Petikan PESTA Bilangan 14, 20 Ogos 1989
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)
Album solo terbaru M Nasir dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya pada akhir Julai yang lalu tetapi sehingga hari ini album yang diberi judul “SOLO” itu masih belum menemui peminat-peminat komposer dan penyanyi itu.
Walaupun sudah 10 buah lagu disiapkan yang dijangka akan dimuatkan di dalam album tersebut tetapi M Nasir masih belum berpuas hati lagi. Beliau mahu mencipta beberapa buah lagu lain yang kemudiannya akan dijadikan pilihan bersama lagu-lagu yang telah disiapkan lebih awal itu.
Bagaimanapun baru baru ini M Nasir diberitakan telah menghilangkan diri. Kehilangannya itu menimbulkan keraguan dan keresahan kepada Syarikat Rakaman PMC yang telah pun mengatur strategi bagi urusan promosi album ‘SOLO’.
Selepas beberapa hari tidak ditemui, akhirnya M Nasir telah menghubungi pengurusan PMC dan memberitahu beliau kini tengah bercuti di tempat kelahirannya Singapura.
Di samping bercuti juga M Nasir masih terus mencari ilham bagi lagu-lagu baru yang akan menjadi pilihan untuk album SOLO.
Menurutnya setelah sekian lama tidak merakamkan suara, beliau mahu mempersembahkan sesuatu yang istimewa kepada penggemar-penggemarnya.
M.Nasir masih mempunyai pengemar yang setia. Buktinya sewaktu menyertai Konsert Kesyukuran Search bulan Mac lalu di Stadium Negara, penonton bersama sama turut menyanyikan Iagu-lagu yang didendangkannya seperti ‘Duit-Duit’, ‘Seniman Jalanan’, ‘Hati Emas’, Keroncong Untuk Ana' dan banyak lagi yang telah dirakamkannya beberapa tahun lalu. Begitu juga sewaktu beliau menjayakan konsert “Bintang & ilham' di Singapura beberapa minggu lalu.
Insan seni yang kreatif ini berharap agar mereka yong menantikan album 'SOLO' dapat bersabar dan beliau berjanji akan menyudahkan segala urusan rakaman setelah berpuashati dengan lagu-lagu yang dirakamkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan