Saharudin Musthafa, Astro Awani
SEBILANGAN besar daripada pencinta muzik tanah air mungkin hanya meminati atau menyanyikan lagu Isabella yang pernah dipopularkan oleh kumpulan rock unggul, Search.
Populariti Isabella menjangkau pemikiran rakyat Malaysia kerana naskhah berkenaan diterima secara meluas oleh segenap lapisan masyarakat tanpa batasan kaum, usia dan latar belakang.
Bukan hanya di Malaysia, bahkan Isabella juga mencetus fenomena luar biasa di negara jiran, Indonesia.
Dalam keghairahan majoriti kita meminati Isabella, barangkali, tidak ramai yang mengetahui bagaimana bait-bait lirik berkenaan dihasilkan oleh penulisnya, Bob Lokman.
Bagaimana Isabella dijelmakan sehingga lagu berkenaan mencetus fenomena? Dan berapa lama pula masa diambil Bob untuk menulis lirik itu?
Astro AWANI mendekati Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman yang berkongsi cerita sebenar Isabella 'dilahirkan'.
Masih terbayang di fikiran Bob yang ketika itu hanya berusia 25 tahun ketika komposer terkenal, Datuk M. Nasir menyerahkan kaset yang mengandungi demo lagu berkenan kepadanya untuk ditulis lirik.
Ketika itu, King Studio saling tidak ubah seperti 'rumah' Bob kerana di situlah dia berumah tangga dan menghabiskan masa dek kerana kerjaya sebagai penulis lirik, khidmatnya sentiasa diperlukan oleh komposer pada bila-bila masa.
"Nasir (M. Nasir) keluar dari studio rakaman bagi saya kaset suruh saya buat lirik. Saya tanya pada Nasir, nak tulis lirik apa, dia jawab Isabella.
"Termenung saya dan bercakap sendiri, apa benda Isabella ini? Tiba-tiba saya teringat saya pernah kenal seorang gadis berdarah campuran Melayu - Inggeris. Dari situ saya kembangkan jalan cerita Isabella," kata Bob, 55, dalam temubual eksklusif dengan Astro AWANI.
Wajah terbaharu Bob Lokman yang diambil ketika mewawancara beliau baru-baru ini.
Bob yang sudah menulis 350 lirik sepanjang bergelar penggiat seni berkongsi pandangan mengenai lagu Isabella yang disifatkan ramai sebagai sebuah naskhah muzik yang menakjubkan pernah dihasilkan oleh karyawan muzik tempatan.
Tahun ini, Isabella ciptaan komposer ternama, Datuk M. Nasir dan dinyanyikan oleh kumpulan Search meraikan ulang tahun ke-30 penghasilannya.
Namun begitu, tidak semudah itu, pengalaman Bob bercerita mengenai Isabella diterima oleh M. Nasir.
Kata Bob, tiga kali liriknya ditolak kerana plot penceritaan Isabella tidak memenuhi hasrat seniman itu.
"Selepas kali keempat baru okey. Itupun reaksi Nasir pada saya ialah... bolehlah," kata Bob sambil tergelak kecil mengenangkan pengalaman manis itu.
Namun begitu, ketika sebilangan besar peminat muzik rock Melayu mengagumi naskhah Isabella lain pula dengan Bob.
Secara peribadi, penulis lirik tersohor negara itu menyifatkan, karya yang iilhamkan tiga dekad lalu tidak mencapai standard piawaiannya.
Masakan tidak, menurut Bob, lirik yang ditulis ketika itu ketika dia masih muda dan belum matang dalam memahami falsafah kehidupan.
"Secara jujurnya saya malu sebenarnya sebab tak pernah rasa standard penulisan saya bagus. Ada juga lagu-lagu yang saya tulis (lirik) bagus tapi tak naik (popular) seperti Falsafah Cinta dan Di Jalan Sesat nyanyian M. Nasir," kata Bob menyambung cerita.
Beliau yang kini mengusahakan Kafe Sriti di No 13, Jalan Opera J U2/J, Taman TTDI Jaya, 40150 Shah Alam, Selangor bagaimanapun tidak pernah terlintas bahawa karya berkenaan boleh menjadi malar segar (evergreen) dan bertahan selama 30 tahun.
"Saya tak pernah terfikir (Isabella akan bertahan 30 tahun), tapi saya sentiasa memberikan kredit pada melodi. Lagu itu ketika zaman M. Nasir. Itu (Isabella) masterpiece dia. Isabella ialah benchmark sebenarnya (pada industri muzik)," kata Bob lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan