ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan

Isnin, Februari 17, 2025

Persis Allahyarham Ibu, Nurnilam Sari Puteri Datuk M. Nasir Selamat Bergelar Isteri Penggiat Seni!

petikan NONA 17 Februari 2025 

Suzi 

Tahniah Nurnilam Sari, anak Datuk M. Nasir yang selamat bergelar isteri Hafidzurrahman Sahard’din pada 15 Februari lalu. Bersandarkan statusnya sebagai anak penyanyi lagenda, dan populariti namanya, tidak hairanlah berita perkahwinan Nurnilam Sari atau lebih dikenali sebagai Nilam ini mendapat perhatian luas di media sosial.

Bagi peminat Datuk M. Nasir, lagu bertajuk Nur Nilam Sari cukup memberi makna kepada sifu muzik tanah air ini. Apatah lagi ia dicipta khas buat puteri kesayangannya tersebut.

Nurnilam Sari Permata Hati Datuk M. Nasir

Nilam yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan satu-satunya anak perempuan hasil perkongsian hidup Datuk M. Nasir dengan Allahyarham isteri, Junainah Johari. Mereka mendirikan rumah tangga pada 12 September 1980 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Ilham, Yassin, Hidayat, Shafie dan Nurnilam Sari.

Allahyarham Junainah Johari ialah vokalis Kumpulan Ideal Sisters meninggal dunia pada 8 Ogos 1998 akibat asma.

Mengamati momen ijab kabul Nilam yang berlangsung secara tertutup di The Agam, Kuala Lumpur, jelas kelihatan raut wajahnya persis ibunda tersayang. Solekan penyanyi Mafarikha menyerlahkan seri dan kecantikan semula jadi graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) berkenaan.

Pada majlis itu, Nilam tampil anggun dalam persalinan indah rona putih. Manakala pada majlis persandingan pula, dia dan Rahman mengenakan persalinan songket Emerald Green.

Sementara bapa pengantin perempuan kelihatan segak berbaju melayu rona biru kehijauan meraikan hari bersejarah anak kelimanya itu.

Istimewanya, Datuk M. Nasir turut mendendangkan lagu Nur Nilam Sari yang pernah dicipta khas untuk puterinya itu sebagai hadiah di majlis pernikahan. Dalam video yang tular, Nilam kelihatan sebak ketika ayahnya menyampaikan lagu tersebut.


Nurnilam Sari Sah Jadi Isteri, Datuk M. Nasir Tuju Lagu Buat Anak

Kedua-dua majlis pernikahan dan persandingan Nilam dan Rahman diadakan pada hari yang sama dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat serta sahabat rapat.

Difahamkan pengantin lelaki ialah kakitangan di Luncai Emas Sdn Bhd milik Datuk M. Nasir dan pengurus Kumpulan Pitahati yang dianggotai abang Nilam serta penulis skrip. Salah satu karya skrip yang dihasilkan menerusi filem Zim Zim Ala Kazim.

Semoga ikatan suci yang dibina kekal bahagia sampai syurga.

Khamis, Mac 23, 2023

Ibu M Nasir meninggal dunia

petikan Berita Harian 23 Mac 2023

Oleh Farihad Shalla Mahmud - farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ibu Datuk M Nasir iaitu Aesah Yahya meninggal dunia pada usia 88 tahun di kediamannya di Singapura, kira-kira jam 4.15 petang tadi, akibat sakit tua.

Isteri M Nasir, Datin Marlia Musa berkongsi berita sedih itu di Instagram (IG), kira-kira sejam lalu.

"Bonda kesayangan kami, Hajjah Aesah Yahya baru sahaja meninggalkan kami ke negeri abadi," tulisnya dalam hantaran berkenaan.

Meninjau ruang komen, ramai pengikut dan teman industri komposer dan penyanyi itu mengucapkan takziah kepada M Nasir dan Marlia serta mendoakan mereka tabah menghadapi ujian.

Antara selebriti yang menzahirkan ucapan takziah adalah Alif Satar, Elly Mazlein, Nad Zainal dan Haiza Hanafi.

M Nasir adalah anak keempat daripada sembilan adik-beradik

Pada Januari 2021, M Nasir ditimpa dugaan apabila bapa tersayang, Mohamed Sam menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun akibat sakit tua.

Bagaimanapun, komposer yang bergelar sifu itu tidak dapat hadir ke pengebumian arwah bapanya di Singapura, akibat sekatan perjalanan berikutan pandemik COVID-19.

Isnin, Disember 13, 2021

M Nasir positif COVID-19

petikan Berita Harian 13 Disember 2021

Oleh Fatin Farhana Ariffin  fatin.farhana@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya selepas disahkan positif COVID-19.

Berita sedih berkenaan disahkan isterinya, Datin Marlia Musa ketika dihubungi BH Online.

"Ya benar, Datuk M Nasir positif COVID-19. Suami sekarang sedang berehat dan menjalani proses kuarantin di rumah," katanya.

Marlia berkongsi, suaminya dikesan dijangkiti virus berkenaan selepas menjalani ujian sebanyak dua kali.

Berikutan itu, Marlia dan anaknya, Suci Musalmah turut melakukan ujian dan keputusan diperoleh, negatif.

"Kami selalu buat kit ujian kendiri COVID-19 di rumah. Suami melakukan ujian kerana secara kebetulan, sepatutnya berada program di Pesta Buku Selangor, semalam.

"Ujiannya positif. Kami terus buat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan keputusannya pagi ini turut positif. Bagaimanapun, saya, anak dan pembantu rumah bebas COVID-19.

"Namun, kami tetap menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat suami," katanya.

Marlia dan Suci Musalmah turut melakukan ujian dan keputusan diperoleh, negatif selepas M Nasir disahkan jangkitan. - Foto IG Marlia Musa

Marlia dan Suci Musalmah turut melakukan ujian dan keputusan diperoleh, negatif selepas M Nasir disahkan jangkitan. - Foto IG Marlia Musa

Tambah Marlia, dia tidak tahu dari mana punca jangkitan berkenaan.

"Tak tahulah dari mana suami dapat virus ini," katanya.

Ekoran itu, Marlia berharap orang ramai mendoakan kesembuhan buat suaminya.

"Insya-Allah, doakan kesembuhan suami dengan segera," katanya.

Menerusi tinjauan BH, M Nasir mahupun isterinya tidak berkongsi mengenai jangkitan berkenaan dalam laman sosial.

Khamis, Januari 28, 2021

Singer M. Nasir’s father passed away at 96 in Singapore

 Taken from The Star 28 January 2021

By MUMTAJ BEGUM

Datuk M. Nasir dad, Mohamed Sam, passed away at the of 96 at his home in Singapore today (Jan 28) at 7.30am.

The sad news was shared by Nasir’s wife Datin Marlia Musa on her Instagram.

Berita Harian reported that Nasir and his family hadn’t been able to visit the dad in Singapore due to Covid-19 travel restrictions.

Nasir was born in Singapore. He started his music career there before becoming a Malaysian citizen in 1989. His parents remained in Singapore.

Marlia was reported saying: “We tried to get permission to enter Singapore and visit the family, but the authority wouldn’t allow it due to the Covid-19 situation.”

She added that the last time Nasir saw his dad in person was about a year ago before the start of the pandemic.

“Since then, we’ve been communicating with him via phone and video calls only, ” she said.

Selasa, Jun 05, 2012

M Nasir, Marlia sambut menantu


petikan Harian Metro 5 Jun 2012

Oleh Norhadiani Baharom

KALAU pelakon Neelofa gembira mendapat adik ipar, Datuk M Nasir dan isterinya pula, Datin Marlia Musa, tidak ketinggalan terharu mendapat menantu apabila anak sulung mereka, Mohd Ilham, disatukan dengan Siti Murni Ayu Amirool, pada Ahad lalu.

Suasana perkahwinan mengikut adat tradisi Melayu lengkap dengan alunan muzik ghazal dan gamelan, terpancar pada majlis mereka itu yang berlangsung di Kampung Sungai Pelong, Sungai Buloh, Selangor.

Tentunya sebagai orang tua, M Nasir sangat berbesar hati dan gembira melihat anak lelakinya itu akhirnya melangkah ke satu lagi fasa terpenting dalam hidupnya.

“Sebagai bapa, saya tentulah berharap agar Ilham akan menjadi suami, menantu dan ketua keluarga yang mampu mengemudi rumah tangganya dengan baik. Begitu juga saya harapkan daripada menantu saya, Ayu, agar dia juga menjadi isteri yang taat dan ibu yang mithali buat anak-anak mereka suatu hari nanti.

“Selain berharap kedua-dua dapat menjalani rumah tangga dengan penuh sabar kerana sabar itulah kunci kemanisan dalam rumah tangga.

“Terus-terang saya tak pernah bersedia untuk menghadapi hari seperti ini, tapi sedar ia akan berlaku juga apabila sudah sampai masanya. Berkahwin adalah tuntutan dalam agama dan kita harus bersyukur apabila perkahwinan menjadi pilihan pasangan kekasih. Maka itu, saya reda dan rela dengan keputusan yang dibuat oleh Ilham dan menantu saya itu.

“Sebagai ayah, saya bersyukur Ilham dipertemukan dengan anak gadis yang baik. Ayu pada mata saya gadis yang mampu melengkapi kekurangan anak saya. Seorang ayah tahu kekurangannya anaknya, jadi saya mohon Ayu dan keluarganya boleh menerima Ilham seadanya kerana dia manusia biasa yang pasti ada kekurangan.

“Saya juga punya kekurangan begitulah umat manusia yang lainnya. Setiap kekurangan mampu menjadi satu kelebihan kalau pasangan saling mendorong di antara satu sama lain,” kata M Nasir.

Ilham adalah anak sulung daripada lima beradik hasil perkongsian hidup M Nasir dengan Allahyarham isterinya, Junaidah Johari. Selain Ilham, empat lagi anaknya bersama Allahyarhamah adalah Mohd Yassin, 24; Mohd Hidayat, 21, Mohd Syafie, 17, dan ­Nurnilam Sari, 14.

Manakala perkahwinan beliau bersama Datin Marlia Musa pada tanggal 31 Ogos 2000, dikurniakan seorang cahaya mata, Suci Musalmah yang kini mencecah usia 11 tahun.

Sehari sebelum itu, majlis persandingan sebelah pengantin dilangsungkan di Sime Darby Convention Centre (SDCC) yang hanya dihadiri keluarga terdekat dan rakan rapat saja.

Menyingkap perjalanan majlis , semua persiapan majlis berteraskan tema tradisi Melayu sebagaimana tebalnya jiwa sang bapa yang cukup terkenal menerusi lagu puitis.

Daripada hiasan khemah tetamu, pelamin, hidangan makanan serta cenderahati yang menggunakan kain songket serta telur pindang memperlihatkan sesuatu yang indah.

Sementara, kedatangan tetamu disambut alunan tradisi apabila bergema irama ghazal dan gamelan yang diperlengkapkan lagi dengan persembahan pemuzik dan penyanyi daripada Akademi Seni Warisan dan Budaya (ASWARA).

Menambah seri majlis, tentunya kehadiran rakan taulan artis seperti Datuk Aziz Bakar, Rosyam Nor, Anuar Zain, Adibah Noor, Black Search, Hasnol Rahmat, Ito Blues Gangs, Que Haidar, Linda Jasmine, Herman Tino, Nora Johan, Khatijah Tan, Dee dan ramai lagi.

Penghormatan juga diberikan buat mempelai dan keluarga pengantin apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut bertandang.

