ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label Loloq. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Loloq. Papar semua catatan

Isnin, Mei 02, 2011

Fragmen: Sastera dan pengaruh seni kata lagu

petikan Berita Harian 2 Mei 2011
Oleh Zainuri Misfar

Penulis lirik sering tidak dipandang tinggi berbanding penyanyi, pemuzik

HAMADA Ben Amor berusia 21 tahun, rakyat Tunisia. Dia bukanlah seorang pemimpin. Hamada yang juga dikenali sebagai El General ialah penulis seni kata dan penyanyi lagu hip hop.

Bagaimanapun, lirik tulisannya berjudul Rais Lebled atau bermaksud Head of State meletakkan tersenarai sebagai 100 orang paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time untuk isu istimewa keluaran Mei. Tersenarai dalam majalah ini ialah tokoh pemimpin dunia, aktivis kemanusiaan, nasionalis, pakar ekonomi termasuklah Presiden Amerika, Barack Obama, Muqtada al-Sadr, Oprah Winfrey, Arnold Schwarzenegger, Michelle Obama, Mohamed ElBaradei, Prince William dan Kate Middleton hinggalah kepada Ted Tunner serta Justin Bieber. Bagaimanapun, penyenaraian Hamada ben Amour sangat menarik untuk difikirkan. Ia menunjukkan betapa besarnya pengaruh seni kata lagu yang ditulis dan dinyanyikan dalam muzik genre hip hop. Ini adalah antara petikan seni kata lagu Head of State yang ditulis oleh Hamada.

“Mr. President your people is dead,
many people eat from garbage,
and you see what is happening in the country,
misery everywhere and people who have not found a place to sleep,
I am speaking in name of the people
who are suffering and were put under the feet”

Seni kata lagu Rais Lebled atau Head of State ini memberi inspirasi kepada rakyat Tunisia untuk bangun menentang dan seterusnya menjatuhkan Presiden negara itu, Zine el Abidine Ben Ali. Malahan seni kata lagu ini juga turut memberi inspirasi kepada rakyat Mesir malahan dijadikan lagu membangkitkan semangat kepada golongan penentang Presiden Hosni Mubarak dalam perhimpunan besar-besaran di Dataran Tahrir di Kaherah.

Begitulah besarnya pengaruh seni kata pada sesebuah lagu. Ia bukan saja sekadar sedap didengar tetapi boleh memberikan inspirasi dan seterusnya mempengaruhi pendengar.
Di Malaysia, penulis seni kata lagu atau lirik ini tidaklah dipandang besar seperti mana pemuzik atau penyanyi. Kita juga memiliki penulis seni kata yang hebat daripada zaman Tan Sri P Ramlee, Datuk Jamil Sulong, S Sudarmaji hinggalah kepada Lukhman S, Chuari Selamat, Habsah Hassan, S Amin Shahab, Datuk M Nasir, Bob Lokman, Allahyarham Seribayu, Allahyarham J.S Kevin, Amran Omar dan Wan Zul.

Selepas ketiadaan Loloq, kita masih tercari-cari penulis seni kata angkatan baru yang benar-benar menonjol.

Sebagai pendengar, ramai beranggapan peranan penulis lirik ini sebagai tidak penting. Yang dipandang adalah penyanyi. Ada yang lebih malang, penyanyi pun tidak mengenali penulis lirik untuk lagu yang dinyanyikannya.

Baru-baru ini berlangsung Konsert Untukmu Loloq di Istana Budaya. Selain untuk berhibur, konsert ini sepatutnya menjadi satu acara apresiasi atau penghargaan mengenai seni kata yang ditulis oleh Allahyarham Loloq. Kebetulan seni kata tulisannya disampaikan dalam bentuk popular iaitu muzik dan dinyanyikan oleh penyanyi bernama besar seperti Datuk M Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider.

Antara muzik dan penyanyi popular menjadikan matlamat untuk menghargai hasil karya Loloq menjadi tenggelam. Ramli Sarip, Ella dan Spider dilihat gagal untuk memberi penghargaan terhadap seni kata Loloq yang meninggal dunia pada tahun 2008.

Hanya M Nasir dapat memberikan satu apresiasi yang jelas dan agak sempurna mengenai karya Loloq. Ini selepas beliau menyampaikan lagu-lagu yang seni katanya ditulis oleh Loloq seperti Apokalips, Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah dan Mentera Semerah Padi.

“Ini adalah pertama kali kita mengadakan acara yang memberi apresiasi kepada penulisan lirik. Seni kata Loloq merangkumi pelbagai tema. Ada falsafah, kemanusiaan, sejarah dan cinta. Cinta pun ada macam-macam cinta dibuat oleh Loloq.

“Lagu ini (Adalusia) adalah kisah mengenai keagungan ilmu Islam di Cordoba (Sepanyol). Loloq mengambilnya lalu diceritakan dalam liriknya ini,” kata M Nasir.

Antara petikan seni kata lagu Andalusia ialah;

Pohon salamku pada fakir-fakirmu andalusia
Pohon izinkanlah aku menyelami irama asyikmu
Pohon ku dipinjamkan gabus dan ghazalmu jadi azimat
Supaya dapat aku tari menongkah arus
Sahutlah andalusia

Sebagai orang Melayu, Loloq juga turut menulis mengenai semangat dan jati diri bangsanya. Ini ditekankan menerusi Mantera Semerah Padi. “Loloq memang seorang yang cukup bersemangat mengenai orang Melayu. Semangatnya itu jelas ditulis dalam lagu ini, lagu Mentera Semerah Padi,” kata M Nasir.

Bagi yang tidak pernah mendengar atau menghayati lagu Mentera Semerah Padi, seni katanya memang cukup bersemangat sekali.

Hei! kersani mengalir lah dikau
Menjadi raksa
Mengisi belikat punggungku
Agar aku bisa berdiri
dan segak
Bagaikan laksmana Melayu
Hei! sepuluh helai daun sirih
gentas bersama
Bunga cengkih jadilah dikau
Darah merah pekat
Mengisi uratku
Agar bisa aku berlangkah
Gagah dan tampan
Bagaikan si jantan yang berkokok
mana bumi ku pijak
Di situ langit ku junjung
Alang-alang menyeluk pekasam
Biar sampai ke pangkal lengan
Aku seru mentera pusakaku
Mentera semerah padi

Walaupun mungkin tidak sehebat seni kata Rais Lebled atau Head of State yang ditulis oleh Hamada Ben Amour, tetapi Mentera Semerah Padi ini sebenarnya boleh membangkitkan semangat kepada orang Melayu agar bangkit menyahut cabaran ke atas mereka yang memperkecil-kecilkan bangsa Melayu.

Sebenarnya, sebilangan seni kata lagu ini kalau diperhalusi kaya dengan seni sasteranya. Halus seni bahasanya. Tetapi belum ada mana-mana jabatan pengajian sastera atau bahasa tampil untuk membuat apresiasi mengenai seni kata lagu sebagai sebahagian daripada karya kesusasteraan.

Isnin, April 25, 2011

'Ayat mesti power'

petikan Berita Harian 25 April 2011
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Konsert istimewa mengangkat hasil karya penulis seni kata lagu yang berada dalam darjatnya tersendiri

"Ayat mesti power" itulah ungkapan yang sering dizahirkan oleh penulis seni kata lagu terkenal, Loloq setiap kali ditanya oleh media atau rakan-rakan seni ketika hayatnya.

Ternyata apa yang di cakap itu bukanlah kata-kata kosong. Hasil tulisannya menerusi seni kata memang mudah difahami, senang dihayati selain tidak mudah disebut. Seni kata yang ditulisnya memiliki pengertian tersendiri. Ia mungkin sekadar cinta biasa, tetapi kemungkinan mengenai falsafah hidup, kemanusiaan, kerohanian, persahabatan dan persaudaraan serta berkaitan dengan sejarah serta keagamaan.
Sebahagian hasil tulisan lirik Loloq itu dinyanyikan semula oleh Datuk M Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider dalam Konsert Untukmu Loloq di Istana Budaya (IB) dari 22 April dan berakhir 24 April.


Turut mewarnai konsert ini ialah pemuzik dan artis kebudayaan dari Badan Kesenian Kementerian Pertahanan (BKM) bersama-sama dengan pemuzik dan penari Istana Budaya sendiri.

Keghairahan menyaksikan pementasan konsert berskala besar, biasanya tertumpu kepada siapa artis, genre muzik, lagu dan elemen kekaguman yang diselitkan di dalamnya. Jarang sesekali kita mengamati dan menghayati bait indah seni kata yang biasanya akan ditenggelami dengan alunan muzik, lebih lagi sekiranya konsert itu mendapat khidmat pemain orkestra.

Konsert ini dimulakan dengan nyanyian koir daripada barisan penyanyi BKM dengan menyampaikan lagu seperti Adam Dan Hawa dan Nilamsari. Kemunculan artis BKM ini tidak menjadi kesalahan tetapi ia terlalu ramai menjadikan pentas sangat sempit sehingga kelihatan ‘tidak bernafas’.
Persembahan koir pada sesi pra-tonton kepada media ini juga ada kelemahan terutama pada lontaran vokal yang kadang-kadang agak sukar untuk didengar oleh penonton.

Matlamat kurang tercapai?

Matlamat utama Konsert Untukmu Loloq adalah mengiktiraf dan menghargai seni kata lagu yang ditulis oleh Loloq. Tidak dinafikan seni kata tulisan Allahyarham ini memang secara kebetulan pula menjadi lagu popular yang dinyanyikan oleh M Nasir, Ella, Spider mahupun Ramli Sarip.

Namun, matlamat itu bagaikan tidak tercapai. Konsert ini akhirnya sekadar memperdengarkan lagu-lagu dan persembahan daripada penyanyinya. Tidak ada tertulis bait seni kata nukilan Loloq dipaparkan pada skrin apabila sesebuah lagu itu dinyanyikan oleh si penyanyinya.

Kesudahannya Konsert Untukmu Loloq tidak menunjukkan kelainan daripada konsert sedia ada. Penampilan penyanyi popular seperti Nasir, Ramli, Ella dan Spider hanyalah sekadar mempersembahkan lagu hasil penulisan tokoh yang dirai.

Menerusi konsert inilah seharusnya kita paparkan karya agung yang ditinggalkan arwah Loloq untuk penonton hayati bait indah yang ingin disampaikan, sekali gus pelaksanaan konsert untuk menghargai hasil karyanya terlaksana.

Sekiranya paparan seni kata itu dimainkan ketika penyanyinya menyanyikan lagu, secara tidak langsung penonton akan lebih menghayatinya malah tidak terkecuali boleh menyanyi bersama.

Malahan lebih indah lagi sekiranya seluruh ruang Panggung Sari termasuklah di lantai, dinding dan siling itu diserikan dengan pancaran laser atau penggunaan multimedia yang memaparkan seni kata terhebat Loloq.

Sebagai contoh, hayati sebahagian bait yang terdapat pada seni kata Syair Laila Majnun nyanyian Ramli Sarip.

Terkulai di puncak rindu
Tenggelam dalam sendu
Kasih mu tak siapa
Bisa tanggalkan

Biar luka parah
Biar jiwa lara
Kasih mu yang sebati
Sukar ku pisah...

Begitu juga dengan beberapa bait indah yang terdapat di dalam lirik lagu nyanyian M.Nasir di dalam Mantera Semerah Padi yang seolah-olah seperti satu keramat kerana ia mengangkat kepahlawanan bangsa Melayu.

Hei! kersani mengalir lah dikau
Menjadi raksa
Mengisi belikat punggungku
Agar aku bisa berdiri
Tegap dan segak
Bagaikan laksmana Melayu

Hei! sepuluh helai daun sirih
Ku gentas bersama
Bunga cengkih jadilah dikau
Darah merah pekat
Mengisi uratku
Agar bisa aku berlangkah
Gagah dan tampan
Bagaikan sijantan yang berkokok...

Bagaimanapun, konsert yang turut menggunakan khidmat 20 koir daripada BKM berfungsi membantu penonton dalam penyampaian seni kata tanpa penggunaan muzik latar.

Konsert yang diterbitkan Global Network Entertaiment Sdn Bhd (GNE) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Kementerian Pertahanan Malaysia itu diarahkan oleh Lokman Ghani.

“Saya akui dengan cara inilah konsert ini akan memberi kelainan daripada konsert sedia ada sebelum ini. Sebenarnya untuk menghasilkan apa yang tergambar di dalam fikiran saya itu memerlukan kos yang agak besar untuk penyewaan peralatan multimedia khas.

“Walaupun kita tidak dapat menyediakan peralatan itu, namun saya tetap berusaha untuk memaparkan koleksi seni kata hebat semasa persembahan, untuk malam pertama sehingga terakhir menggunakan inisiatif lain,” katanya yang ditemui pada konsert pratonton kepada media Khamis lalu.

Hadir sama, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan balu arwah Loloq Hariah Yaacob serta anak-anaknya.

Selain menyampaikan 24 koleksi lirik terbaik Loloq menerusi empat artis popular itu, ia turut diselitkan dengan sketsa pendek yang dilakonkan oleh Hasnul Rahmat, Azrul, dan Ayem (GNE).

Sketsa yang mendapat sentuhan lirik daripada AD Samad dianggap unik dengan menampilkan karektor yang pernah dijelmakan Loloq menerusi hasil penulisannya seperti Kristo Bimbo, Cendrawasih, Nurbisa dan Wak Jono Sang Jegla.


Apa kata Mereka

Datuk M.Nasir
“Biasanya orang tidak buat konsert untuk penulis seni kata kerana biasanya untuk pemuzik atau penulis lagu, tetapi kerana impak keberadaan di dalam industri hiburan ini terlalu kuat, kekuatan itu kita tidak nampak seperti mana orang menyanjungi penyanyi tetapi kesan psikologinya mendalam dan sebab itu berlaku perubahan yang tidak kita sendiri hasil daripada kata-kata yang dibuat.

“Seharusnya ada kesinambungan dan saya rasa akan ada kerana selera masyarakat sentiasa berubah-ubah. Ada suatu ketika pada zaman 80-an, kita didedahkan dengan lirik yang fantastik, bombastik dan punyai idea yang berat. Masuk era 90-an, semakin lain dan 2000 semakin simple liriknya. Tapi itu akan datang semua mengikut musim dan selera masyarakat.”

Ella
“Arwah Loloq ini adalah seorang yang bijak dan kita tidak tahu sebenarnya pengalaman daripada hasil banyak membaca dan pemerhatian yang cukup luas mempengaruhi hasil kerjanya. Saya cukup kagum dengan bakat, pengetahuan, pembawaan diri serta ilmu, saya cukup bertuah dapat mengenalinya sekali gus memperoleh sedikit ilmu daripadanya.

Ramli Sarip
“Menerusi konsert ini, sekurang-kurangnya di situ mereka meletakkan orang seperti arwah Loloq ini berada di tahap yang agak tinggi. Kita kena menerima serpihan selepas beliau kembali ke Rahmatullah, bukan saja orang lama tetapi artis baru, kita terasa kehilangan beliau. Dia orang yang sangat prihatin dan mengambil tahu mengenai industri. Dia bukan hanya sekadar menulis saja tetapi banyak memikirkan mengenai penyanyi baru, hala tuju dan memberi pandangan mengenai industri. Hasil kerjanya tidak perlu dipertikaikan kerana dia menggunakan bahasanya hasil daripada pembacaan dan kajiannya. Bahasa yang jarang dipakai penulis lirik lain dan diterima masyarakat itu adalah pencapaian yang boleh dianggap juara. Memang bait yang digunakan itu punyai nilai sastera tersendiri yang tidak kita terfikir sekali gus mengajar penulis baru untuk berani bereksperimen dengan sesuatu yang baru.

Tam (Spider)
“Keunikannya sebagai penulis lirik adalah dari segi penghasilan pelbagai bentuk penulisan membabitkan bahasa. Setiap lirik yang dihasilkan untuk sesuatu artis itu mempunyai caranya tersendiri. Sebagai penulis Melayu, tatabahasa yang diangkat oleh Loloq sangat bagus kerana dia juga sebenarnya memperjuangkan bahasa Melayu. Berada di dalam masyarakat majmuk ini juga menjadi idea baginya menghasilkan lirik seperti lagu Ngam Ho yang terdapat di dalam album kami. Dia cukup berani dan peka keadaan sekeliling menggunakan bahasa walaupun perkataan itu digunakan setiap hari namun orang tidak terfikir untuk digunakan di dalam lagu. Dari segi nilai sasteranya menjurus ke arah masyarakat punya rasa seperti penderitaan, kesenangan dan itu yang orang rasa melalui penulisannya lebih dekat.”

Khamis, April 21, 2011

Karya menusuk jiwa

petikan Utusan Malaysia 21 April 2011
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL

Kedua-dua legenda ini berharap peminat muzik yang mencintai perjuangan seni Allahyarham Loloq hadir memberi sokongan terhadap Konsert Untukmu Loloq.

PEMERGIAN Allahyarham Rosli Khamis pada tanggal 30 Januari 2008 dalam usia 50 tahun akibat pendarahan otak benar-benar mengejutkan industri hiburan tanah air.

Kehilangan penulis lirik, pelakon dan pelawak yang dikenali dengan nama Loloq itu umpama lesapnya sebutir intan berharga dari muka bumi ini.Bagi menghargai jasa anak seni yang telah memberikan sentuhan emas melalui ribuan lirik ciptaannya, Global Network Entertainment tampil menganjurkan konsert bagi memperingati allahyarham.Konsert Untukmu Loloq yang dijadualkan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya mulai esok sehingga 24 April ini bakal menampilkan empat insan seni yang cukup akrab dengan allahyarham.Mereka ialah Datuk M. Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider, barisan artis yang masyhur dengan lagu-lagu nyanyian mereka di mana liriknya ditulis oleh Loloq, seorang yang dianggap genius muzik itu.Baru-baru ini, kehadiran M. Nasir dan Ramli ke Studio Utusan memberi peluang kepada Hits untuk mengenali lebih rapat dengan gerangan insan bernama Loloq.


Kerinduan balu Loloq
Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN

TIADA lagi bau haruman nescafe, minuman kegemaran Allahyarham Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq menerjah ke lubang hidung balunya, Hariah Yaacob di pagi hari.

Itulah rutin selama berbelas tahun dia hidup di samping Loloq yang mana hari ini, kerinduan yang tidak terbendung menerjah ke sanubari Hariah yang ditinggalkan oleh Loloq buat selama-lamanya.

Kata Hariah yang mengimbau kenangan manis hidup sebagai isteri insan seni kreatif itu, saban pagi apabila dia terjaga daripada tidur, itulah aroma yang menusuk ke hidungnya.

"Tetapi kini dia telah tiada. Namun begitu, anak-anak sentiasa berada di samping saya yang menjadi pengubat rindu terhadapnya," katanya kepada Hits ketika ditemui pada sidang media Konsert Untukmu Loloq di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sepanjang 17 tahun melayari bahtera rumah tangga pasangan berkenaan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Kristy Nur, 15, Jeaun Nur, 12 dan Yasha Nur 8 tahun.

Kata Hariah, Loloq yang dilahirkan di Singapura mempunyai sifat suka membaca.

Ceritanya, allahyarham suaminya itu banyak menghabiskan masa dengan membaca yang mana, Loloq sanggup berjalan jauh semata-mata untuk mendapatkan bahan bacaan yang dihajati.

"Minat membaca Loloq bermula sejak kecil apabila ayahnya berpesan agar pergi ke surau dan cari atau 'curi' ilmu di sana.

"Memandangkan dia masih kecil dan tidak dapat faham apakah maksud yang tersirat pesanan ayahnya itu maka dia pergi ke surau dan mengambil buku-buku di situ.

"Pulang ke rumah, dia menghabiskan masa dengan membaca buku-buku yang diambil daripada surau itu," katanya dalam nada tenang tetapi terselit seribu rasa kerinduan terhadap Loloq yang telah dua tahun pulang ke rahmatullah.

Bercakap tentang Konsert Untukmu Loloq di Istana Budaya yang akan diadakan selama tiga hari, bermula esok, 22 April, Hariah melahirkan rasa terharu di atas penghargaan yang diberikan kepada allahyarham.

"Amat terharu apabila hasil nukilan suami saya itu masih lagi disanjung oleh para pencinta seni. Tidak pernah menduga hasil peninggalan arwah akan dipentaskan di pentas berprestij Istana Budaya.

"Saya amat menghargai kesudian pihak penganjur yang membuka ruang untuk mengiktiraf serta menghargai insan seni yang berjuang dalam penulisan lirik seperti arwah suami saya," ujarnya.

Katanya lagi, sememangnya dia menyokong program seumpama itu (konsert) memandangkan jarang sekali penulis lirik diangkat sehingga ketahap yang tinggi seperti ini.

"Orang lebih memberi tumpuan kepada penyanyi sedangkan ramai penulis lirik yang berada dibelakang lagu-lagu popular, tidak dikenali," katanya ikhlas.

Isnin, April 18, 2011

Sumbangan Loloq tak dilupa

petikan Berita Harian 8 April 2011
Oleh Rozdan Mazalanrozdan@bharian.com.my

DARI Kiri; Hasnul Rahmat, ramli Sarip, Ella dan M Nasir yang akan menjayakan konsert Tribute Untukmu Loloq.Konsert khas sebagai perintis hargai sumbangan penulis lirik

MEMPERTARUHKAN koleksi lirik terbaik daripada gabungan penyanyi terhebat di dalam satu konsert menjadi perintis kepada sokongan masyarakat terhadap bidang penulisan. Tanpa penulis lirik, bidang nyanyian kurang serinya, kerana ada juga melodi memerlukan lirik untuk dilagukan yang sendirinya mengandungi mesej untuk disampaikan. Menerusi konsert Tribute Untukmu Loloq pada 22 hingga 24 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), inisiatif daripada Global Network Entertaiment Sdn Bhd (GNE) boleh dipanjangkan.

Penerbitnya, Den Wahab berkata, sebagai perintis menganjurkan konsert penghargaan buat insan yang lahirnya dari bidang penulisan, usaha itu diharap dapat membakar semangat kepada penulis lirik yang masih ada.

“Konsert ini bukan saja menghargai sumbangan yang pernah ditaburkan Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq kepada industri seni, malah ia satu pengiktirafan tertinggi buat semua penulis lirik lagu.
“Selain mengadakan konsert istimewa mengenang penulis lirik yang sudah pergi, pihak GNE juga ada merancang untuk meneruskan konsert umpama ini kepada mereka yang masih hidup seperti Habsah Hassan dan ramai lagi,” katanya.

Konsert Untukmu Loloq mendapat cetusan idea Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disokong sepenuhnya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Den berkata, GNE sebelum ini pernah mengadakan persembahan amal Muzikal Teratak Minang di IB yang sebahagian hasilnya disumbangkan kepada mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia.
Kini konsert Untukmu Loloq juga menjadi sebahagian daripada konsert yang hasil kutipan tiketnya turut disumbangkan kepada balu Allahyarham Loloq.

“Selain berhibur dengan koleksi lagu terbaik, konsert ini juga menjadi konsert amal di mana sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada keluarga arwah untuk pendidikan anak-anaknya.
“Kami juga memberikan mereka tiket penerbangan ke Kuching, Sarawak untuk sekeluarga bercuti selepas berakhirnya konsert ini yang ditaja oleh FireFly,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, isteri arwah Loloq, Hariah Yaacob dan penyanyi yang akan menjayakan konsert itu seperti Datuk M.Nasir, Ella, Ramli Sarip dan Hasnul Rahmat.
Konsert itu turut menyelitkan sketsa yang akan dilakonkan oleh Hasnul Rahmat di bawah arahan Lokman Ghani, ditulis oleh Ad Samad serta keseluruhan muziknya dipimpin oleh Eddie Marzuki bersama Orkestra Seni Kebangsaan (OSK) dan Badan Kesenian Mindef.

Hasnul memang pilihan tepat

Hasnul yang agak terkejut kerana di dalam kesibukan pihak produksi melakukan persiapan konsert itu, namanya dikaitkan untuk membawa watak Loloq.

“Memang saya terkejut apabila penerbit menghubungi saya untuk terbabit sama di dalam konsert ini menerusi sketsa yang dirancang. Sebenarnya saya memang antara kawan kepada arwah dan ada sedikit sebanyak karektor dia saya kenal.

“Namun sebenarnya juga saya bukanlah bertindak melakonkan watak arwah tetapi watak ciptaan yang pernah diciptakannya seperti menerusi lirik lagu dan filem seperti Wak Jono, Laila Majnun, Bonda dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, Hariah yang ditemui pada sidang media itu turut merasa bertuah kerana secara tidak langsung, buat pertama kalinya konsert Untukmu Loloq menjadi perintis kepada sokongan masyarakat terhadap bidang penulisan lirik.

“Saya tidak menjangka perkara seperti akan berlaku, bagi saya satu penghargaan yang baik sebagai menyokong bidang penulisan yang selama ini tidak pernah diangkat dalam industri seni melainkan penyanyi.
“Jika kita tidak ada penulis lirik maka kita tidak ada benda yang hendak dilagukan. Peranan lirik sangat penting kerana di situ ada makna perkataan yang besar kesan dan peranannya,” katanya yang bersemangat menyokong martabat penulis lirik tanah air.

Hariah juga diajukan soalan berkaitan sumbangan yang bakal diterima atas inisiatif penganjur menerusi konsert itu disambut baik atau tidak.

“Keutamaan saya di sini adalah menyokong usaha sama pihak IB, GNE, artis dan karyawan yang membuatkan konsert ini,” katanya.

Sebelum ini, Hariah dan anaknya, Krsty Nur, Jaevn Nur, dan Yasha Nur dikatakan akan melakukan kemunculan khas pada konsert itu untuk menyampaikan puisi, namun akuinya perkara itu tidak akan berlaku.
“Saya tidak berminat memunculkan diri, saya hanya lebih suka menjadi ibu kepada anak-anak di rumah.
“Bila penganjur mengemukakan cadangan dan meminta izin untuk buat konsert dan sketsa, saya tidak pernah fikir pun untuk memilih Hasnul tetapi tiba-tiba nama dia muncul di kepala saya, mungkin ada kaitan kerana dia agak rapat dengan arwah,” katanya.

INFO

Konsert Untukmu Loloq pada 22 hingga 24 April di Panggung Sari, Istana Budaya bermula jam 8.30 malam.

Sebanyak 24 lagu yang liriknya ditulis oleh Loloq dinyanyikan oleh M.Nasir, Ramli Sarip, Ella dan Spider. Persembahan juga akan diselitkan dengan sketsa yang akan dilakonkan oleh Hasnul Rahmat dan Azrul (Raja Lawak)

Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Wak Jono, Andalusia, Apokalips (M.Nasir) Mantera Semerah Padi (duet M.Nasir, Ella dan Ramli Sarip). Ella akan menyanyikan lagu Nuri, Layar Impian, Bagaikan Puteri dan Dunia Batinku. Ramli dengan lagu Syair Laila Majnun, Bonda dan Ghazal Untuk Rabiah (Duet bersama M.Nasir).

Spider menyanyikan lagu seperti Kasih Latifah, Aladin, Laukku Cukup Masin, Cinta Dewa Dewi dan Katalis.

Selain berhibur penonton berpeluang menerima cabutan bertuah tiket penerbangan ke Medan, Pekan Baru, Batam, Singapura dan Alor Setar tajaan FireFly. Selain itu 100 penonton terawal yang membeli tiket berpeluang menerima barangan kosmetik Ori Beauty.

Tiket di jual berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 yang boleh ditempah dengan menghubungi 03-41478600 atau layari www.ticket2u.biz
 
 


Rabu, Mac 16, 2011

Tiket konsert 'Untukmu Loloq' Istana Budaya

22 - 24 April 2011
8.30 malam
Panggung Sari, Istana Budaya
Saksikan M Nasir, Ramli Sarip, Spider dan Ella menyanyikan lagu-lagu nukilan Allahyarham Loloq  
* lawati ticket2U.biz untuk tempahan secara online.
Harga tiket 'Untukmu Loloq' dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450.

Jumaat, Februari 25, 2011

Konsert 'Untukmu Loloq' Di Istana Budaya April Depan

petikan mstar 25 Februari 2011
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

KUALA LUMPUR: Menterinya Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencetuskan idea bagi menghargai pengorbanan penulis lirik Loloq atau Rosli Khamis dengan penganjuran Konsert 'Untukmu Loloq' yang bakal berlangsung di Istana Budaya dari 22 hingga 24 April depan.

Idea sebagai tanda penghargaan Zahid kepada Loloq kerana mereka pernah mengelilingi satu Malaysia selama seminggu ketika Zahid bergelar Timbalan Menteri Penerangan sebelum ini.

Konsert tersebut melibatkan 60 orang terdiri dari pemuzik bekas tentera darat, artis tari dari Kementerian Pertahanan, kumpulan koir dari Kementerian Pertahanan, pengarah persembahan Lokman Ghani, pengarah muzik Eddy Marzuki, penerbit Den Wahab dan penulis skrip Ad Samad.

"Ia terbahagi kepada empat segmen iaitu berkisar latar belakang arwah, nyanyian lagu-lagu popular karya Loloq oleh kumpulan Spider, Ella dan Ramli Sarip, sketsa pendek tentang Loloq dan penampilan khas M.Nasir.

"Dijangkakan sebanyak 24 lagu hasil tulisan Loloq akan dinyanyikan dan lirik lagu tersebut akan dipaparkan di tepi pentas supaya penonton dapat menghayatinya," kata Lokman Ghani ketika sidang media di Istana Budaya, di sini, Khamis.

Tambahnya: "Saya pernah berlakon dengan Loloq selama seminggu dalam drama Hujan Di Hati Kamariah arahan Fauziah Ahmad Daud tetapi sehingga sekarang drama itu tidak disiarkan di televisyen.

"Banyak perkara yang kita tidak tahu tentang arwah akan dipaparkan pada konsert itu hasil cerita kawan-kawan rapat arwah. Misalnya arwah gemar melakukan pelbagai aksi melucukan ketika menulis lirik di atas lantai.

"Kemungkinan salah seorang ahli keluarga Loloq akan muncul dalam konsert ini,” katanya.

Bagaimanapun, balu Loloq, Hariah Yaacob,39, akan meneliti dan membaca skrip konsert terbitan Global Network Entertainment itu dahulu sebelum memulakan latihan pementasan yang dijadualkan bermula April ini.

Pada 26 Februari ini, sesi uji bakat untuk mencari pelakon yang boleh melakonkan watak Loloq akan diadakan.

Kriteria yang dicari tidak semestinya mempunyai wajah seiras Loloq tetapi yang penting adalah memiliki karakter sepertinya.

Loloq aktif menulis lirik sejak berusia 20 tahun dan terkenal dengan beberapa nama pena lain seperti Nurbisa dan Pistol Bimbo.

Selain itu dia juga dikenali sebagai pelakon filem dan drama televisyen seperti Pari-Pari, Lang Buana, Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa.

Antara lirik lagu ciptaannya adalah Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Bonda dan Aladin.

Harga tiket 'Untukmu Loloq' dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450.

Sementara itu Kementerian Pertahanan berhasrat untuk membiayai pengajian anak-anak Loloq yang akan diumumkan kemudian oleh Zahid.

Hasil perkahwinan Loloq dengan Hariah mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Krsty, 15, Jaevnur, 12, dan Yashanur, 10.

Rabu, Januari 12, 2011

Konsert mengenang Loloq

petikan Berita Harian 11 Januari 2011
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Jasa dan sumbangan penulis lirik itu tetap memberi makna besar kepada dunia seni

BIARPUN lagu-lagu popular seperti Di Ambang Wati (Wings), Nurnilam Sari (Awie & Search), Laila Namamu Teratas (Search), Gemuruh (Search & Wings), Mantera Semerah Padi (M.Nasir), Kita Peng-Yu (XPDC), Aladin (Spider) dan banyak lagi masih rancak berkumandang di radio, namun ingatkan kita siapakah pencipta liriknya.
Tanpa penulis yang kreatif memerah keringat, bersengkang mata mencari idea, belum tentu lagu itu menjadi siulan peminat hari.

Namun insan yang dianugerahkan Tuhan memiliki keistimewaan melahirkan pelbagai bait indah lirik itu yang dianggarkan melebihi 500 lirik, Rosli Khamis atau dikenali sebagai Loloq. Penulis lirik ini meninggal dunia pada 30 Januari 2008.

Maka pada penghujung bulan ini genaplah tiga tahun pemergiannya yang disebabkan mengalami pendarahan di dalam otak.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya dalam penulisan lirik itu, satu konsert khas dirancang diadakan di Istana Budaya dengan menampilkan beberapa penyanyi yang pernah menyanyikan hasil karya Loloq.

Idea itu dicetuskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berasakan Loloq adalah segelintir insan seni cukup unik kerana hasil karyanya yang sangat kreatif, unik dan memberi makna tersendiri.
“Ini salah satu tanda penghargaan yang sepatutnya kita beri kepada anak seni yang tidak hanya menumpukan kepada penyanyi atau pelakon semata-mata. Saya rasa IB juga seharusnya mengadakan satu konsert khas mengenang kembali sumbangan dan jasa Allahyarham Loloq dalam dunia seni.

“Sebaik-baiknya konsert yang dicadangkan ini kita boleh jadikan ia sebagai konsert amal dengan hasil kutipannya boleh disalurkan kepada balu dan anak-anak Allahyarham,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Konsert Jamal Abdillah di IB, Jumaat lalu.

Ahmad Zahid juga mencadangkan antara barisan penyanyi yang menyanyikan hasil karya Loloq itu ialah M Nasir, Ziana Zain dan kumpulan Spider.

Sehubungan itu, beliau berharap pengurusan IB boleh melihat ruang bersesuaian untuk menjayakan konsert itu yang dijangka dilangsungkan selama tiga hari.

Mengulas saranan Ahmad Zahid itu, Ketua Pengarah IB, Muhammed Juhari Shaarani berkata, pihaknya bersedia untuk meneliti kembali slot yang kosong untuk mengadakan konsert khas mengenang sumbangan Loloq dalam persada seni.

“Disebabkan konsert ini bakal diadakan selama tiga hari, kita akan melihat mana-mana ruang yang sesuai. Dan saya mencadangkan ia boleh diadakan pada pertengahan April,” katanya.

Konsert yang sudah sedia menerima penajaan itu, akan terbitkan Global Network Entertaiment (GNE) dengan kerjasama IB.

Ia dijangka akan dibahagikan kepada beberapa segmen seperti koleksi lagu-lagu yang pernah meraih anugerah, koleksi lagu-lagu dengan lirik yang unik dan lagu-lagu popular yang sering diputarkan menerusi tv mahupun radio.

Antara lirik hasil nukilan Loloq yang menjadi lagu popular hingga sekarang ialah Diambang Wati nyanyian kumpulan Wings, Nurnilam Sari (Awie & Search), Laila Namamu Teratas (Search), Kias Fansuri, Mentera Semerah Padi (M.Nasir), Aladin (Spider), Doa Dan Lagu (Mawi & Heliza), Awan Yang Terpilu (Ning Baizura) dan Cinta Adam Dan Hawa (Misha Omar).

Selasa, Disember 07, 2010

M Nasir terkenang Loloq

petikan Berita Harian 7 Disember 2010
Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my

Masih terasa kehilangan rakan gandingan berkarya yang sukar dicari ganti


APABILA menyebut gandingan dua nama besar dalam arena penciptaan lagu tanah air - M Nasir dan Loloq, pasti terngiang-ngiang deretan lagu yang cukup menusuk sukma hingga hampir kesemua paduan kreatif mereka terus segar membuai rasa.

Bagai irama dan lagu, gubahan melodi diilhamkan M Nasir cukup kena dengan seni kata karangan Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis. Tidak hairan paduan mereka terus menjadi siulan terutama dendangan yang disampaikan M Nasir sendiri seperti Apokalips dan Mentari Semerah Padi.

Sekadar menyebut beberapa nama, banyak lagi nukilan mereka berdua yang dialunkan penyanyi lain dan ‘menjadi’ termasuk Di Ambang Wati nyanyian Wings, Nurnilam Sari (Awie & Search), Laila Namamu Teratas (Search) serta Aladin (Spider) tidak ketinggalan lagu Cinta Adam & Hawa nyanyian Misha Omar.

Namun sudah tiga tahun Loloq menyahut panggilan Ilahi dan selepas ketiadaannya, rakan seperjuangan yang juga teman baiknya, M Nasir mengakui kehilangan penulis lirik yang begitu indah lontaran bahasa puitisnya sukar untuk dicari ganti.

Begitupun katanya, melihat senario bakat baru di arena penciptaan kini semakin bercambah ditambah penyanyi muda yang mampu menghasilkan lagu sendiri, dia mengakui sudah nampak seorang dua penulis lirik yang berjaya memikat hatinya.

“Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Loloq atau menghasilkan seni kata sepertinya tetapi kalau lihat dalam era sekarang, saya boleh nampak beberapa penulis lirik yang punya daya cipta keunikan iaitu membentuk identiti sendiri seperti Ad Samad dan Budi.
“Apa pun saya sendiri tidak pernah memilih malah bersedia bekerja dengan sesiapa saja yang mampu menghasilkan karya bermutu sekali gus mampu menarik perhatian pendengar,” katanya yang hingga kini sudah menggubah lebih 2,000 lagu.

Komposer merangkap penyanyi merangkul tiga trofi pada Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2010 yang berlangsung minggu lalu iaitu Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak dan Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak menerusi syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd.

Mohd Nasir Mohamed atau M Nasir yang ditemani isterinya, Marlia Musa turut mencatat sejarah manis tersendiri tahun ini apabila selepas menyandang gelaran Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak sembilan tahun berturut-turut, malam itu anugerah khas Nadi Cipta dianugerahkan kepadanya.

Penyerahan trofi pengiktirafan disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan diiringi Pengerusi MACP, Habsah Hassan.

M Nasir berkata, beliau menghargai penghargaan yang diberikan MACP kerana secara tidak langsung ia menghargai usaha pengkarya memartabatkan industri seni terutama dalam arena muzik apatah lagi ia dinilai menerusi pendapatan yang diperoleh berdasarkan royalti.

“Syukur di atas penghargaan ini. Sebagai penggubah dalam apa jua keadaan pun idea biasanya datang secara tiba-tiba. Bagi saya tiada istilah memaksa diri kerana ilham timbul secara spontan sekali pun ketika itu saya dalam keletihan.

“Kebiasaannya perasaan, khayalan dan pemikiran digabungkan bersama hingga mencetuskan ilham. Cuma dalam senario teknologi yang berkembang kini, pemuzik bijak menggunakan saluran untuk berkongsi karyanya seperti menerusi online,” katanya berkongsi aspirasi seninya.

Peninggalan karyanya menampung kehidupan kami

Bagi balu Loloq, Hariah Yaakob, 38, hasil harta intelek yang ditinggalkan oleh arwah suaminya kini mampu menampung kehidupan mereka sekeluarga apatah lagi dia hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa sejak berkahwin dan kini menjadi ibu tunggal.

“Saya tidak pernah berkerja dan kini menguruskan rumah tangga sepenuhnya termasuk menghantar dan mengambil anak di sekolah. Alhamdulillah dengan rezeki yang masih dapat dinikmati kami anak beranak untuk meneruskan kehidupan kami.

“Kini saya dan anak-anak meneruskan kehidupan seperti dulu. Mereka semakin membesar sekali gus memerlukan perhatian yang lebih. Apa pun saya bersyukur apabila perjalanan hidup ini dipermudahkanNya,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Hariah menerima trofi bagi pihak Allahyarham suaminya bagi kategori Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak yang sudah sembilan tahun berturut-turut dirangkulnya.

“Allahyarham menulis tidak tentu masa dan kadang kala bila mata nak terlelap pun dia boleh bangun mengarang. Selalunya saya akan jadi pengkritik tetap sebab dia akan berikan karyanya itu kepada saya untuk dinilai. Saya yang akan bagi pendapat sama ada seni kata itu sesuai dengan melodi atau tidak.

“Memang kami sekeluarga rindukan arwah sebab dialah yang membangkitkan cerita namun segala-galanya ketentuan Tuhan dan sebagai isteri, saya terharu kerana walaupun dia sudah tiada, sumbangan Allahyarham tetap dihargai,” katanya lagi.

Semasa hayatnya, Allahyarham menghasilkan kira-kira 2,000 lirik dengan seni kata yang paling meninggalkan kesan pada Hariah adalah Laila Lagu Namamu Teratas yang disampaikan Search kerana ia mempunyai kenangan buat mereka suami isteri.

Sementara itu, vokalis kumpulan Hujan, Mohammad Noh Salleh atau Noh, 26 pula membawa pulang anugerah Komposer Muda Berpotensi sekali gus mengenepikan beberapa teman seperjuangan lain yang turut menyerlah bersama penghasilan mereka.

“Anugerah ini membakar semangat untuk meneruskan kerjaya sebagai komposer dan menghasilkan lagu pelbagai genre lagu. Saya tidak menyangka mendapat pengiktirafan ini dan ia saya anggap sebagai pemangkin untuk menghasilkan lagu yang lebih baik,” katanya.

Selain penyampaian trofi dan anugerah, kira-kira 500 tetamu dikalangan warga hiburan turut dihiburkan dengan rangkaian dendangan generasi baru dan lama termasuk Kalau Berpacaran paduan suara Sohaimi Mior Hassan, Altimet dan Ana Raffali selain Kepulangan oleh Razis Ismail.

Uji Rashid dan Hail Amir juga tidak mengecewakan apabila mendendangkan Antara Mataku dan Matamu, begitu juga persembahan Zur Eda, L Ramlee, Wincci Soo serta Aizat namun paling memancing tumpuan apabila M Nasir naik ke pentas untuk bersama pemuzik lain ketika segmen tribute untuknya.

Mana mungkin hadirin mampu melupakan kehebatannya beraksi membawakan lagu Hati Emas, Mustika dan Tanya Sama Itu Hud Hud yang dialunkan M Nasir sendiri bersama Adnan Abu Hassan, Pacai, Tam, Taja, Aidit Alfian dan Saari Amri.

Senarai pemenang dan penerima anugerah Malam Mesra MACP 2010.
Lagu Inggeris: Kategori Persembahan Terbanyak - Lagu: You (Too Phat Featuring Sharifah Aini)
Pencipta: Harikrish Menon,
Lirik: Cairel Adrin Ibrahim (Malique) dan Johan Ishak (Joe Flizzow).
Lagu Cina : Kategori Persembahan Terbanyak - Lagu: Xian Zai Hen Xiang Jian Ni (Daniel Lee)
Pencipta dan Lirik: Teoh Chek Cheang
Lagu Melayu: Kategori Persembahan Terbanyak: Lagu: Buronan Cinta (The Lima)
Pencipta dan Lirik: Edry Abdul Halim (Edry KRU)
Lagu Luar Negara: Kategori Persembahan Terbanyak: Lagu: Hanya Kau Yang Mampu (Aizat)
Pencipta dan Lirik: Yusni Hamid
Lagu: Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi: Lagu: Freak (Sandy Rivera & Haze).
Lagu dan Lirik : Sandy Rivera & Harikrish Menon Ramachandran
Komposer Muda Berpotensi: Mohd Noh Salleh (Noh Hujan)
Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak: Luncai Emas Sdn Bhd
Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak: EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd
Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak: Allahyarham Rosli Khamis (Loloq)
Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak: Mohd Nasir Mohamed (M Nasir)
Anugerah Khas Nadi Cipta: Mohd Nasir Mohamed (M Nasir)

Ahad, Disember 05, 2010

Ad Samad Selepas Loloq - M. Nasir

petikan mstar 5 Disember 2010
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

M. Nasir memegang trofi kemenangan di samping isterinya, Marlia Musa. - Foto Utusan

KUALA LUMPUR: Ramai yang mengetahui gandingan hebat antara komposer M. Nasir (gambar) dan penulis lirik Allahyarham Loloq pastinya membuahkan lagu yang hebat.

Namun, kini telah lebih tiga tahun Loloq meninggalkan kita. Selepas ketiadaan Loloq, M. Nasir tidak menafikan agak sukar mencari penggantinya.

Bagaimanapun, dia mengakui dengan era baru sekarang, terdapat beberapa penulis lirik yang berjaya memikat hatinya.

“Saya rasa tiada sesiapa yang boleh menggantikan Loloq. Tetapi terdapat beberapa penulis lirik yang sedang mencipta keunikan tersendiri seperti Ad Samad,” katanya yang telah menggubah lebih 2,000 buah lagu.

Penyanyi lagu Tanya Sama Itu Hud Hud, Juwita dan Raikan Cinta itu memenangi tiga anugerah di Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2010 pada Jumaat lalu iaitu Nadi Cipta, Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak dan Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak menerusi syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd.

“Alhamdulillah, kepada semua yang memikirkan saya layak mendapat anugerah ini. Dulu, semasa saya mencuba menulis lagu, saya cuma tahu tiga cord tetapi sekarang saya tahu lima cord.

“Itu pun atas tunjuk ajar semua orang. Tanpa mereka semua, saya rasa tak dapat hasilkan lagu-lagu seperti itu. Terima kasih,” katanya berseloroh ketika berucap di atas pentas.

Suami kepada pelakon Marlia Musa itu juga akui usaha keras perlu ada dalam diri setiap komposer yang ingin berjaya sepertinya.

“Seperti saya sendiri, ada masa-masanya, dalam keadaan relaks, tiba-tiba lagu itu datang secara spontan. Sebab itu saya menggubah lagu tanpa mengira masa,” ujarnya.

Tambahnya lagi: “Sekarang, saya masih aktif menggubah dan menerbitkan lagu termasuk yang terbaru adalah membuat album baru Misha Omar.”

M. Nasir juga sempat menyanyikan beberapa buah lagu popular ciptaannya di samping komposer terkenal lain iaitu Adnan Abu Hassan, Saari Amri, Taja (Meet Uncle Hussain), Tam (Spider) dan Aidit Alfian sebelum majlis melabuhkan tirainya.

Rabu, Januari 13, 2010

Fragmen: AJL24, Loloq dan lagu Pergi

petikan Berita Harian 13 Januari 2010
Oleh Zainuri Misfar

TAHNIAH kepada TV3 kerana Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) berjalan dengan lancar sekali. Bukan itu saja, ia dianjurkan dengan penuh meriah dan gemilang.

Boleh dikatakan tiada yang cacat. Kalau ada sekalipun, hanyalah kerana soal teknikal yang kadang-kadang tidak dapat dielakkan sama sekali.

Ia berbaloi dengan kos sebanyak RM2 juta yang dibelanjakan TV3. Dengan lagu yang baik, barisan penyanyi bertenaga, menyebabkan pakej keseluruhan persembahan AJL24 memang benar-benar mantap.

Kalau diterjemahkan dalam industri perfileman, kos RM2 juta boleh digunakan menerbitkan sebuah filem cereka. Sekiranya sebuah telefilem 90 minit berharga RM80,000, duit sebanyak RM2 juta boleh membeli 20 telefilem. Tidak apalah. Apa yang TV3 lakukan semua itu adalah penghargaan kepada kepada karyawan muzik tanah air.

Setahun sekali, sebuah stesen TV menganjurkan program yang cukup istimewa kepada penggiat muzik kita.

Cuma di sebalik kegemilangan itu, tidak pula terselit segmen untuk memperkenalkan barisan komposer atau penulis lirik yang terbabit pada malam kemuncak AJL24. Ia mungkin terlepas pandang yang kita anggap tidak disengajakan oleh TV3.

Memanglah kita pun terlintas juga, sepanjang AJL24 itu berlangsung, yang menonjol hanyalah penyanyinya. Merekalah yang beraksi di pentas dan paling menonjol sekali dan seterusnya menjadi sebutan peminat. Beruntung sekali Yuna, Aizat, Bunkface dan Hujan serta Estranged kerana mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi juga pencipta lagu dan penulis seni kata sendiri.

Cuma, bagaimana pula dengan komposer atau karyawan muzik di belakang tabir? Mereka terus tenggelam dengan populariti penyanyi yang membawa lagu ciptaan mereka. Inilah hakikatnya. Ia bukan cerita baru lagi.

Kemenangan lagu Pergi ciptaan Pete Teo dan lirik oleh Amran Omar dengan Aizat sebagai penyanyinya masih menjadi bualan ramai.

Pembabitan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TV Rangkaian Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan sebagai juri dalam AJL24 sudah menimbulkan ‘sosek-sosek’ tidak menyenangkan, terutama di kalangan blogger hiburan.

Ditambah dengan kehadiran Fatimah Abu Bakar sebagai juri, individu yang kita ketahui mempunyai hubungan rapat dengan Yasmin Ahmad.

Sungguhpun ketika Aizat menyanyi Pergi dilatari dengan wajah tokoh-tokoh yang sudah pergi seperti Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee, penghibur nombor satu Malaysia dan Asia, Datuk Sudirman Arshad, tetapi dengan kemunculan Yasmin, penonton di rumah atau dalam stadium seolah-olah diberi pembayang lagu mana yang menjuarai AJL24.

Sehingga ada yang mengeluarkan kata-kata sinis dengan mendakwa sudahlah Anugerah Skrin baru-baru ini ada acara khas untuk Yasmin, dalam AJL24 pun TV3 masih hendak selitkan penampilan pengarah filem yang disegani itu.

Kita tidak mempersoalkan kemenangan Pergi. Tidak juga mempertikaikan kewajaran TV3 membawa secara langsung atau tidak langsung keunggulan Yasmin dalam mana-mana acara anjurannya.

Namun, kita juga tidak boleh mengetepikan begitu saja kritikan, persepsi atau pandangan orang ramai yang sebahagian besarnya juga adalah penonton setia TV3. AJL adalah anugerah untuk komposer dan karyawan muzik. Justeru, tatkala Aizat menyanyikan lagu Pergi, lebih elok kalau lagu itu ditujukan khas kepada pengkarya atau tokoh muzik yang berjasa besar kepada negara. Selain P Ramlee dan Sudirman, kita juga mempunyai ramai tokoh muzik, baik penyanyi, pemuzik atau penulis lirik seperti Hamzah Dolmat, Kamariah Nor, S Jibeng, Fazidah Joned dan paling baru ialah Loloq. Ramai juga tertanya-tanya kenapa Loloq dilupakan?

Dua tahun lalu, kita masih ingat betapa Loloq mengomel panjang hampir sejam meluahkan rasa tidak puas hati dengan kemenangan lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor dalam AJL22. Kita bertemu dengan Loloq di pejabat Luncai Emas di Sungai Buloh, yang pada mulanya hendak menemu bual M Nasir. Apabila terserempak dengan Loloq yang datang bersama Zul Mahat, menyebabkan kita terpaksa lepak lebih lama di Luncai Emas untuk melayan dan mendengar luahan Loloq.

Loloq sangat emosional pada waktu itu sampai kemerah-merahan mukanya, mempersoalkan apa istimewa sangat dengan lirik lagu Gemilang kerana ia tidak membawa apa-apa makna, susunan bahasanya tunggang langgang dan banyak lagi.

Allahyarham membandingkan dengan lirik tulisannya iaitu Awan Yang Terpilu yang bukan saja puitis, tetapi membawa cerita dan makna yang jelas, selain susunan bahasanya yang teratur dengan nahunya yang betul dan tepat. Begitulah telitinya Loloq dalam penulisan lirik. Berulang kali Loloq meminta kita ‘melanyak’ juri AJL22 tetapi sehingga dia meninggal dunia, permintaannya tidak dapat ditunaikan.

Peristiwa kemarahan Loloq di Sungai Buloh itu boleh mengaitkan dengan keadaan sekarang kerana kebetulan masih ada lagu ‘terakhir’ daripada Allahyarham bertanding di AJL24 iaitu lagu Cinta Adam & Hawa ciptaan Azmeer dan dinyanyikan oleh Misha Omar.

Kalaulah Loloq masih hidup, mungkinkah dia mempersoalkan kemenangan lagu Pergi kerana baginya pengertian lagu Cinta Adam & Hawa cukup besar. Ia bukan kisah cinta pasangan kekasih saja. Adam dan Hawa adalah metafora cinta dan kasih sayang antara lelaki dengan perempuan, antara kakak dan abang atau adik, suami dan isteri, bapa dan emak, sahabat lelaki dan perempuan....

Apa pun, kita percaya dengan kenyataan Farid bahawa tiada sebarang konspirasi walaupun dirinya menjadi juri kerana yang menentukan lagu Pergi jadi juara dibuat oleh Ketua Juri untuk lagu iaitu Fauzi Marzuki.

Jumaat, Januari 30, 2009

Rahmat buatmu Loloq - M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 30 Januari 2009

M. NASIR (kanan) bersama Allahyarham Loloq pada Majlis Anugerah MACP pada tahun 2006.

MUKADIMAH
SETAHUN yang lalu, pada tarikh hari ini, industri hiburan tanah air kehilangan penulis lirik prolifik, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis.

Kehilangan seniman itu pada usia 50 tahun dianggap sebagai kehilangan besar pada industri hiburan tanah air.

Bagaimanapun, di kalangan ramai karyawan muzik, Loloq dianggap orang paling kanan dalam kehidupan sifu M. Nasir.

Pemergian Loloq merupakan kehilangan paling besar buat seniman kelahiran Singapura itu.

Justeru, sempena setahun pemergian Loloq, Hits mengundang M. Nasir untuk menulis dan bercerita mengenai rakan karibnya itu.

– PENGARANG,


SETAHUN sejak Loloq pergi, aku melepaskan keterbiasaan sedikit demi sedikit.

Keterbiasaan melalaikan aku pada sesuatu yang tidak biasa.

Kerana keterbiasaanlah hampir hari-hariku terasa Loloq akan hadir menyambung bicara jam 3 pagi, semalam di Warung Awe atau Yeop dekat pejabat Luncai Emas berbicara penemuan-penemuan pencetus idea atau sekadar bicara prestasi Manchester United yang kekadang mencemaskan.

Kemudian mengingatkannya tentang lirik yang seharusnya siap dua minggu lepas.

Pernah ketika umur kami menjangkau 40 tahun, kami berbicara tentang mati.

Lalu sentuh kematian P. Ramlee yang masih agak muda. Seniman mati muda ramai.

Khairul Anwar mati muda walau dia mahu hidup seribu tahun lagi. Kita mahu hidup seribu tahun lagi.

Namun, itu hanyalah penyataan puitis dan nyatanya ajal bergaul dengan fitrah.

Buat diriku, seniman terus hidup selagi karyanya hidup.

Loloq adalah seniman dan sahabat karibku. Lebih dari itu, dia adalah 'cerminku' yang kini hilang.

Aku tak pasti dia pemujaku, tapi aku hampir pasti dia pengkritik aku yang setia.

Zaman pencarian di Singapura dekat 30 tahun dahulu menemukan aku dengannya.

Gayanya yang menangkap, bercermin mata ala John Lennon dan gigi ala Tompel sukar dilupakan.

Dia telah lalui zaman gelap. Allah sahaja yang tahu sejauh mana dia telah merantau tapi dia menjelma seperti burung api yang gemerlap.

Aku akui waktu itu aku hanya pelajar. Namun, aku telah menghasilkan album Kembara dan dia cuba membongkar pemikiranku.

Dia penggemar Beatles dan Bob Dylan seperti aku.

Umur kami sama. Hidup kami ala hippies lalu reaksi kimia pun tercerna.

Loloq datang dan pergi dalam hidupku sehingga dia muncul semula di Sungai Buluh, sewaktu aku mula membina tapak Luncai Emas 15 tahun dahulu.

Itu pun dengan keresahan perantaunya sehingga bersama kawan-kawan lain menetap di rumah sewa di belakang pejabat lama Luncai Emas.

Bagaimana dia mula mengambil berat dalam penulisan adalah keanehan.

Aku sedar dia pembaca tetapi menulis?Namun, dia mula menulis dengan kumpulan percubaannya, Rastari waktu di Singapura.

Kapal Belayar dan Wak Jono adalah antara lirik pertama yang ditulisnya.

Walau kurang sempurna, ia menghidupkan satu aliran muzik indie dengan suaranya dapat didengar dalam beberapa trek album itu.

Loloq hilang agak lama lepas itu, sehingga dia muncul dengan lirik Insan & Manikam dalam albumku.

Sejak itu dia tidak melihat belakang lagi. Dalam masa-masa yang sama 'menikah' dan membuat 'duit' dari album seterusnya seperti Ella dan Search.

Kekadang dia menyatakan kerisauannya dengan kestabilan hidup.

Takut kalau perantauannya akan berakhir seperti orang biasa.

Loloq, kekadang Nurbisa, Abdullah Romani, kekadang Heikal dan Kristo Bimbo adalah ironi pada Rosli Khamis.

Dia adalah jegela yang bermainkan watak- watak, namun, mencari dirinya yang sebenar.

Loloq memasuki dunia seni hiburan ini dengan semangat menambah warnanya dengan cara tersendiri.

Walau bagai seorang penulis lirik suaranya lebih lantang dan dirasai daripada kebanyakan penyanyi dan pencipta lagu.

Dia adalah karakter yang sukar dilupakan. Siapa yang mengenalinya tidak akan lupa dengan gayanya, tawanya, pemakaian fesyen terkini dan ranggi serta anting-anting di telinga.

Tapi yang mendalami jiwanya, akan mengenal manusiawi bernama Loloq.

Rupanya perantauan Loloq tak habis lagi. Dia kini merantau ke satu daerah baka melepasi fana dan lagu-lagunya adalah gema karya rasanya di bumi ini.

123 Do Re Mi
Apa nak jadi
Alif Bata A B C
Apa nak jadi
Akan terjadi
Hujan pasti berhenti

(Petikan lirik lagu Apokalips oleh Loloq)

Rahmat Allah Untukmu Loloq,
Daripada aku,
M. Nasir

Rabu, Oktober 01, 2008

Doa Al-Jannah buat Loloq

petikan KOSMO 1 Oktober 2008
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


DI SINILAH bersemadinya seorang insan seni yang berkarya hanya untuk masyarakat, bukan mengejar kebendaan dan nama.

Syawal ini Syawal pertama insan kamil bernama Rosli Khamis atau Loloq sendirian di kamar pusaranya. Dia ibarat sang penyair yang meninggalkan khazanah puisi agung untuk santapan pencinta alunan kata.

Gema yang lahir dari hatinya bisa mencairkan hati sesiapa sahaja yang sedang rawan. Pemikiran-pemikirannya pula biarpun untuk mengisi santapan hiburan pencinta muzik, tapi di sebalik makna yang jarang diisi yang tersirat itu, sebenarnya ada makrifat yang besar.

Namun takdir dan rezeki tidak mengizinkan dia lanjut usia. Tanggal 30 Januari lalu, dia disemadikan di puncak katarsis, jauh dari gelora duniawi. Yang tinggal kini hanya penghakiman antara dirinya dengan Yang Maha Esa.

Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis telah genap sembilan bulan meninggalkan seluruh dunia muzik menjadi cintanya. Ketaksubannya terhadap seni muzik bukan serong sebaliknya penghayatan untuk mengunungkan karya yang tinggi nilai, rendah hipokrasi dan manis didengar.

Pemergiannya ditangisi peminat, rakan dan taulan, lebih syahdu lagi ada yang langsung tidak sempat bersua mata untuk bersapa kali terakhir. Sesudah nafas akhir dihembus, hanya sekujur jasadnya yang dapat disaksikan.

Masa sakit, perit dan dukanya tiada siapa yang tahu kecuali isteri, anak-anak dan beberapa rakan terdekatnya. Loloq meninggalkan semua yang dikenali dan mengenalinya. Yang tinggal sebagai bukti bahawa Loloq pernah bernafas adalah pusara persemadiannya di Bandar Baru Sungai Buluh, Selangor ini.

Syahdu dan pilu tiba-tiba berselubung di jiwa tatkala pusara lelaki yang asalnya bukan sesiapa ini kami disinggahi. Di nisannya terpahat lorekan : Rosli bin Khamis lahir 21.5.1958, meninggal dunia 30.1.2008 bersamaan 1429 masehi.

Pusaranya sederhana, bersih, di tengah-tengahnya ada pepohon kekwa yang sedang berbunga dan terik mentari yang membakar bukan halangan kami bertafakur sejenak.


MASIH ada yang sayang, teman- teman artis menganggap Loloq insan kamil yang penyayang.

Penyanyi Hattan, bekas gitaris kumpulan Saturnine, Nan, Tam dan Tony daripada kumpulan Spider ini tidak mampu berkata-kata. Hanya doa kudus dan Al-Fatihah bermain di bibir mereka sebelum seketika kemudian, persemadian teman seperjuangan mereka ini kembali sepi.

"Dah lama rupa arwah pergi, tapi aku rasa macam baru semalam sahaja, rasa macam baru lagi," hela Hattan sejurus tangannya mengoles-oles batu-batu kecil yang memenuhi permukaan pusara.

Bisik Hattan juga, pemergian Loloq hampir melumpuhkan semangatnya menyambung proses pembikinan albumnya yang tertangguh.

"Aku kenal arwah masa mula-mula dia datang ke Kuala Lumpur dari Singapura. Masa tu dia tinggal kat Sungai Besi, jalan kaki lagi tak ada keretapun sebab dia jenis hidup untuk berkarya. Aku rakamkan album pertama, Memburu Rindu, masa tu Loloq yang buat hampir semua lirik," ungkap Hattan kala diminta berbicara tentang memori silam.

Getus penyanyi ini juga, apa-apa perkataan yang disebutkan oleh Loloq boleh membawa impak.

"Dia main bagi je, tapi apa dia bagi tu boleh beri kekuatan, macam dia bagi tajuk album aku yang bertajuk Rock Malaya. Masa kami semua tengah bingung nak bagi tajuk apa, dia datang dan kata lagu-lagu dalam album tu lagu rock, jadi belasah je tajuk Rock Malaya, rock orang Malaysia. Tajuk tu melekat dan sampai impak kepada peminat," tambah bapa kepada Adam Aiman ini menelan sebak.

Terlalu banyak peristiwa dan catatan tentang Loloq masih nostalgik dan segar dalam ingatan semua, bukan hanya Hattan bahkan teman-teman lain.

Vokalis kumpulan Spider, Tam pula menyimpan rasa ralat terhadap pemergiaan orang seni yang dianggap mentor, kawan dan abang yang memberi banyak semangat kepada Spider untuk membina nama sehingga ke hari ini.

Spider boleh disebutkan sebagai generasi kedua yang meneruskan alunan berdasarkan susunan-susunan kata dari hati Loloq.

"Spider berkembang dan hidup atas hasil karya Loloq, lebih 90 peratus lagu-lagu kami adalah karya beliau. Sampai sekarang saya tak mampu nak pilih lagu mana satu yang terbaik ciptaan Loloq.Bagi saya semua lagu Loloq adalah masterpiece (hasil karya yang terbaik)," luah Tam tak terbendung rasa pilu.

Seingat Tam, ada satu perkara yang diutarakan Loloq yang masih melekat di jiwanya.

"Kata Loloq, Spider bawa muzik baru yang boleh membuatkan dia (Loloq) sendiri keluarkan satu ekspresi baru yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini."

Mereka pernah berkongsi inovasi dan seiring mengangkat ilusi yang ditemui bersama-sama. Walaupun sekadar sembang mengisi santai, ungkapan daripada insan seni yang dikagumi itu tidak akan dilupakan Tam sepanjang hayatnya.

Berkongsi cerita yang tidak pernah diluahkan kepada mana-mana 'orang luar' daripada kelompoknya, Tam seperti ada kekesalan di hati.

"Dua-tiga hari sebelum arwah dimasukkan ke hospital, saya ada menelefonnya. Niat saya memang hendak bertanya khabar. Saya dapat rasakan sesuatu tapi tak bertanya lebih-lebih sebab arwah tak nak bercerita tentang dirinya. Terus saya tukar topik tanya lirik baru.

"Tak lama lepas tu, dapat berita yang arwah dimasukkan ke hospital. Ramai yang tak dapat jumpa dengannya sehinggalah dia meninggal dunia. Kita tak boleh nak marahkan sesiapa, itu hak arwah dan keluarganya," jelas Tam.

Kalau hendak disusur-galur semua kisah tentang Loloq, terlalu banyak pujian dan sanjungan buatnya yang tidak terucap dengan kata-kata. Apa yang boleh diluahkan anak didik Loloq ini, dia bersyukur kerana pernah mengenali anak seni tiada gantinya ini.

"Dulu kalau tiba musim Syawal, kami selalu lepak bersama. Bila dia buat makan-makan kat rumah, kami akan datang. Dengan keluarga diapun kami kenal. Tapi bukan raya sahaja, boleh dikatakan setiap hari sebenarnya, momen kami bersama walaupun sekejap akan ada," beritahunya Tam menghabiskan bicaranya.

Mengenang Loloq sebagai insan budiman, Tony Iskandar yang bermain bass dalam kumpulan Spider ini pula menyifatkan Loloq sebagai abang yang menjaga dan mengambil berat makan minum semua orang termasuk dirinya.

"Masa saya kat Luncai Emas 12 tahun dahulu, dia yang jaga, kira macam abang. Masa itu keadaan agak sukar untuk kami hidup, jadi bila tak makan atau tak berduit, dialah akan bagi makan," cerita Tony.


BAHAGIALAH engkau aduhai teman yang pernah hadir membahagiakan hidup kami ketika kita di duniawi.

Mengenal dan belajar menulis lirik daripada air tangan Loloq, Tony juga tidak pernah terfikir untuk meniru cara penulisan Loloq ke dalam karyanya.

"Cap mohor itu hanya dipegang oleh Loloq. Memang saya juga boleh menulis, tapi Loloq ajar kami supaya jangan klise dan jangan menyalin hak orang dalam penulisan. Dan setiap kali menulis, ada sahaja idea baru yang akan digunakannya," kata Tony yang terharu ketika meninggalkan pusara Loloq.

"Kehilangan Loloq memang sangat dirasai, tambah-tambah menjelang Hari Raya begini sebab dia jenis yang ceria. Tapi ini kehendak takdir.

"Saya relakan pemergiannya kerana walaupun sudah tiada, setiap dia ada di sisi kami, dia telah meninggalkan kesan yang banyak dalam hidup kami dan seluruh industri," jelas Tony yang percaya pemergian Rosli Khamis ini ada hikmahnya.

Lembah ini juga mengingatkan semua betapa sementaranya hidup di dunia. Tiba masanya semua akan pergi buat selama-lamanya. Dataran yang sarat nostalgia ini kami tinggalkan bersama segugus keinsafan. Semoga Allahyarham Lolog bersemadi penuh rahmat. Al-Fatihah

Ahad, Februari 03, 2008

Loloq antara Andalusia dan Sup Selipar

petikan Utusan Malaysia 3 Februari 2008

BELASUNGKAWA
SESETENGAH pihak menganggap lirik adalah kata-kata untuk dibebelkan oleh penyanyi mengikut melodi yang dihasilkan oleh pencipta lagu. Malah ada juga tanggapan bahawa keperluan lirik sekadar untuk memberi tempat kepada penyanyi mengalunkan suara. Maka bidang penulisan lirik pada tanggapan sesetengah pihak tidak begitu penting dalam penghasilan sesebuah karya lagu.

Kerana itu apabila lagu Andalusia menjadi juara pada Juara Lagu 1999, kemenangan ini memberikan anjakan yang besar tentang peri pentingnya lirik yang baik mendukung lagu yang hebat. Dalam suasana lagu tempatan yang didukung oleh lirik berbasa-basi, Andalusia kelihatan agak terasing.

Bagaimanapun apabila lagu ini kerap disiarkan di radio, kepayahan sesetengah pihak untuk menghayati lagu ini sudah tiada lagi. Lagu Andalusia sedikit sebanyak telah membetulkan tanggapan bahawa lirik hanya bebelan yang tidak punya makna yang lebih besar daripada itu.

Lagu Andalusia diciptakan oleh M. Nasir, liriknya oleh Loloq dan dinyanyikan oleh M. Nasir sendiri.

Andalusia membawa kita menjejaki mimpi-mimpi silam era kegemilangan kerajaan Islam di Andalusia (kini Sepanyol). Tetapi kini kegemilangan itu telah hilang dan Loloq menulis, “Biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar.”

Sehari selepas Juara Lagu 1999, saya menghubungi Loloq dan berkata, “Tahniah, lirik masterpiece kau berjaya.” Loloq membalas, “Kita jangan jadi Andalusia.”

Andalusia antara hampir 2,000 lirik lagu karya Loloq yang dihasilkan lebih dua dekad dalam industri muzik negara ini. Banyak lagi lirik yang meninggalkan kesan yang panjang kepada pendengar waima bagi lagu-lagu berentak rock dan kelakar termasuk Sup Selipar nyanyian Salih Yaakob.

Bagaimanapun pada rembang bergerimis Rabu lalu, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara selepas tiga hari tidak sedarkan diri. Allahyarham yang juga kerap menggunakan nama pena Nurbisa berusia 50 tahun dan meninggalkan isteri, Hariah Yaacob dan tiga cahaya mata, Krsty Nur, 10, Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5.

Allahyarham adalah penulis lirik yang paling banyak menulis untuk lagu-lagu ciptaan M. Nasir. Kalangan penggiat industri muzik melihat Allahyarham sebagai gandingan yang banyak membantu kehebatan M. Nasir. Suatu yang menarik tentang Allahyarham ialah pernah muncul sebagai penerima royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hakcipta Muzik (MACP) sebanyak lima kali. Rekod yang sama juga dipegang oleh M. Nasir dalam bidang ciptaan lagu.

Ini menunjukkan walaupun Allahyarham menyuntikkan pemikiran bernas dalam liriknya, karya itu tetap popular. Maka kalau ada yang menganggap lirik yang baik seharusnya dipinggirkan, itu adalah salah sama sekali. Malah pada awal tahun 90-an, lagu-lagu yang menggunakan liriknya menduduki lima tangga teratas semua carta di stesen radio tempatan.

Di sebalik imej “allien” bercermin mata bingkai tebal dan berambut kusut, Allahyarham sebenarnya seorang pemikir dan pentafsir kepada pergulatan sosial di sekeliling yang kemudiannya dituangkan ke dalam liriknya. Lihatlah lirik lagu Apokalip yang melihat kehidupan manusia secara perbandingan dengan roller coaster yang ada waktu di atas dan pada waktu lain berada di bawah.

Kemampuan Allahyarham ialah menulis lirik yang pelbagai tema dan bentuk. Lihatlah bagaimana lagu Ngam Ho, Kepala Sotong, Sup Selipar. Tetapi ada kalanya Allahyarham kelihatan romantis seperti lirik lagu Layar Impian nyanyian Ella atau Biru Mata Hitamku nyanyian Wings.

Lirik lagu Mentera Semerah Padi nyanyian M. Nasir mengingatkan saya kepada lagu Blowin’ In The Rain yang liriknya ditulis oleh Bob Dylan pada era rock tahun 60-an. Bob Dylan dianggap penyanyi dan penulis lirik lagu rakyat moden Amerika Syarikat yang berusaha menghasilkan karya yang bermutu.

Semasa hayatnya, Allahyarham selalu percaya bahawa lirik lagu tidak seharusnya menjadi kering dan beku, kemudian mengulangi frasa-frasa lama tanpa mencari yang baru. Kerana itu kalau dihayati lirik lagu Bonda nyanyian M. Nasir, dengan penuh kekerdilan, Allahyarham menghantarkan kekaguman seorang anak kepada ibunya. Di tangan Allahyarham, Bonda adalah untuk semua orang, tanpa mengira kaum, kepercayaan dan fahaman politiknya. Bonda menjadi begitu syahdu dan menginsafkan tentang pengorbanan seorang yang bergelar ibu.

Awal tahun lalu Allahyarham menunjukkan koleksi hampir 2,000 lirik lagu yang dihasilkannya. Cita-citanya untuk membukukan semua lirik itu sebagai satu sumbangan kecilnya kepada dunia kesusasteraan Melayu. Allahyarham menyebut koleksi itu akan dihantar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan adakah lirik-lirik itu telah dihantar ke DBP?

Loloq telah pulang. Tetapi sebelum pulang Allahyarham telah membina satu terusan sebagai pilihan daripada yang telah sedia ada. Terusan ini tentunya tidak bermakna kalau kita tidak cuba mencari kelebihannya.

– KU SEMAN

Jumaat, Februari 01, 2008

‘Saya bagai patah sayap’

petikan Harian Metro 1 Februari 2008
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

KALANGAN rakan seperjuangan Rosli Khamis, 50, atau Loloq menganggap kematiannya bukan saja kehilangan besar di persada seni tanah air, bahkan hilang tempat ketawa riang sesama mereka.

Kesedihan serta terkilan lebih dirasai mereka apabila mengenangkan masing-masing tidak berpeluang berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir.

Loloq disahkan meninggal dunia pada jam 1.37 petang kelmarin di sisi isterinya, Hariah Yaacob di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur akibat pendarahan otak.

Salah seorang rakan paling rapat Allahyarham, Muhammad Nasir Mohd atau M Nasir meluahkan rasa terkilan apabila tidak sempat berada di sisi Loloq sewaktu dia meninggal dunia.

Ketika ditemui di hospital bagi menguruskan jenazah, M Nasir yang menitiskan air mata kerana sedih berkata, pemergian Loloq jelas kehilangan besar buat dirinya secara peribadi.

“Saya ada ramai kawan tetapi tidak ada satu pun yang dapat menandingi atau menyamai kesetiaan ditunjukkan Allahyarham pada saya dalam persahabatan.

“Kami mula berkenalan pada awal 80-an menerusi seorang lagi teman. Waktu itu dia berminat untuk menghasilkan lirik lagu dan saya memberikannya peluang mencuba.

“Sejak itu kami rapat dan selalu menjalin kerjasama sehinggalah dia menyertai produksi yang saya tubuhkan, Luncai Emas Sdn Bhd sebagai penulis lirik secara eksklusif.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menghabiskan banyak masa dengannya di saat akhir. Kali terakhir kami bertemu tiga minggu lalu tetapi waktu itu dia tidak menunjukkan apa-apa tanda,” katanya.

Pemergian Loloq juga menyebabkan pelbagai perkara membabitkan bisnes yang mahu dilakukan M Nasir tertangguh. Ketiadaan Loloq bagi M Nasir seperti patah salah satu sayapnya di bidang seni.

“Saya menganggap Loloq sebagai lambang kepada satu perjalanan, pemikiran juga hidup dan kebanyakan karya dihasilkan mempunyai roh untuk kita menghayati dengan emosi sendiri,” katanya.

Penyanyi Mohd Shukri Shahbudin atau Hattan pula antara orang paling awal menziarahi jenazah di hospital jelas tidak dapat menahan sebaknya kerana sedih tidak berpeluang bertemu Allahyarham.

Sebaik dilaporkan Loloq terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Damansara, Ahad lalu, Hattan antara teman yang datang setiap hari menziarahi Allahyarham.

“Saya menghormati permintaan isterinya yang tidak mahu pihak luar datang melawat dan mengganggu arwah menjalani rawatan. Bagaimanapun, apa salahnya diberikan kelonggaran kepada kawan rapat.

“Bukan sehari dua saya kenal Loloq. Kami berkawan sejak hari pertama saya menceburi bidang nyanyian. Malah lagu pertama nyanyian saya, Berikan Norbisa liriknya ditulis Loloq sendiri.

“Katakan diberi peluang walaupun seminit bertemu Allahyarham, ingin bisikkan sesuatu ke telinganya. Sekurang-kurangnya dapatlah saya memohon maaf atas segala salah silap saya,” katanya.

Penyanyi Amy Search pula berkata, dia mengenali Loloq hampir 20 tahun. Malah arwah juga banyak menyumbang kejayaan dengan menghasilkan lirik menarik sepanjang kerjaya Amy sebagai penyanyi.

“Saya berkenalan dengan Loloq menerusi M Nasir dan pernah bersama-sama ‘lepak’ di Chow Kit. Pada saya, arwah mempunyai pemikiran tinggi hingga membolehkannya menghasilkan karya yang bagus,” katanya.

Pengarah filem, Mamat Khalid yang pertama kali bekerja dengan Loloq pada 1996 untuk sitcom Spanar Jaya mendedahkan, penyakit misteri yang dideritai arwah sudah lama dihidapi sejak sebulan lalu.

“Dia memberitahu penyakitnya tetapi atas permintaan keluarga, ia terpaksa dirahsiakan. Begitupun kerana komited kepada kerja, dia memastikan sakit dialami tidak mengganggu tumpuan.

“Dalam tempoh sebulan itu, dia sering berulang-alik ke hospital tetapi agak menghairankan saya difahamkan doktor tidak dapat mengesan puncanya.

“Kebelakangan ini pula, dia selalu mengeluh penyakitnya itu kembali menyerang. Dia berasa seperti matanya dicucuk jarum tajam dan sendi di seluruh badan pedih dan kejang,” katanya.

Sepanjang bekerjasama, Loloq sudah membintangi empat filem arahan Mamat antaranya Lang Buana, Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang.


petikan Berita Harian 1 Februari 2008
Rakan ralat tak sempat bertemu
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Peraturan ketat ICU halang hasrat mereka ziarah Loloq di saat akhir

RATA-rata rakan penulis lirik terkemuka Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq, 50, yang meninggal dunia Selasa lalu, di Hospital Pakar Damansara terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan arwah di saat akhir.

Kebanyakan mereka hanya mengetahui berita tergempar mengenai keadaan kesihatan arwah yang semakin kritikal Isnin lalu. Ramai yang bergegas untuk menziarah arwah yang ketika itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Namun malangnya mereka tidak dibenarkan masuk kerana peraturan ketat yang ditetapkan ahli keluarga Allahyarham. Hanya ahli keluarga dan mereka yang tersenarai namanya saja dibenarkan untuk melihat arwah.

Biarpun mengetahui syarat ketat yang ditetapkan ahli keluarga Allahyarham, rakan-rakannya tidak berputus asa malah tetap datang untuk menziarah Loloq walaupun akhirnya mereka terpaksa pulang dengan kehampaan.

Hanya kata-kata ucapan yang dapat dititipkan pada Loloq yang ketika itu bertarung akibat pendarahan otak. Rakan artis yang sempat mencoretkan kata-kata semangat antaranya Aris Ariwatan, Mamat Khalid, Joe Wings, Johan Nawawi, Aidit Alfian, Johari Teh dan beberapa teman lain.

Antara kata-kata semangat yang cuba ditiupkan walau tidak dapat bersua mereka seperti ‘Loq cepat sembuh!’, ‘Loq cepat, aku nak masuk studio rakaman’ dan banyak lagi kata-kata dengan harapan penulis lirik dan juga pelakon itu akan cepat sembuh tetapi doa mereka tidak kesampaian kerana Tuhan lebih menyayanginya.

Sahabat baik Allahyarham, M Nasir, satu-satunya artis yang mendapat kepercayaan daripada ahli keluarga Loloq berkata, pemergian Loloq adalah satu kehilangan besar buat dirinya.

Sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Loloq ke dunia seni, kehilangan Loloq begitu dirasai. Malah, M Nasir tidak dapat menahan air matanya daripada berlinangan ketika dikerumuni media.

“Saya ada ramai kawan tetapi tidak ada yang istimewa sepertinya. Saya terkilan kerana tidak dapat menghabiskan masa dengannya. Kali terakhir saya bertemu dengan Loloq kira-kira tiga minggu lalu.

“Kami ada beberapa rancangan yang ingin dibuat bersama. Banyak benda yang tertangguh, jadi dia kata pada saya, dia tidak sakit lagi dan mahu meneruskan kerja kami. Tapi keesokannya saya sudah tidak bertemu dengan dia lagi.

“Dia adalah perjalanan, pemikiran dan hidup. Lagu yang dihasilkannya mempunyai roh dan dia adalah sebahagian daripada itu,” kata penyanyi itu.

Loloq menyertai syarikat rakaman Luncai Emas milik Nasir sejak tahun 1990 sebagai penulis lirik eksekutif.

Sementara itu, Amy Search melahirkan rasa terkilan kerana tidak berpeluang untuk bertemu langsung dengan Allahyarham.

“Saya berasa sangat sedih dan ralat kerana tidak dapat bertemu dengan arwah di saat akhirnya. Saya tidak mahu lama, cukuplah diberikan saya satu minit untuk saya membisikkan sesuatu ke telinganya,” kata Amy yang mengenali Loloq lebih 20 tahun yang lalu.

Loloq yang juga banyak menyumbangkan lirik lagu untuk Search disifatkan sebagai seorang yang dedikasi. Allahyarham gemar membaca dan sering tampil dengan pelbagai perkataan baru.

Selain terkilan kerana tidak dapat bertemu arwah, Amy Search juga terkilan kerana hasrat mereka untuk menunaikan umrah bersama tidak tercapai. Bagaimanapun, Amy gembira kerana arwah sempat menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah baru-baru ini setelah mendengar cerita daripadanya mengenai keindahan dan nikmat yang dikecapi tatkala menunaikan umrah.

Seorang lagi sahabat Allahyarham, Hattan juga terkilan kerana tidak dibenarkan masuk melihat arwah di ICU. Hattan yang tidak dapat menahan tangisan berkata, dia mengesyaki perubahan pelik pada arwah apabila dia pergi menunaikan umrah.

“Perubahan yang nyata, dia pergi umrah. Loloq seorang yang sangat unik, dia juga seorang penasihat. Arwah orang pertama yang tahu muzik kita akan kiamat dan dia sangat kecewa dengan industri kita.

“Saya masih ingat, dia pernah bawa saya berjalan kaki di Singapura. Paling tidak boleh lupa, arwah bagi duit pada kawan-kawan apabila dia dapat duit banyak,” kata Hattan yang tidak dapat menahan linangan air matanya

Pengarah yang banyak bekerjasama dengan Loloq, Mamat Khalid berkata, dia terkilan kerana isteri Allahyarham terlalu berahsia. Bagaimanapun, dia menghormati pendirian isteri Loloq yang memerlukan privasi.

Menurut Mamat Khalid, dia mengetahui kesihatan Loloq terganggu sejak sebulan yang lalu. Katanya, penulis lirik dan pelakon itu mengadu mengenai matanya yang terasa seperti dicucuk-cucuk serta sendinya yang tidak boleh bergerak.

“Pertama kali dia dimasukkan ke hospital bulan lalu. Kata Allahyarham, doktor tidak tahu apa punca penyakitnya walaupun sudah menjalani pemeriksaan. Tetapi dia meminta kami supaya merahsiakan mengenai penyakitnya itu dan kami menghormatinya. Bagaimanapun saya tidak sangka akan jadi begini.

“Selama ini, orang hanya tahu dia sebagai seorang penulis lirik tetapi orang tidak tahu yang dia sebenarnya boleh berlakon. Dialah antara orang yang memberi perangsang kepada saya supaya buat filem. Ketika itu hati saya berbelah bahagi tetapi dia berjaya meyakinkan dan dia menawarkan diri untuk berlakon dalam filem pertama saya Lang Buana pad 2002,” kata Mamat.

Pengarah filem, Bade Azmi pula berpeluang menyelinap masuk ke bilik arwah. Dia yang mengetahui mengenai penyakit arwah pada hari Isnin berkata, dia hanya berkesempatan meluangkan masa selama beberapa minit dan memberi salam kepada arwah.


petikan Utusan Malaysia 1 Februari 2008
Sukar mencari pengganti Loloq

PETANG kelmarin industri muzik tempatan kehilangan seorang penulis lirik dengan kembalinya Loloq ke rahmatullah kerana mengalami pendarahan otak.

Sejak lebih sedekad lalu, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis, 50, berjaya menempatkan namanya sebagai penulis lirik nombor satu tanah air.

Kejayaan karyawan kelahiran Singapura itu dapat diukur melalui pencapaiannya sebagai ahli Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik (MACP) sejak sedekad kebelakangan ini.

Menurut Pengerusi MACP, Habsah Hassan, 58, Loloq boleh dikatakan sebagai penulis lirik tempatan yang paling berjaya dalam badan itu setakat ini.

“Setakat ini Loloq merupakan satu-satunya ahli MACP iaitu sebagai penulis lirik yang menerima bayaran royalti paling tinggi selama lima tahun berturut-turut.

“Malah, Loloq juga merupakan antara penulis lirik lagu yang paling aktif setakat ini yang mana beliau telah menulis lebih 600 lirik,” katanya ketika ditemui sewaktu melawat jenazah Allahyarham di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Kenyataan Habsah itu turut disokong oleh Pengurus Hakcipta syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd., Jennifah Johari, 39, yang menyifatkan Loloq sebagai penulis lirik tempatan paling aktif sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya keaktifan dan daya kreativiti Loloq menyebabkan Luncai Emas Sdn. Bhd. yang dimiliki M. Nasir itu melantik Allahyarham sebagai penulis lirik eksklusif di syarikat rakaman tersebut.

“Kami telah melantik Loloq sebagai penulis lirik eksklusif di Luncai Emas Sdn. Bhd. sejak 1990 sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Kami mudah bekerjasama dengan Loloq bukan sahaja kerana daya kreativiti yang dimilikinya tetapi juga disebabkan keserasian antara kami dengannya,” ujar Jennifah.

Progresif

Loloq bukan sahaja berjaya menempatkan namanya sebagai penulis lirik alaf ini yang progresif dalam mengetengahkan pelbagai warna mesej dalam karya-karya tulisannya.

Sebaliknya, pada 8 November 2005 menerusi akhbar Utusan Malaysia, bapa kepada tiga anak perempuan ini pernah menyatakan harapannya agar penulis lirik sepertinya sewajarnya mendapat pengiktirafan daripada industri muzik tanahair.

Ini kerana, Loloq sanggup berhijrah dari Johor ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1980-an semata-mata kerana mahu mencipta nama dan memperkembangkan bakatnya sebagai penulis lirik lagu.

Vokalis kumpulan rock Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, 50, tidak dapat melupakan pertemuan pertamanya dengan Loloq di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada awal tahun 1980-an.

“Ketika itu saya dan M. Nasir sedang menaiki sebuah van di Jalan Chow Kit. Itulah kali pertama saya bertemu dan berkenalan dengan Loloq.

“Kami kebetulan baru datang ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru kerana mahu mencuba nasib sebagai anak seni,” kata Amy mengimbau perkenalannya dengan penulis lirik terkenal itu.

Jelas Amy, saat itu Loloq bukan sahaja baru hendak bertapak sebagai penulis lirik tetapi Search juga ketika itu belum melahirkan sebarang album dan hanya bermain muzik di kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur.

Bakat Loloq mula terserlah apabila satu demi satu lirik ciptaannya berjaya disatukan menjadi lagu yang sempurna. Antara lirik terawal ciptaan Loloq berjudul Bisikan Nurani nyanyian Roy pada awal tahun 1990-an.

“Bagi saya, Loloq antara penulis lirik yang banyak menyumbangkan karyanya dalam album album Search. Antaranya lirik berjudul Gothik Malam Edan dan Diari Habil & Qabil,” ujarnya.

Bukan setakat artis-artis era tahun 1990-an tetapi ramai juga penyanyi baru termasuklah Misha Omar yang berkesempatan menyanyikan lirik lagu ciptaan Loloq.

Kata Misha, dia berasa terharu kerana berpeluang menyanyikan lirik ciptaan Loloq berjudul Cinta Adam Dan Hawa yang akan dimuatkan menerusi album terbarunya kelak.

Apatah lagi kata penyanyi berasal dari Kelantan ini lagu itu dicipta oleh Loloq sekembalinya beliau dari mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah pada Ogos tahun lalu.

“Arwah pernah beritahu saya bahawa dia mendapat ilham mencipta lirik itu ketika berada di Mekah. Malah, ketika merakamkan lagu itu di Studio Wake The Baby milik Ajai, arwah berada di sisi saya. Kenangan itu benar-benar meninggalkan kesan di hati saya.

“Saya bangga kerana dapat menyanyikan lirik lagu itu yang bagi saya dalam maksudnya. Itu tidak menghairankan saya kerana apa yang saya tahu arwah memang seorang yang amat mementingkan soal bahasa,” katanya.

Meningkat naik

Loloq bukan setakat dikenali sebagai penulis lirik tetapi juga penulis skrip filem dan Aduh Saliha merupakan skrip tulisannya yang pertama.

Selain itu, Allahyarham juga tidak ketinggalan mempamerkan bakatnya sebagai pelakon filem dan drama televisyen yang semakin meningkat naik kebelakangan ini.

Bakat Loloq itu diakui sendiri oleh pengarah Mamat Khalid yang tidak ketinggalan menjemput Allahyarham berlakon dalam filem-filem arahannya.

“Setakat ini, boleh dikatakan semua filem arahan saya ada menampilkan lakonan Loloq seperti filem Lang Buana, Man Laksa, Rock dan Zombie Kampung Pisang.

“Hanya filem Kala Malam Bulan Mengambang sahaja saya tidak sempat memberi peluang berlakon kerana watak tauke hotel yang sepatutnya dilakonkan Loloq telah diberikan kepada David Teo,” ujarnya.

Penyanyi Hattan yang pernah menyanyikan banyak lirik ciptaan Loloq tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika diminta mengulas tentang keakrabannya dengan Allahyarham.

“Saya memang rapat dengan Loloq kerana arwah sudah pun mula memberi saya lirik lagu sejak album solo pertama saya diterbitkan pada awal tahun 1990-an.

“Antara lirik lagu Loloq yang popular pernah saya nyanyikan berjudul Berikan Nurbisa yang dipetik daripada album Hitam Bukan Impian,” katanya.

Sememangnya pemergian Loloq ke rahmatullah merupakan suatu kehilangan yang sukar dicari ganti apatah lagi industri hiburan tempatan seakan-akan kekurangan insan yang amat kreatif seperti beliau.

Komposer terkemuka Ramli M.S. menyifatkan pemergian Loloq itu sukar untuk dicari ganti dalam waktu yang terdekat ini.

“Pada pendapat saya, kita tidak boleh tanam pokok dan mengharapkan ia akan tumbuh pada esok hari. Begitulah yang berlaku pada Loloq. Bagi saya, kita perlu ambil masa yang agak lama untuk melihat kemunculan seorang lagi penulis lirik seperti Loloq,” komennya.

Khamis, Januari 31, 2008

Misteri Kematian Loloq

petikan Murai.com.my 31 Januari 2008

KUALA LUMPUR, 31 JAN 2008: Kematian mengejut Loloq atau Rosli Khamis, 50, yang koma dua hari selepas dimasukkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Damansara pada awal pagi Ahad lalu benar-benar membingungkan kebanyakan rakan seperjuangan seninya.

Sepanjang hayatnya masih ada, penulis lirik yang cukup prolifik serta berpengaruh di dalam industri muzik tempatan negara ini tidak pernah dilaporkan mempunyai sebarang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau pun sakit jantung.

Lalu, apabila pihak doktor di hospital berkenaan mengesahkan anak seni kelahiran Singapura ini menghadapi masalah pembuluh darah pecah di bahagian otaknya, kita semua tertanya-tanya bagaimanakah ia boleh berlaku, sedangkan arwah sebelum ini seorang yang tegap serta sihat walafiat.

Krew murai.com.my cuba mendekati isteri beliau, Hariah Yaacob, 35, untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai penyakit yang dihadapinya arwah suaminya itu. Hariah yang manis bertudung litup bagaimanapun agak sukar untuk memberikan kerjasama kepada pihak wartawan.

"Minta maaf saya tidak boleh memberikan sebarang penjelasan lebih lanjut mengenai keadaan arwah sebelum ini. Apa yang boleh saya katakan, doktor hanya mengesahkan dia menghadapi pendarahan di dalam otak. Maaf ya. Itu saja yang boleh saya katakan," katanya sewaktu ditemui di dalam Surau Al-Ikhwan di Bandar Baru Sungai Buloh.

Balu arwah itu ditemui di bahagian ruang solat muslimah bersama sanak saudara maranya yang lain dalam surau tersebut selepas menngiringi jenazah arwah yang tiba dari hospital berkenaan kira-kira jam 4.50 petang.

Sungguh pun begitu, ibu Hariah yang juga ibu mertua kepada Loloq, Hawa Md Bintang, 65, bukan saja lebih senang untuk didekati tetapi mahu memberikan kerjasama yang lebih dengan pihak wartawan mengenai pemergian Loloq yang mendukacitakan semua.

"Malam Rabu minggu lepas, makcik baru saja menziarahi anak menantu makcik di rumah mereka. Makcik tak nampak pun apa-apa yang pelik dan arwah pun nampak sihat saja serta tidak mengadu apa-apa sakit.

"Apabila dia dimasukkan ke hospital pada pagi Ahad lalu, sudah tentu kami semua terkejut dan lebih mengejutkan bila dapat tahu bahawa arwah kemudian meninggal selepas menjalani pembedahan Isnin lalu," katanya.

Kalau hendak diikutkan makcik Hawa mahu bercerita dengan lebih lanjut lagi mengenai musibah yang menimpa keluarganya itu. Namun, selepas diberi amaran oleh seorang anaknya supaya tidak menceritakan apa-apa lagi kepada kepada pihak wartawan, wanita itu terus mendiamkan diri.

M Nasir gagal menahan sebak

Daripada sumber yang diperolehi daripada rakan paling akrab dengan arwah pula, komposer dan penyanyi berkaliber, M Nasir berkata, sebelum ini arwah memang pernah mengadu mengenai keadaannya yang kurang begitu sihat.

"Dia memberitahu saya perkara itu selepas hari raya. Tidak lama selepas itu dia menghilangkan diri dan tidak berjumpa dengan sesiapa termasuklah kami semua di Luncai Emas.

"Apabila saya jumpa dia semula, saya tanya ke mana dia menghilang. Dia kata dia sakit tetapi sudah OK. Tapi, dia tidak beritahu dia sakit apa dan sekitar bulan lalu, sudah dua kali arwah dimasukkan ke hospital.

"Sebagai rakan arwah, saya tidak terkilan dengan pemergiannya. Saya redha. Namun, pemergian adalah satu kehilangan yang besar. Lebih-lebih lagi buat saya kerana dia banyak menulis lirik untuk lagu-lagu yang saya cipta.

"Kami juga berkongsi banyak perkara serta pemikiran yang sama. Saya tidak fikir akan ada pengganti yang lain selain daripada Loloq dan saya tidak dapat melihat siapa yang mampu menggantikan tempat Loloq sebagai penulis lirik yang hebat di negara ini," kata M Nasir dengan mata yang merah dan penuh sebak.

Pengarah filem Mamat Khalid yang turut dilihat berada di dalam van jenazah arwah memberitahu, arwah adalah antara rakannya yang paling akrab yang banyak berkongsi minat, cerita serta pemikiran yang sama.

"Sebab itulah dia selalu ada di dalam filem yang saya bikin kecuali Kala Malam Bulan Mengambang. Dia ibarat sparing partner saya. Dia memang best. Tidak sangka pula dia sudah pergi tinggalkan kita buat selama-lamanya.

"Sebenarnya, sudah dua kali dia masuk di hospital pada bulan yang lalu akibat darah yang tersekat di otak namun dari awal lagi pihak keluarganya mahu merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan semua," katanya.

Satu sumber pula memberitahu murai.com.my bahawa arwah sebenarnya ada menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku pada Isnin lalu. Pada masa itu, keadaan arwah sudah mula dilaporkan agak stabil semula.

"Tapi, keadaan arwah bagaimanapun bertukar menjadi kritikal semula apabila bahagian paru-paru arwah mula dipenuhi gas karbon dioksida dan arwah kemudian meninggal dunia kira-kira jam 1.37 petang semalam," sumber itu berkata lagi.

Sewaktu jenazah arwah dimandikan, dikafankan serta disembahyangkan di surau itu, ramai rakan artis serta karyawan seni yang sudah pun kelihatan berkumpul di situ untuk memberikan penghormatan terakhir buat anak seni yang dianugerahkan bakat cukup luar biasa itu.

M Nasir & isterinya Marlia Musa, Mamat Khalid, Tam & Nafie Spider, Misha Omar, Jaclyn Victor, Ella, Hattan, Amy, Nasir & Yazid Search, Saleem Iklim, Joe & Eddie Wings, Nurul, Farhan, Mila, Hasnul Rahmat, Zur Eda, Herman Tino, Ramli MS, Ali Bakar, Salman, Ajai, Zul Mahat, Johari Teh, Fauzi Marzuki, Eddie Hamid, Mohram , Keon, Moharis Yaakop, Firdaus, Farihin Abdful Fatah, Aidit Alfian, S Amin Shahab dan Sani Sudin adalah antara mereka yang kelihatan.

Orang-orang kuat dan berpengaruh dalam persatuan hiburan juga turut kelihatan iaitu Presiden MACP, Habsah Hassan, Presiden PAIMM, Datuk Aziz Bakar, Presiden Papita, M Daud serta Presiden Mahkota, Datuk A Rahman Hassan.

Masing-masing kelihatan cukup sugul dan sangat berduka dengan pemergian arwah yang sama sekali tidak dijangka ini dan ada di antara mereka tidak dapat menahan sebak apabila diberi peluang untuk menatap wajah arwah buat kali yang terakhirnya. Lebih-lebih lagi tatkala melihat jahitan di bahagian kepala arwah selepas beliau dilaporkan menjalani pembedahan Isnin lalu.

Tam Spider paling sugul

Paling tidak dapat menahan emosi dan sugul mereka dengan pemergian mengejut arwah ialah Tam Spider dan pemain keyboards Firdaus yang sudah menganggap arwah sebagai saudara kandung sendiri.

Tam berkata: "Buat masa ini, aku tidak dapat nak mengulas apa-apa. Tolonglah faham keadaan aku. Berilah masa untuk aku tenang kerana kehilangan arwah ini adalah sesuatu yang amat besar."

Jenazah arwah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Sungai Buloh dan disemadikan di pusara itu sekitar jam 6.45 petang. Tam bersama Firdaus adalah antara individu yang turut membantu menimbus tanah ketika upacara pengebumian dilakukan.

Antara yang berkejar pada saat akhir ke pusara Allahyarham adalah Afdlin Shauki, Zainalabidin, Cat Farish , Ali XPDC, Eman Manan, Rosyam Nor, Adlin Aman Ramlie, Eman Manan, Uwie, Din CJ, Bade Hj Azmi dan Pacai.

Loloq yang dilahirkan pada 21 Mei 1957 di Singapura meninggalkan seorang balu dan tiga anak iaitu Krusty Nur, 10, Jaerv Nur, 7, dan Yasha Nur, 5. Antara lirik beliau yang cukup diingati ialah Mentera Semerah Padi & Andalusia (M Nasir), Aduh! Saliha & Angan dan Sedar (Mawi), Layar Impian (Ella), Selendang Merdeka & Tak Nak Jadi Soh Chai (XPDC), Cinta Sakti (Def-Gab-C), Aladin & Kasih Latifah (Spider), NurNilam Sari (Awie & Search) Sembunyi (Misha Omar & Andy Flop Poppy), Persis Mutiara (Mila), Awan Yang Terpilu (Ning Baziura) serta Ghazal Untuk Rabiah (Jamal Abdillah & M Nasir) yang turut pernah mengungguli pertandingan Anugerah Juara Lagu 1997.

Selain itu, arwah juga aktif berlakon dan sering dilihat muncul dalam kebanyakan filem arahan Mamat Khalid iaitu Lang Buana, Rock, Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang. Terbaru, arwah berlakon dalam filem arahan Seow Teong Hing, Apa Kata Hati.

Arwah juga turut menulis skrip untuk filem Aduh! Saliha arahan M Nasir tetapi tidak dapat melihat karya filem itu siap sepenuhnya.

Rakan Artis Sedih Kematian Loloq
Oleh Ellyna Ali & Haswari Ali

KUALA LUMPUR, 30 JAN 2008: Kematian penulis lirik handalan, Allahyarham Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis, awal petang tadi begitu mengejutkan rakan artis dan karyawan seni kerana masing-masing sebelum ini menaruh harapan agar yang beliau akan dapat pulih seperti sediakala daripada penderitaan yang mengejutkan itu.

Namun siapa dapat melawan kehendak takdir yang nyata lebih berkuasa dalam menyusun ketetapan ajal dan maut dalam diri setiap manusia. Tepat jam 1.37 petang tadi, Allahyarham Loloq pergi buat selama-lamanya sekali gus meninggalkan nama dan jasa kepada dunia seni tanah air.

Rata-rata rakan seperjuangan meluahkan rasa sedih dengan kematian Allahyarham yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada bidang seni.

AMY SEARCH

"Saya amat sedih kerana kehilangan seorang sahabat baik. Sepanjang mengenali arwah, dia tak pernah mengadu sakit itu atau sakit ini. Dia juga tidak pernah cakap yang dia ada darah tinggi atau kencing manis. Tak pernah langsung. Jadi saya selalu anggap dia seorang yang sihat.

"Jadi apabila dapat tahu dia dimasukkan ke ICU awal pagi Ahad lalu, sudah tentu saya terkejut. Saya masih ingat sewaktu balik dari mengerjakan umrah dulu, saya ada bercerita kepada dia mengenai betapa seronoknya berada di Madinah dan melihat sendiri kebesaran Tuhan di sana.

"Tidak sangka pula saya kerana apa yang saya ceritakan itu membuatkan dia teruja untuk menjejakkan kaki ke Makkah. Saya katakan pada dia, sebagai anak seni, kita patut ke sana sebab anugerah yang Tuhan bagi pada kita, tidak semua orang dapat. Kalau kita dapat mencari jawapannya di sana, kita akan jadi orang yang cukup bahagia.

"Pada satu Jumaat, dia hubungi saya. Dia cakap kerana teruja mendengar cerita saya, dia sudah ke sana dan baru saja pulang dari mengerjakan umrah. Dia juga beritahu saya yang dia mahu lagi pergi ke sana dan kali ini dia mahu pergi dengan saya dalam tempoh yang lebih lama. Memikirkan kembali sekarang ini, saya rasa amat tersentuh dan sedih."

AJAI

"Ini adalah satu kehilangan besar kepada negara khususnya dunia penulis lirik. Sebenarnya saya hanya mengetahui berita arwah dimasukkan ke ICU sewaktu berada di Jakarta, Sabtu lalu untuk pembikinan klip video terbaru Mila.

"Saya cuma difahamkan arwah mengalami pendarahan beku di dalam kepalanya. Jadi doktor kata, dia mungkin akan mengalami koma sekurang-kurangnya 48 jam. Tapi petang tadi saya amat terkejut apabila dimaklumkan Loloq sudah meninggal dunia. Takdir menentukan yang dia kena pergi meninggalkan kita semua. Saya akan simpan segala kenangan bekerja dan bersahabat dengan arwah buat selama-lamanya."


RAMLI MS

"Saya sungguh sedih dengan pemergian Loloq. Sebelum ini, saya pun terkejut menerima berita Loloq terlantar tenat di ICU. Saya memang tidak nampak dia waktu Anugerah Juara Lagu Ke-22 berlangsung Ahad lalu. Kali terakhir saya bertemu dia ialah kira-kira sebulan yang lalu waktu sedang berbincang mengenai salah satu lagu ciptaan Azmeer dalam album baru Misha Omar. Dia yang tulis lirik lagu itu.

"Sepanjang kenal dia, dia memang tidak suka berkongsi susahnya dengan sesiapa. Tapi, kalau senang dia, memang dia suka orang. Memang payah hendak cari orang macam ini. Dia juga seorang yang cukup positif apabila berkarya serta tidak lokek berkongsi ilmu yang ada. Setakat ini saya memang tidak nampak apa yang negatif pada dirinya.

"Waktu menziarahinya malam Isnin lalu, saya memang mengharapkan untuk berjumpa dia. Namun saya juga harus menghormati prosedur perubatan yang ketat. Semoga roh arwah ditempatkan bersama orang beriman."


FREDDIE FERNANDEZ, PRESIDEN KARYAWAN

"Berita yang amat mengejutkan industri hiburan kerana kita sedia maklum Allahyarham seorang yang sihat dan cergas dalam banyak bidang, bukan saja muzik malahan juga bidang lakonan. Saya menganggapnya sebagai satu kehilangan amat besar kepada industri dalam usia yang masih muda ditambah pula dengan bakat yang ada padanya.

"Harapan saya, moga apa yang ditinggalkannya hari ini dapat dihidupkan semula dalam lagu-lagu ciptaannya dan ucapan takziah saya sampaikan kepada isteri, anak-anak dan keluarga arwah.

"Di dalam Karyawan, Loloq boleh dianggap sebagai seorang yang lantang bersuara dalam menyampaikan pendapat dan pandangannya. Tak kira apa dan siapa saja yang dia tak suka, dia dengan lantang akan bersuara. Dia selalu mencari kebenaran dalam apa juga usaha membantu industri seni hiburan tempatan.

"Manakala bagi Maestro, kami menjalinkan hubungan yang amat baik kerana Allahyarham banyak membantu dalam menulis lagu untuk artis Maestro seperti Mawi dan Mila Bagi saya kejayaan lagu-lagu itu adalah kejayaan Loloq sendiri."


HATTAN

"Saya adalah artis pertama pilihannya untuk rakaman album. Malah saya mengenalinya sejak di Singapura lagi. Saya rasa kehilangannya sesuatu yang sukar di terima. Itu saja yang boleh saya kataka buat masa ini."


MISHA OMAR

"Saya bagaikan tak percaya. Semuanya berjalan terlalu cepat, kami ketawa bersama, kemudian dapat berita Allahyarham di masukkan ke hospital dan sekarang dia sudah tiada. Dari siang tadi lagi, saya cuba memujuk diri saya memberi tahu bahawa arwah sudah tiada lagi. Cukup bagi saya menerima kenyataan ini kerana sejak malam sebelum Anugerah Juara lagu (AJL) saya sempat bertemu dengannya. Kami bergurau dan bertegur sapa.

"Saya menjadikan semua ini sebagai pengajaran bahawa hidup ini sangat singkat. Saya pohon kepada kita semua dan sesiapa yang terlibat di dalam industri hiburan supaya menghormati orang-orang di sekeliling kita.

"Bagi saya dia seorang yang genius dalam industri muzik. Dan pertama kali saya mengenali Allahyarham ketika projek Nafas Cahaya dan dia juga menyumbangkan lirik untuk lagu Sembunyi serta satu lagi lagu ciptaan Azmeer, Adam dan Hawa.

"Beliau seorang yang ikhlas, bekerja tanpa memikirkan pulangan. Kerjanya hanya untuk perjuangan seni dan dia seorang yang senang diajak berbincang. Saya harap keluarga arwah akan tabah kerana Tuhan lebih menyayanginya."


SAW TEONG HIN, PENGARAH FILEM

"Baru malam semalam saya membaca blog yang ditulis oleh pengarah Mamat Khalid mengenai berita Loloq di masukkan ke ICU dan hari ini saya menerima SMS dari Datin Seri Tiara Jacquelina mengenai kematiannya.

"Memang menyedihkan saya kerana sepanjang mengenalinya, beliau sememangnya seorang baik hati, suka membantu, berfikiran positif dan sering menyokong apa juga idea saya.

"Saya mula kenal dengan Loloq sejak tahun 2000 lagi, ketika itu saya baru ingin berjinak-jinak dalam industri perfileman tempatan. Dialah orang pertama yang menyokong dan mengalu-alukan kemunculan saya dalam indutri. Namanya memang sudah cukup besar. Sejak era 1980-an lagi dia sudah mencipta lagu dan dia tak pernah kenal erti jemu.

"Penulisannya dalam apa jua irama sama ada rock mahupun balada, terselit metaforanya yang cukup hebat. Tidak hairanlah lagu-lagunya mampu menjadi evergreen."