ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label Ramli Nasir Uni Tour. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramli Nasir Uni Tour. Papar semua catatan

Ahad, April 10, 2016

Alunan nostalgia di UM

petikan Harian Metro 10 April 2016
Nor Akmar Samudin

M Nasir dan Ramli bersama Dr Rohana pada sidang media Homecoming Carnival. 
Lebih tiga dekad lalu, lagu yang berlirik puitis, bernada sendu dan merintih sering menjadi pilihan majoriti penuntut pusat pengajian tinggi bagi mengubat kerinduan mereka
terhadap keluarga dan insan tersayang.

Lagu itu kemudian sebati dengan diri. Dan, apabila mendengar kembali lagu itu, pasti memori indah 30 tahun lalu yang tidak mungkin berulang terbayang di ruang mata.

Sehubungan itu bagi mengembalikan nostalgia silam yang amat bererti itu, Datuk Ramli Sarip dan Datuk M Nasir bergabung masuk ke Universiti Malaya (UM) bagi menghiburkan alumni pusat pengajian itu.

Persembahan Ramli Sarip & M Nasir Varsity Tour di Dewan Tunku Canselor di universiti itu pada 23 April ini, jam 8.30 malam diadakan sempena acara Homecoming Carnival Universiti Malaya ke-111.
Tiket berharga RM80 terbuka kepada pelajar UM, alumni dan orang ramai.

Sebelum itu, pada jam 11 pagi hingga 12 tengah hari akan berlangsungnya program Wacana Ilmu di Pang­gung Eksperimen apabila Ramli dan M Nasir selaku panel undangan.

Mengulas mengenai persembahannya, Ramli berkata pusat pengajian tinggi tertua itu terutama Dewan Tunku Canselor meninggalkan kenangan sukar dilupakan kepada graduan dan keluarga yang pernah meraikan kejayaan anak serta saudara mereka.

“Dewan Tunku Canselor adalah lambang kejayaan dan satu bangunan yang sangat ikonik di UM. Dapat berada di dalamnya bersama warga UM adalah satu penghargaan buat saya dan M Nasir.
“Apatah lagi UM berjaya menghasilkan ramai cerdik pandai dan ada antara mereka menjadi pemimpin negara,” katanya.

Menurut Ramli lagi, pada malam itu dia dan M Nasir akan menyanyikan karya yang pernah menjadi siulan peminat mereka waktu itu yang malar segar sehingga kini.

“Jika dulu mereka yang pernah menuntut di UM meminati lagu ini, kini tiba giliran anak cucu mereka yang belajar di sini pula mendengarnya.

“Sesungguhnya memori yang sudah terakam itu dapat dikongsi bersama apabila mereka sekeluarga datang pada malam persembahan ini nanti,” katanya.

Mengenai program Wacana Ilmu pula, jelas Ramli ia lebih kepada perkongsian ilmu dan pengalamannya serta M Nasir dalam bidang seni suara tanah air.

“Program santai ini terbuka kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Homecoming Carnival itu berlangsung pada 18 hing­ga 24 April yang mengete­ngahkan pelbagai pengisian menarik untuk semua warga UM, alumni dan orang ramai. Semua aktiviti akan didakan di Kompleks Perdanasiswa, Dewan Tunku Canselor.

Sebelum ke UM, menerusi program Varsity Tour, Ramli dan M Nasir mengadakan persembahan di UNIKL Melaka dan selepas ini akan ke Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah; Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Tenaga Nasional.

Menceritakan bagaimana bermulanya kerjasama mereka, Ramli berkata dia dan M Nasir sudah biasa berkongsi pentas namun kerjasama erat bermula awal tahun ini apabila menjayakan persembahan di Esplanade, Singapura anjuran syarikat milik Ramli sendiri, Rasa Music Sdn Bhd.

“Selepas melihat sambutan hebat penonton, saya meneruskan kerjasama kami untuk Varsity Tour pula,” katanya pada sidang media Homecoming Carnival di Dewan Tunku Canselor baru-baru ini.
Acara itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof.

Ahad, Februari 28, 2016

Peminat Puas Nyanyi, Joget Bersama

petikan kafebuzz.my 28 Februari 2016
gambar : Kafebuzz & FB SahabatMNasirOfficial


“Siapa yang tak datang rugilah,” kata Sifu, Datuk M Nasir selepas mendendangkan lagu Phoenix Bangkit.

Memang benar apa yang diperkatakan kerana persembahannya bersama Datuk Ramli Sarip pada acara jelajah sulung, Ramli Sarip & M Nasir University Tour 2016 di MITC, Melaka, malam tadi cukup hebat sehingga peminat puas hati menyanyi dan berjoget sama.

Sifu yang terlebih dulu membuka persembahan dengan lagu Suatu Masa dan Raikan, tidak perlu tunggu lama untuk panaskan suasana.

Begitu juga, ketika menyampaikan lagu Mustika, penonton makin teruja berkongsi ‘roh’ lagu itu sehingga bersorak menyanyi bersama.

Tidak kurang, ketika lagu Keroncong Untuk Ana didendangkan, melodi dan liriknya cukup terkesan pada peminat mengimbau nostalgia lebih-lebih lagi petikan gitar Aznan Alias cukup mengusik jiwa peminat.

“Saya berasa sangat bertuah membuat persembahan di sini, di tempat ini.
Pertama kali saya buat persembahan di Melaka pada tahun 1982 dan pada waktu itu saya buka persembahan untuk Alleycats,” sambung Sifu di atas pentas.

Bagaikan nasi lemak wajib ada sambal, begitu juga Sifu mengubat hati peminat dengan lagu Hati Emas disusuli Apokalips.

Memberi laluan kepada Papa Rock selepas itu bersama lagu Rindu Damai dan Sejuta Wajah, peminat terus dibuat nostalgia kegemilangan penyanyi legenda itu.

Kehebatan, keunikkan dan keaslian suara Papa Rock memang cukup memukau peminat apatah lagi ketika menyampaikan lagu wajib, Teratai, ia memberikan kepuasan yang paling maksima.

Bak kata Papa Rock, persembahan mereka kali ini yang dianjurkan Rasamusic bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjadi satu sejarah buatnya dengan M Nasir apatah lagi ditonton Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang turut hadir pada malam tadi.

Tambah istimewa, penutup persembahan duet Papa Rock bersama Sifu menerusi lagu Mentera Semerah Padi dan Kamelia juga membuatkan peminat memberikan tepukan gemuruh ‘standing ovation’ pada kedua penghibur tersohor ini yang tiada tandingan.

Bagi mereka yang terlepas persembahan kali ini, nantikan lokasi seterusnya.

Sabtu, Februari 27, 2016

Kita Banyak Dengar Lagu Cetak Rompak

petikan Kafebuzz 27 February 2016

Peminat tegar perlu terus membeli album asli bukannya cetak rompak.

Itu nasihat penyanyi popular, Datuk Ramli Sarip kepada peminat muzik tempatan agar tidak sokong membeli album cetak rompak mahupun memuat turun lagu kesukaan mereka secara haram di Internet.

Menurut penyanyi digelar Papa Rock ini, masalah cetak rompak yang sekian lama merosak industri muzik tanah air terus berlaku apabila peminat tidak mengambil kisah soal kualiti muzik yang didengar.

“Ada penyanyi yang rasa nak berhenti kerana cetak rompak suatu yang menyakitkan tetapi perjalanan seni itu harus ada pengorbanan,” katanya pada acara Wacana Ramli Sarip & M Nasir University Tour 2016 di MITC, Melaka, hari ini.

Bagi Datuk M Nasir, muzik yang kebanyakkan didengar pada masa kini adalah hasil cetak rompak.

“Secara moral kita merasakan perbuatan itu tidak salah tetapi dia sebenarnya mengambil pendapatan artis meskipun ia menjadi bahan ketawa,” katanya.

Ahad, Februari 21, 2016

Teruja kongsi pengalaman

petikan Utusan Malaysia 21 Februari 2016
 
PERJALANAN yang mereka lalui begitu jauh dan pastinya pengalaman yang sudah ditempuh oleh Ramli Sarip dan M Nasir juga tidak terhitung banyaknya. Tidak pernah mendabik dada dengan apa yang telah dikecapi, kedua-dua leganda muzik tanah air ini bersependapat yang masih banyak perkara yang perlu diterokai.

Meski sudah masak benar dengan ‘politik’ industri muzik yang sentiasa dahagakan kelainan, mereka telah membuktikan yang peminat tetap akan mencari yang asli. Dan keaslian muzik yang telah mereka perjuangkan sejak dahulu membuktikan kedua-dua ikon ini masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

“Perjalanan yang saya lalui bukan sedikit. Kalau nak diikutkan sebaik sahaja memulakan kerjaya dalam bidang ini saya telah menetapkan kehendak apa yang harus dibuat. Pada akhirnya saya tahu perjuangan ini tidak pernah padam dan berada pada landasan yang benar.

“Bidang muzik cukup luas untuk diterokai. Cabaran yang dilalui orang lama seperti saya juga berbeza jika mahu dibandingkan dengan generasi sekarang. Tapi asasnya tetap sama iaitu memerlukan kesabaran untuk menjadi jenama yang kuat bila tiba masanya,” kata Ramli membuka cerita.

Tidak betah duduk diam, Ramli dan M Nasir bakal mengadakan persembahan eksklusif di beberapa buah universiti terpilih menggunakan jenama Ramli & Nasir University Tour 2016.

Bagi Ramli, segala pengalaman, pemerhatian dan peristiwa yang telah berlaku akan dikongsi bersama mahasiswa dan mahasiswi bagi memberikan gambaran sebenar dan menambahkan pengetahuan mereka tentang dunia nyanyian yang tidak pernah diketahui umum.

Tidak sekadar mengadakan persembahan semata-mata di setiap lokasi, kedua-dua mereka juga bakal terlibat dalam siri wacana yang akan diadakan di setiap persinggahan bagi berkongsi pengalaman dan cabaran kepada golongan muda khususnya.

“Saya melihat ini merupakan satu acara yang baik memandangkan kami boleh berkongsi kisah perjuangan, falsafah setiap lagu yang terpilih dan matlamat. Mereka yang hadir juga boleh bertanyakan apa juga soalan bagi memberikan gambaran yang tepat.

“Mereka mungkin dalam kalangan pelajar muzik yang bertuah dapat belajar secara formal. Dengan adanya wacana begini, ia akan memberikan input tambahan kepada peserta yang hadir untuk menempuh dunia sebenar,” tambahnya lagi.

Bagi Ramli, dia tidak pernah lokek untuk berkongsi kisah, falsafah dan juga hala tuju setiap lagu yang menjadi kesukaan peminat Sweet Charity khususnya. Dedah penyanyi yang popular dengan lagu Teratai ini lagi, dia masih ingat setiap kisah menerusi naskhah lagu yang dinyanyikan olehnya. Semuanya mempunyai falsafah dan sebab yang akhirnya menjadi sebuah lagu ‘berhantu’ hingga ke hari ini.

“Sebagai contoh, saya pernah merakamkan lagu Pelarian pada tahun 1980. Lagu tersebut dirakam disebabkan isu pelarian Vietnam yang hangat ketika itu. Tapi lagu itu kekal sehingga hari ini dan isu pelarian tidak pernah berakhir.

“Ini yang cuba kita kongsi bersama dengan mereka nanti di samping isu-isu muzik lain dan sebagainya,” kata Ramli lagi.

Teruja

TIDAK sekadar hebat menyanyi di atas pentas, kehebatan M Nasir dalam menaikkan ramai penyanyi popular tanah air tidak pernah dipertikai. Beberapa lagu ciptaanya juga menjadi masterpiece yang akan kekal bertahan sehingga bila-bila.

Antara karya yang kekal diingati sudah pasti lagu Isabella yang dinyanyikan oleh kumpulan Search dan lirik hasil tulisan Bob Lokman. Lagu tersebut kekal ‘berhantu’ dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana lagu selepas itu.

Mempunyai seribu satu pengalaman yang tidak diketahui umum, M Nasir menganggap platform untuk bertemu dengan mahasiswa di 10 buah universiti tempatan termasuklah sebuah Singapura yang akan ditetapkan sedikit masa lagi.

“Saya mahu berkongsi pengalaman, pemikiran, falsafah dan kehidupan dengan mereka. Bagi saya generasi baharu hari ini lebih mudah dalam segala hal berbanding dengan orang terdahulu.
“Sewaktu zaman saya dahulu cukup sukar untuk masuk televisyen memandangkan siaran tak banyak. Tapi orang zaman sekarang lebih mudah keluar televisyen memandangkan siaran sudah banyak dan ada platform yang mudah. Tapi untuk bertahan lama?” soal M Nasir lagi.

Bagi lelaki ini, pastinya dia telah bersedia untuk berkongsi rahsia, cerita dan juga tips berguna kepada mereka yang hadir nanti untuk menentukan hala tuju dalam bidang muzik khususnya.

Tidak hanya tertumpu kepada bidang nyanyian semata-mata, sudah dia dan Ramli akan berkongsi tentang pengalaman membikin album, tema, lirik, muzik, perjuangan dan budaya yang menjadi tunjang setiap karya.

Bakal ke Universiti Kuala Lumpur (Micet), Kampus Alor Gajah, Malaka pada 27 Februari ini sebagai lokasi pertama, kedua-dua legenda ini juga akan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah; Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur dan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Turut dijelajahi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu; Universiti Teknologi Mara (UiTM), Skudai, Johor; Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Sarawak dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Ahad, Disember 20, 2015

Ramli Sarip & M Nasir Antara falsafah dan persahabatan

petikan Utusan Malaysia 20 Disember 2015
oleh Syed Mussaddad Syed Mahdi

BUKAN singkat usia persahabatan mereka dan dalam tempoh ini masing-masing sudah mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat dan menjadikan persahabatan antara Datuk Ramli Sarip dan Datuk M Nasir begitu utuh.

Tambahan pula masing-masing membesar di Singapura dan pastinya ikatan yang telah terjalin antara mereka bukan sahaja sebagai lelaki dari daerah yang sama sebaliknya lebih daripada itu.

Mengimbas kembali perkenalan mereka, M Nasir tidak menafikan yang dia sememangnya sudah meminati Ramli sejak berusia belasan tahun lagi. Ketika itu Ramli dan kumpulan Sweet Charity sudah menjadi kumpulan terkenal serta popular di negara berkenaan.

Meskipun ketika itu dia masih belum menjalinkan persahabatan utuh dengan lelaki tersebut, setiap gerak geri Ramli diperhatikan apatah lagu muzik rock yang dimainkan oleh lelaki berkenaan begitu dekat dengan jiwanya.

“Waktu itu saya hanya pelajar sahaja dan Ramli sudah mempunyai nama yang besar. Setiap kali dia mengadakan persembahan, saya pasti ada menyaksikan mereka beraksi di beberapa lokasi.

“Menariknya kami hanya tahu antara satu sama lain tetapi tidak rapat. Dia pula banyak mengadakan persembahan di kebanyakan kenduri kahwin dan menjadikan mereka band yang popular ketika itu,” kata M Nasir mengingatkan kembali kenangan itu.

Tambah M Nasir lagi, ketika dia berusia belasan tahun, persembahan Ramli dan kumpulannya bukan sahaja menjadi perhatian sebaliknya dia meletakkan mereka sebagai contoh terbaik di zaman itu.
Persembahan Sweet Charity yang begitu bertenaga, ditambah pula dengan suara yang mantap serta hala tuju muzik rock yang jelas membuatkan M Nasir menjadikan mereka sebagai idola.

“Saya tahu mereka lebih kepada muzik rock tetapi saya pula lebih kepada genre folk dan blues. Sebab itu ada kelainan dalam perjalanan seni kami sehingga ke hari ini,” kata M Nasir lagi.

Sementara itu, pada 1974, Ramli bukan sahaja bermain di kebanyakan majlis perkahwinan tetapi pada masa yang sama turut menjadi penyanyi utama di Dennis Lounge, tempat mereka mencari rezeki.

Ramli mula mengenali dunia muzik dengan lebih mendalam di situ. Selalunya dia gemar membaca bahan bacaan luar negara berkaitan muzik yang banyak dibawa masuk oleh kelasi kapal dan askar luar negara pada waktu itu.

Paling diingati apabila dia sering membayangkan cara penyanyi luar yang menjadi idolanya bernyanyi. Waktu itu segalanya hanya perlu dibayangkan memandangkan tidak mempunyai visual atau video yang boleh dijadikan rujukan.

Bukan saja cara nyanyian yang dibayangkan malah cara memegang mikrofon juga tidak diambil mudah dan perlu kena dengan caranya, kata Ramli.

Tambahnya, meskipun Sweet Charity menjadi kumpulan popular ketika itu, mereka masih belum mampu bergerak jauh dan ‘berputar’ di sekitar Singapura sahaja.
“Waktu itu M Nasir masih orang baharu. Saya mengetahui keberadaan dia memandangkan rumah kami yang tidak terlalu jauh antara satu dengan lain. Dia menetap di Jalan Teck Whye manakala saya pula di Bukit Cantik.
“Tapi ketika itu masih belum rapat memandangkan Sweet Charity memang sibuk ketika itu. Hampir setiap minggu kami terlibat dengan persembahan orang kahwin atau membuat persembahan di Panggung Negara di sana,” kata Ramli mengingat era tersebut.

Ramli berkata, Sweet Charity bukan sahaja dikenali ramai tetapi menjadi kegemaran penduduk di sana. Buktinya, mereka (tuan rumah) akan membayar wang berjumlah S$1,500 (mata wang Singapura) untuk majlis perkahwinan yang dihadiri.

Mereka juga sering diundang ke Panggung Negara bersama-sama beberapa kumpulan lain ketika itu yang mengenakan tiket sebanyak $3.5 sahaja.

“Dahulu kalau ada persembahan memang melibatkan banyak kumpulan. Kalau persembahan kumpulan lain, orang buat tak tahu sahaja tapi bila tiba giliran kami, peminat mula berkumpul memenuhkan panggung,” katanya mengimbas kenangan.

Mengulas mengenai perjalanan seni secara serius pula, M Nasir hanya mula memberikan tumpuan sepenuhnya saat bergabung tenaga dengan A Ali selepas lelaki tersebut keluar daripada kumpulan Sweet Charity.

Kebanyakan peminat tidak mengetahui yang A Ali pernah menjadi mastermid untuk Sweet Charity bermula 1974 hingga 1977 sebelum dia bergabung tenaga dengan M Nasir dan S Shalan menerusi Kembara selepas itu.

Beberapa tahun kemudian, saat Sweet Charity dan Kembara benar-benar serius dalam industri muzik, kedua-dua mereka mula rapat dan persahabatan itu kekal sehingga ke hari ini.

Dengan perjalanan puluhan tahun yang telah mereka lewati, pastinya menyimpan seribu satu rahsia dan cerita yang akan terus dikenang dan menjadi sejarah manis buat Ramli mahupun M Nasir.

“Waktu itu M Nasir masih orang baharu. Saya mengetahui keberadaan dia memandangkan rumah kami yang tidak terlalu jauh antara satu dengan lain. Dia menetap di Jalan Teck Whye manakala saya pula di Bukit Cantik.

“Tapi ketika itu masih belum serapat mana memandangkan Sweet Charity memang sibuk ketika itu. Hampir setiap minggu kami akan terlibat dengan persembahan orang kahwin atau membuat persembahan di Panggung Negara di sana,” kata Ramli mengingat era tersebut.

Tambah Ramli, Sweet Charity bukan sahaja dikenali ramai tetapi menjadi kegemaran penduduk di sana. Buktinya, mereka (tuan rumah) akan membayar wang berjumlah $1,500 (mata wang Singapura) untuk majlis perkahwinan yang dihadiri.

Mereka juga sering diundang ke Panggung Negara bersama-sama beberapa kumpulan lain ketika itu yang mengenakan tiket sebanyak $3.5 sahaja.

“Dahulu kalau ada persembahan memang melibatkan banyak kumpulan. Kalau persembahan kumpulan lain, orang akan buat tak tahu sahaja tapi bila tiba masa kami, peminat akan mula berkumpul memenuhkan panggung tersebut,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perjalanan seni secara serius pula, M Nasir hanya mula memberikan tumpuan sepenuhnya saat bergabung tenaga bersama A Ali selepas lelaki tersebut keluar daripada kumpulan Sweet Charity.

Kebanyakan peminat tidak mengetahui yang A Ali pernah menjadi ‘mastermid’ untuk Sweet Charity bermula 1974 hingga 1977 sebelum dia bergabung tenaga dengan M Nasir dan S Shalan menerusi Kembara selepas itu.

Beberapa tahun kemudian, saat Sweet Charity dan Kembara benar-benar serius dalam industri muzik, kedua-dua mereka mula rapat dan persahabatan yang berdasarkan hati itu kekal sehingga ke hari ini.
Dengan perjalanan puluhan tahun yang telah mereka lewati, pastinya menyimpan seribu satu rahsia dan cerita yang akan terus menjadi sejarah manis buat Ramli mahupun M Nasir.

Kerjasama

Atas dasar persahabatan dan saling kagum-mengagumi antara satu sama lain, Ramli dan M Nasir bakal mengembara ke beberapa buah universiti yang sudah ditetapkan pada tahun depan.
Mengambil nama Ramli Sarip & M Nasir - University Tour sebagai tema utama, pastinya mereka tidak sekadar mengadakan persembahan sebaliknya akan berkongsi falsafah, kisah suka dan duka serta hala tuju dalam bidang muzik kepada pelajar di setiap lokasi terpilih.

Untungnya, kebanyakan pihak universiti pula memberikan lampu hijau untuk mengadakan persembahan dan berkongsi pengalaman agar dapat memberikan sesuatu yang baharu kepada pelajar yang terlibat.

Ujar Ramli, para pelajar tersebut nanti bukan sahaja boleh terlibat sama dalam siri Wacana Seni Muzik yang diadakan pada sebelah siang tetapi mereka juga akan didedahkan dengan falsafah setiap lirik terpilih.

“Ada yang mahu mengetahui mengapa sesebuah lagu itu kekal diminati sampai ke hari ini. Mereka sering bertanyakan apa tujuan utama lirik itu dihasilkan dan apakah erti tersurat dan tersirat.

 “Saya dan M Nasir akan mendedahkan kepada mereka dalam siri wacana itu nanti. Semua album dan lagu ada sejarah, cerita dan wawasan tersendiri. Itu yang akan kita dedahkan kepada mereka,” tegasnya lagi.

Bagi M Nasir pula, pastinya kembara ke universiti kali ini mengimbau kembali kenangan ketika kali pertama kumpulan Kembara dan Sweet Charity mengadakan persembahan pada tahun 1983/1984.

Ketika itu, Kembara yang menjadi band pembuka kepada konsert Sweet Charity bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pastinya akan terus menjadi kenangan manis yang diingati.

“Bila mahu kembali ke universiti pastinya ingatan itu kembali. Yang pasti ada sesuatu yang menarik yang akan kami sampaikan dalam setiap siri jelajah nanti,” kata M Nasir ringkas. Sebanyak tujuh universiti akan dijelajahi terdiri dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL, Alor Gajah, Melaka), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Bagi mereka yang ingin turut serta, kembara ini akan bermula 13 Februari hingga 9 April depan dan tiket-tiket hanya akan mula dijual pada 1 Januari 2016. Hubungi 03-7773 0677 untuk maklumat lanjut.

Khamis, Disember 17, 2015

Ramli Sarip & M. Nasir Dalam Konsert Di Tujuh Universiti

petikan Mstar 17 Disember 2015
Oleh : Mohd Al Qayum Aziziqayumazizi@thestar.com.my


M. Nasir (kiri) dan Ramli Sarip akan menjelajah ke tujuh universiti. FOTO: SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Dua legenda rock iaitu Datuk Ramli Sarip dan Datuk M. Nasir bakal bergabung menjayakan 'Ramli Nasir Uni Tour 2016' di tujuh buah universiti di seluruh Malaysia bermula 13 Febuari hingga 9 April 2016.

M. Nasir berkata, konsert berkenaan bakal memperlihatkan mereka berkongsi pengalaman seni bersama mahasiswa menerusi Wacana Seni Muzik yang diadakan sebelum konsert berlangsung.

"Kita bukan sahaja ingin menghiburkan peminat tetapi ingin berkongsi pengalaman, memberi semangat dan mengajak mahasiswa menjadi kreatif dalam apa juga bidang yang mereka ceburi.

M. Nasir (kiri) dan Ramli Sarip.

"Sehubungan itu kami sepakat memilih tujuh buah universiti untuk konsert jelajah ini yanh bakal berlangsung bermula Febuari depan," katanya kepada mStar Online.

Penyanyi itu ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Ramli Nasir Uni Tour 2016 akan menjelajah di tujuh buah universiti iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah, Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Alor Gajah, Melaka, Universiti Sains Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Tambahnya, Wacana Seni Muzik akan berlangsung pada sebelah pagi manakala konsert di sebelah malam dan tajuk yang bakal dibincangkan akan diberi oleh pihak universiti.

"Kami mahu konsert jelajah ini nanti menjadi medan ilmu kepada mahasiswa yang hadir dan ia bukan hiburan kosong," ujarnya.

M. Nasir berkata, dia teruja dapat bergandingan dengan Ramli menerusi konsert itu kerana vokalis kumpulan Sweet Charity itu adalah idolanya.

"Saya masih ingat sebelum menjadi artis saya sering hadir menonton persembahannya di Singapura dan dapat bergandingan dengan beliau adalah satu penghormatan.

"Seingat saya kali terakhir kami berkongsi pentas mengadakan konsert di universiti pada tahun 1982 di  UKM dan konsert jelajah kali ini pasti mengimbau banyak kenangan," ujarnya.


M. Nasir (empat dari kiri) dan Ramli Sarip (lima dari kiri) bersama pemuzik yang akan mengiringi persembahan mereka.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pada konsert itu nanti mereka akan menyampaikan rangkaian lagu terbaik yang mempunyai sejarah tersendiri kepada karier seni mereka.

Jelasnya lagi, setiap persembahan akan berlangsung selama dua jam yang turut terbuka kepada orang awam.

"Dalam mengadakan persembahan kami akan menyelitkan kisah sejarah tentang lagu disampaikan dan berharap ia akan menjadi input kepada mereka.

"Kami masih belum putuskan lagu akan disampaikan tetapi seleksi terbaik untuk semua yang hadir," katanya.

Ramli menambah, konsert itu nanti turut menggunakan persembahan 'live' daripada pemuzik handalan seperti Tom Anuar (dram), Aznan Alias (Gitar), Along Exists (Gitar) dan Roza Rasul (Keyboard).

Dalam perkembangan lain, kedua-dua penyanyi itu terlebih dahulu akan menghiburkan peminat pada 1 Januari ini menerusi konsert Ramli & Nasir: Brotherhood in Music di Esplanade Singapura.

Tiket bagi menyaksikan Ramli Nasir Uni Tour 2016' akan diuruskan oleh pihak universiti dan hanya dijual pada 1 Januari ini.