ANALITIC

Rabu, September 16, 2026

Apa yang membuatkan 'Mansur dan Liu' istimewa? Jawapannya, M. Nasir…

petikan Astro Awani 16 September 2026

oleh Saharudin Musthafa

Aliff Aziz menyerlah sebagai Sultan Mansur Syah dengan aura seorang pemerintah yang berwibawa, sementara Melinda Dadew pula membawa watak Puteri Liu dengan penuh kelembutan dan karisma.

ADA pementasan yang ditonton kerana cerita. Ada yang ditonton kerana pelakonnya. Dan ada yang ditonton semata-mata untuk menikmati keajaiban seni yang dipersembahkan di depan mata. 

Mansur dan Liu berada dalam kategori terakhir.

Sejak tirai dibuka di Panggung Sari, Istana Budaya, penonton terus dibawa ke era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka menerusi sebuah produksi berskala besar yang boleh dianggap antara teater muzikal paling mega pernah dipentaskan di negara ini.

Lebih menarik, karya ini merupakan debut pengarahan teater oleh maestro seni tanah air, Datuk M. Nasir.

Namun, seperti mana yang dijangka daripada seorang seniman yang sudah puluhan tahun membentuk landskap muzik Malaysia, sentuhan beliau jauh daripada biasa.

Apa yang dipersembahkan bukan sekadar kisah cinta antara Sultan Mansur Syah dan Puteri Liu, sebaliknya, sebuah pengalaman teater yang menggabungkan muzik, lakonan, visual dan emosi dalam satu pakej yang lengkap.

Antara perkara pertama yang mencuri perhatian ialah rekaan pentas yang begitu megah. 

Mansur dan Liu membuktikan bahawa sebuah pementasan sejarah masih mampu bercakap tentang isu semasa tanpa kehilangan nilai seninya. 

Set yang dibangunkan berjaya menghidupkan suasana Melaka sebagai sebuah empayar perdagangan yang gah dan dihormati. 

Dari istana hingga ke pasar, setiap sudut pentas dipenuhi perincian yang menjadikan penonton seolah-olah sedang melihat sebuah filem epik yang hidup di depan mata.

Kehebatan visual itu diperkukuhkan lagi dengan busana yang boleh dianggap ekstravaganza. 

Setiap kostum tampil penuh warna, kemewahan dan identiti tersendiri. Sama ada busana pembesar istana, pakaian rakyat Melaka mahupun persalinan watak-watak dari China, semuanya dirancang dengan teliti sehingga memberikan dimensi visual yang mengagumkan sepanjang pementasan.

Satira politik

Namun, di sebalik kisah percintaan diraja dan kemegahan visual yang dipaparkan, Mansur dan Liu sebenarnya menawarkan lapisan cerita yang lebih menarik untuk diterokai.

Ia bukan sekadar muzikal sejarah, tetapi juga sebuah satira politik yang diterjemahkan secara sopan dan beradab. 

Melalui watak Syahbandar yang tamak kuasa, suka menghasut, memanipulasi keadaan dan sanggup menggadaikan kepentingan negeri demi agenda peribadi, M. Nasir seakan mengajak penonton melihat persamaan antara sejarah dan realiti semasa.

Menariknya, kritikan itu tidak disampaikan secara keras, sebaliknya, ia disulam kemas dalam dialog, lagu dan perjalanan naratif. 

Penonton yang hadir untuk menikmati hiburan akan disajikan sebuah muzikal yang mengasyikkan, manakala mereka yang gemar membaca makna di sebalik cerita pasti akan menangkap sindiran halus mengenai kepimpinan, integriti, kerakusan kuasa dan masa depan sesebuah bangsa.

Di sinilah kekuatan sebenar M. Nasir sebagai pencerita. 

Beliau tidak memilih jalan mudah dengan memberikan jawapan atau penghujahan secara terus. 

Sebaliknya, beliau membiarkan penonton berfikir dan membuat tafsiran sendiri. 

Pendekatan itu menjadikan Mansur dan Liu lebih matang dan berbekas berbanding sebuah muzikal sejarah yang hanya bergantung kepada nostalgia dan romantisme semata-mata.

Namun sehebat mana mesej yang cuba disampaikan, kekuatan utama Mansur dan Liu tetap terletak pada muzik.

Di sinilah M. Nasir membuktikan mengapa beliau terus dianggap legenda yang sukar ditandingi. 

Lebih 30 buah lagu dan skor muzik asli yang dihasilkan bukan sekadar menjadi selingan, tetapi bertindak sebagai jantung yang menggerakkan keseluruhan cerita. 

Ada momen yang gah dan membakar semangat, ada yang romantis dan menyentuh perasaan, malah ada juga yang mengundang ketawa dan menghiburkan.

Keupayaan M. Nasir menggabungkan unsur muzik tradisional Melayu dengan susunan moden dan orkestral memberikan warna yang tersendiri kepada pementasan ini. 

Muziknya tidak pernah terasa dipaksa, sebaliknya mengalir secara organik bersama naratif penceritaan. 

Malah ada beberapa lagu yang terus melekat dalam ingatan sebaik sahaja tirai ditutup.

Dari aspek lakonan, hampir semua watak tampil dengan prestasi yang meyakinkan.

Aliff Aziz menyerlah sebagai Sultan Mansur Syah dengan aura seorang pemerintah yang berwibawa. 

Penampilannya cukup meyakinkan, manakala kekuatan vokalnya membantu menghidupkan banyak adegan penting dalam pementasan.

Melinda Dadew pula membawa watak Puteri Liu dengan penuh kelembutan dan karisma. Keserasian beliau bersama Aliff menjadi antara faktor utama yang menghidupkan hubungan antara dua watak tersebut.

Sementara itu, Amerul Affendi membuktikan sekali lagi keupayaannya sebagai pelakon pentas yang luar biasa. 

Watak Syahbandar yang dibawanya cukup berkesan sebagai antagonis yang penuh muslihat dan menjadi pemangkin utama konflik sepanjang cerita.

Barisan pelakon lain seperti Taqim Zaki, Brian Chan, Hazama dan Sherry Alhadad turut memainkan peranan dengan baik dan memastikan momentum pementasan sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

Koreografi tarian dan adegan tempur pula antara elemen yang paling menghiburkan.

Setiap pergerakan dirancang dengan kemas dan berjaya menambah dinamika kepada penceritaan. Terdapat banyak babak yang terasa sinematik walaupun hanya berlangsung di atas pentas.

Apa yang paling mengagumkan ialah bagaimana semua elemen ini berjaya bergerak seiring tanpa ada satu pun yang menenggelamkan yang lain. 

Muziknya kuat, visualnya memukau, lakonannya mantap dan ceritanya mudah diikuti.

Secara keseluruhannya, Mansur dan Liu ialah sebuah karya besar yang mengesahkan kedudukan M. Nasir sebagai figura seni luar biasa. 

Beliau bukan sekadar menghasilkan sebuah muzikal, tetapi sebuah pengalaman teater yang lengkap dan mempesonakan. 

Dengan set pementasan yang megah, kostum yang ekstravaganza, barisan pelakon yang cemerlang serta lebih 30 lagu dan skor muzik asli yang menjadi nadi penceritaan, Mansur dan Liu wajar dianggap antara teater muzikal terbaik pernah dipentaskan di negara ini.

Lebih membanggakan, karya ini membuktikan bahawa sebuah pementasan sejarah masih mampu bercakap tentang isu semasa tanpa kehilangan nilai seninya. 

Dalam tangan M. Nasir, kisah Sultan Mansur Syah dan Puteri Liu menjadi lebih daripada sekadar cerita cinta atau catatan sejarah. 

Ia berubah menjadi cerminan tentang kepimpinan, perpaduan, pengkhianatan dan harapan terhadap masa depan sebuah bangsa.

Apabila lampu pentas dipadamkan dan alunan muzik terakhir M. Nasir berakhir, penonton meninggalkan dewan dengan satu kesimpulan yang sukar disangkal: Mansur dan Liu bukan sekadar sebuah teater muzikal, tetapi sebuah pengalaman seni yang meninggalkan kesan mendalam. 

Ia mengangkat sejarah, meraikan pertemuan budaya dan pada masa sama mempamerkan kehebatan seorang seniman yang terus membuktikan sentuhannya belum kehilangan magis. 

Bagi mereka yang masih belum berkesempatan menyaksikannya, Mansur dan Liu akan terus dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 20 September 2026, menjadikannya antara persembahan yang wajib ditonton oleh pencinta seni teater tempatan.

Sabtu, September 12, 2026

Puas hati tiada dalam perbendaharaan kata saya - M Nasir

petikan Berita Harian 12 September 2026

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin 

M Nasir dan Marlia ketika tampil di pentas sebaik teater muzikal Mansur & Liu dipersembahkan pada malam pembukaan, Rabu lalu. Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Tiada istilah berpuas hati dalam kamus hidup Datuk M Nasir, meskipun karya sulung arahannya di pentas teater, iaitu Mansur dan Liu mendapat maklum balas memberangsangkan pada malam pratonton di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Rabu lalu.

Bagi maestro muzik itu, pementasan berskala besar berkenaan bukan sahaja menandakan langkah pertamanya sebagai sutradara teater, malah, menuntut komitmen serta piawaian seni yang tinggi.

Mengulas pementasan pertama itu, M Nasir meluahkan rasa syukur apabila barisan pelakon berjaya melepasi tahap yang diharapkannya sejak fasa awal latihan.

"Puas hati tidak ada dalam perbendaharaan kata saya. Tetapi, saya sangat bersyukur kerana mereka (barisan pelakon) melepasi atau mungkin sampai 'par' daripada apa yang saya harapkan daripada mereka.

"Saya faham dan tahu mereka boleh buat lebih daripada itu," katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton Mansur dan Liu di IB, Rabu lalu.

Akui M Nasir, antara cabaran paling getir sepanjang mengemudi naskhah berkenaan adalah mencari pelakon yang benar-benar memiliki keupayaan vokal mantap di atas pentas.

"Apabila kita tampil dengan konsep teater muzikal ini, kita perlukan pelakon yang boleh menyanyi dengan baik.

"Bukan pelakon yang sekadar boleh menyanyi, sebaliknya, boleh menyanyi dengan baik, terutama pelakon utama," katanya.

Jelas M Nasir, kriteria yang ditetapkan amat tinggi sehingga ada kalanya sukar untuk menjelaskan kepada umum mengenai pemilihan barisan pelakon yang dibuat.

"Kita mahukan kriteria itu, di mana keperluannya sangat-sangat tinggi. Jadi susah saya hendak jawab pada orang kenapa tidak ambil (pelakon) ini, kenapa tak ambil itu," katanya.

Berkongsi pengalaman duduk di kerusi pengarah, M Nasir mengakui imaginasinya lebih terarah seperti seorang pengarah filem sebelum diterjemahkan ke ruang fizikal pentas teater yang luas.

"Saya ini banyak imaginasi dan saya melihat seperti seorang direktor filem. Waktu hanya berlatih dalam satu bilik, kita hanya dapat bayangan begini dengan ruang yang begini.

"Tetapi, apabila kita pergi ke pentas yang besar macam itu, kita sudah harus memikirkan macam mana hendak mengisi ruang yang besar itu," jelasnya.

Bagi mengatasi cabaran itu, M Nasir merakamkan penghargaan kepada kru teknikal dan penolong pengarah yang banyak membantunya menterjemah visi berkenaan ke pentas.

Beliau turut berseloroh mengenai gaya komunikasi yang adakalanya memerlukan bantuan orang lain bagi menyampaikan maksud arahannya kepada pelakon.

"Mungkin saya tidak pergi kepada pelakon terus, tapi saya suruh orang lain yang buat, iaitu penolong pengarah saya.

"Orang mungkin susah nak cakap dengan saya sebab bahasa saya agak berlapis-lapis. Tetapi, saya ada pembantu yang memahami saya dan mereka ada kreativiti sendiri," katanya.

Menyentuh mengenai gubahan lagu dan skor muzik, komposer tersohor itu menjelaskan penyesuaian lagu dengan perwatakan lahir daripada pengalamannya selama lima dekad dalam dunia seni.

"Itu 'craft' yang saya mahir sejak 50 tahun dulu, jadi tidaklah susah. Apabila kami sudah cuba kenali Mansur dan Liu dalam skrip ini, kita cuba luahkan atau merealisasikan karakter mereka dalam lagu.

"Bagi saya, ia spontan sahaja, tetapi proses perjalanan spiritual agak jauh," jelasnya.

M Nasir turut mendedahkan minatnya terhadap lagu klasik Cina sejak zaman kanak-kanak di Singapura banyak membantunya menghasilkan sentuhan muzik untuk watak Puteri Liu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan merakamkan semula lagu-lagu pementasan itu pada masa akan datang, namun, menegaskan perkara berkenaan perlu diteliti dari sudut teknikal dan perniagaan terlebih dahulu.

Sementara itu, Penerbit Mansur & Liu, Datin Marlia Musa menyifatkan penerbitan naskhah itu sebagai perjalanan yang amat menyentuh emosi buat dirinya sekeluarga.

Produksi berkenaan turut diterbitkan bersama anaknya, Suci Musalmah serta rakan penerbit bersama, Iman Tang daripada Icon Entertainment.

Marlia turut mendedahkan kerenah M Nasir sepanjang proses pementasan yang sentiasa menuntut kesempurnaan di atas pentas.

"Terima kasih kepada suami saya yang selalu kena marah sebab dia minta macam-macam. Apa yang anda semua saksikan tadi di atas pentas, itulah macam-macam.

"Dia kata kecil, saya kata besar. Dia kata sikit, saya pula rasa banyak. Jadi semua itu kena diadakan untuk dia," katanya.

Dalam pada itu, Marlia memaklumkan pementasan teater ini digerakkan atas inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat karya teater dinikmati masyarakat umum.

"Ini sebenarnya adalah inisiatif daripada Perdana Menteri untuk menerbitkan teater itu sebagai satu persembahan yang mahu ditonton oleh ramai orang. Jadi Mansur dan Liu harus ditonton oleh semua orang," katanya.

Marlia menjelaskan pementasan berkenaan berlangsung hampir tiga jam, merangkumi dua babak dengan selingan rehat selama 15 minit.

Istimewanya, setiap lagu dinyanyikan secara langsung dengan iringan muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan bersama pemuzik jemputan.

Pelakon utama yang menggalas watak Sultan Mansur Shah, Aliff pula meluahkan rasa terharu apabila usaha gigih mereka sepanjang tempoh latihan lebih dua bulan akhirnya dapat dipersembahkan kepada khalayak.

"Saya masih tidak tahu hendak kata apa dengan pengalaman malam pertama ini, apatah lagi ini adalah pementasan sulung saya.

"Harapan saya, semoga persembahan akan datang dapat dibuat dengan lebih baik dan lebih magis lagi daripada hari ini," katanya.

Bagi Melinda yang memegang watak Puteri Liu, dia menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya, meskipun pementasan ini adalah pengalaman sulungnya dalam dunia lakonan.

Jumaat, September 11, 2026

‘Permintaan M. Nasir, dia nak saya nampak lebih gatal’

petikan KOSMO 11 September 2026

Oleh Nur Emira Saizali

KUALA LUMPUR – Profesional ketika bekerja, pelakon Arena Wan menegaskan babak memeluk penyanyi Aliff Aziz dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu adalah atas permintaan pengarah, Datuk M. Nasir.

Menurut Arena atau nama penuhnya Arena Wan Mun-Yi binti Iman Wan Tuck Meng, 26, dia diminta oleh seniman itu melakukan perkara tersebut bagi menghidupkan karakter Tun Sri Anem yang mahu mendapatkan cinta daripada Sultan Mansur Shah lakonan Aliff.

“Itu permintaan Datuk. Semasa latihan, dia mahu saya nampak lebih gatal untuk watak itu. ‘Nak lagi gatal! Awak kena jadi macam ular’, begitulah yang dia cakap.

“Saya tidak tipu, memang gementar nak bawa karakter begitu sebab netizen boleh kata apa-apa, saya pun takut.

“Tapi apa yang saya boleh katakan, kami semua sangat profesional. Aliff adalah pasangan dalam lakonan yang hebat. Dia juga banyak bantu dan beri semangat kepada saya untuk bahagian nyanyian,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Dalam pada itu, bagi mengelak sebarang salah faham, Arena memberitahu hubungannya dengan Aliff sepanjang sesi latihan teater tersebut seperti abang dan adik.

Jelasnya, bapanya yang juga komposer Iman Wan juga memintanya mengutip ilmu daripada Aliff yang dilabelnya sebagai penyanyi hebat di pentas.

“Saya dengan dia macam adik-beradik. Di tempat teater, kami saling memanggil ‘bro, sis’. Fakta menarik, ayah saya, Iman Wan pernah menghasilkan lagu-lagu untuk Aliff ketika dia berusia 16 tahun.

“Ketika saya beritahu ayah akan bekerja dengan Aliff, dia melabel Aliff sebagai penyanyi hebat dan minta belajar banyak daripadanya termasuk cara buat persembahan pentas.

“Aliff juga ada mesej ayah saya dan beritahu kami akan bekerja bersama untuk teater ini,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai Mansur & Liu, dia berharap orang ramai menerima hasil lakonannya di pentas teater yang oertama kali dilakukan sejak bergelar anak seni

“Alhamdulillah untuk persembahan malam pratonton, bukan mudah dan sangat susah sebab pertama kali berlakon teater.

“Kemudian perlu menyanyi pula tetapi saya syukur diberikan peluang ini, bergandingan pula dengan Ruzana Ibrahim, dia sangat hebat.

“Terima kasih kepada M. Nasir dan Datin Marlia kerana percaya saya pegang watak ini,” ujarnya.

Teater muzikal Mansur & Liu dipentaskan sejak semalam sehingga 20 September depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Selain Aliff dan Arena, Mansur & Liu turut dibarisi Melinda Dadew, Amerul Affendi, Hazama, Brian Chan, Fadhli Masoot, Taqim Zaki, Sherry Alhadad, Fiza Thomas dan Anas Ridzuan. – KOSMO! ONLINE