Isnin, April 25, 2011

'Ayat mesti power'

petikan Berita Harian 25 April 2011
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Konsert istimewa mengangkat hasil karya penulis seni kata lagu yang berada dalam darjatnya tersendiri

"Ayat mesti power" itulah ungkapan yang sering dizahirkan oleh penulis seni kata lagu terkenal, Loloq setiap kali ditanya oleh media atau rakan-rakan seni ketika hayatnya.

Ternyata apa yang di cakap itu bukanlah kata-kata kosong. Hasil tulisannya menerusi seni kata memang mudah difahami, senang dihayati selain tidak mudah disebut. Seni kata yang ditulisnya memiliki pengertian tersendiri. Ia mungkin sekadar cinta biasa, tetapi kemungkinan mengenai falsafah hidup, kemanusiaan, kerohanian, persahabatan dan persaudaraan serta berkaitan dengan sejarah serta keagamaan.
Sebahagian hasil tulisan lirik Loloq itu dinyanyikan semula oleh Datuk M Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider dalam Konsert Untukmu Loloq di Istana Budaya (IB) dari 22 April dan berakhir 24 April.


Turut mewarnai konsert ini ialah pemuzik dan artis kebudayaan dari Badan Kesenian Kementerian Pertahanan (BKM) bersama-sama dengan pemuzik dan penari Istana Budaya sendiri.

Keghairahan menyaksikan pementasan konsert berskala besar, biasanya tertumpu kepada siapa artis, genre muzik, lagu dan elemen kekaguman yang diselitkan di dalamnya. Jarang sesekali kita mengamati dan menghayati bait indah seni kata yang biasanya akan ditenggelami dengan alunan muzik, lebih lagi sekiranya konsert itu mendapat khidmat pemain orkestra.

Konsert ini dimulakan dengan nyanyian koir daripada barisan penyanyi BKM dengan menyampaikan lagu seperti Adam Dan Hawa dan Nilamsari. Kemunculan artis BKM ini tidak menjadi kesalahan tetapi ia terlalu ramai menjadikan pentas sangat sempit sehingga kelihatan ‘tidak bernafas’.
Persembahan koir pada sesi pra-tonton kepada media ini juga ada kelemahan terutama pada lontaran vokal yang kadang-kadang agak sukar untuk didengar oleh penonton.

Matlamat kurang tercapai?

Matlamat utama Konsert Untukmu Loloq adalah mengiktiraf dan menghargai seni kata lagu yang ditulis oleh Loloq. Tidak dinafikan seni kata tulisan Allahyarham ini memang secara kebetulan pula menjadi lagu popular yang dinyanyikan oleh M Nasir, Ella, Spider mahupun Ramli Sarip.

Namun, matlamat itu bagaikan tidak tercapai. Konsert ini akhirnya sekadar memperdengarkan lagu-lagu dan persembahan daripada penyanyinya. Tidak ada tertulis bait seni kata nukilan Loloq dipaparkan pada skrin apabila sesebuah lagu itu dinyanyikan oleh si penyanyinya.

Kesudahannya Konsert Untukmu Loloq tidak menunjukkan kelainan daripada konsert sedia ada. Penampilan penyanyi popular seperti Nasir, Ramli, Ella dan Spider hanyalah sekadar mempersembahkan lagu hasil penulisan tokoh yang dirai.

Menerusi konsert inilah seharusnya kita paparkan karya agung yang ditinggalkan arwah Loloq untuk penonton hayati bait indah yang ingin disampaikan, sekali gus pelaksanaan konsert untuk menghargai hasil karyanya terlaksana.

Sekiranya paparan seni kata itu dimainkan ketika penyanyinya menyanyikan lagu, secara tidak langsung penonton akan lebih menghayatinya malah tidak terkecuali boleh menyanyi bersama.

Malahan lebih indah lagi sekiranya seluruh ruang Panggung Sari termasuklah di lantai, dinding dan siling itu diserikan dengan pancaran laser atau penggunaan multimedia yang memaparkan seni kata terhebat Loloq.

Sebagai contoh, hayati sebahagian bait yang terdapat pada seni kata Syair Laila Majnun nyanyian Ramli Sarip.

Terkulai di puncak rindu
Tenggelam dalam sendu
Kasih mu tak siapa
Bisa tanggalkan

Biar luka parah
Biar jiwa lara
Kasih mu yang sebati
Sukar ku pisah...

Begitu juga dengan beberapa bait indah yang terdapat di dalam lirik lagu nyanyian M.Nasir di dalam Mantera Semerah Padi yang seolah-olah seperti satu keramat kerana ia mengangkat kepahlawanan bangsa Melayu.

Hei! kersani mengalir lah dikau
Menjadi raksa
Mengisi belikat punggungku
Agar aku bisa berdiri
Tegap dan segak
Bagaikan laksmana Melayu

Hei! sepuluh helai daun sirih
Ku gentas bersama
Bunga cengkih jadilah dikau
Darah merah pekat
Mengisi uratku
Agar bisa aku berlangkah
Gagah dan tampan
Bagaikan sijantan yang berkokok...

Bagaimanapun, konsert yang turut menggunakan khidmat 20 koir daripada BKM berfungsi membantu penonton dalam penyampaian seni kata tanpa penggunaan muzik latar.

Konsert yang diterbitkan Global Network Entertaiment Sdn Bhd (GNE) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Kementerian Pertahanan Malaysia itu diarahkan oleh Lokman Ghani.

“Saya akui dengan cara inilah konsert ini akan memberi kelainan daripada konsert sedia ada sebelum ini. Sebenarnya untuk menghasilkan apa yang tergambar di dalam fikiran saya itu memerlukan kos yang agak besar untuk penyewaan peralatan multimedia khas.

“Walaupun kita tidak dapat menyediakan peralatan itu, namun saya tetap berusaha untuk memaparkan koleksi seni kata hebat semasa persembahan, untuk malam pertama sehingga terakhir menggunakan inisiatif lain,” katanya yang ditemui pada konsert pratonton kepada media Khamis lalu.

Hadir sama, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan balu arwah Loloq Hariah Yaacob serta anak-anaknya.

Selain menyampaikan 24 koleksi lirik terbaik Loloq menerusi empat artis popular itu, ia turut diselitkan dengan sketsa pendek yang dilakonkan oleh Hasnul Rahmat, Azrul, dan Ayem (GNE).

Sketsa yang mendapat sentuhan lirik daripada AD Samad dianggap unik dengan menampilkan karektor yang pernah dijelmakan Loloq menerusi hasil penulisannya seperti Kristo Bimbo, Cendrawasih, Nurbisa dan Wak Jono Sang Jegla.


Apa kata Mereka

Datuk M.Nasir
“Biasanya orang tidak buat konsert untuk penulis seni kata kerana biasanya untuk pemuzik atau penulis lagu, tetapi kerana impak keberadaan di dalam industri hiburan ini terlalu kuat, kekuatan itu kita tidak nampak seperti mana orang menyanjungi penyanyi tetapi kesan psikologinya mendalam dan sebab itu berlaku perubahan yang tidak kita sendiri hasil daripada kata-kata yang dibuat.

“Seharusnya ada kesinambungan dan saya rasa akan ada kerana selera masyarakat sentiasa berubah-ubah. Ada suatu ketika pada zaman 80-an, kita didedahkan dengan lirik yang fantastik, bombastik dan punyai idea yang berat. Masuk era 90-an, semakin lain dan 2000 semakin simple liriknya. Tapi itu akan datang semua mengikut musim dan selera masyarakat.”

Ella
“Arwah Loloq ini adalah seorang yang bijak dan kita tidak tahu sebenarnya pengalaman daripada hasil banyak membaca dan pemerhatian yang cukup luas mempengaruhi hasil kerjanya. Saya cukup kagum dengan bakat, pengetahuan, pembawaan diri serta ilmu, saya cukup bertuah dapat mengenalinya sekali gus memperoleh sedikit ilmu daripadanya.

Ramli Sarip
“Menerusi konsert ini, sekurang-kurangnya di situ mereka meletakkan orang seperti arwah Loloq ini berada di tahap yang agak tinggi. Kita kena menerima serpihan selepas beliau kembali ke Rahmatullah, bukan saja orang lama tetapi artis baru, kita terasa kehilangan beliau. Dia orang yang sangat prihatin dan mengambil tahu mengenai industri. Dia bukan hanya sekadar menulis saja tetapi banyak memikirkan mengenai penyanyi baru, hala tuju dan memberi pandangan mengenai industri. Hasil kerjanya tidak perlu dipertikaikan kerana dia menggunakan bahasanya hasil daripada pembacaan dan kajiannya. Bahasa yang jarang dipakai penulis lirik lain dan diterima masyarakat itu adalah pencapaian yang boleh dianggap juara. Memang bait yang digunakan itu punyai nilai sastera tersendiri yang tidak kita terfikir sekali gus mengajar penulis baru untuk berani bereksperimen dengan sesuatu yang baru.

Tam (Spider)
“Keunikannya sebagai penulis lirik adalah dari segi penghasilan pelbagai bentuk penulisan membabitkan bahasa. Setiap lirik yang dihasilkan untuk sesuatu artis itu mempunyai caranya tersendiri. Sebagai penulis Melayu, tatabahasa yang diangkat oleh Loloq sangat bagus kerana dia juga sebenarnya memperjuangkan bahasa Melayu. Berada di dalam masyarakat majmuk ini juga menjadi idea baginya menghasilkan lirik seperti lagu Ngam Ho yang terdapat di dalam album kami. Dia cukup berani dan peka keadaan sekeliling menggunakan bahasa walaupun perkataan itu digunakan setiap hari namun orang tidak terfikir untuk digunakan di dalam lagu. Dari segi nilai sasteranya menjurus ke arah masyarakat punya rasa seperti penderitaan, kesenangan dan itu yang orang rasa melalui penulisannya lebih dekat.”

Tiada ulasan: