petikan Berita Harian, 30 Julai1989
Oleh Kamsah Sirat
Takut nada sumbang, penyanyi tidak popular
Setiap kali beliau mencipta lagu atau ditugaskan mencipta lagu, timbul perasaan takut di hatinya.
Beliau khuatir kalau-kalau lagunya itu sumbang atau tidak sedap didengar atau penyanyi yang bakal menyanyikan lagunya itu tidak akan popular.
"Tak tahu sebabnya, tapi rasa takut itu ada."
"Takut kalau lagu tak boleh popular."
"Kalau tak boleh popular, maka penyanyinya tentu tidak akan dikenali."
"Dan penyanyi pula tentunya tidak akan berasa senang kalau tidak terkenal," jelas M. Nasir dalam wawancara di Hotel Excelsior minggu lalu.
Beliau menambah: "Kalau terkena penyanyi yang sabar, tak mengapalah."
"Tapi, kalau terkena penyanyi yang tak mengerti, susah juga kita."
M. Nasir, 32 tahun, menceburkan diri dalam bidang muzik sejak 10 tahun lalu.
Sejauh ini beliau telah menghasilkan lebih 200 buah lagu, dan ada di antara lagu-lagu ini yang menjadi hit dan menaikkan nama seseorang penyanyi itu.
Menurutnya, terdapat perbezaan antara mencipta lagu atas kehendak sendiri dengan yang ditugaskan.
Mencipta lagu bukan atas kemahuan sendiri menghendaki seseorang pencipta itu menyiapkannya dalam jangka masa yang ditetapkan.
"Lagu yang disiapkan dalam keadaan begitu tidak ada sentuhan rasa yang kita mahukan."
"Lainlah kalau lagu itu kita tulis dengan kerelaan dan cita rasa kita sendiri," kata M. Nasir.
"Hal ini yang ramai penyanyi tidak mengerti," tambahnya.
M. Nasir juga berkata, beliau berasa bimbang kalau ada orang menyatakan yang lagunya popular kerana beliau sendiri mengetahui tentang kelemahan lagu-lagunya itu.
Dan untuk menghilangkan rasa bimbang atau cemas ini saya tulis lebih banyak lagu," katanya.
M. Nasir mendapat pendidikan di sebuah institusi kesenian di sini.
Beliau pernah bergiat dalam bidang lukisan, menulis sajak dan skrip drama, berlakon dan mengarah.
"Ramai yang tidak tahu tentang sejarah seni," katanya.
Beliau menyambung: "Saya mempelajarinya dan saya terapkan semua pengetahuan dan pengalaman itu ke dalam kerja-kerja seni saya hari ini."
"Umpamanya, menerapkan cita rasa saya pada satu-satu hasil kerja lukisan itu ke dalam lagu ataupun cita rasa dalam lagu itu dialihkan kepada lukisan."
"Dan siapa sahaja yang melibatkan diri dalam kerja-kerja seni," katanya, "mestilah bersungguh-sungguh dan rajin mencari dan mengkaji."
Seseorang pencinta seni tidak akan ketinggalan zaman.
Beliau akan sering mengikuti perkembangan semasa.
Kerana sumbangannya dalam bidang seni, terutama dalam bidang muzik, M. Nasir telah dianugerahkan Piala Ilham dan Bintang oleh Bertelsmann Music Group (BMG), sebuah syarikat rakaman dan pengedar piring hitam di sini, pada hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan anugerah itu sebagai satu perkara biasa.
Beliau merasakan bahawa semua lagu ciptaannya itu tidak harus dianggap sebagai satu sumbangan terhadap dunia seni muzik.
"Saya diberitahu anugerah itu diberi kerana sumbangan saya."
"Tetapi saya ingin tahu apakah kriteria yang digunakan untuk memberikan anugerah itu?" kata M. Nasir.
Menurutnya, beliau dijadikan untuk mencipta lagu.
"Hakikat saya dikenali adalah satu anugerah yang paling besar bagi saya."
Bagaimanapun, masyarakat berhak untuk menyatakan lagu-lagunya bagus atau tidak.
Dan adalah menjadi hak mereka juga untuk memberikan sesuatu hadiah itu kerana sumbangan tersebut, jelasnya.
Sementara itu, M. Nasir akan membuat sebuah lagi filem muzikal tahun ini dengan para pelakon yang terdiri daripada kumpulan Wings.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan