ANALITIC

Jumaat, Disember 25, 1998

Merapatkan hubungan artis-penyair

petikan Berita Harian 25 Disember 1998

Oleh Raja Yusoff Ariffin

TANPA diduga, saya duduk bersebelahan dengan pelakon popular Rosyam Nor pada majlis Malam Puisi Malaysia di Kolej Keempat, Universiti Malaya (UM) pada 12 Disember lalu.

Apa yang menarik dan tanpa diduga, perbualan dengan beliau mencetuskan beberapa perkara menarik seperti genre filem arahan Yusof Haslam, penerbitan filem sewaktu ekonomi gawat dan hubungan artis-penyair.

Saya paling tertarik dengan isu hubungan artis-penyair. Ia tercetus sewaktu mengikuti pembacaan puisi Shukri ini, yang Shukri Abdullah yang antara baitnya sinis terhadap artis.

Rosyam kelihatan tidak senang dengan sebahagian puisi Shukri itu, yang menurutnya menyelar dan memandang serong kalangan artis.

Saya hanya tersenyum dan mengatakan itu perkara biasa dan Shukri hanya menggigit sedikit saja dengan ikhlas. Namun, Rosyam membalasnya dengan mengatakan artis tidak pernah menggigit penyair.

Saya cuba menjelaskan lagi: Itu terjadi disebabkan artis tidak mengenali penyair. Maksud saya, itu tidak adil kerana banyak penyair mengenali artis. Lantaran itu boleh memperkatakan mengenai artis.

Rosyam membalas pula dengan mengatakan, itu kerana penyair tidak memperkenalkan diri mereka, maksudnya suka berselindung. Saya menjelaskan, itu bergantung kepada diri artis sendiri, sama ada mahu mengambil tahu atau tidak.

Saya menambah, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said boleh mengenali Noreen Noor, tetapi mengapa Noreen Noor tidak mengenali Samad Said? Begitu juga Shukri sendiri mengenali Siti Nurhaliza, tetapi sebaliknya bagaimana?

Entah kerana berbual mesra dan saling menghormati atau menganggapnya tidak penting, perbualan mengenai isu itu mati begitu saja dan kami berbual soal lain.

Sebenarnya saya, Rosyam dan Shukri antara yang diundang membaca puisi pada majlis anjuran JKP Akademik dan Intelektual, Kolej Kediaman Keempat, UM yang bertemakan Puisi Wadah Masyarakat Berbudaya.

Saya menyampaikan puisi Curiga Dalam Peribahasa, Rosyam dengan Terkulai Jua Akhirnya, sementara Shukri menampilkan Selamat Malam Malaysiaku.

Turut diundang mengambil bahagian ialah Khalid Salleh, Ijamala MN, Mohd Azlan Sulong, Azim Saleh, Nur Zailani Mohd Nuzi, pelakon Umi Aida serta penyanyi Juffekar Ahmad Shah dan Azmi Aris.

Soal hubungan artis-penyair tadi, bagaimanakah jalan penyelesaiannya? Soal ini sebenarnya bukan remeh, malah harus difikirkan bersama.

Selama ini dikatakan hubungan artis-penyair tidak begitu baik dan saling berprasangka. Fenomena ini memang tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Penyair menganggap artis tidak menyumbang apa-apa dalam penyebaran ilmu ke dalam minda peminat, terutama remaja. Artis pula tidak berminat/mencuba memahami apa yang disuarakan penyair dalam karya kepada khalayak.

Kesimpulannya, penyair mengatakan artis sekadar hidup glamor, sementara artis pula mengatakan penyair dan dunianya hanya berkhayal. Sampai bila tuduh-menuduh ini berterusan?

Namun, saya tidak pula menganggap krisis yang agak tenat ini mustahil diselesaikan. Cuma sesuatu yang lebih berkesan perlu dilakukan untuk mengembang lagi sedikit hubungan yang sebenarnya sedia terjalin.

Pada pemerhatian saya, hubungan sedemikian telah agak lama terjalin (cuma tidak diperkatakan). Contohnya, penyanyi, pelakon M Nasir dan Sani Sudin meminati serta memahami puisi.

Begitu juga pengarah filem Datuk Jins Shamsuddin. Mereka kerap diundang menyerikan majlis baca puisi.

Ada pula penyair yang meminati dan memahami karya artis, misalnya Zahari Hasib, Pyanhabib, A Rahim Abdullah, Sutung Umar RS, Dinsman serta Shukri dan Ijamala sendiri.

Demikian juga Zubir Ali yang menerajui kumpulan Harmoni awal tahun 80-an. Kemudian muncul pula Sohaimi Mior Hassan dengan tiga album lagu puisi yang sensasi, Khalid Salleh sendiri artis dan penyair sekali gus.

Penganjuran majlis yang menemukan artis dan penyair memang wajar diadakan selalu. Ketepikan prasangka yang boleh membinasakan kerana setakat ini kesannya agak baik.

Pelakon Raja Azura sudah meminati puisi selain teater kerana beberapa kali terbabit. Begitu juga Umi Aida. Rosyam pula malah boleh menyampaikan puisi dengan baik.

Khalid, Rahim, Sutung, Dinsman, Zahari, Shukri, Ijamala dan beberapa yang lain, boleh memperkatakan soal artis dengan penuh minat. Ulasan mereka agak bernas dan boleh diterima.

Jadi, tamatkan krisis hubungan ini dengan sebaik mungkin. Sebaliknya, bina jambatan seni yang utuh berlandaskan keikhlasan dan saling mengingati.



 M NASIR... bukan saja memahami puisi, malah turut mempersembahkan lagu puisi.

 MIOR HASSAN... lagu puisi sesuai


 BERITA HARIAN (25 DIS '98 / 12/2/99 / RM27.50)