Rabu, November 11, 2009

GLAM Lelaki Edisi 5 - Lagenda Muzik M.Nasir

* M Nasir telah menjadi cover Majalah GLAM Lelaki no 5. Ikuti petikan temu bual bersama M Nasir yang telah mengisi ruang Personalti.

Teks : Zuraidah Hussein
Penata Gaya: Cheah Wei Chun/CLANHOUSEONLINE.COM
Gambar: Bustaman Mokhtar/White Studio

SEPERTI BAIT BAIT LIRIK APOKALIPS, SATU DUA TIGA, DO RE MI, APA NAK JADI, ALIF BATA A, B, C, APA NAK JADI, AKAN TERJADI HUJAN PASTI BERHENTI... BEGITULAH M.NASIR, WALAU APA PUN YANG TERJADI, SENIMAN HEBAT DAN GENIUS MUZIK TANAH AIR INI MASIH KUKUH BERDIRI MEWARNAI DUNIA SENI.

Ini bukanlah kali pertama saya bertemu sifu M. Nasir. Hujung Mac lalu di White Studio saya bertemunya kala beliau kami undang menghias ruangan 10 personaliti GLAM Lelaki. Dan hari ini saya bersua lagi dengan lelaki yang sekian lama menjadi ikon muzik tanah air di pejabat dan studio yang banyak berjasa kepada M. Nasir, Luncai Emas di Sg Buloh. Bertemankan editor SLAM Lelaki, Aida Osman perjalanan kami lancar tanpa diganggu kesesakan lalu lintas meski hujan lebat menyimbah bumi petang itu. Hanya 10 minit menunggu, M. Nasir muncul di pintu pejabatnya dengan kemeja petak. Dia menyapa kami dengan senyuman sekali gus mengusir resah yang bersarang di hati saya. Ya, sekian ama mengagumi insan seni yang satu ini, saya masih belum berkesempatan berbual mesra dengannya. Kebetulan saya pencinta muzik, tentunya banyak soalan nengenai seni dan muzik berlegar di cenak dan mahu saya tanya padanya.

Tanpa membuang masa, Nasir menjemput kami ke tingkat atas pejabatnya. Membuka bicara dia bergurau selamba bertanya "Apa lagi yang engkau orang nak tahu fasal aku ni? Dan sambil ketawa juga saya memintasnya dan bertanya pula, "Agaknya apa lagi yang abang Nasir mahu meski sudah lama bidang ini?" Dia berfikir sejenak dan menjawab dengan iringan ketawa kecil, Bila Pablo Picasso berhenti berkarya? Belum sempat kami jawab, dia pantas menyambung katanya. "Dia melukis sehingga akhir hayatnya kan?" Nasir diam lagi kemudian menyambung," Saya juga mahu begitu. Mahu berkarya sampai bila bila, Kita sepatutnya tidak boleh memberi batas atau had umur bila mahu berhenti. Saya tidak akan berhenti melakukan sesuatu yang saya cintai. Jadi, selagi saya boleh berfikir dan berangan, selagi itu saya akan berkarya. Nikmat yang saya dapat daripada kepuasan itu, lazatnya tak terluah kata-kata. Kepuasan itulah sebenarnya yang sering saya rindu. Sebab itu bila orang tanya soalan yang sama, “Kau tak boring buat benda sama ke," saya jawab `tidak...

Kembara M. Nasir di bidang seni sudah hampir 30 tahun tetapi penyanyi berusia 52 tahun ini belum pernah menghampakan peminat dan terus-terang saya katakan, peminat masih haus dengan karya hasil penyanyi yang dilahirkan di Singapura ini.

PENAKLUKAN MUZIK DIGITAL

Saya bertanya mengenai industri muzik digital yang semakin pesat membangun bukan hanya di Malaysia malah seluruh dunia. Kata Nasir "Digital adalah medium penyanyi sekarang dan tentunya memberi kesan secara tidak langsung terhadap sesuatu karya. Tidak perlu hebahkan kehebatan diri tetapi karya itu sendiri bisa berkata-kata. Jika bagus, dia akan mempunyai tempatnya sendiri, jika hasil itu biasa-biasa saja, orang akan pandang sebelah mata. Saya tahu ramai menggunakan medium seperti YouTube, Myspace dan lain-lain tetapi tidak menjadi.

Bagaimana pula dengan peluang? Bukankah dengan adanya medium digital, peluang seseorang itu membentangkan karya mereka menjadi lebih besar, lebih luas? "Sebenarnya peluang memang ada sejak dulu lagi cuma sikap tidak mahu berusaha membatasi segalanya. Orang kita cepat lupa dan sudah cukup puas dan seronok dengan hasil yang sederhana saja. Tidak dorongan atau lonjakan dalam diri untuk menghasilkan sesuatu di luar batas kebolehan. Jika dilihat kelompok penyanyi popular yang ada, saya tidak mempertikaikan bakat mereka. Tetapi apabila hendak menyesuaikan dengan kehendak massa yang besar, di situ kekurangannya. Benda yang nak kita capai itu masih di luar jangkauan. Bagi saya, orang kita terutama bangsa Melayu perlu berusaha lebih gigih sebab belum ada lagi anak Melayu yang betul-betul berjaya. Tengok siapa tidak kenal Dato' Jimmy Choo? Begitu juga Zang Toi tetapi belum lagi ada orang Melayu sampai ke tahap itu. Meski mereka itu mewakili bangsa Malaysia tetapi kita tentu mahu berbangga jika ada anak Melayu mengukir nama seni sebegitu hebat. Peluang jika adapun tetapi jika kita tidak cukup kreatif akan berlalu begitu saja. We are still not that ambitious! Dan saya percaya jika kita berikan jiwa pada sesuatu karya, ia akan hidup."

SENARIO PASARAN KECIL

Menurut Nasir antara masalah industri muzik kita yang membelenggu adalah senario pasaran kecil. "Semua orang suka bertumpu atau memberi fokus pada seseorang sahaja dan ini adalah mentaliti pasaran kecil. Hasilnya walaupun ada radio memainkan 100 peratus lagu tempatan, tetapi kalau lagu sama berulang-ulang atau penyanyi sama, susah juga kita hendak berkembang. Tetapi kalau kita hendak lebarkan pasaran kita pun bukannya senang. Memang sekarang sudah muncul ramai penyanyi lagu Inggeris tetapi masih belum ke mana. Jika dilihat pada `English scene' tempatan, bukan mereka tidak bagus tetapi masih banyak yang kurang. Antaranya bunyi, lirik dan paling utama nyanyian. Setiap karya yang dihasilkan perlu ada touch universalism. Walaupun generasi sekarang celik IT, tetapi pemikiran kita masih mundur dan balik-balik pergi ke benda yang sama. Apabila membuat keputusan masuk ke bidang ini, kita mesti betul-betul talented. Kalau seseorang tu boleh menyanyi, kena tanya sejauh mana bagusnya dia? Ya, ramai bersuara bagus tetapi tidak sesuai pada zaman sekarang. Kadang-kadang umur masih muda tetapi nyanyi lagu rentak orang tua. Pendekkan cerita susah memiliki pakej lengkap. Bila dia ada aura international, tetapi lagunya hanya setakat itu, tidak jadi juga. Jika dilihat di Barat, walaupun hanya bersandarkan lagu pop, lirik berkisar cinta tetapi ada kualiti. Ada jalan cerita. Orang kita masih lemah dalam menghasilkan lirik yang baik," Nasir merungkaikan masalah muzik tanah air.

Perbualan kami kian rancak apabila ditanya mengenai apa yang tidak puas di matanya. "Banyak benda yang salah saya nampak. Tetapi jalan tetap diteruskan tanpa diperbetulkan. Jika di Barat, pemuzik dan penyanyi sama naik. Mereka diberi pengiktirafan yang sama. Tidak di sini, pemuzik sekadar mengiringi. Dan jika ada pemuzik yang dikenali pun balik-balik muka yang sama. Maknanya pemuzik pun perlu ada personaliti dan pandai 'marketkan' diri. Dan segi peningkatan musicality, kemahiran berkurangan. Susah hendak cari pemain gitar ada skill hebat seperti Man Kidal. Ya, mungkin aliran muzik semacam itu sudah lenyap tetapi kemahiran seperti dia turut pergi begitu saja. Sayang. Televisyen hanya menyuap penonton dengan hiburan yang tiada personaliti."
"Setiap artis perlu belajar dari bawah terutamanya teknik nyanyian. Masalah kebanyakan artis zaman sekarang ni, selain kurang personaliti, lagu yang dirakamkan tidak cukup hebat. Lagu kena betul dan barulah senario akan berubah."

Bagaimana pula dengan independent band yang semakin rancak ketika ini? Seakan menjadi fenomena apabila semua berlumba menubuhkan band sendiri dan mahu lari daripada jalur muzik mainstream.
"Orang muda suka berkawan dan suka menubuhkan band. Ini bukanlah fenomena baru kerana era 70-an, 80-an, dan 90-an pun sama. Awalnya mereka mencari-cari arah atau hala tuju tetapi biasanya selepas seketika, mereka temui identiti tersendiri. Apa yang sedih jika mereka termasuk golongan kritikal. Maksud kritikal ini mereka yang meniru muzik atau imej orang bulat bulat. Tetapi jangan pula keliru antara tiru dan inspirasi. Contohnya Justin Timberlake, dia menjadikan Michael Jackson sebagai inspirasi tetapi dia lakukan mengikut caranya sendiri".

KE MANA ARAH PROGRAM REALITI TV?

Berbual mengenai perkembangan industri muzik tanah air, saya tentunya tidak dapat lari daripada bertanya soal program realiti TV terutama Akademi Fantasia yang mana M. Nasir sendiri pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengetua musim ke 3. "Program realiti bukan hanya berlaku di tempat kita malah menjadi fenomena dunia. Itu salah iatu cara mencungkil bakat dan masa sama buat duit. Satu hal menarik apabila ibu bapa memberi galakan kepada anak anak untuk menyertai program realiti TV. Saya percaya semua mak ayah mahukan anak mereka terkenal, glamor dan masa depan mereka di bidang seni luas menanti. Saya tidak nafikan ramai berbakat dan apa yang saya harapkan mereka benar benar menggilap bakat, bekerja keras, bercita-cita tinggi dan memberikan yang terbaik. Tetapi apa pun kata Nasir tidak adil membandingkan rancangan realiti TV tempatan dengan American Idol.
"Pasaran mereka besar dan kebarangkalian hendak mencari yang berkualiti dan bagus memang banyak. Walaupun tujuan sebenar memang hendak mengaut keuntungan, mereka juga bijak melakukan kebajikan menerusi rancangan tersebut."

KITA PERLU LEBIH JUJUR

Nasir akui peranan media amatlah penting dalam menggalakkan pertumbuhan seni tanah air. Artis dan wartawan saling memerlukan. Tetapi alangkah baiknya jika kita saling berterus terang. "Antaranya kita tidak perlulah mengangkat angkatkan benda yang tidak seberapa. Contohnya jika ada karya atau penyanyi kita menang di festival-festival kecil Barat, sedangkan berapa keratlah sangat penyertaan dalam pertandingan itu. Tapi apa yang dilaporkan seolah-olah ia suatu yang terlalu hebat. Sepatutnya kita perlu jujur dan buat a real thing.

M. NASIR SEBAGAI BAPA

Tidak banyak cerita mengenai anak-anak M. Nasir. Semua tahu hasil perkahwinannya dengan arwah Junainah dikurniakan empat putera, Ilham, 24, Yasin, 22, Hidayat, 18, Syafie, 15 dan seorang puteri Nur Nilam Sari. Bersama isterinya Marlia Musa mereka dianugerahkan Suci Musalmah, 5 tahun. Kata Nasir sebagai bapa dia memberi kebebasan sepenuhnya pada anak-anak memilih bidang mereka suka asal saja menjiwai apa yang dibuat dan paling penting katanya usaha.
"Saya tidak mahu menentukan masa depan anak-anak. Kalau mereka minat muzik, saya tidak akan menentang atau menyokong dengan mengajar beria-ria atau beri nasihat itu ini. Cuma satu yang saya akan saya tanya, berapa lama kamu berlatih dalam sehari dan sejauh mana pengetahuan kamu dalam bidang muzik? Bagi saya jika practice tidak cukup dan pengetahuan pun kurang, saya sudah boleh nampak masa depan mereka. Kelam. Jadi, walaupun mereka anak M. Nasir, kalau hendak berjaya mereka perlu berusaha sendiri."

Ya, tanpa dirancang dua daripada anak nya mendekati muzik. Ilham rancak bermain gitar dan belajar fotografi di Kolej SEGI. Dia yang juga boleh bernyanyi menubuhkan band bersama adiknya Yasin, yang memilih bermain drum. Hidayat pula baru sahaja terbang ke Perth, Australia melanjutkan pelajaran dalam bidang grafik. Syafie masih menuntut di Islamic International School sementara Nur Nilam Sari serta Suci Musalmah di bangku sekolah rendah.


KONSERT SATU WAJAH M.NASIR

Setelah menggegarkan Istana Budaya dengan konsert Alam Muzik M. Nasir hujung Februari lalu, Nasir mahu kembali menghiburkan peminat-peminat yang tidak masih tidak puas dengan konsert lalu. Konsert Satu Wajah asalnya dijadualkan 25 Julai lalu telah ditunda. Nasir sudah bersedia untuk beraksi di stadium negara dan sangat teruja membuat persembahan di situ kerana ini kali kedua Nasir beraksi selepas konsert Canggung Mendonan pada 1994. Konsert yang bakal menghiburkan penonton dengan lagu lagu sepanjang 30 tahun karier M. Nasir ini dijadualkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan barisan pemuzik yang diketuai Aznan Alias.

BILA ILHAM DATANG.

Sebelum beredar, ingin sekali saya tahu bagaimana seniman ini mendapat ilham dan andai ilham datang apa yang di lakukannya?
"Bila dialiri ilham, saya terus menuju ke gitar, keyboard atau drum machine. Selalunya saya berkarya di studio bukan di rumah. Sebenarnya mudah untuk menghasilkan lagu tetapi untuk memperoleh lagu `hit', itu yang payah. Sukar sebenarnya hendak jelmakan roh pada sesebuah lagu. Selalunya lagu `hit' hadir pada momen yang tidak dirancang." Biasanya saya lebih suka buat lirik dulu, baru cipta melodi. Nak menjelmakan roh pada sesuatu lagu itu susah. Tapi, apabila roh sudah dititiskan. magis pun terjadi, lalu muzik dan lirik bersatu dengan indahnya." M. Nasir mengakhiri bicaranya petang itu dengan kata-kata dalam makna seninya.

Jumaat, Februari 25, 2005

Zoul sinonim dengan M.Nasir

petikan Utusan Malaysia 22. February 2005

Berbicara dengan Zoul, nama penyanyi M. Nasir pasti tersebut juga. Zoul atau Zulkipli, 44, pun sudah tidak dapat mengelak daripada perkara tersebut.

Sebagai anak ke tujuh daripada sembilan beradik di mana M. Nasir menjadi abangnya yang ketiga, kata Zoul, melarikan diri daripada dikenali sebagai adik kepada M.Nasir adalah suatu yang sukar baginya.

Katanya, orang lebih mengenalinya sebagai Zoul adik M.Nasir. Puas dia cuba berdiri atas namanya sendiri. ``Tapi siapalah saya untuk menutup mulut orang ramai,'' kata Zoul.

Lama kelamaan, dia menganggap perkara itu sebagai sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

``Nak marah pun tak guna sebab orang sudah selesa melabelkan saya sebagai adik M. Nasir. Lagipun nak buat macam mana, dia memang abang saya,'' katanya sambil tersenyum.

Kata Zoul, dia amat mengagumi perjalanan seni M.Nasir dan dia secara tidak langsung belajar untuk menjadi seperti abangnya.

``Saya tidak pernah bertanya secara langsung cara mana dia mencipta nama tapi saya rajin memerhati kerjanya. Dari situlah saya menimba pengalaman. Melalui perbualan kami juga kadang-kadang ada terselit tips yang boleh diguna untuk karier saya,'' jelasnya yang pernah bergandingan dengan M. Nasir dalam kumpulan Kembara untuk album Hijrah 1404 dan Duit.

Biar antara Zoul dan M. Nasir berbeza cita rasa muzik dan peribadi namun kedua-duanya amat bangga dengan irama Melayu.

Setiap lagu dendangan mereka pasti ada elemen irama Melayu. Bagi Zoul, biarpun tampil dengan album rock namun elemen etnik fusion tetap disertakan.

Katanya, sewaktu mula mengenali muzik, dia lebih didedahkan dengan irama rock.

Antaranya lagu-lagu dendangan kumpulan Led Zappelin dan James Taylor kerana lagu-lagu sedemikian menjadi pendengaran abang sulungnya.

Dari situ Zoul lebih menggemari irama rock namun sebagai orang Melayu, dia lebih senang mendendangkan lagu rock dengan gaya tersendiri.

``Kenapa saya mesti menyanyikan lagu rock seperti penyanyi yang sedia ada. Baik saya menyanyi lagu rock mengikut cita rasa setempat.

``Saya tidak kisah dipanggil penyanyi rock etnik. Sekurang-kurangnya saya berjuang untuk meneruskan irama masyarakat kita,'' katanya tegas.

Berpegang kepada prinsip tersebutlah maka Zoul tampil dengan album baru berjudul Zoul yang sudah berada di pasaran sejak 14 Februari lalu.

Zoul merupakan penyanyi naungan Luncai Emas. Untuk album ini juga dia mendapatkan khidmat M. Nasir untuk lagu Tiada Lagi Dusta yang berentak balada rock.

Lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album ini ialah Di Celah Gigi, Jiwa Yang Tenang, Layar, Esok Tak Bertemu, Malam Nanti, Dia, Seri Mahkota Hati Nurani, Belerang Merah dan Siapakah Aku.

Ahad, Disember 09, 2001

Namanya Suci Musalmah

petikan NSTP e media

BEBERAPA hari lalu Kita Orang cuba menghubungi sifu M Nasir di pejabatnya di Luncai Emas untuk bertanyakan keadaan Marlia dan cahaya mata barunya itu.

Sambil-sambil tu nak merisik juga nama si puteri cahaya matanya itu. Malangnya, ketika itu M Nasir sudah keluar pejabat. Jadi terbantutlah hasrat Kita Orang.

Tapi kemudian kakitangan di Luncai Emas yang banyak membantu iaitu Liza memberitahu, mungkin Kita Orang boleh menghubungi Marlia yang ketika ini sedang berpantang di rumah.

Sewaktu menghubungi Marlia, dia sedang berurut. Kita Orang bertanya khabarlah mengenai keadaan Marlia. Kemudian Kita Orang bertanya perihal baby baru itu. Macam ibunya, baby pun sihat juga. Siapa namanya? Sambil ketawa Marlia menjawab, “Suci Musalmah.”

Ya ke?

“Betul,” jawab Marlia ketawa lagi. Siapa beri nama tu? “Macam biasalah. Siapa lagi kalau bukan Abang Nasir,” kata Marlia.

Klasik sungguh ya namanya. Mendengar kata-kata itu Marlia ketawa lagi. “Memang klasik dan sangat-sangat klasik,” katanya.

Dalam perbualan bersama Marlia juga Kita Orang dapat tahu bahawa nama ‘Suci’ diberikan sempena kelahirannya di bulan Syawal.
Manakala ‘Musalmah’ diberikan kerana jarang digunakan.

Apapun, sewaktu Marlia melahirkan Suci Musalmah pada 6 Disember lalu, anak-anak M Nasir dan Marlia yang lain khabarnya tidak sabar untuk menimang adik baru mereka itu.

Malah, masing-masing khabarnya juga sibuk beratur untuk sama-sama menjadi tukang pengasuh Suci Musalmah.

Khamis, Disember 06, 2001

M Nasir, Marlia Musa dapat anak perempuan

petikan 6 Disember 2001

SUBANG JAYA, Khamis – Komposer, penyanyi dan pelakon terkenal, M Nasir menimang cahaya mata keenam apabila isterinya, Marlia Musa, 32, selamat melahirkan bayi perempuan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Selangor, jam 8.13 pagi ini.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri berkenaan masih belum menetapkan nama bayi seberat 2.89 kilogram itu.

Nasir dan Marlia yang juga seorang pelakon dan aktivitis teater mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos tahun lalu selepas tiga bulan bertunang.

Perkahwinan itu adalah yang kedua bagi Nasir manakala pertama bagi Marlia.
Menerusi perkahwinan pertama dengan Allahyarham Junainah Johari, Nasir dikurniakan lima anak iaitu Mohd Ilham, 16, Mohd Yassin, 13, Mohd Hidayat, 10, Mohd Syafie, 6 dan Nurnilam Sari, 3.

Ahad, November 25, 2001

Marlia Musa menanti bayi 1 Syawal

petikan Utusan Malaysia 25 November 2001

Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA (saharudin@utusan.com.my)
BARANGKALI tidak ada yang lebih menggembirakan sifu industri muzik M. Nasir dan isterinya pelakon Marlia Musa selain daripada meraih dua anugerah dalam hidup mereka pada tahun ini.

Anugerah pertama ialah kelahiran album Phoenix Bangkit yang menyimpan 1,001 rahsia dan mistik kehidupan yang telah menemui peminat muzik tanah air pada bulan Jun lalu.

Album tersebut merupakan album sulung Nasir bersama syarikat rakaman yang baru dinaunginya iaitu Warner Music.

Anugerah kedua yang paling penting dalam hidup mereka pula sudah tentu kelahiran anak sulung Nasir bersama Marlia Musa yang dinikahinya pada 31 Ogos 2000.

Perkahwinan itu merupakan perkahwinan kali kedua Nasir selepas kematian isterinya, Allahyarham Junainah Johari pada 8 Ogos 1998.

Hasil perkahwinan itu Nasir dikurniakan lima orang anak, empat lelaki dan seorang perempuan.

Bagi Marlia pula, rumah tangga dengan Nasir merupakan perkahwinan kali pertamanya.

Lebih istimewa buat pasangan Nasir dan Marlia ialah tarikh kelahiran bayi mereka dijangka pada 1 Syawal 1422 Hijrah bersamaan 16 Disember depan iaitu pada Hari Raya Aidilfitri.

Bukankah itu takrif kemenangan yang cukup besar buat Nasir dan Marlia?

Ketika wartawan Mingguan bertemu Marlia pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat rakaman Warner Music Rabu lalu, Marlia, 34, menceritakan perasaannya ketika ini.

Sebagai wanita yang belum berpengalaman melahirkan cahaya mata, anak kepada pasangan Allahyarham Musa Al-Bakri (pelakon drama) dan Zaiton Shamsuddin (bekas juruhebah radio) ini mengakui perasaannya terlalu gembira bercampur takut.

``Seronok ada, takut pun ada. Saya tidak pernah ada pengalaman melahirkan anak, jadi macam-macam perasaan bermain-main di fikiran saya pada ketika ini,'' katanya yang tidak henti-henti menyimpul senyuman sepanjang perbualan kami.

Meskipun begitu, Marlia bertuah kerana dalam waktu-waktu sebegini, Nasir sentiasa berada di sisi.

Selain memberi sokongan moral, Nasir juga sentiasa memastikan isterinya berada dalam keadaan yang selesa.

``Abang Nasir punya pengalaman melihat bagaimana lima orang anaknya terdahulu dilahirkan. Pengalaman melihat mereka membesar banyak membantu Abang Nasir menenangkan saya,'' kata Marlia menceritakan bagaimana Nasir mengambil berat tentang dirinya.

Mengikut apa yang diceritakan oleh Marlia, Nasir seorang yang cukup cool dalam apa juga keadaan.

``Kalau dia (Nasir) turut sama takut dan nervous mungkin keadaan saya menjadi kelam-kabut... tetapi alhamdulillah perkara itu tidak berlaku,'' tambah Marlia lagi.

Sekarang pantang ada masa lapang Marlia - yang sudah disahkan oleh doktor bakal menimang cahaya mata perempuan hasil pemeriksaan jantina bayi yang dilakukannya sebelum ini - banyak membaca buku-buku mengenai kelahiran bayi.

Dia dan suaminya juga tidak ketinggalan sudah merencanakan nama yang mahu diberikan kepada `orang baru' dalam keluarga besar itu.

Bagaimanapun, Marlia enggan mendedahkan nama yang sudah dipilih oleh dia dan Nasir.

``Biarlah ia menjadi rahsia terlebih dahulu. Bila sampai masanya nanti saya akan umumkan,'' ujarnya.

Marlia dan Nasir memilih sebuah pusat perubatan di Subang, Selangor sebagai hospital untuk Marlia melahirkan bayi tersebut.

Seperti juga wanita lain, Marlia awal-awal lagi sudah menyiapkan persiapan bukan sahaja untuk menyambut cahaya mata tetapi juga persiapan hari raya buat suami dan anak-anaknya selain daripada persiapan persekolahan.

Kata Marlia, persiapan itu telah dibuat sejak beberapa bulan lalu.

``Saya tidak mahu persiapan dilakukan dalam keadaan kelam-kabut. Kerana itulah saya sudah mempersiapkan segala-galanya sejak dua tiga bulan lalu.''

Lima orang anak Nasir yang turut di bawah penjagaan Marlia ialah Muhammad Ilham, 15, Muhammad Yassin, 13, Muhammad Hidayat, 7, Muhammad Syafii, 6 dan Nur Nilam Sari, 3.

Menurut Marlia, tahun 2002 bakal memberi cabaran baru buatnya kerana tahun depan Ilham bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Syafii pula akan memulakan alam persekolahan.

``Saya bersyukur kerana Abang Nasir memberikan perhatian yang cukup rapi kepada anak-anak.

``Abang Nasir tegas dalam mendidik tetapi cukup mesra. Dia disayangi oleh anak-anak,'' kata Marlia, bekas Pensyarah Jabatan Teater di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Mengenai sambutan Ramadan pula, walaupun sarat mengandung Marlia masih tidak lupa tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada lima orang anak M. Nasir.

Seperti isteri dan ibu lain, dia juga tidak terlepas daripada menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk mereka sekeluarga.

``Abang Nasir lebih gemar makan di rumah berbanding di luar. Kalau bukan bulan puasa sekalipun, Abang Nasir akan pastikan dia pulang ke rumah untuk menikmati makan malam.

``Cuma sesekali bila ada jemputan makan di luar saya perlu temankannya,'' kata Marlia lagi.

Oleh kerana dirinya sarat menunggu masa bersalin, Marlia berkata, sambutan Syawal kali ini hanya diraikan di Kuala Lumpur.

Kata Marlia, saudara-mara suaminya dari Singapura dijangka meraikan lebaran bersama-sama mereka di Malaysia.

Sebelum menamatkan perbualan, Marlia berpesan kepada para peminatnya dan Nasir: ``Doakan saya selamat melahirkan bayi sulung saya ini.''

Sabtu, Julai 07, 2001

Marlia hamil 4 bulan

petikan Berita Harian 7 Julai 2001
Oleh ABIE ABDULLAH

PELAKON Marlia Musa yang bahagia bersama suami tercinta, M Nasir dan lima anak tirinya, makin berseri dalam penantian yang amat bermakna bagi keluarga itu.

Marlia kini hamil empat bulan hasil perkongsian hidup dengan komposer terkenal itu sejak mendirikan ‘masjid’ pada penghujung Ogos tahun lalu. Kegembiraan jelas terbayang kepada bekas pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini.

Ketika ditemui selepas majlis pelancaran album terbaru suaminya, Phoenix Bangkit, di Hotel Concorde, Kuala Lumpur Khamis lalu, Marlia kelihatan berseri, walaupun tanpa secalit mekap.

“Memang sejak mengandung, saya tidak suka bersolek. Bukan saja di rumah, malah dalam majlis-majlis seperti ini. Walhal sebagaimana awak tahu, sebelum ini saya suka pakai mekap, biarpun ke kelas untuk mengajar,” kata Marlia sambil menarik Nur Nilam Sari yang asyik ‘bertempek’ di sebelahnya.

Turut kelihatan dalam majlis pelancaran itu ialah empat lagi anak Nasir iaitu Ilham, 15, Yasin, 13, Hidayat, 10 dan Shafie,6. Shafie menjadi tumpuan apabila dia menari-nari mengikut rentak lagu ayahnya, terutama lagu Sahabat Gua.

Menurut Marlia, 32, bukan saja tidak suka bersolek, perubahan juga terasa apabila dia yang selama ini suka minum kopi, menolak minuman kegemarannya itu, sejak hamil ini.

