Jumaat, Mac 08, 2019

#Isabella30tahun: "Beruntung dapat rasa keajaiban Ilahi" - M. Nasir

petikan Astro Awani 8 Mac 2019
Irwan Muhammad Zain, Astro Awani


Lagu Isabella diilhamkan ketika kumpulan Search berada di puncak kegemilangan mereka.

SELEPAS kejayaan Fantasia Bulan Madu menerusi album Mentari Merak Di ufuk Timur, kumpulan Search mencipta satu lagi kejayaan menerusi lagu Isabella.

Seperti juga Fantasia Bulan Madu, lagu Isabella juga mendapat sentuhan magis komposer dan penerbit album Search, Datuk M. Nasir.

Seniman ini jugalah yang bertanggungjawab membawa Search ke syarikat rakaman Polygram untuk diambil sebagai artis mereka.

Isabella, kata M.Nasir, lahir selepas beliau dan anggota Search berada dalam tekanan untuk mendapatkan sebuah lagu yang mampu meneruskan kejayaan selepas Fantasia Bulan Madu.

Di studio Ronggeng milik syarikat Luncai Emas yang juga milik komposer yang dipanggil sifu oleh sebahagian besar penyanyi dan peminat muzik tempatan, Astro AWANI menemui M.Nasir.

Sejak awal melodi Isabella dihasilkan, M. Nasir yakin lagu itu akan menjadi masyhur. - Gambar fail

Dalam pertemuan itu, M.Nasir menjelaskan, beliau beruntung kerana dapat merasakan keajaiban ciptaan Ilahi apabila lagu-lagu ciptaannya termasuk Isabella menjadi malar segar.

"Ketika proses mencipta lagu dan merakamkan album, kita mencari dia punya magis, kalau kita tak rasa dia punya magis, kita tak yakin lagu tu boleh pergi.

"Macam lagu Isabella ni kita yakin lagu tu boleh pergi, dalam pengalaman menerbit ni kita mesti nak tahu, kita boleh nak nantikan atau cuba nak hasilkan tetapi jadi ke tidak itu satu benda yang lain," ujarnya.

Bercerita lanjut, M.Nasir berkata, album Fenomena yang memuatkan lagu Isabella itu mempunyai jalan cerita yang panjang baik ketika proses rakamannya dan juga mencari lagu yang terbaik.

Katanya, selepas album Mentari Merah Di Ufuk Timur, Search tidak menerbitkan sebarang album kerana berdepan masalah dengan syarikat rakaman lama mereka.

Search ketika itu mempunyai kes di mahkamah yang mana mereka tidak dibenarkan menjual album yang diterbitkan menggunakan syarikat rakaman lain.

"Selepas album ketiga, diantara album ketiga dan album Fenomena Search ada mengalami masalah tidak boleh jual album kerana ada kes di mahkamah.

"Tetapi kita tidak berhenti mencari lagu dan buat rakaman cuma kita tak release dan bila kes di mahkamah selesai kita buat album Fenomena," kata beliau menyambung cerita.

Untuk menghasilkan album Fenomena, beliau dan Search ke Jakarta untuk merakamkan album di sana kerana mahu mencari lagu yang terbaik untuk album itu.

"Sebenarnya di Jakarta kita tak dapat banyak rakam lagu, rasa macam satu perjuangan juga lah nak dapatkan lagu, tak ada lagu pun dapat, kalau ada pun ada kat kepala saja, dapat la rakam sikit tapi belum ada lagu yang kita rasa ini boleh pergi.

"Jadi bila di Jakarta kita tak dapat nak hasilkan lagu yang baik, kita balik dan berehat sekejap dan selepas itu kita masuk balik di King Studio dan teruskan rakaman," katanya.

Mengimbau saat merakamkan album Fenomena dan lagu Isabella, M.Nasir berkata, nama Isabella memang bermain dalam benaknya ketika proses lagu tersebut dicipta.

Katanya, setiap kali mencipta lagu ada perkataan atau kata-kata yang akan beliau nyanyikan biarpun belum mempunyai lirik penuh.

"Saya tak tau macam mana melodi itu terkeluar, dalam tekanan tu mungkin dia akan keluar tapi lirik belum ada dan Bob selalu dengan kita di Kings Stuio, jadi dia mintak nak buat lirik.

"Jadi saya mintak Bob tulis lirik dan saya teringat bila balada tu mesti ada senikata yang bercerita, saya teringat nama Isabella kerana nama itu bermain dalam benak saya," katanya.

Menyambung perbualan, kata M. Nasir, ketika dalam proses mencipta lagu tersebut beliau memang ada membaca kisah tentang Isabella dan suaminya Ferdinand V di Andalusia.

"Tapi lirik Isabella itu bukan cerita tentang itu, lirik Bob itu tentang orang biasa cuma inspirasi dari cerita dan penulisan dia ada pengaruh 70-an," cerita M.Nasir yang menganggap lagu Isabella dihasilkan ketika semuanya berada di kemuncaknya.

Menurut beliau, Search ketika proses rakaman album Fenomena itu berada di kemuncaknya dan kualiti rakaman di Studio King juga berada di kemuncaknya.

"Saya juga berada di kemuncak penciptaan lagu waktu itu," jelas M. Nasir mengakhiri perbualan.

#Isabella30tahun: Kisah sebenar di sebalik Isabella

petikan Astro Awani 8 Mac 2019
Saharudin Musthafa, Astro Awani

SEBILANGAN besar daripada pencinta muzik tanah air mungkin hanya meminati atau menyanyikan lagu Isabella yang pernah dipopularkan oleh kumpulan rock unggul, Search.

Populariti Isabella menjangkau pemikiran rakyat Malaysia kerana naskhah berkenaan diterima secara meluas oleh segenap lapisan masyarakat tanpa batasan kaum, usia dan latar belakang.

Bukan hanya di Malaysia, bahkan Isabella juga mencetus fenomena luar biasa di negara jiran, Indonesia.

Dalam keghairahan majoriti kita meminati Isabella, barangkali, tidak ramai yang mengetahui bagaimana bait-bait lirik berkenaan dihasilkan oleh penulisnya, Bob Lokman.

Bagaimana Isabella dijelmakan sehingga lagu berkenaan mencetus fenomena? Dan berapa lama pula masa diambil Bob untuk menulis lirik itu?

Astro AWANI mendekati Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman yang berkongsi cerita sebenar Isabella 'dilahirkan'.

Masih terbayang di fikiran Bob yang ketika itu hanya berusia 25 tahun ketika komposer terkenal, Datuk M. Nasir menyerahkan kaset yang mengandungi demo lagu berkenan kepadanya untuk ditulis lirik.

Ketika itu, King Studio saling tidak ubah seperti 'rumah' Bob kerana di situlah dia berumah tangga dan menghabiskan masa dek kerana kerjaya sebagai penulis lirik, khidmatnya sentiasa diperlukan oleh komposer pada bila-bila masa.

"Nasir (M. Nasir) keluar dari studio rakaman bagi saya kaset suruh saya buat lirik. Saya tanya pada Nasir, nak tulis lirik apa, dia jawab Isabella.

"Termenung saya dan bercakap sendiri, apa benda Isabella ini? Tiba-tiba saya teringat saya pernah kenal seorang gadis berdarah campuran Melayu - Inggeris. Dari situ saya kembangkan jalan cerita Isabella," kata Bob, 55, dalam temubual eksklusif dengan Astro AWANI.

Wajah terbaharu Bob Lokman yang diambil ketika mewawancara beliau baru-baru ini.

Bob yang sudah menulis 350 lirik sepanjang bergelar penggiat seni berkongsi pandangan mengenai lagu Isabella yang disifatkan ramai sebagai sebuah naskhah muzik yang menakjubkan pernah dihasilkan oleh karyawan muzik tempatan.

Tahun ini, Isabella ciptaan komposer ternama, Datuk M. Nasir dan dinyanyikan oleh kumpulan Search meraikan ulang tahun ke-30 penghasilannya.

Namun begitu, tidak semudah itu, pengalaman Bob bercerita mengenai Isabella diterima oleh M. Nasir.

Kata Bob, tiga kali liriknya ditolak kerana plot penceritaan Isabella tidak memenuhi hasrat seniman itu.

"Selepas kali keempat baru okey. Itupun reaksi Nasir pada saya ialah... bolehlah," kata Bob sambil tergelak kecil mengenangkan pengalaman manis itu.

Namun begitu, ketika sebilangan besar peminat muzik rock Melayu mengagumi naskhah Isabella lain pula dengan Bob.

Secara peribadi, penulis lirik tersohor negara itu menyifatkan, karya yang iilhamkan tiga dekad lalu tidak mencapai standard piawaiannya.

Masakan tidak, menurut Bob, lirik yang ditulis ketika itu ketika dia masih muda dan belum matang dalam memahami falsafah kehidupan.

"Secara jujurnya saya malu sebenarnya sebab tak pernah rasa standard penulisan saya bagus. Ada juga lagu-lagu yang saya tulis (lirik) bagus tapi tak naik (popular) seperti Falsafah Cinta dan Di Jalan Sesat nyanyian M. Nasir," kata Bob menyambung cerita.

Beliau yang kini mengusahakan Kafe Sriti di No 13, Jalan Opera J U2/J, Taman TTDI Jaya, 40150 Shah Alam, Selangor bagaimanapun tidak pernah terlintas bahawa karya berkenaan boleh menjadi malar segar (evergreen) dan bertahan selama 30 tahun.

"Saya tak pernah terfikir (Isabella akan bertahan 30 tahun), tapi saya sentiasa memberikan kredit pada melodi. Lagu itu ketika zaman M. Nasir. Itu (Isabella) masterpiece dia. Isabella ialah benchmark sebenarnya (pada industri muzik)," kata Bob lagi.

#Isabella30tahun: Inspirasi tiga dekad

petikan Astro Awani 8 Mac 2019
Saharudin Musthafa, Astro Awani

TAHUN ini genap 30 tahun lagu Isabella nyanyian Amy dan kumpulan Search dihasilkan.
SEKITAR 30 tahun lalu, kumpulan rock legenda tanah air, Search kekurangan sebuah lagu bagi melengkapkan album studio keempat mereka.

Kesemua anggota kumpulan itu Amy selaku vokalis utama, Hillary Ang (gitar), Din (gitar), Nasir (pemain bass) dan Yazit (pemain drum) buntu dan jenuh memikirkan apakah lagu yang boleh dimuatkan dalam album berkenaan.

Bagaimanapun, Hillary meninggalkan Search di pertengahan sesi rakaman album baharu kumpulan itu untuk mengejar kerjaya solonya dan tempatnya digantikan oleh Kid.

Sehinggalah perbincangan diadakan dengan komposer tersohor, Datuk M. Nasir yang akhirnya menjelmakan melodi indah hasil kolaborasi dua nama besar itu.

Sesudah M. Nasir dan Search bekerjasama mencipta melodi magis itu, timbul pula masalah baharu, lirik yang bagaimana pula harus diisi dalam lagu tersebut?

Ketika itu, nama penulis lirik terkenal, Bob Lokman terpacul keluar dari mulut M. Nasir.

Bob diyakini M. Nasir untuk memberikan sentuhan keramatnya bagi melodi yang indah itu.

M. NASIR dan Bob Lokman merupakan individu penting di sebalik pengasilan karya mega, Isabella yang kini berusia 30 tahun.

Sekali lagi, perbincangan diadakan dan kata sepakat dicapai bahawa melodi berkenaan harus diperkasakan dengan lirik yang bijaksana dan sarat dengan elemen komersial.

"Kami mahukan nama wanita dalam lirik lagu itu. Sebolehnya, kami mahu nama wanita Inggeris dan akhirnya menjelmakan Isabella," kongsi rocker legenda, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman kepada Astro AWANI dalam satu perbualan.

Bersempena ulang tahun ke-30 lagu rock popular sepanjang zaman, Isabella, Amy bercerita panjang lebar mengenai kemasyhuran naskhah itu.

Masih terbayang di ruang fikiran penyanyi berusia 61 tahun itu suasana di studio rakaman ketika Isabella dirakamkannya di King Studio, Petaling Jaya, Selangor.

"Hampir dua jam saya rakamkan Isabella. Saya masih ingat bagaimana meremang bulu roma kerana Isabella memiliki aura yang luar biasa. Semasa dan selesai rakaman, saya dan rakan-rakan Search dapat menjangka, naskhah ini akan menjadi sesuatu yang luar biasa.

"Bahkan M. Nasir sendiri meyakinkan kami yang Isabella bakal menjadi karya evergreen. Alhamdulillah, semua itu terbukti. Sesudah 30 tahun, lagu ini masih menjadi pilihan ramai. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menjadi tunggak kejayaan lagu ini," ujar Amy lagi.

Namun begitu, di sebalik kemasyhuran Isabella, barangkali juga ramai yang tidak tahu bagaimana sukarnya Bob untuk menjelmakan lirik berkenaan sebagai mana yang kedengaran hari ini.

Kata Amy, Bob diminta oleh M. Nasir untuk menukar bait-bait lirik tersebut berkali-kali.

"Banyak kali M. Nasir minta Bob tukar lirik. M. Nasir tidak puas hati lirik itu tidak mencapai maksudnya. Kata M. Nasir lirik  yang Bob tulis tidak cukup rasa, plotnya tidak menepati maksud.

"Saya masih ingat bagaimana Bob bekerja keras menulis lirik sehinggalah pada draf terakhir yang membuatkan M. Nasir sangat gembira. Isabella ialah sebuah naskhah kerja keras semua pihak," dedah Amy lagi.

Sesudah rakaman vokal selesai, Isabella menerima sentuhan terakhir daripada penggubah terkenal, Datuk Ramli MS yang menggabungkan naskhah itu dengan elemen keyboard.

Sejurus selesai semua proses, Search dan seluruh team produksi meraikan kerja-kerja rakaman Isabella yang diputuskan sebagai pelengkap album Fenomena.

"Saya secara peribadi mahukan album berkenaan dinamakan sebagai Fenomena kerana kami (Search) mahu menjadikan album berkenaan sebagai sebuah naskhah istimewa kerana ia sarat dengan pelbagai elemen muzik baharu pada era berkenaan," jelas Amy mengenai album Fenomena.

Kumpulan Search di zaman kegemilangan mereka. - Gambar fail

Seiring tajuk album berkenaan Fenomena, lagu Isabella juga mencetus fenomena luar biasa bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara jiran, Indonesia.

Di pasaran domestik, album berkenaan yang dipasarkan di bawah label Pacific Music Corporation (PMC) terjual lebih 250,000 unit iaitu satu rekod luar biasa bagi jualan album Melayu ketika itu.

Manakala di Indonesia pula, album Fenomena terjual lebih satu juta unit sekali gus menjadikan Search sebagai sebuah artis paling berpengaruh di negara itu.

Siri kejayaan demi kejayaan dirangkul Search sejak daripada detik itu dan sehingga kini kumpulan berkenaan terus unggul sebagai ikon rock negara.

Syabas buat Search, M. Nasir dan Bob.

Selamat ulang tahun ke-30 Isabella. Terima kasih di atas inspirasi buat pencinta muzik tanah air. Tiga dekad yang luar biasa.

Istana Budaya nafi berat sebelah

petikan Harian Metro 8 MAc 2019
Syafil Syazwan Jefri syafil.syazwan@hmetro.com.my

ISTANA Budaya (IB) menafikan bersikap berat sebelah dalam memilih artis mengadakan persembahan di situ seperti dakwaan penyanyi Man Bai, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya ada menerima kertas cadangan daripada pihak Man Bai untuk mengadakan Konsert 2V: Man Bai + Rahim Maarof, namun agak lewat.

"IB ada menerima borang dan kertas cadangan daripada pihak Man Bai. Bagaimanapun, permohonan yang dibuat pada Ogos 2018 itu tidak lengkap," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihak IB juga tidak menggantikan konsert itu dengan Konsert Duo Legenda: Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir seperti didakwa Man Bai.

"Konsert Duo Legenda: Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir berlangsung pada 20 hingga 23 Disember tahun lalu dan pihak penganjur konsert itu menghantar kertas cadangan sejak 2017 lagi.

"Kebiasaannya, pihak kami menerima permohonan dan kertas cadangan setahun lebih awal dan kalau ada permohonan yang dihantar pada tahun sama dengan tarikh cadangan konsert, itu sudah dikira lewat," katanya.

Juhari juga menegaskan, pihaknya sentiasa membentangkan setiap kertas cadangan dan permohonan baru kepada ahli jawatankuasa untuk dinilai.

"Kami sentiasa membentangkan permohonan baru kepada Ahli Jawatankuasa Penilai untuk menilai kertas cadangan yang diterima.

"Namun, tarikh dimohon oleh pihak Man Bai sudah diisi dengan program yang terlebih dulu membuat permohonan," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi menyarankan supaya artis tempatan dapat mengikut tempoh waktu yang ditetapkan oleh pihak IB bagi melancarkan semua urusan berkaitan acara.

"Kita sentiasa mahukan industri seni negara segar dengan aktivitinya dan pihak kementerian amat mengalu-alukan penggiat seni tampil dengan idea baru serta bernas.

"Namun, untuk kelancaran pengurusan acara di IB, saya menyarankan supaya rakan artis dapat mengikut tempoh waktu yang ditetapkan oleh Ahli Jawatankuasa Penilai mereka," katanya.

Sementara itu, Man Bai yang mendakwa permohonannya untuk mengadakan konsert di panggung berprestij itu ditolak, meneruskan Konsert 2V: Man Bai + Rahim Maarof di lokasi lain iaitu di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 6 April depan.