ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label Konsert DATO’ M.N45IR CIPTA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Konsert DATO’ M.N45IR CIPTA. Papar semua catatan

Sabtu, Ogos 24, 2024

Senandung Apokalips

Oleh Saudagar Mimpi .. yang melaporkan dari Axiata Arena Bukit Jalil.

REVIEW :
KONSERT CIPTA M N45IR 
Sabtu : 10 Ogos 2024
Axiata Arena Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Bagaimana kan ku mula?

Dan apakah kata-kata

Yang indah untuk diabadikan?

Tiap wajah berkisah

Tiap madah bererti

Manakah ilhamku?

                    -    Suatu Masa (1981)

Ilham itu seperti getaran yang mencetuskan pelbagai ciptaan. Ciptaan muzik, lirik, filem, lukisan dan  sebagainya dipadukan dalam apresiasi seni.

Berbicara tentang seni lukis, beberapa bulan sebelum konsert, sebuah pameran lukisan  "Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M. Nasir" telah berlangsung  di Galeri Puteh dari 8 hingga 30 Jun 2024. Rakan blog aku mengesa aku pergi ke pameran lukisan yang berinspirasikan lagu-lagu M Nasir.  Karya seni tampak yang itu “surreal” lain macam katanya. Sudah tentu lukisan-lukisan hasil tangan M Nasir itu sendiri mencuri tumpuan aku semasa lawatan ke galeri itu.  

10 Ogos 2024, seawal 4 petang sudah boleh dilihat pendekar lengkap berbusana Melayu siap bertengkolok manakala yang perempuan pula anggun berbaju melayu mengikut tema yang ditetapkan oleh penganjur Icon Entertainment. Ada saja yang ber”fusion” bagai Laksamana Hang Tuah tapi berkemeja T ala Jebat dalam Kembara Seniman Jalanan. Dikhabarkan 8000 peminat membanjiri Axiata Arena dari petang ke kemuncak acara  malam itu. Petang itu pintu masuk ke Axiata Arena yang dibuka jam 5 itu umpama pesta mini. Ada bacaan puisi, ada nyanyian busker lagu M.Nasir. Tidak ketinggalan ramai juga beratur panjang untuk bergambar kenang kenangan di hadapan dua poster mega M Nasir Cipta yang diletakkan diluar pintu masuk.

Lokasi Axiata Arena semenangnya sesuai untuk konsert kali ini. Ini merupakan antara konsert solo terbesar sifu dalam karier 45 tahun beliau. Kemudahan lengkap di sekitar Axiata Arena  seperti tempat parking yang luas, surau, tempat makan dan berhampiran stesen MRT Bukit Jalil memudahkan penonton dekat dan jauh datang. Konsert besar macam ini umpama kenduri kahwin, inilah masanya berjumpa dan terjumpa dengan adik beradik, sedara mara, rakan taulan malah kawan kawan yang dikenali di media sosial yang berkongsi minat yang sama.


Proses masuk ke Axiata Arena kelihatan lancar kerana staff yang bertugas cekap memeriksa beg penonton dan tiket serta mengarahkan penonton menuju ke pintu tempat duduk mengikut kategori tiket. Malah aku yang menghadapi kekeliruan dengan pembelian merchandise juga dibantu dengan segera. 

Tepat jam 9.00 malam, pengumuman keselamatan & Lagu Negaraku dimainkan menandakan konsert hampir bermula. DJ Radin - Era FM yang menjadi  MC pada malam itu muncul mengalu alukan kehadiran penonton ke konsert Cipta. 

Setlist “Cipta” 

Instrumental pembukaan: Gong Impian/ Nusantara

1. Raikan Cinta

2. Bikin Filem

3. Tujuh Nafas Lagi

4. Senandung  Semalam

5. Dah Lagu Tu

6. Oh.. Anak

7. Hati Emas

MEDLEY BALLADA

8. Seroja

9. Cinta Kristal

10. Senja Nan Merah

11. Seribu Tahun Takkan Mungkin

MEDLEY BOSSA

12. Seloka Cinta Remaja

13. Bercanda Di Pasiran Pantai

MEDLEY ROCK 

14. Cinta Sakti

15. Seragam Hitam

16. Tinggalkan Satu Peluru

Segment Lagu Selamat Hari Lahir PMX

17. Balada Seorang Teman

18. Phoenix Bangkit

19. Langgam Pak Dogo

20. Tanya Sama Hud Hud

21. Gurindam Gunung Tahan

22. Buka Hatimu

23. Hijab Kekasih

REMPAK REBANA

24. Berdendang Dalam Tangisan

25. Andalusia

26. Sahabat Gua

27. Mentera Semerah Padi

28. Ada

ENCORE:

29. Suatu Masa

30. Sentuhan Listrikmu

31. Apokalips

Jam 9.17 malam, Video permulaan konsert memenuhi skrin pentas. Bait lirik/sajak yang sama seperti dalam Buku Cipta itu dibaca oleh M Nasir dengan layar menggambarkan pengembaraan  M.Nasir ke satu sudut alam yang mana dia bertemu dirinya sendiri ditempat dipenuhi sangkar burung yang kosong.

Bait lirik dari lagu “Bila Rumi Menari” membuka mukadimah konsep konsert ini.

Sayang... pada mereka yang tak mengerti

Sayang... pada hati tertutup mati

Bagai sangkar tanpa penghuni

Burung berharga terlepas lari

Kelihatan M.Nasir yang satu itu lengkap berpakaian serba putih sedang melukis dan kemudiannya meninggalkan lukisan bersama sebuah gitar.

Apa yang hendak disampaikan? Tafsirlah sendiri. Maka bermulalah konsert dengan pembukaan instrumental Gong Impian/ Nusantara. 

1. Raikan Cinta

Sorakan penonton memulakan lagu ini dan penonton dihujani kilauan confetti. Ingatkan M Nasir muncul berbaju putih seperti akhir video itu rupanya tidak sebaliknya mengenakan busana berwarna gold padan dengan tema poster konsert. Sedap betul bunyi sound konsert kali ini. Kalau lagu pertama sound dah sedap memberi petanda ini konsert yang best!

2. Bikin Filem

Macam tak nak tunggu lama lama, lagu M Nasir dengan lirik oleh Nasir Jani memang bikin hangat! Penonton tu nasib baik ada light stick, nampak juga reaksi ketuk ketuk angin macam air drum…. 

“Bikin filem memang mudah…mintak gran kerajaan” seloroh M Nasir diakhir lagu.

3. Tujuh Nafas Lagi

Lagu berirama Broadway ini antara lagu aku nak dengar secara “Live”. Makbul juga akhirnya. Kawan aku pulak cakap ini lagu marching sarkas!  Itu yang menarik lagu ciptaan M Nasir ni, genrenya pelbagai. Ada polka, ada waltz, hahaha! 

4. Senandung  Semalam

M Nasir menceritakan lagu Senandung Semalam yang asalnya dinyanyikan oleh Alleycats menjadikan Jamal Abdillah nama besar.

Sudahlah lagu ni memang sedap tambah pulak sound sistem konsert memang best! Dari tempat aku boleh dengar lemaknya  bunyi bass dan instrumen lain semasa lagu ni!  

5. Dah Lagu Tu!

6. Oh.. Anak!

Dua lagu  ini sudah beberapa kali dibawakan dalam konsert. Dah Lagi Tu….lagu Irama jaipong dari album Phoenix Bangkit. Lagu Oh… Anak! rasanya satu satunya lagu yang mewakili irama keroncong malam itu. Tiada lagu “Keroncong untuk Ana” dalam konsert kali ini.

Ada juga aku terdengar penonton mengeluh tak pernah dengar lagu lagu ini bila disoal M Nasir dari atas pentas.

7. Hati Emas

Lagu wajib! Orang sebelah aku siap boleh cakap “yes” sambil angkat penumbuk lagi. Suka benar lagu ni agaknya. Ya lah.. lagu konsert M Nasir ni kalau tak ada lagi ini dinyanyikan memang tak sah. Ini satu-satunya lagu Kembara dalam konsert ini.

MEDLEY BALLAD

8.Seroja

9.Cinta Kristal

10. Senja Nan Merah

11. Seribu Tahun Takkan Mungkin

Susunan Medley ni best! Lagu Seroja Search ni mengimbau zaman bertukar tukar kaset dengan member dulu. Aku beli kaset Rock n Roll Pie ni untuk ditukar dengan Nirvana MTV Unplugged. Senja Nan Merah buat aku terus teringat adegan Awie dan Ziana Zain membonceng menuju senja merah seperti dalam penghujung filem Merah yang arahan M Nasir sendiri. 

Sudah tentu lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin adalah pilihan aku dalam konsert ini. 

Sebab apa? Sebab nilai nostalgia lagu ini yang merentas masa dan terbuka dengan pelbagai tafsiran. Terus teringat radio kecil memainkan lagu BPR ini di rumah lama dahulu.

MEDLEY BOSSA

12.Seloka Cinta Remaja

13. Bercanda Di Pasiran Pantai

Lampu disco ball bersinar umpama bertukar mood dengan M Nasir memegang feather boa berwarna pink yang diletakkan di tengah pentas. Lagu arwah Seha Seloka Cinta Remaja ini mungkin antara lagu yang ramai  tidak menyedari dicipta oleh M Nasir. Lagu Bercanda Di Pasiran Pantai pula bukan pertama kali dinyanyikan di pentas konsert. Tetap lagu ini menghiburkan dengan gaya Romli Rock bagai sheikh “parti pantai miami” tersesat. Kilauan lampu disko dari tengah arena dan lampu pentas ke arah penonton ada kalanya menarik penonton untuk terus teruja tapi pada masa yang sama menyebabkan ada penonton yang kurang biasa terasa kurang selesa.

MEDLEY ROCK 

14. Cinta Sakti

15. Seragam Hitam

16. Tinggalkan Satu Peluru

Gubahan medley Rock ini menarik bagi aku. Lagu Cinta Sakti oleh Def Gab C pernah juga diparody oleh Senario sebagai “Cinta Sate”  ini antara lagu Rock ciptaan M Nasir yang “hit”. Lagu Seragam Hitam disilih ganti Tinggalkan Satu Peluru dengan lirik oleh Loloq pula kalau diamati memang sesuai diakhiri dengan frasa “boleh tak boleh? Boleh!” Dalam ending  mabuk vibe rentak AGo Go itu M Nasir meninggalkan pentas untuk menukar busana sebelum muncul semula di pentas mengenakan busana hitam.

Segment Lagu Selamat Hari Lahir PMX Dato Sri Anwar Ibrahim.

Gubahan semula lagu Hari Lahir seperti dalam filem P Ramlee,  lagu Allah Selamatkan.. Anwar Ibrahim bergema di arena. Mungkin ada yang tak menyangka PMX turut hadir pada malam itu. M.Nasir menghadiahkan pulut kuning buat PMX. 

17. Balada Seorang Teman

Lagu dari album  Sang Pencinta ini menjadikan suasana Arena dirasakan sedikit sayu. Adakah sebab  penonton masih memproses kejutan kehadiran PMX dalam konsert itu atau sayu mengenang sahabat di sana?

18. Phoenix Bangkit

Lagu kebangkitan atau lagu semangat adalah antara banyak ciptaan M Nasir yang memberi kesan pada pendengar. Kebolehan beliau menulis lirik atau rentak lagu yang boleh menaikkan semangat adalah salah satu kekuatan yang ramai terlepas pandang. Kali ini video latar lagu Phoenix Bangkit didedikasi buat Palestin yang ditindas rejim Zionist.

19. Langgam Pak Dogo

Dalam banyak banyak lagu konsert ini, entah kenapa aku macam tak puas hati dengan vibe lagu ini dalam konsert kali ini. Aku rasa konsert seterusnya boleh diganti dengan lagu lain. Langgam Pak Dogo diakhiri dengan seloka “Hapuskan Denggi” Romli Rock yang mengundang derai tawa penonton…part ini aku terhibur. Serius!

20. Tanya Sama Hud Hud.

Lagu yang menjadi Juara Lagu. Jadi tidak hairan ia  menjadi lagu “sing a-long” konsert ini. Konsert jadi gegak gempita dengan pekik penonton yang menyanyi bersama.

21. Gurindam Gunung Tahan

Aku masih ingat lagu ini antara lagu yang mendapat sambutan penonton semasa konsert Alam tetapi ia kurang menjadi untuk konsert kali ini. Penonton aku rasa ramai tidak menyanyi bersama. Agaknya pada masa ini ramai selesa mengangkat telefon sama ada untuk  merakam suasana konsert atau updated status di media sosial.

22. Buka Hatimu

…Buka hati mu ….pada kebenaran. 

Lagu berentak soul dari Canggung Mendonan pernah dirakam semula oleh Sheila Majid ini membuktikan lagu ini sesuai juga dibawa oleh penyanyi wanita juga. Ramai ternantikan bahagian Rap tu dinyanyikan oleh sifu sendiri tapi ia tidak menjadi kenyataan.

23. Hijab Kekasih

M Nasir menjemput rakannya, Ramli MS memainkan akordion bagi lagu Hijab Kekasih ini. Untuk info Ramli MS merupakan pemain asal arkodian dalam versi album. Lagu yang mengundang air mata kata kawan aku.

24. Berdendang Dalam Tangisan

Lagu yang dipopularkan oleh Jamal Abdillah berentak joget ini sebenarnya unik dari segi melodi dan lirik. Penonton bertepuk mengikut irama gendang lagu ini.

25.Andalusia

Satu lagi lagu yang menjadi Juara Lagu. Sudah tentu ramai menyanyi bersama. Tambahan pula rentak lagu Andalusia bagai mengizinkan penonton bersemangat bangun dari tempat duduk.

26. Sahabat Gua

Alang alang berdiri tu kalau masuk pulak lagu ni takkan nak duduk pulak? Memang rentak lagu marhaen buat pendengar “lupa diri” kejab. 

27. Mentera Semerah Padi

Kalau dah datang bertanjak berbusana lengkap tak naik semangat tak tau la bila dengar lagu pendekar ini.

“Asap pisau …asap keris….” seloroh M Nasir.

Penonton memang dah meronggeng habis semasa lagu ini. Dalam ramai ramai tu entah entah ada yang buka bunga silat mendengar lagu ini.

28. Ada

Bukan Hard Rock! Hard Joget! 

Saya begini dah hampir 3 jam tau seloroh M Nasir..

Lagu Ada ni kalau tak ada joget memang tak sah! Kelihatan dimana mana ada yang dah berjoget ikut rentak lagu ini.

Di akhir lagu M Nasir kemudian memperkenalkan barisan pemuzik dalam Gong yang membantu karier beliau. M Nasir mengucapkan terima kasih pada promoter Iman Tang dan  semua yang hadir. M Nasir juga mengucapkan terima kasih pada PMX bersama keluarga yang hadir di konsert marhaen.

Encore

29.Suatu Masa

Siapa yang berdiri tu?...macam penyokong parti politik … seloroh M Nasir sebelum memulakan lagu ini. Lagu ini semakin usia meningkat semakin aku suka. Satu dewan menyanyi bersama. Sememangnya lagu ini ada magic! 

30. Sentuhan Listrikmu

Sambung pula satu lagi lagu cinta. Lagu dari album Canggung Mendonan ini tidak pernah mengecewakan jika dibawa dalam konsert. Membuai perasaan walaupun jam aku dah menunjukkan lebih jam 12.00 tengah malam.

31. Apokalips

Orang cakap ni lagu paling happening malam tu! Hampir semua orang sudah berdiri menyanyi beramai-ramai dan menari ronggeng…paling tak pun makin rancak mengetuk light stick ke udara umpama konsert generasi Y & Z ! Pasti ada adik adik Kpop terperanjat acik acik, akak akak dan abang abang pun tahu guna light stick! Apokalips kot…lagu paling senang untuk sing along tapi lagu paling payah nak faham maksudnya. Bagai lirik lagu Apokalips hujan pasti berhenti, penonton dihujani belon hitam dan belon berwarna emas (warna tema konsert) dan hujan confetti  dari depan pentas menjadikan konsert ini memori indah buat sang pencinta karya M Nasir yang hadir pada malam bersejarah itu. Confetti, belon dan light stick ini benda komersil pertama kali rasanya dalam konsert solo M Nasir ini. Artis barat seperti Metallica & Roger Waters dah lama buat gimik macam belon dan confetti cuma berbeza pendekatan dan tujuan.

Konsert Cipta berakhir lebih kurang jam 12.30 pagi 11 Ogos 2024 setelah lebih 3 jam berlangsung. Penonton berpusu-pusu keluar meninggalkan arena. Rata rata kelihatan gembira dan masih teruja dengan konsert yang diadakan walaupun sudah tengah malam. Di luar arena juga masih riuh rendah dan ramai mengambil peluang beratur untuk membeli pelbagai merchandise rasmi. Khabarnya ada yang tak boleh "move on" berhari-hari.

Sempat juga aku berborak dengan kawan lama di tepi booth merchandise itu. Antara topik sembang seminit itu berkisar persoalan bilakah konsert M Nasir seterusnya?. 

“Mungkin tahun hadapan”…jawab ringkas diberi.”

Nampaknya tekaan kami meleset!,... tak perlu tunggu hingga  tahun depan. Sehingga review ini ditulis pihak Icon Entertainment telah mengumumkan Konsert Cipta 2 yang akan diadakan pada 12 Oktober 2024  bertempat di Axiata Arena. Tiket pula mula dijual pada 27 Ogos 2024 jam 2.00 petang.

Berikut adalah pecahan lagu konsert Cipta berdasarkan album

11 lagu ciptaan dinyanyikan penyanyi lain.

1 lagu Hari Lahir (gubahan semula)

1 lagu dari album kumpulan Kembara

1 lagu dari album Dia Ibuku (1981)  / Srikandi Cintaku (1999)

3 lagu dari album Saudagar Mimpi (1992)

5 lagu dari album Canggung Mendonan (1993)

1 lagu dari Terbaik M Nasir (1998)

6 lagu dari album Phoenix Bangkit (2001)

3 lagu dari Sang Pencinta

Agak janggal bila tiada lagu dari album SOLO dalam konsert ini. Sekali lagi tidak ada lagu baru dari sifu. Mungkin aku seorang sahaja berangan dengar lagu pertama dari album pertama “Mari Berdangdut” dalam gubahan baru. 

Konsert Cipta ini aku rasakan berbeza dari konsep konsert sifu sebelum ini yang lebih  teatrikal. 

Pulang dari menyaksikan M Nasir menguasai pentas menjawab serba sedikit persoalan. Karya sifu malar segar tidak pudar dimakan usia. Dengan setiap lagu, beliau bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga membuktikan ciptaan melalui keindahan lirik dan melodi  mampu melintasi batasan politik, bangsa dan masa.  Konsert Cipta menjadi satu lagi mercu tanda gemilang dalam sejarah kariernya dan meninggalkan kesan mendalam di hati setiap penonton yang hadir. “Cipta” mengukuhkan aspisiasi massa pada seni cipta seorang maestro yang bergelar seniman yang bertaraf lagenda. 

Jumaat, Ogos 23, 2024

Magis atas pentas

 petikan Harian Metro 23 Ogos 2024

Syafil Syazwan Jefri   syafil.syazwan@hmetro.com.my

SELAGI apokalips tidak berlaku, selagi itu sentuhan listrik figura legenda, Datuk M Nasir akan terus menjadi mantera pelbagai generasi.

Dek kerana permintaan daripada peminat yang terus-menerus dahagakan persembahan pentas terutama selepas kejayaan Konsert Datuk M N45ir: Cipta yang berlangsung pada 10 Ogos lalu, maestro muzik Malaysia itu bakal sekali lagi menggegarkan pentas Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Oktober ini menerusi Konsert Datuk M N45ir: Cipta 2.

Berkongsi mengenai penganjuran konsert dan dan kesungguhannya dalam menyampaikan cerita menerusi persembahan pentas berskala besar, Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed yang ditemui di sesi apresiasi media baru-baru ini membuka beberapa kisah.

"Saya fokus apa yang saya kena buat atas pentas. Saya yakin dengan peminat muzik, peminat saya. Saya yakin dan percaya bahawa mereka akan ada respons kepada apa yang saya buat atas pentas. Ini kerana apa yang saya buat selama ini dalam industri muzik adalah berkomunikasi dengan mereka. Saya rasa saya rapat dengan mereka.

"Jadi, saya yakin mereka sentiasa menantikan cerita daripada saya. Saya tahu bahawa mereka tahu yang saya ini ada banyak cerita. Jadi, cerita saya sampaikan dari persembahan saya dan mereka membaca gerak-geri dan apa yang saya cakap. Kadang-kadang saya tak cakap pun mereka baca.

"Apa yang biasa saya buat dan apa yang tak biasa saya buat, mereka akan menganalisis dan menginterpretasikan itu adalah cerita saya," katanya.

Berkongsi mengenai keputusan mengadakan konsert kedua, Nasir berkata, idea itu muncul ketika tampil di konsert pertama pada 10 Ogos lalu, apabila terfikir bahawa dia tidak akan dapat memuaskan hati semua penonton kerana akan ada lagu yang tidak dipersembahkan.

"Sebenarnya ketika konsert pertama, saya tahu takkan dapat puaskan hati semua orang dan saya takkan dapat nyanyi semua lagu yang saya cipta. Saya rasa, pasti ada yang kedua.

"Saya kira ada beberapa lagu popular yang akan saya nyanyikan. Mungkin Awan Nano, Srikandi Cintaku dan Fantasia Bulan Madu. Ada juga peminat yang mahukan saya menyanyikan lagu lama yang saya rakamkan," katanya.

Ditanya mengenai kelainan kandungan konsert dan durasi, Nasir berkata, dia cuba menampilkan kelainan.

M Nasir bakal sekali lagi gegarkan pentas Axiata Arena menerusi Konsert Datuk M N45ir: Cipta 2.

"Mungkin dari sudut visual dan mungkin saya menari. Siapa tahu. Dua jam lebih, tapi selalunya tak berlaku begitu. Di antara lagu selalu ada 'benda' yang spontan dilakukan. Jadi, itu membuatkan masa bertambah. Tapi, kita rancang supaya jangan sampai tiga jam," katanya.

Ditanya mengenai konsert berskala besar dan bagaimana menarik perhatian peminat supaya membeli tiket dan hadir, Nasir berpendapat, rangka promosi adalah keutamaan.

"Banyak jawapannya, bukan satu. Saya rasa potensi orang menonton itu sentiasa ada, tapi ia dua hala. Mesti ada artis dan peminat. Jadi, kalau kita tengok 'trend', konsert-konsert ini fokus kepada artis tertentu.

"Cara pemasaran pun sangat penting. Begitu juga media sosial. Ia menghayun orang punya 'mood' dengan cara tersendiri.

"Kalau dulu, orang tak ada cara mengekspresikan diri. Sekarang dengan media sosial, mereka boleh mengekspresikan dan ia berlaku serentak. Semua orang buat dalam masa sama dan semua orang baca, maka semua orang tahu," katanya.

Berkongsi mengenai perbezaan konsert hari ini dan dulu, Nasir berkata, semuanya adalah impak daripada media sosial.

"Penonton sentiasa ada, cuma cara bagaimana kita tarik mereka. Saya berada di posisi sekarang pada 1994 ketika saya buat persembahan besar iaitu Konsert Canggung Mendonan. Lebih ramai dari konsert baru-baru ini.

"Suasananya berbeza. Itu agak 'raw' dan dianjurkan oleh Ali Bakar. Penontonnya pula kebanyakan pelajar kolej yang tak ada media sosial atau telefon pintar waktu itu.

"Jadi, mereka adalah peminat saya waktu itu. Mereka sedang mendengar apa yang popular dan menjadi pemikiran baharu pada waktu itu.

"Tetapi, hari ini dah ada macam-macam. Dengan media sosial, kita letakkan sesuatu dan tunggu apa reaksi orang. Alhamdulillah, reaksinya sangat positif," katanya.

Sebagai pembikin karya, Nasir juga sering menyuntik elemen yang tidak akan lapok dalam karyanya.

"Apabila kita hasilkan karya, buatkan ia menjadi berunsur universal. Kita cuba hasilkan lagu yang takkan terperangkap dalam satu masa saja. Itu yang cuba disuntik dalam karya saya. Alhamdulillah, itu membuahkan hasil.

"Banyak eksperimen yang kita buat dalam konsert ini, contohnya lagu Jamal Abdillah yang saya nyanyikan. Orang mungkin jarang dengar saya menyanyi lagu itu. Mungkin boleh jadi Aduh Saliha dengan cara baru," katanya.

Ramai yang tidak pernah tahu, adakah penyanyi yang digelar 'sifu' ini pernah merasa gemuruh setiap kali berpanggung.

Menurut Nasir, fasa gemuruh sudah berlalu, namun ada langkah yang diambil sekiranya perasaan itu muncul.

"Bercakap mengenai gemuruh sebelum persembahan, saya dah tak gemuruh lagi. Dulu mungkin ada. Tapi, sekarang saya gemuruh juga apabila ada orang lain yang gemuruh. Gemuruh mereka mengganggu saya.

"Sebab itu selalunya saya tak bagi ramai orang di belakang pentas. Orang ingat tak boleh dan cakap sombong. Tapi, sebenarnya bukan begitu.

"Ia mengganggu fokus dan tumpuan orang yang nak buat persembahan. Itu yang saya cuba buat, untuk dapatkan keadaan tenang. Mana nak ingat lirik dan melodi lagi," katanya.

Cintakan pentas dan panggung, Nasir sentiasa ingin tampilkan sesuatu yang berbeza dalam pementasannya. Namun, semua itu juga bergantung kepada 'tenaga' penonton.

"Saya suka persembahan secara langsung, yang mana orang yang tidak buat sama dengan versi rakaman. Kita nak tunggu sesuatu yang magis atas pentas dan bukan seperti dalam rakaman.

"Kita cuba nak buat satu pengalaman baharu apabila buat persembahan secara langsung. Kadang kita tak sampai apabila menyanyi dalam rakaman, tetapi secara langsung, dapat sampai.

"Sebabnya ada tenaga dan kuasa yang dah diberikan penonton kepada kita. Suasananya rasa berbeza. Jadi, kebanyakan penyanyi gemuruh nak buat rakaman sebab bagi penyanyi, rakaman itu dirasakan susah. Memang takut," katanya.

Khamis, Ogos 22, 2024

#SHOWBIZ: Celebration of love for music

taken from New Straits Times August 22, 2024 

By Aref Omar 

HE may be a man of few words on stage, but his music and artistry certainly make up for it, creating a mesmerising, melodic and rhythmic conversation that has carried on for 45 years.

Datuk M Nasir's 'M N45ir – Cipta' concert at the Axiata Arena in Bukit Jalil, Kuala Lumpur, recently was a celebration of his impact on music and his creativity throughout his long career.

The man for all musical seasons, aptly known as Sifu, has always infused the essence of Nusantara into his music, birthing great songs for himself and other artistes.

The concert was a celebration of his legacy and the many careers that he helped build along the way.

Even at 67, Nasir is still passionate about his craft. This was evident when he opened the concert with a celebration of love with an upbeat performance of 'Raikan Cinta' from his hit album 'Phoenix Bangkit'. Like a phoenix always rising above the flames, he has withstood the test of time and changing trends and music tastes.

Dressed in traditional garb, he thrilled more than 8,000 fans, who were appropriately dressed for the night's traditional theme.

As he 'joget' on stage for his more energetic tunes, fans matched his energy and got on their feet.

The appreciative audience of young and old singing along to his songs enlivened the three-hour concert.

The crowd's light sticks illuminating the arena created a stunning effect for the celebration of Nasir's music.

Even with the theatrics and the huge screen presenting visuals to match the songs, Nasir and his music was the main course, backed by a rocking band that delivered in spades.

Accompanying the Singapore-born artiste's impassioned singing were 24 musicians, including a traditional instrument ensemble, a brass section and five backup vocalists.

Nasir, whose full name is Mohamad Nasir Mohamed, performed more than 20 songs, including medleys of his top hits 'Mentera Semerah Padi', 'Hati Emas', 'Seroja', 'Bercanda Di Pasiran Pantai', 'Tanya Sama Itu Hud-Hud', 'Phoenix Bangkit', 'Srikandi Cintaku', 'Ada', 'Senja Nan Merah' and 'Tujuh Nafas Lagi'.

Award-winning singer, lyricist, composer and producer Datuk M Nasir still has his musical touch after 45 years. Pic courtesy of Bangsawan Pictures

The maestro with the golden touch also took fans down memory lane with songs he created that became iconic for other singers and acts.

They include 'Seroja' (for Search), 'Senja Nan Merah' (Datuk Awie and Ziana Zain), 'Senandung Semalam' (Alleycats), 'Cinta Kristal' (Rahim Maarof), and 'Seribu Tahun Takkan Maybe' (BPR).

Nasir also performed 'Langgam Pak Dogo', 'Berdendang Dalam Tegasan', 'Bukalah Hatimu', 'Sahabat Gua' and 'Hijab Kekasih', which featured celebrated musician Datuk Ramli MS on the accordion.

Nasir was like a one-man festival that night, cycling through diverse genres with a Nusantara touch, taking the audience on a journey through progressive rock, Latin styles and retro pop.

Nasir has a diverse and prolific legacy in music, excelling in accessible pop tunes with a traditional touch and deep lyrics.

No surprise that he was named Songwriter with the Highest Earnings by Music Authors' Copyright Protection (MACP) Bhd at the 2023 MACP Awards in December last year.

In a special segment, Nasir celebrated Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim's 77th birthday and presented him with 'pulut kuning' as a gift.

Anwar was accompanied by his daughter, Nurul Izzah, as well as Communications Minister Fahmi Fadzil and Health Minister Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Also in attendance were fellow artistes Fauziah Nawi, Ella, Lan Solo, Musa of Exists, Eddie of Wings, Neves of Pretty Ugly, Bunkface, Ziana Zain and Misha Omar, who turned up to support the concert organised by Icon Entertainment.

In a poignant moment during the show, Nasir showed solidarity with the Palestinian people by performing 'Balada Seorang Teman' to honour the late Hamas leader Ismail Haniyeh, who was killed in Teheran, Iran, last month.

The 'M N45ir – Cipta' concert came to an end when the legend behind 3,000 songs performed an encore of 'Sentuhan Listrikmu', 'Suatu Masa', 'Apokalips' and 'Gerhana'.

Rabu, Ogos 14, 2024

'Sentuhan listrik' M Nasir

petikan Harian Metro 14 Ogos 2024

Ramlah Zainal  am@hmetro.com.my

AURA M Nasir cukup kuat di atas pentas.

KONSERT Datuk M Nasir Cipta yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Sabtu lalu bukan saja menghimpunkan lebih 8,000 penonton, tetapi berjaya menggambarkan keseluruhan seorang figura seni bernama M Nasir.

Anak seni kelahiran Singapura dan pemilik nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed yang digelar Meastro ini juga sentiasa mencipta karya hebat, luar biasa dan malar segar sehingga meraih pelbagai pengiktirafan sepanjang pembabitannya dalam industri muzik tanah air.

Malah, M Nasir juga sudah menghasilkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya sendiri, malah ratusan penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhannya.

Justeru, Cipta dipilih sebagai judul dan konsert julung kalinya daripada M Nasir yang merangkumi semua maksud ciptaan atau karya itu sendiri.

Konsert M Nasir Cipta yang dibawakan khas oleh penganjur, Icon Entertainment ini bersempena meraikan 45 tahun pembabitan M Nasir dalam industri seni Nusantara.

Ternyata pada usia 66 tahun, M Nasir tetap tampil dengan persembahan mantap, bertenaga dan menghiburkan dengan menyampaikan rangkaian 20 lagu ciptaannya termasuk secara 'medley' dalam konsert durasi hampir tiga jam itu.

Pada konsert bertemakan pendekar dan tradisional yang bermula jam 9 malam itu, M Nasir tampil di pentas dengan berkain pelekat dan mendapat sorakan penonton.

Suasana konsert dalam stadium juga sangat meriah kerana ramai penonton yang hadir mengikut tema dan mengenakan busana tradisional pada malam itu.

Pada konsert malam itu, M Nasir mempersembahkan karya hebatnya seperti Mentera Semerah Padi, Hati Emas, Seroja, Bercanda Di Pasiran Pantai, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Srikandi Cintaku, Ada, Phoenix Bangkit, Senja Nan Merah, Tujuh Nafas Lagi dan banyak lagi.

Bukan saja membawakan lagu daripada album solonya, beliau juga menghiburkan penonton dengan sentuhan magis yang pernah dihasilkan untuk Search, Alleycats, Awie, Seha, BPR, Kristal, Def Gab-C dan Rahim Maarof.

Lebih menghangatkan konsertnya, M Nasir turut meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke-77 serta menghadiahkannya pulut kuning sebagai kenangan.

Anwar hadir menyaksikan konsert M Nasir bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Tidak ketinggalan, konsert M Nasir Cipta juga menampilkan segmen khas sebagai tanda sokongan dan solidariti seniman ini kepada rakyat Palestin yang masih menanggung penderitaan akibat kekejaman rejim zionis di Gaza.

RAMLI bermain akordian mengiringi persembahan M Nasir.

Kejayaan konsert M Nasir Cipta pada malam itu pastinya dengan kehebatan seramai 25 barisan pemuzik dan penyanyi latar yang mengiringi persembahannya.

Antara barisan pemuzik yang mengiringi persembahannya seperti Datuk Ramli MS selaku pengarah muzik, Aznan Alias (gitar), Rafi Mohd (gitar), Norman Abdullah (bass), Ujang Exists (dram), Eddie Slam (keyboard) dan Pa'ang (percussion).

Konsert berkenaan turut menyuntik elemen klasik, tradisional dan unsur latin apabila susunan lagu diolah mengikut irama daripada instrumen gambus, bongo, trumpet, saksofon, seruling, tamborin, marakas dan tabla.

Sementara itu, Pengarah Urusan Icon Entertainment, Iman Tang berkata, pihaknya sedar ini bukan pertama kali penonton atau peminat menyaksikan persembahan M Nasir sepanjang lebih empat dekad pembabitannya dalam industri seni Nusantara.

"Tapi, menerusi pentas ini yang akan menyajikan pelbagai ciptaan dan kreativiti daripada seorang karyawan seni ditumpahkan lalu menjadi persembahan visual dan audio yang tidak akan pernah dilupakan.

"Menerusi konsert M Nasir Cipta, peminat juga dibawa masuk dalam dunia penciptaan beliau dengan menghasilkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya sendiri, tetapi ratusan pemuzik serta penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhannya.

"Beliau juga mempersembahkan karya yang dicipta dalam sebuah bentuk persembahan yang belum pernah disaksikan sebelum ini," katanya.

Sarat jiwa Melayu

petikan Berita Harian 14 Ogos 2024

Farihad Shalla Mahmud

farihad@bh.com.my

 M Nasir memalu halwa telinga penonton dengan muziknya sarat aroma Nusantara yang dimainkan pemuzik handalan dan profesional tanah air. - Foto Ihsan Bangsawan Pictures

KUALA LUMPUR: Jika mencari acara persembahan yang tebal jiwa kemelayuannya, Konsert Datuk M N45IR Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, adalah jawapan tepat.

Penilaian itu bukan sahaja dibuat berdasarkan konsep, pengisian dan muzik diketengahkan, malah penampilan penonton yang rata-rata tampil menyarung busana persis pahlawan dan srikandi Melayu, menambahkan lagi aura itu.

Seperti mahu meraikan dan menyuntik elemen cinta kepada kira-kira 8,000 pemuja yang membanjiri stadium tertutup itu, si genius muzik itu membuka gelanggang dengan lagu Raikan Cinta yang dipetik daripada album Phoenix Bangkit.

Irama rancak yang diterbitkan lebih dua dekad lalu itu ibarat lagu pemanas badan dan menghantar isyarat yang Datuk M Nasir sudah bersedia menakluk hati setiap penonton dengan persembahan disajikan.

Adrenalin penonton terus mengalir deras menerusi lagu kedua, Bikin Filem yang liriknya antara lain menyindir golongan yang tidak berbakat, tetapi hanya mengharapkan rupa untuk berada dalam dunia seni.

Sempat juga M Nasir bercanda dengan mengusik penggiat industri perfileman usai menyanyikan lagu itu.

"Mudah bikin filem, minta geran kerajaan," katanya sambil disambut sorakan dan gelak ketawa penonton.

Sesuai dengan pengisian konsert yang menceritakan perjalanan karier seni yang mekar selama 45 tahun, M Nasir banyak bernostalgia dan mengimbau kenangan pada awal pembabitannya dalam bidang muzik.

Ini dikongsi jejaka berasal Singapura itu melalui untaian indah yang pernah dipopularkan kumpulan Alleycats berjudul Senandung Semalam pada 1978.

"Lagu ini asalnya adalah nyanyian Alleycats kemudian Datuk Jamal Abdillah menyanyikannya dalam suatu pertandingan dan jadi juara," imbaunya.

Paling membekas dalam jiwa sudah semestinya ketika M Nasir menarik semula ingatan ramai dengan judul popular ciptaannya yang menjadi ikonik buat penyanyi lain seperti Seroja (Search), Cinta Kristal (Rahim Maarof), Senja Nan Merah (Datuk Awie dan Ziana Zain) dan Seribu Tahun Takkan Mungkin (BPR).

Kecoh seketika stadium apabila M Nasir mempamerkan sisi berbeza apabila menari sambil memegang bebulu merah jambu ketika menyanyikan lagu Seloka Cinta Remaja yang digubah muziknya menjadi irama Bossanova.

Sesuai pengisian konsert menceritakan perjalanan karier seni selama 45 tahun, M Nasir banyak bernostalgia dan mengimbau kenangan pada awal pembabitannya dalam bidang muzik. - Foto Ihsan Bangsawan Pictures

Sesuai pengisian konsert menceritakan perjalanan karier seni selama 45 tahun, M Nasir banyak bernostalgia dan mengimbau kenangan pada awal pembabitannya dalam bidang muzik. - Foto Ihsan Bangsawan Pictures

Sejujurnya apabila bercakap mengenai konsert yang dijayakan seniman ini, M Nasir tidak perlu membuat gimik untuk menarik penonton.

Cukup sekadar beliau berdiri sambil memasang kuda-kuda dan mengepakkan sedikit tangan dan menyanyi mengikut alun muzik yang beliau sendiri hasilkan.

Meskipun lagu ciptaannya menumbuh bersama-sama golongan Generasi X, namun ada juga anak muda dan remaja yang turut menyanyi dan menari bersama.

Ternyata muzik yang dihasilkan beliau melangkau zaman dan memenuhi cita rasa pelbagai golongan dan tiada sempadan usia.

Menikmati konsert Cipta berdurasi tiga jam itu, M Nasir memalu halwa telinga penonton dengan muziknya yang sarat aroma Nusantara yang dimainkan pemuzik handalan dan profesional tanah air.

Antara lagu yang mengisi repertoire konsert yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment itu adalah Langgam Pak Dogo, Mentera Semerah Padi, Berdendang Dalam Tangisan, Sahabat Gua, Andalusia, Ada, Bukalah Hatimu dan Hijab Kekasih sambil diiringi alat muzik akordian oleh Datuk Ramli MS.

Jika kebanyakan artis lain hanya menyediakan satu atau dua sahaja lagu untuk segmen 'encore' sebelum menutup tirai persembahan, M Nasir bermurah hati apabila menghadiahkan empat lagu yang pernah menjadi 'killer song' Sentuhan Listrikmu, Suatu Masa, Apokalips dan Gerhana.

Sebagai hadiah kepada tetamu kehormat, Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim yang meraikan ulang tahun ke-77, M Nasir turut menghadiahkan pulut kuning buat pemimpin negara itu.

Menambah makna, M Nasir turut menunjukkan solidaritinya kepada rakyat Palestin menerusi lagu Balada Seorang Teman bagi memperingati pemergian pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.

Ketika menyanyikan lagu itu, layar gergasi di pentas menayangkan visual Anwar bertemu Allahyarham Haniyeh yang terbunuh di Tehran, Iran, baru-baru ini.

Ahad, Ogos 11, 2024

Anwar kagum kehebatan karya seni M Nasir

petikan MalaysiaGazette 11 August 2024

Oleh Wartawan MalaysiaGazette 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir pada Konsert M. Nasir di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos 2024. - AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan terima kasih atas kesudian ramai pihak meraikan ulang tahun kelahirannya semalam.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Konsert Datuk M N45IR Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Beliau turut meluahkan rasa kagum dengan kehebatan penyanyi lagu Suatu Masa itu.

“Memenuhi jemputan ke Axiata Arena malam tadi untuk menghadiri Konsert Cipta bagi menikmati suara emas dan mahakarya seniman ulung Datuk M Nasir.

“Kagum dengan kehebatan suara beliau yang begitu hebat melantunkan lagu-lagu ciptaannya. Saya terkesan tatkala beliau menyampaikan lagu tribute buat perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir pada Konsert M. Nasir di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos 2024. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Malam tadi konsert bersempena 45 tahun pembabitan M Nasir dalam dunia seni tanah air itu berjaya memukau 8,000 penonton.

Selain Anwar, konsert berdurasi lebih dua jam itu juga disemarakkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Lebih bermakna, M Nasir, 66, turut menghadiahkan pulut kuning kepada Perdana Menteri sempena ulang tahun ke-77 semalam. – MalaysiaGazette

M Nasir raikan hari lahir Anwar di konsert Cipta

 petikan Bernama 11 Ogos 2024

Di sebalik keasyikan peminat melayan konsert Datuk M Nasir 45 Tahun Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini, lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’dinyanyikan khas penyanyi dan komposer legenda ini buat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumandang di segenap pelusuk stadium tertutup ini.

Ribuan peminat yang terpukau dengan alunan merdu suara penghibur tersohor berkenaan yang telah mendendangkan beberapa lagu sebelum itu tidak melepaskan peluang turut sama menyanyikan lagu tersebut buat Perdana Menteri.

Tampil segak berbusana Melayu bersesuaian dengan tema konsert berkenaan, Pendekar dan Tradisional, M Nasir mendendangkan lagu berkenaan usai selesai segmen pertama dan penukaran busana.

“Konsert hari ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hari ini merupakan hari ulang tahun beliau dan marilah kita sama-sama menyanyikan lagu buat beliau,” katanya.

Anwar yang hadir pada konsert itu dengan berbusana pahlawan berona coklat serta lengkap bertanjak menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-77 hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Anwar yang sebaik mendengar lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ dendangan sifu dalam industri hiburan itu turut sama bangun dari tempat duduknya manakala ribuan pengunjung turut sama ‘sporting’ dan berdiri menggamatkan seluruh stadium.

Sebagai tanda keberkatan hari ulang tahun Perdana Menteri, pulut kuning turut sama diberikan kepada Anwar usai lagu khas tersebut selesai berkumandang dan disusuli dengan tepukan gemuruh ribuan pengunjung.

Selepas upacara memotong pulut kuning itu, M Nasir turut mendendangkan sebuah lagu yang didedikasikan khas buat bekas Ketua Biro Politik Hamas As-Syahid Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran pada 31 Julai lepas.

Konsert lebih tiga jam itu menyaksikan komposer legenda ini menterjemahkan perjalananan seninya selama lebih empat dekad menerusi nyanyian, lakonan dan seni lukis.

Lebih 30 buah lagu didendangkan penyanyi berusia 66 tahun itu yang menyaksikannya bukan sahaja mempersembahkan lagu-lagu kesukaan ramai tetapi juga lagu yang pernah dicipta untuk penyanyi lain dalam pelbagai genre sempena meraikan 45 tahun pembabitannya dalam industri.

Antaranya, Apokalips, Tanya Sama Itu Hud Hud, Mentera Semerah Padi, Ada, Sentuhan Listrikmu, Bercanda di Pasiran Pantai, Cinta Kristal, Cinta Sakti dan Senja Nan Merah. - Bernama

M Nasir buat kejutan sambut hari jadi PM di Axiata Arena

petikan Berita Harian 11 Ogos 2024

Farihad Shalla Mahnud farihad@bh.com.my

 

Anwar menerima hadiah pulut kuning daripada Nasir bagi meraikan ulang tahun kelahiran ke-77 di Axiata Arena, malam tadi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Maestro muzik, Datuk M Nasir membuat kejutan dengan meraikan ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke-77 pada Konsert Datuk M N45IR Cipta di Axiata Arena di sini, malam tadi.

Pada mulanya, Nasir membuat pengumuman mahu mempersembahkan lagu yang dicipta khas untuk Perdana Menteri.

Namun, Nasir kemudian memberitahu beliau mahu mendendangkan lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Anwar menerima hadiah pulut kuning daripada M Nasir bagi meraikan ulang tahun kelahiran ke-77 di Axiata Arena. - Foto BERNAMA

Sebaik bait pertama lagu sambutan harı jadi berbunyi 'Allah selamat kamu' diperdengarkan, tumpuan terarah kepada Anwar yang berada di kerusi tetamu VIP di tingkat atas Axiata Arena.

Ketika itulah penonton menyedari kehadiran Anwar di konsert itu.

Selain menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu, Nasir turut menghadiahkan pulut kuning kepada Anwar.

"Sebelum saya menyanyikan lagu yang ditujukan khas kepada seseorang ini, saya ingin menyanyikan lagu ini terlebih dahulu.

"Saya juga ada hadiahkan sesuatu untuk beliau tapi bukan kek, sebaliknya pulut kuning," katanya.

Anwar yang mengenakan persalinan persis pahlawan Melayu lengkap turut mengangkat tangan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Nasir.

Nasir terus menjentik emosi apabila meneruskan persembahan dengan menyanyikan lagu Balada Seorang Teman sebagai 'tribute' kepada pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.

Ketika menyanyikan lagu itu, layar gergasi di pentas menayangkan visual Anwar bertemu Allahyarham Haniyeh yang terbunuh di Tehran, Iran, baru-baru ini.

Allahyarham Haniyeh dilapor terbunuh dalam serangan Zionis ke atas kediamannya di Tehran.

Menerusi konsert yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment itu, Nasir bukan sahaja membawakan lagu dari album, malah menghiburkan penonton dengan lagu ciptaannya yang diberi kepada Search, Alleycats, Datuk Awie, Allahyarham Seha, BPR, Kristal, Def Gab C dan Rahim Maarof.

Konsert Datuk M N45IR Cipta menterjemah perjalanan 45 tahun Nasir dalam dunia seni.


Rabu, Mei 29, 2024

Bukan mudah jadi M.Nasir

 petikan Kosmo! 29 Mei 2024

Oleh Haryati Karim

"TIADA lagi M. Nasir yang lain." 

Demikian kata sifu muzik, seorang legenda yang masih dianugerahkan hayat dan kesihatan bernama Datuk M. Nasir. Bukan mendabik dada, tetapi itulah fakta bahawa memang tiada insan seni sepertinya pada hari ini.. 

Dalam tempoh 45 tahun kembara keseniman, profil kerjayanya cukup cemerlang sebagai penyanyi, pencipta lagu, pelakon, pelukis, pengarah dan penerbit album. 

Bahkan kerana itulah, beliau digelar 'sifu' oleh penggiat seni tanah air. Ditebak sukar atau tidak menjadi seorang M. Nasir, beliau hanya ketawa. 

"Susah dan senang. Susah kerana untuk membentuk seorang M. Nasir pada hari ini saya perlu melalui zaman 1960- an, 1970-an, 1980-an, 1990-an dan 2000, barulah jadi M. Nasir. 

"Orang lain yang lahir pada zaman ini, dia tidak akan menjadi M. Nasir sebab tidak melalui zaman itu.

 "Jika ditanya, ada atau tidak lagi M. Nasir, saya rasa mungkin tidak ada. Sama seperti orang cakap ada lagi yang sama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee? Jawabannya memang tidak ada," kata M. Nasir sarat bayangan. 

Mencapai tahap seorang maestro sepertinya bukanlah sesuatu yang mudah, sama seperti orang lain beliau juga melalui jatuh bangun dalam karier. 

"Sepanjang karier cukup indah, ada naik turun dan bergelombang serta banyak drama (ketawa). Cuma saya bukan jenis orang yang suka tunjuk dan kongsi masalah saya.

Walaupun sukar dan mencabar, bagi saya itu satu 'ride' yang menyeronokkan umpama roller coaster," ujarnya. 

Namun tidak ramai yang tahu, pada zaman kemuncaknya sekitar tahun 1990- an, beliau pernah hampir berputus asa dengan industri muzik. 

"Putus asa dalam muzik itu berlaku apabila saya buat sesuatu tetapi tidak menjadi. Saya melihat dunia hiburan tidak kesampaian seperti apa yang impikan. 

"Perjalanannya tidak cantik, rasa hormat orang pada kita pun kurang. 

"Walhal waktu itu, saya pada zaman pertengahan karier, tengah rancak," kongsi suami kepada aktres Datin Marlia Musa itu lagi. 

Bertuah 

Meskipun begitu, penerima Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 itu berasa bertuah kerana karya-karya nukilannya menjadi siulan peminat.

 "Melihat perjalanan karier secara peribadi, saya rasa bernasib baik.

Perjalanannya tidak cantik, rasa hormat orang pada kita pun kurang. Walhal waktu itu, saya pada zaman pertengahan, karier tengah rancak."

 Pertama saya pencipta lagu dan saya menghasilkan banyak lagu. 

"Saya juga buat banyak lagu hit berbanding orang lain. Ramai orang melihat kejayaan daripada sudut itu. Tapi P. Ramlee, beliau buat 200 buah lagu sahaja tetapi dikenang sehingga hari ini. 

"Saya pula perlu buat sebanyak 3,000 buah lagu untuk sampai ke tahap ini. Dunia berubah, semua sudah menjadi komersial," tuturnya yang merupakan komposer paling banyak memenangi trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu sebanyak empat kali. 

Pada usia 67 tahun, pemilik nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed kekal ligat berkarya dan tidak pernah terfikir untuk bersara. 

Baginya muzik adalah makanan jiwa dan pekerjaan yang sudah sebati dengan diri. Beliau akan terus berkarya selagi terdaya. 

"Kalau bersara rasa susah nak hidup, risau juga. 

"Sebab saya suka dengan bidang mencipta lagu. Kita buat daripada benda itu tidak ada, kemudian ada 'bentuk' (dagu) dan kemudian orang suka. 

"Itu satu nikmat yang orang lain tidak dapat. Susah hendak cakap bila saya akan berhenti. "Selagi saya dapat nikmati itu sukar untuk saya berhenti," kata M.Nasir.

Dalam perkembangan terbaharu, M. Nasir bakal menggegarkan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur menerusi Konsert Dato' M.N45ir Cipta anjuran Icon Entertainment pada 10 Ogos depan. 


Orang marah 

Berbicara tentang konsert, M. Nasir bakal mendendangkan sekitar 40 buah lagu. Menariknya, beliau akan turut menyanyikan karya ciptaannya yang dinyanyikan penyanyi lain. 

"Lagu wajib yang akan saya nyanyikan sudah tentulah Mentera Semerah Padi. Itu kalau saya tidak nyanyi penonton akan marah (ketawa). 

"Lagu lain mungkin Hijab Kekasih, Senandung Semalam dan sebuah lagu yang ramai orang suka tetapi tidak dimainkan di radio iaitu Siapa Gadis Ini yang saya tulis untuk Allahyarham Sudirman," terang M. Nasir. 

Beraksi di pentas konsert sudah tentu berbeza dengan persembahan biasa atau berskala kecil. Tahap stamina dan kesihatan menjadi keutamaan. 

Tiada latihan dan rutin yang khusus, M. Nasir sebaliknya sentiasa bersedia untuk menghiburkan peminatnya. "

Seorang pelaku (penghibur) dia patut sentiasa bersedia sebab sentiasa melakukan persembahan," luah M. Nasir. 

Tiada lain harapan bagi M. Nasir, usai konsert beliau mahu peminat kelak pulang dengan hati yang puas. 

"Saya akan beri tenaga saya dan lagu- lagu nostalgia yang malar segar serta lagu hit kegemaran ramai," tuturnya yang turut mengadakan pameran lukisannya di Galeri Puteh, Bangsar, Kuala Lumpur sempena konsert tersebut. 

Tiket-tiket konsert berharga RM238 sehingga RM588 mula dijual sejak 27 Mei lalu menerusi laman web, www.ticket2u.com.my

Isnin, Mei 27, 2024

'Ada lagi M Nasir lain?'

petikan Harian Metro 27 Mei 2024

Syafil Syazwan Jefri -  syafil.syazwan@hmetro.com.my

PENGORBANAN masa dan tenaga, tekanan dari industri serta tanggungjawab kepada keluarga adalah antara suka duka yang perlu dihadapi.

Datuk M Nasir yang digelar 'sifu' bukan sebarang penyanyi, pencipta dan penulis lirik, tetapi seorang maestro yang mengukir sejarah dalam dunia muzik tanah air selama 45 tahun.

Kehebatan dan kebijaksanaan seninya meninggalkan jejak mendalam dalam setiap jiwa yang menyelami karyanya.

Namun, di sebalik kejayaan yang diraih, M Nasir juga melalui pelbagai cabaran peribadi. Kehidupan seniman bukan mudah, terutama apabila berhadapan kritikan dan jangkaan yang tinggi.

Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya. Nama M Nasir terus teguh berdiri, menjadikan setiap cabaran sebagai inspirasi untuk terus berkarya.

"Saya tak pernah tunjuk (kesengsaraan). Saya mana ada kongsikan apa-apa. Saya selalu disokong kawan-kawan. Kalau anda bertanya mengenai fasa sukar, kena tahu apa maksud sukar itu. Bagi saya, saya seronok dengan cabaran itu.

"Ada juga saat yang rasa 'berat', tapi tidak terlalu 'berat' sangat. Saya melihat dunia hiburan ini, tidak sampai kepada apa yang saya jangkakan. Ia tidak indah sangat. Orang punya rasa hormat kepada kita pun kurang.

"Kalau mengenai jangkaan pula, saya ini orang yang kalau ada lawak bodoh pun, saya akan ketawa. Tapi, orang tak tahu apa jangkaan saya," katanya.

Pengorbanan masa dan tenaga, tekanan dari industri serta tanggungjawab kepada keluarga adalah antara suka duka yang perlu dihadapi.

Dia percaya bahawa seni adalah cerminan jiwa dan emosi. Dan itu yang ingin disampaikan melalui setiap lagu dan lirik yang dicipta.

"Bila memandang karier saya, saya rasa nasib saya baik kerana pertama, saya pencipta lagu dapat buat banyak lagu dan banyak lagu hit berbanding orang lain.

"Orang melihat pencapaian seseorang itu dari sudut itu. Tapi, kalau macam Tan Sri P Ramlee, dia buat 200 lagu saja, manakala saya buat 3,000 lagu. Maksudnya, saya kena buat 3,000 lagu untuk sampai ke tahap ini. Dunia berubah, dah jadi komersial," katanya.

Ditanya mengenai jangka hayat usia kariernya, M Nasir berpegang dengan prinsip bahawa dia terus berkarya selagi terdaya.

"Selagi saya rasa saya boleh berkarya dan itu sebahagian satu pekerjaan. Bila bersara, rasa susah nak hidup. Saya risau juga.

"Tapi, saya suka dengan bidang mencipta lagu ini. Kita buat daripada benda itu tak ada, kemudian ada 'bentuk' dan kemudian orang suka. Itu satu nikmat yang orang lain tak dapat.

"Jadi, susah kalau ditanya bila saya nak berhenti atau apa. Selagi saya dapat rasa nikmat itu, saya susah nak berhenti," katanya.

Hari ini, selepas 45 tahun berkarya, M Nasir dianugerahkan pelbagai penghormatan dan anugerah. Gelaran 'sifu' yang diberikan kepadanya adalah tanda penghargaan terhadap sumbangan besar beliau dalam dunia muzik.

Namun, proses itu bukan semudah yang disangka kerana ia memakan masa berdekad-dekad.

"Susah dan senang. Dua-dua. Susah nak bentukkan diri menjadi saya ini, kena lalui zaman 60-an sehingga sekarang. Bagi yang lahir zaman ini, takkan menjadi M Nasir kerana tak melalui zaman itu.

"Kalau ditanya, akan ada lagi tak M Nasir, saya rasa mungkin tidak. Sama juga seperti kalau orang tanya, akan ada lagi tak P Ramlee? Tak ada. Benda itu berlaku secara semula jadi," katanya.

Kini bersempena 45 tahun pembabitannya dalam dunia seni , M Nasir bakal menggegarkan Axiata Arena Bukit Jalil menerusi Konsert Dato' M.N45ir Cipta anjuran Icon Entertainment yang berlangsung pada 10 Ogos depan.

SELEPAS 45 tahun langkah seni M Nasir tidak pernah terhenti.

"Lima tahun lalu saya dah adakan konsert bersempena 40 tahun perjalanan karier seni saya. Jadi, kali ini kami akan adakan sekali lagi, tapi dalam skala lebih besar dan konsepnya kami akan kembangkan.

"Kami tambahkan lagi lagu yang pernah dinyanyikan saya dan orang lain selama 45 tahun saya berkecimpung dalam industri muzik tanah air," katanya.

Akur dengan kemungkinan bahawa tidak akan dapat memuaskan permintaan semua peminat, M Nasir berkata, matlamat utamanya adalah mengisi jiwa mereka yang hadir.

"Mungkin ramai yang akan minta lagu macam-macam dan saya seberapa boleh akan melayani permintaan anda dengan cara saya sendiri.

"Konsert adalah persembahan daripada penyanyi dan pemain muzik. Kalau saya dapat hiburkan orang dan mereka pulang dengan penuh kegembiraan, jiwa mereka terisi dan dapat belajar sesuatu daripada lagu saya, itu sudah membahagiakan saya," katanya.

Perkataan Cipta yang diangkat menjadi judul konsert ini juga memiliki maksud tersirat daripada perspektif M Nasir sendiri.

"Cipta bermaksud ciptaan. Lebih kepada, yang dicipta. Kalau dari sudut seni muzik dan penciptaan lagu, pencipta itu adalah alat daripada Tuhan untuk mencipta lagu.

"Cipta lebih besar daripada mencipta. Ia lebih merangkumi segalanya dan bukan sekadar mencipta lagu," katanya

Sabtu, Mei 25, 2024

'Sifu tiada tarikh luput'

petikan Berita Harian 25 Mei 2024

Oleh Farihad Shalla Mahmud -farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seperti lagu nyanyiannya, Rajawali Terbang Tinggi, begitu juga diumpamakan perjalanan kerjaya lebih empat dekad, Datuk M Nasir sebagai anak seni.

Sepanjang 45 tahun berada dalam belantara seni, karier figura tersohor ini terus merentas zaman dan tidak pernah bernoktah.

Karya ibarat magis kerana apa sahaja lagu sentuhan M Nasir pasti bertukar menjadi emas.

Buktinya, selain lagu sendiri yang masih menjadi siulan anak muda hingga generasi demi generasi, ciptaannya juga banyak memberi rezeki kepada penyanyi lain apabila tetap diminati dan menjadi malar segar,

Dengan segala kejayaan, pencapaian dan sumbangan diberikan kepada industri muzik tanah air, M Nasir menerima pengiktirafan menerusi penganjuran Konsert Dato' M.N45ir Cipta yang dijadualkan akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Berkongsi pengisian konsert anjuran Icon Entertainment itu, M Nasir berkata, ia adalah gabungan antara audio dan visual, bersesuaian dengan cabang seni diceburinya iaitu muzik, lakonan dan lukisan.

"Sesuai perkataan cipta, konsert berdurasi dua jam ini akan menyaksikan saya mempersembahkan 40 lagu.

"Bukan sahaja lagu yang saya nyanyikan sendiri, tetapi lagu yang saya cipta untuk penyanyi lain.

"Antaranya, lagu Senandung Semalam yang saya tulis lirik awal pembabitan dalam bidang seni.

"Ada juga lagu yang saya rasa bagus, tetapi tak hit seperti Padang Lalang dan Milik Siapakah Gadis Ini.

"Mungkin saya akan nyanyikan juga lagu penyanyi wanita yang saya cipta seperti Rintik Hujan Di Kelopak Mawar dendangan Dayangku Intan dan Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon).

"Turut dinyanyikan dalam konsert adalah lagu daripada filem yang saya lakonkan seperti Kembara Seniman Jalanan dan Merah.

"Sempena konsert ini, saya juga mengadakan pameran lukisan di galeri di Bangsar," katanya kepada BH Online.

Iman Tang menyifatkan penganjuran konsert M Nasir bertepatan dengan visi dan misi syarikat menampilkan hanya ikon dalam konsert. - NSTP/Aziah Azmee

Iman Tang menyifatkan penganjuran konsert M Nasir bertepatan dengan visi dan misi syarikat menampilkan hanya ikon dalam konsert. - NSTP/Aziah Azmee

Tidak hanya mahu memuaskan hati peminat yang membesar dengan lagu nyanyiannya, penerima anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 ini juga berharap, konsert itu dapat menghiburkan peminat baharu dalam kalangan generasi muda.

"Jadi, susunan muzik untuk lagu dalam konsert juga akan digubah mengikut cita rasa muzik semasa, namun masih mengekalkan identiti asal.

"Apa yang penting, konsert ini dapat menghiburkan penonton, mereka balik dengan kegembiraan dan berseronok.

"Saya juga berharap mereka boleh belajar sesuatu daripada konsert ini dan jiwa mereka terisi," ungkap komposer kelahiran Singapura ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Icon Entertainment, Iman Tang menyifatkan penganjuran konsert M Nasir bertepatan dengan visi dan misi mereka.

"Sebelum ini, memang ramai yang bertanya bila saya nak buat konsert M Nasir? Sekarang adalah masa yang sangat tepat untuk kita anjurkan konsert.

"Icon Entertainment hanya buat konsert untuk ikon sahaja dan kami sangat berbesar hati diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini.

"Istimewanya, konsert ini untuk mengimbas semula perjalanan 45 tahun usia kerjaya seni M Nasir, bagaimana banyak menghasilkan lagu untuk penyanyi lain.

"Kita tahu M Nasir banyak menghasilkan lagi hit penyanyi lain, tetapi ramai tak tahu lagu berkenaan dicipta olehnya.

"Jadi, kami mahu semua orang tahu asal usul karya M Nasir," ujarnya

Rabu, Mei 22, 2024

M Nasir akui pernah putus asa, kecewa industri seni tempatan tidak sebaris Korea Selatan

petikan AstroawaniAstroawani 22 Mei 2024

KOMPOSER dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir menyifatkan kerjaya seninya merupakan satu perjalanan yang sangat indah meskipun harus melalui pelbagai onak dan duri.

Kata M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed, tanpa fasa jatuh dan bangun, tidak mungkin dia berada di tahap sekarang.

“Perjalanan seni saya ada naik dan turun. Ia bergelombang. Perjalanan secara keseluruhan itu memang indah kerana ia ciptaan Tuhan.

“Dalam sengsara pun ada keindahannya; ada banyak drama yang harus saya tempuhi,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Keroncong Buat Ana itu berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert ‘DATO’ M. N45IR CIPTA’ yang berlangsung di ibu kota pada Isnin.

Katanya lagi, sepanjang 45 tahun dalam bidang seni, rasa susah dan jatuh itu hanyalah satu fasa yang harus dilalui sahaja.

“Namun, saya bukan sejenis yang suka menunjuk apa yang saya lalui. Saya bukan macam segelintir orang, kalau sakit sikit, kena bagitahu semua.

“Saya selalu disokong oleh kawan-kawan. Jadi, segala kesusahan itu tidak saya rasakan sangat. Bercakap fasal sukar, kita kena tahu dahulu erti sukar yang dimaksudkan.

"Pada saya, cabaran itu menyeronokkan. Ia umpama sebuah perjalanan roller coaster yang menyeronokkan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, penyanyi asal Singapura ini juga akui dirinya pernah berputus asa dengan bidang seni kerana industri tempatan tidak menunjukkan kematangan yang diharapkan.

“Ada juga fasa yang saya rasa ingin berputus asa tapi saya tak ambil berat sangat perasaan itu. Selalunya berlaku bila kita buat sesuatu tapi tidak menjadi.

“Saya melihat dunia hiburan ini tidak kesampaian seperti apa yang saya cita-citakan. Ia tumbuh tapi tidak cantik. Rasa hormat kepada kita pun kurang.

“Saya merasakan perkara itu sejak di pertengahan kerjaya. Bila melihat industri seni di Korea Selatan, dulu kita berjuang bersama-sama tapi sekarang mereka capai ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Kita yang dulu sama-sama berjuang, ada banyak hal yang menghambat kita. Sebab itu kita tak sampai-sampai lagi ke tahap itu,” ulasnya lagi.

Sementara itu, M Nasir turut merasakan dirinya bertuah kerana dikurniakan bakat untuk menghasilkan lagu-lagu yang disukai ramai.

“Bila melihat kepada kerjaya saya, saya rasa nasib saya ini baik. Saya berpeluang mencipta banyak lagu. Saya juga buat banyak lagu-lagu hit berbanding orang lain.

“Mungkin ini kejayaan yang orang luar lihat. Namun, kalau kita lihat karya P. Ramlee, dia hanya membuat 200 lagu sahaja tapi namanya tidak dapat dilupakan.

“Saya kena buat 3,000 lagu untuk cuba sampai ke tahap itu. Antara faktornya kerana dunia sudah berubah dan industri kita sudah jadi komersial,” akhirinya.

Konsert ‘DATO’ M. N45IR CIPTA anjuran Icon Entertainment bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu bakal menyaksikan komposer bergelar sifu itu menterjemahkan perjalanan seni selama lebih empat dekad menerusi nyanyian, lakonan dan seni lukis. -Media Hiburan

Selasa, Mei 21, 2024

M. Nasir Kembali Dengan CIPTA Pada Ogos Ini, Harga Tiket Bermula RM238!

 petikan MURAI 21 Mei 2024

oleh NADDY JOE  



Memilih judul yang ringkas namun mengesankan iaitu CIPTA sebagai nama konsert terkini pada 10 Ogos 2024, ia cukup melambangkan keseluruhan seorang figura seni bernama M.Nasir.

Seantero Nusantara tahu, seluruh karyawan seni sedar dan belajar daripada banyak karya yang telah diciptakan oleh M Nasir. Beliau adalah ‘otak’, ‘arkitek’, maestro, sifu dan semua yang berkaitan dengan penciptaan karya seni yang berkualiti tinggi.

Dan setiap karya yang dicipta oleh pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed ini jarang sekali tidak meledak saat dipasarkan, daripada karya yang dibikin untuk penyanyi solo lelaki dan wanita juga kugiran rock mahupun mengusung genre pop dan balada.

Untuk dirinya yang digelar Meastro, figura berusia 66 tahun ini sentiasa mencipta karya-karya hebat, luar biasa dan malar segar sehingga meraih pelbagai pencapaian dalam belantika muzik.

Maka dengan itu apabila CIPTA dipilih sebagai konsert julung kali dari M. Nasir yang diadakan tahun ini, ia merangkumi semua justifikasi maksud ciptaan itu sendiri.

Dijadual berlangsung pada 10 Ogos 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil, DATO’ M.N45IR  CIPTA dibawakan khas oleh Icon Entertainment yang sentiasa menyokong karyawan seni.

“Icon Entertainment sedar ini bukan pertama kali penonton atau peminat menyaksikan persembahan sifu M.Nasir sepanjang lebih empat dekad pembabitan beliau dalam industri seni Nusantara.

Tapi menerusi inilah pentas yang akan menyajikan pelbagai ciptaan dan kreativiti daripada seorang karyawan seni ditumpahkan lalu menjadi persembahan visual dan audio yang tidak akan pernah dilupakan.

Menerusi DATO’ M.N45IR  CIPTA, peminat akan masuk ke dalam dunia penciptaan beliau yang telah melahirkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi ratusan pemuzik serta penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhan mereka.

Dan di DATO’ M.N45IR  CIPTA, beliau akan mempersembahkan karya-karya yang telah dicipta dalam sebuah bentuk persembahan yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” ujar Iman Tang dari Icon Entertainment.

Di bawah bumbung yang sama, irama dan lagu mengalir masuk ke hati sanubari masing-masing dalam lingkaran kenangan terdahulu yang akan menambahkan momen masa hadapan.

Jadi sudahkan anda bersedia untuk ini? Sebuah konsert berskala besar untuk jiwa-jiwa yang ingin terus meraikan CIPTAAN sifu kesayangan mereka. Sebuah konsert yang sememangnya dinanti-nantikan tahun ini dengan visual, repoirtaire lagu, susunan muzik, pemuzik malah penyanyinya sendiri- Dato M.Nasir yang dihormati segenap usia dan golongan.

Jika sudah, mari kita bersama-sama berkumpul di bawah bumbung Axiata Arena pada  10 Ogos 2024 Axiata Arena untuk mencipta satu lagi sejarah terCIPTA bagi Dato dan penggemar melodi, muzik dan lirik-liriknya.

📍27hb Mei – Tiket Online akan mulai di jual pada pukul 11.00am di platform: www.ticket2u.com.my

Harga tiket bermula dengan RM 238 (AWAN NANO), RM338 (SEJATI), RM458 (FENOMENA), RM488 (CINTA KRISTAL), RM528 (MUSTIKA), RM588 (APOKALIPS) menanti anda.

Jangan lepaskan peluang!




Isnin, Mei 20, 2024

M Nasir 'sukar' bersara, ada nikmat orang lain tak rasa

 petikan Berita Harian 20 Mei 2024

Oleh Farihad Shalla Mahmud  farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penghibur tersohor, Datuk M Nasir belum berhasrat untuk bersara meskipun industri hiburan didominasi artis generasi muda.

Bagaimanapun, satu perkara yang membuatkannya rasa kekok adalah apabila terpaksa bersaing dengan artis baharu setiap kali karyanya terpilih beraksi di pentas pertandingan.

Justeru, Nasir, 67, berkata, peluang itu membuatkannya sentiasa mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan peredaran zaman.

"Sekarang kalau masuk pertandingan, saya sudah jadi orang yang paling tua dalam kalangan peserta. Yang bertanding, budak-budak lagi.

"Tapi, muzik yang saya buat itu, muzik orang muda. Jadi, saya ada sedikit rasa macam mana nak sesuaikan," katanya kepada BH Online.

Mengulas tempoh diberikan untuk bergiat aktif dalam dunia seni, pelakon filem Imam itu tidak meletakkan tanda noktah kepada kerjaya diceburinya sejak 45 tahun lalu.

"Selagi rasa saya boleh berkarya dan itu juga sebahagian satu pekerjaan. Bila bersara, rasa susah nak hidup. Saya risau juga.

"Tapi, saya suka dengan bidang penciptaan lagu. Kita buat daripada ia tak ada, kemudian ada bentuk dan orang suka. Itu satu nikmat yang orang lain tak dapat.

"Jadi, susah kalau ditanya bila saya nak berhenti atau bersara. Selagi dapat rasa nikmat itu, saya susah nak berhenti," ungkap pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed ini

Nasir ditemui pada majlis sidang media Konsert Datuk M Nasir Cipta anjuran Icon Entertainment di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu bakal menyaksikan komposer bergelar sifu itu menterjmahkan perjalanan seni selama lebih empat dekad menerusi nyanyian, lakonan dan seni lukis.


M Nasir tidak meletakkan tempoh kepada kerjaya muzik diceburinya sejak 45 tahun lalu. - NSTP/Rohanis Shukri