ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label Hari Ibu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hari Ibu. Papar semua catatan

Khamis, Mei 24, 2007

M Nasir ubah sikap, Siti bangga

petikan Harian Metro 24 Mei 2007
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

KOMPOSER dan penyanyi M Nasir pernah mengejutkan penonton apabila menari gemalai mengikut penari ketika majlis Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13), bulan lalu. Baru-baru ini, ketika menjayakan persembahan Hari Ibu, sekali lagi M Nasir kelihatan begitu mesra dengan penonton apabila turun pentas bersalam dan menyanyi bersama mereka.

Ia agak berbeza dengan personaliti M Nasir yang dikenali dengan perwatakan serius sebelum ini. Mungkin itulah penangan daripada album terbarunya, Juwita...Citra Terindah yang memuatkan lagu popular, Sang Pencinta dan Juwita...Citra Terindah. Album ini disifatkan mudah menangkap telinga kerana memuatkan lagu-lagu segar dan ceria.

Kehadiran isteri, Marlia Musa yang menjadi ibu kepada enam anaknya, mungkin satu lagi faktor memberi semangat kepada M Nasir sepanjang menjayakan persembahan sempena Hari Ibu dengan tema Ibu Ratu Hatiku di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak anjuran Mahir Entertainment & Production (MEP).

“Terima kasih kerana membawa saya ke pentas ini meraikan ibu-ibu sempena Hari Ibu. Bagi saya, Hari Ibu satu tanda bahawa kepentingan ibu tidak dapat dinafikan oleh kita semua. Sama ada ia dipanggil ibu, bonda, mama atau apa saja, sememangnya tumpuan anak-anak lebih kepada ibu,” katanya.

M Nasir yang muncul di pentas kira-kira jam 3.40 petang memilih lagu romantis, Raikan Cinta, Sang Pencinta, Kepadamu Kekasih dan khusus buat ibu-ibu yang diraikan, M Nasir persembahkan lagu Bonda.

Selepas menyanyikan lagu Bonda, M Nasir turun pentas bersalaman dengan peminat, kemudian menyanyikan lagu Suatu Masa dan masih berlegar dari meja ke meja bertemu penonton sambil menyanyikan lagu Juwita...Citra Terindah.

Persembahan Hari Ibu itu turut dijayakan Datuk Siti Nurhaliza yang mengambil tempat kira-kira jam 4.15 petang dengan lagu-lagu tradisional, Joget Pahang, Bunga Melur dan Gubahanku.

Katanya, dia rasa sungguh bertuah kerana sekali lagi berpeluang menyanyi di dewan itu menghiburkan ibu sempena Hari Ibu.

“Sudah beberapa kali saya menyanyi di sini. Saya pernah berganding dengan Jamal Abdillah dan pernah juga digandingkan dengan Mawi meraikan Hari Ibu.

“Di pentas ini juga saya pernah berduet dengan ibu, Siti Salmah Bachik. Hari ini saya bangga kerana ibu turut hadir meraikan hari istimewa ini bersama ibu mentua, Siti Zainab Hanafi dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa.

“Malah, persembahan kali ini lebih bermakna kerana hasil kutipan akan disalurkan ke Tabung Yayasan Nurjiwa untuk membantu mereka yang memerlukan. Terima kasih juga atas kehadiran tetamu istimewa, isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Zaharah Kechik,” katanya.

Kehadiran ibu dan ibu mentua Siti pastinya menjadikan hari itu cukup bermakna bagi Siti. Apabila anak perempuan berkahwin, ada kalanya hubungan dengan ibu agak jauh kerana tumpuan diberikan kepada suami dan keluarga baru, tetapi bagi Siti, kesibukannya tanggungjawab sebagai isteri bukan halangan untuk bersama ibu setiap kali ada majlis istimewa. Ibunya juga hadir ketika sambutan ulang tahun Siti yang ke-28 pada 11 Januari lalu.

Siti berkata, dia tidak sempat meraikan Hari Ibu pada 13 Mei lalu kerana ibunya berada di Kuala Lipis, Pahang tetapi dia dan suami meraikan hari istimewa itu bersama mentuanya di rumah.

“Saya bangga dan rasa bertuah pada hari ini dapat berkumpul bukan saja bersama ibu dan ibu mentua, tetapi juga dengan semua yang bergelar ibu, sama ada mereka dipanggil ibu, mak, mama, mami atau umi.

“Bagi saya, ibu seorang yang penyabar, lemah lembut dan saya juga bangga diperturunkan suara ibu tetapi suaranya lebih merdu dari saya. Saya tidak habis lagi menuntut dengannya. Istimewa buat ibu, terima kasih kerana melahirkan, mendidik dan menyayangi saya serta mengajar saya erti kewanitaan, keayuan dan kesopanan.

“Untuk ibu mentua, terima kasih kerana menerima saya dengan baik. Insya-Allah kalau dikurniakan anak dan bergelar ibu, saya akan cuba menjadi ibu yang baik,” katanya.

Khusus untuk ibu, Siti yang anggun dengan baju Tom Abang Saufi memilih lagu Ummi yang pernah dipopularkan Datuk Shake. Lagu lain, Pastikan dan Aku Cinta Padamu. Sebelum kemunculan M Nasir dan Siti, Adibah Noor tampil sebagai pengacara.

Adibah juga tidak mengecewakan penonton apabila turut menyampaikan dua lagu, Hujan dari filem Mukhsin dan Terlalu Istimewa. Kemuncaknya ialah persembahan mereka bertiga dengan lagu Dua Insan yang pernah dipopularkan M Nasir bersama Yunizar Hussein.

Turut hadir sebagai penonton ialah anggota Senario, Mazlan Pet Pet dan penyanyi Ziana Zain. Siti yang melihat kehadiran Lan Pet Pet menjemputnya ke pentas untuk beramah mesra dan memberi ucapan khas buat ibunya. Lan menyampaikan lagu Ibu dengan tiupan trampet tangannya serta menyanyikan sedikit lagu Anak.

Sebaik saja selesai persembahan, Siti bergegas pulang kerana ada undangan lain untuk majlis makan malam. Siti juga difahamkan berangkat ke Makkah keesokan hari (Isnin) untuk menunaikan umrah bersama suami dan dua anak mereka, Muhammad Adib, 16, dan Mohd Asyraf, 14. Mereka dijangka berada di sana selama seminggu.

Selepas ini Siti akan memberi tumpuan kepada rakaman album tradisional yang dijangka untuk pasaran pada November nanti.

Katanya, album kali ini tidak terlalu tertumpu kepada lagu tradisional, sebaliknya lebih kepada tradisional kontemporari yang memuatkan lagu ciptaan Pak Ngah, S Atan, Yassin, Ayob Ibrahim dan juga komposer Indonesia, Katon.

“Buat masa ini masih dalam proses memilih lagu, tetapi saya ada minta lagu daripada ramai komposer. Album ini juga diterbitkan Siti Nurhaliza Production (SNP) dan akan dipasarkan di Malaysia dan Indonesia. Saya dijangka memulakan rakaman Julai ini dan album ini disasarkan untuk pasaran November,” katanya.

Pengarah Urusan MEP, Nor Mahiran Yusoff, berkata dia puas hati dengan sambutan penonton kerana masih menerima tempahan sehingga saat akhir hingga terpaksa ditolak bimbang terlalu padat.

“Alhamdulillah, persembahan hari ini dihadiri kira-kira 900 penonton. Apa yang membanggakan saya, ramai membuat tempahan untuk Meja VIP.

“Saya juga cuba memastikan harga persembahan mampu dibayar semua golongan walaupun menggabungkan tiga nama besar kerana apa yang saya pentingkan ialah penonton puas dan dapat menyaksikan persembahan hebat penyanyi terkenal. Harga yang ditawarkan tidak terlalu tinggi dari RM2,300 untuk Meja Emas, Meja Platinum (RM2,800) dan Meja VIP (RM3,500).

“Terima kasih juga kepada mereka bertiga kerana tidak meletakkan harga tinggi kerana faham ia persembahan amal. Hari ini turut dihadiri ibu-ibu tunggal dari Persatuan Ibu Tunggal Kampung Baru, Kuala Lumpur dan anak yatim dari Sungai Buaya, Banting, Selangor,” katanya.

Jumaat, Mei 04, 2007

Siti, Nasir kongsi cerita dengan ibu tunggal

petikan Berita Harian 4 Mei 2007
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

SEANDAINYA sebelum ini peminat pernah menyaksikan Datuk Siti Nurhaliza membuat kejutan pada persembahan sempena Hari Ibu dengan menyanyikan sebuah lagu secara duet bersama ibu tercinta, Siti Salmah Bachik, apakah tahun ini dia akan sekali lagi mengundang wanita itu untuk berpadu suara dengannya?

Semua itu belum terlintas di fikiran penyanyi wanita popular itu dek jadual persembahan masih agak jauh iaitu pada 20 Mei nanti. Begitupun, Siti mengaku berkemungkinan besar akan membawa ibunya bersama bagi menyaksikan persembahan yang dijayakan bersama M Nasir di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur itu.

Adibah Noor yang baru saja muncul pemenang Persembahan Terbaik serta Lagu Terbaik (Terlalu Istimewa) Hits 1 baru-baru ini, pula bakal menaiki pentas sebagai pengacara.

Lalu, apabila tiga penyanyi hebat berkenaan dikumpulkan oleh Mahir Entertainment & Production, mengapa tidak saja mereka bertiga bergabung suara menyanyikan sebuah atau dua lagu untuk menghiburkan tetamu pada acara yang bakal bermula jam 2.30 petang itu?

“Insya-Allah, jika tidak ada masalah, tentu kami boleh menyanyi bertiga. Selalunya, persembahan begini akan dilakukan sebagai acara finale,” kata Siti yang bekerjasama buat pertama kali bersama sifu M Nasir bagi persembahan sempena Hari Ibu.

Antara lagu yang difahamkan berkemungkinan besar dilagukan bersama pada petang itu ialah Dua Insan atau Ibu.

Ketika majlis sidang akhbar diadakan baru-baru ini, Siti dan Nasir belum menyediakan senarai akhir lagu yang bakal mereka dendangkan. Meskipun begitu, dua artis ternama ini sudah dapat membayangkan sedikit sebanyak bentuk persembahan mereka dengan membawa lagu yang menyentuh tema keibuan, kasih-sayang dan kewanitaan.

Lebih penting daripada semua itu, pastinya derma ikhlas yang disumbangkan peminat kepada golongan ibu tunggal, hasil kerjasama yang dijalin antara Mahir dan Yayasan Nurjiwa.

Menurut Siti, pada majlis minum petang berkenaan, seramai 20 ibu tunggal akan turut diundang dan menerima sumbangan. Selain itu, sebahagian hasil jualan meja akan disalurkan ke Tabung Yayasan Nurjiwa bagi membantu mereka yang memerlukan pada masa akan datang.

“Sebelum ini, Yayasan Nurjiwa memberikan sumbangan kepada mangsa banjir di Johor dan Pahang, serta mengambil bahagian dalam Malay Mail Big Walk. Kali ini, kita bekerjasama bersama pihak penganjur persembahan ini untuk memungut dana bagi membantu golongan yang memerlukan,” ujar Siti yang juga pengasas yayasan berkenaan bersama suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Acara Ibu Ratu Hatiku - Sepetang Bersama Datuk Siti Nurhaliza dan M Nasir itu juga mendapat kerjasama Holiday Villa Group, yang menaja lima cabutan bertuah berbentuk penginapan di Holiday Villa Langkawi, Cherating, Kuala Lumpur dan Alor Star.

Pengarah Urusan Mahir, Nor Mahiran Yusoff, memberitahu, antara agenda istimewa juga ialah peraduan menulis kata puitis mengenai ibu mereka secara spontan pada hari berkenaan. Pemenang akan menerima habuan utama berupa penginapan tiga hari dua malam di Diwangkara Holiday Villa Beach Resort & Spa, Bali.
(Dari kiri) Normahiran, Adibah Noor, Siti Nurhaliza, M. Nasir dan Ahmad Zaki Abdullah selepas sidang akhbar Ibu Ratu Hatiku - Sepetang Bersama Siti Nurhaliza dan M. Nasir, di Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto: Utusan Malaysia
INFO
Sambutan Hari Ibu

HARGA meraikan Hari Ibu bersama Siti dan M Nasir ialah RM3,500 (meja VIP), RM2,800 (meja platinum) , RM2,300 (meja emas). Bayaran boleh dilakukan secara tunai, cek mahupun menerusi kad kredit.

TEMPAHAN boleh dilakukan dengan menghubungi Mahir Entertainment & Production di talian 016-2636132 atau 03-42511469 / 42512469. Anda juga boleh datang sendiri ke pejabat Mahir di Suite 3, 1F-1G, Jalan AU1A/4E, Keramat Permai Business Centre, Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur.

Selasa, April 24, 2007

Soseh-Soseh: Siti, M Nasir jayakan Hari Ibu

petikan Harian Metro 24 April 2007

JIKA sepanjang April penganjur berlumba-lumba mendapatkan penyanyi popular untuk menjayakan Minggu Setiausaha, bulan depan tidak kurang hebatnya untuk persembahan Hari Ibu yang diraikan pada minggu kedua setiap bulan Mei.

Apa yang SS dengar setakat ini ialah Mawi akan menghiburkan kaum ibu di Hotel Palace Of Golden Horses, Jamal Abdillah pula disambar Hotel Quality City centre dan Restoran Seri Melayu memilih gandingan penyanyi Nash dan Aziz Sattar.

Tapi penganjur yang satu ini, Mahir Entertainment & Production (MEP) nampaknya sungguh berani apabila mempertaruhkan tiga nama hebat dalam industri untuk menjayakan persembahan di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab Off Jalan Semarak Kuala Lumpur pada 20 Mei nanti.

Tiga nama gah yang SS maksudkan itu ialah Datuk Siti Nurhaliza, M Nasir dan Adibah Noor. Tidak cukup dengan itu, persembahan mereka selama tiga jam itu nanti diiringi pemuzik diketuai Aubrey Suwito.

Setahu SS setiap tahun MEP memang tampil dengan pemilihan penyanyi terkenal dan popular seperti Siti, Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Khatijah Ibrahim dan Fauziah Latiff.

Siti juga pernah digandingkan dengan Jamal beberapa tahun lalu tetapi inilah kali pertama menggandingkan tiga artis hebat ini. Bagaimanapun SS difahamkan, hanya Siti dan M Nasir yang akan menyanyi manakala Adibah tampil sebagai pengacara.

Walaupun Adibah merupakan penyanyi hebat dan menang pada Anugerah Juara Lagu ke-21 tahun lalu, nampaknya penyanyi Terlalu Istimewa ini tidak keberatan diundang sebagai pengacara. Sebelum ini Adibah juga sudi menjadi pengacara untuk Minggu Setiausaha yang dijayakan bersama Camelia.

Tapi SS difahamkan, peminat Adibah berpeluang mendengar alunan merdu suara Adibah apabila turut menyanyikan dua lagu termasuklah lagu popularnya, Terlalu Istimewa.

SS difahamkan, gandingan Siti dan M Nasir dipilih untuk memberikan kepuasan kepada mereka yang ingin meraikan insan istimewa dan berbaloi dengan bayaran ditetapkan. Ia juga satu projek amal apabila mendapat kerjasama daripada Yayasan Nurjiwa bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Rabu, Mei 17, 2006

Bonda keramatnya sebuah lagu

petikan Utusan Malaysia 17 Mei 2006
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

KELMARIN kita menyambut Hari Ibu. Sana sini orang bercakap fasal Hari Ibu. Kompleks membeli–belah dan restoran lima bintang pun turut sambut Hari Ibu.

Mereka mungkin tersenyum mengira untung pada Hari Ibu. Semua ini sangat materialistik dan begitulah apabila Hari Ibu dikomersialkan sedemikian rupa. Biarlah.

Saya ingin menarik perhatian pada sebuah lagu ciptaan M. Nasir, Bonda. Ini lagu lama, kalau tidak silap sudah berusia 15 tahun. Tetapi apabila lagu ini bercakap tentang suara hati seorang anak terhadap ibunya, Bonda tidak ada batas usia.

Kesan kepada kita jauh lebih mendalam daripada merayakan ibu dengan menjamu selera atau hadiah yang mahal. Lagu ini sememangnya rapat dan sebati dengan jiwa semua orang tanpa mengira siapa dan apa darjat mereka.

Semalam hampir semua stesen radio dan televisyen pula menyiarkan lagu-lagu yang bertemakan kasih ibu. Kita mempunyai banyak lagu yang bertemakan kasih sayang ibu, ada yang didaktik, kontang dan tidak kurang mirip syarahan. Tidak kisahlah kalau ia boleh memberikan sesuatu kepada yang mendengarnya.

Tetapi antara lagu-lagu itu, Bonda terasa sangat mengganggu kita. Kepada siapa yang menghayati lirik lagu ini pasti akan terasa basahnya kucupan ibu sewaktu kecil dulu. Itulah rahsia keramat dalam Bonda yang membawa kita menyelusuri relung hidup masa lalu.

Tanpa dipaksa-paksa, suara M. Nasir dan lirik Loloq melontarkan semacam pengalaman peribadi yang dilalui oleh semua orang.

Semalam Bonda memberikan satu perasaan yang sangat hiba. Dalam keriuhan orang menyambut Hari Ibu dengan cara yang menjurus berpesta-pestaan, Bonda mengutuskan suatu menginsafkan kepada kita semua.

Banyak lagu lain sekadar menyapu lapisan luar dengan bahasa yang miskin keindahannya. Mungkin faktor inilah yang meminggirkan lagu-lagu stereotaip daripada jiwa dan penghayatan kita.

Bonda membuatkan kita mahu segera terbang pulang ke pangkuan ibu yang jauh di mata. Ini kerana lagu ini mengingatkan satu fragmen kasih ibu yang tidak terukur nilainya. Kadang-kala apabila ibu jauh di mata, si anak terlupa seketika dan Bonda mengingatkan kembali hakikat ini.

Apabila lagu Bonda memberikan semacam satu yang menginsafkan, demikianlah kuasa sebuah karya yang baik kepada khalayaknya. Apa lagi yang diperlukan oleh sebuah karya seni kalau bukan memberikan satu peringatan ke arah kebaikan kepada khalayak?

Ketika ditanya mengenai Bonda, Loloq cuma berkata, apabila jauh merantau, kita pasti akan terkenang kepada tangis dan gurindam keramat seorang ibu.