Sabtu, November 28, 1987

Lagu Nasir dalam album Bloodshed

petikan Berita Harian Singapura 28 November 1987

oleh AZMAN SIRAJ (Penulis sambilan)

KOMPOSER M.Nasir sering melahirkan banyak lagu-lagu hit. Bakatnya sebagai pencipta lagu, memang tidak boleh dinafikan. Mentelah lagi banyak album penyanyi dan kumpulan yang menjadi popular hanya kerana lagu-lagunya mendapat sambutan.

Jadi, tidaklah menghairankan apabila Nasir menjadi rebutan banyak syarikat yang cuba mengeluarkan album. Baru-baru ini, EMI berjaya mendapatkan Nasir untuk menerbitkan album terbaru kumpulan Bloodshed.

Kalaulah album pertamanya dulu ilusi Sebuah Mimpi muziknya corak heavy metal, tetapi kini, Bioodshed reda sedikit.

Selera pendengar lebih diutamakan. Kerana itu, melalui kreativiti Nasir, Bloodshed dibentuk dengan wajah baru. Biarpun terdapat bau" Nasir dalam banyak lagu terbaru Bloodshed, tetapi kumpulan itu yakin mereka mampu mencabar Search dan Lefthanded – dua kumpulan popular dewasa ini.

Seperti kata Hamdan Ahmad: Album kami kali ini lebih meyakinkan. Beliau, yang dihubungi melalui panggilan jauh di pejabat EMI, Kuala Lumpur, turut bersetuju dengan pendapat yang menyatakan bahawa kebanyakan lagu terbaru mereka mirip muzik Search dan Kembara.

Tetapi, memandangkan lagu-lagu seperti itu laris di pasaran, jadi, adalah lebih baik buat kumpulan itu untuk membentuk muzik bercorak demikian.

Tambahan pula, petikan gitar ala klasik seperti yang terdapat dalam lagu Fantasia Bulan Madu persembahan Search digunakan juga dalam beberapa buah lagu Bloodshed.

Pokoknya, Hamdan menjelaskan: "Kami sesuaikan dengan keadaan dan selera pendengar.

Malah, kami beruntung kerana Nasir curahkan semua bentuk pengalamannya untuk kejayaan album ini.

"Memang, mulanya agak sulit untuk berkerja dengan Nasir. Tapi, setelah seminggu, barulah kami dapat fahami kehendaknya," kata Hamdan yang bermain deram.

Kami juga yakin, album kali ini akan boom. Lagu-lagu yang dicipta serta lirik yang ditulis hampir keseluruhannya, walau berbentuk patriotik, tapi ada nilai komersial.

"Dari itu, tak ada sebab mengapa album ini mesti gagal kerana semua lagu yang terkandung mempunyai kekuatan tersendiri," kata Hamdan sambil memberitahu bahawa Mohd Hamdan Yusof – pemain gitar utama mereka — telah digantikan dengan Sopie, bekas anggota kumpulan Skandal. M.Nasir, selaku penerbit album itu, telah menghasilkan lima  lagu, manakala, Bloodshed turut menyumbangkan lima lagu lain.

Hamdan menjelaskan: "Sebulan kami masuk studio. Ia bermula pada awal September dan kami sama-sama bekerja keras untuk mendapatkan melodi terbaik.

"Hasilnya, kami berpuas hati. Kini, terpulang kepada pendengar untuk menilainya. Mudah-mudahan kami beroleh kejayaan yang memberangsangkan," beliau berkata dengan nada yang agak bersemangat.

Album kedua Bloodshed diberi judul Samarkand. Perkataan Samarkand dipetik dari nama sebuah tempat yang terdapat di Rusia. Ilham itu lahir dari kacamata penulis lirik, Man Boron.

Lagu-lagu yang termuat dalam album itu terdiri daripada Srikandi Cintaku, Tanah Air Api

dan Angin, Marilah Berjuang. Sastria Mega, Samarkand, Tangisan Salju Di Khatulistiwa, Panah Arjuna, Carilah Wajahmu dan Kota Itu Ilusi.

Album Samarkand telah dilancarkan pada 13 November lalu. Ia diterbitkan oleh M.Nasir dan dikeluarkan oleh EMI.

Ahad, Mac 01, 1987

Sudirman menulis mengenai perkenalannya dengan M.Nasir

Petikan URTV 1 Mac 1987 (***tarikh mungkin kurang tepat)
Sudirman menulis mengenai perkenalannya dengan M Nasir dalam ruangannya di URTV
(sumber gambar: Terima kasih Wiraaz Collezzione)