bhd ini dapat menjadi kenangan bukan saja dalam kalangan peminat di Pulau Pinang, tetapi Perak, Kedah dan Perlis.
Menurutnya, kejayaan di dua lokasi sebelum ini menjadi pendorong dan semangat buat dirinya untuk memberikan persembahan mantap dan istimewa.
“Saya ingin mengajak semua peminat hadir memeriahkan konsert istimewa ini. Ini pertama kali saya mengadakan konsert di Kepala Batas,”katanya.
M Nasir bakal membawakan lagu popularnya daripada album solo termasuk ketika bersama Kembara seperti Mustika, Phoenix Bangkit Dari Abu, Andalusia, Hati Emas, Bila Rumi Menari, Kerocong Untuk Ana, Gerhana, Duit, Bonda, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Sang Pencinta dan banyak lagi.
Selain M Nasir, konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan daripada Fynn Jamal yang akan membawakan lagu popularnya seperti Arjuna Beta dan Terbang Tunduk.
Bagi Fynn, peluang berkongsi pentas dengan legenda muzik terkenal itu adalah satu penghormatan buatnya yang memang meminati karya M Nasir sejak bangku sekolah.
“Pastinya ini akan menjadi kenangan istimewa buat saya dan menjanjikan persembahan istimewa nanti,” katanya.
Sempena konsert berkenaan, karnival mini turut diadakan di pekarangan dewan pada Jumaat dan Sabtu depan bermula jam 10 pagi hingga 11 malam. Antaranya pencarian bakat nyanyian dan persembahan busker.
Tiket konsert berharga RM50 dan boleh dibeli dengan melayari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600 dan 019-2111600.
3 ulasan:
lama aku tak gi Penang. Lama giler...
ada rupa dan wajah yang dikenali di situ hehehehe
Tiap wajah berkisah......
Catat Ulasan