Sokongan moral
“Mungkin pembawakan, tetapi alhamdulillah saya masih sihat. Setakat ini, belum ada lagi masalah besar dan saya masih boleh meneruskan aktiviti harian seperti mengajar di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dan menjaga anak-anak.

“Saya beruntung mempunyai suami yang berpengalaman dalam ‘dunia kehamilan’ (menerusi perkahwinan terdahulu). Dia yang lebih membantu saya dalam segala hal berkaitan kehamilan ini,” katanya.

Marlia berkata, Nasir juga mengambil berat terhadap pengambilan makanan, malah sentiasa menasihatkan isterinya agar tidak terlalu aktif buat kerja, sebaliknya banyakkan rehat.

Bagi Marlia, apa yang dilakukan Nasir, biarpun dia sendiri sibuk dengan kerja studio, adalah sebagai satu sokongan moral. Sokongan ini dianggapnya satu perkara besar dan penting baginya yang pertama kali melalui pengalaman mengandung.

“Sebelum ini saya tidak tahu banyak mengenai hamil. Kadang-kadang apabila diserang sakit tu, sakit ni, saya akan cepat panik. Tetapi abang Nasir yang akan menenangkan saya dan berkata apa yang terjadi itu adalah perkara biasa bagi orang mengandung,” katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya menjaga lima ‘askar’ Nasir, Marlia berkata, tidak semua perkara boleh dilakukan dengan mudah dan tidak semuanya susah.

“Begitu juga dengan penjagaan anak-anak ini. Apabila berurusan dengan kanak-kanak yang berbeza umur seperti mereka, mungkin agak susah, masing-masing dengan perangai sendiri.

“Sebenarnya ia mengambil masa untuk menyesuaikan sepenuhnya. Begitu juga dengan panggilan ‘Mama’, saya tidak akan memaksa mereka memanggil saya dengan gelaran itu, tetapi saya percaya masa akan berubah.

“Cuma Nur Nilam yang memanggil saya Mama sebaik saja saya ‘melangkah’ ke rumah abang Nasir,” katanya.

Menurut Marlia, dia mendidik anak-anak tirinya mengikut cara dan disiplinnya yang setakat ini diterima dengan baik. Malah dia dan Nasir akan cuba meluangkan masa sebaik mungkin untuk anak-anak, biarpun sesibuk mana sekalipun.

“Saya sedar abang Nasir memang sibuk, tetapi kami cuba bertolak-ansur menetapkan masa untuk keluarga setiap hujung minggu. Malah setiap malam, kami akan pastikan kami makan bersama anak-anak. Selewat-lewatnya jam 7.30 malam, abang Nasir mesti pulang.

“Tetapi jika dia ada hal lain, saya dan anak-anak memahami. Bagi saya, kita tidak boleh meluangkan masa setakat sejam dua untuk anak-anak. itu tidak mencukupi,” katanya.

Walaupun menjadi ibu kepada keluarga besar, Marlia tidak pernah menyesal. Katanya, situasi ini memang memberi kesan kepada kerjayanya, tetapi keputusan yang diambil (untuk berkahwin dengan Nasir) adalah tepat.

“Dari awal lagi saya sudah bersedia dengan ‘alam’ ini dan keutamaan saya adalah keluarga. Karier perkara kedua, sebab itu saya jarang berlakon pentas atau menerima tawaran drama,” katanya yang semakin laris ‘menjual suara’ untuk iklan-iklan radio.

Terbaru, Marlia sedang mengusahakan projek teater dengan pengarah berbakat, Nam Ron di bawah Alternative Stage yang dijangka dipentaskan pada September nanti.

Ahad, September 03, 2000

Pengakuan Marlia Musa pada hari pernikahan - "M.Nasir ialah cinta pertama saya''

petikan Utusan Malaysia 3 September 2000


WANG dinar emas menjadi mas kahwin M. Nasir kepada Marlia.

Mulai tahun depan mereka bukan saja akan menyambut hari itu sebagai Hari Kebangsaan tetapi juga hari ulang tahun perkahwinan mereka.

"Ia adalah satu tarikh yang senang diingat,'' seloroh Marlia apabila ditanya kenapa mereka memilih tarikh itu.

Tetapi artis berusia 33 tahun itu kemudian menambah, mereka memilih tarikh 31 Ogos kerana kesesuaian masanya.

Kisah cinta M.Nasir, 43, dan Marlia hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu, dan mereka kemudian memilih untuk bersama sebagai suami isteri.

Ini merupakan perkahwinan kedua M.Nasir selepas kematian isterinya Junainah Johari, manakala Marlia menamatkan zaman gadisnya.

Majlis akad nikah pasangan itu diadakan di rumah Marlia di Subang Jaya pada hari Khamis lalu ketika seluruh rakyat Malaysia bergembira merayakan Hari Kebangsaan.

Mereka selamat diijab kabulkan dalam suasana yang serba sederhana tetapi meriah. Marlia berwalikan sepupunya Muhammad Aris Jailani. Bapa kepada Marlia, Musa Albakri sudah lama meninggal dunia.

Kebanyakan 500 orang jemputan yang hadir merupakan keluarga terdekat pasangan itu termasuk rombongan keluarga M.Nasir dari Singapura.

Keluarga M.Nasir dari Singapura yang turut hadir pada majlis itu ialah bapa, abang dan kakaknya. Ibu pengantin lelaki tidak hadir khabarnya kerana masalah kesihatan.

Bagi majlis akad nikah tersebut, M.Nasir membawa tujuh dulang hantaran berbalas dengan sembilan dulang hantaran daripada pengantin perempuan.

Setiap hantaran dihias dengan begitu cantik terdiri daripada barangan diri seperti pakaian, barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan jam tangan. Wang hantaran daripada pengantin lelaki ialah sebanyak RM20,000.

Apa yang uniknya dalam majlis akad nikah itu ialah M.Nasir memilih untuk menggunakan wang dinar emas sebagai bayaran mas kahwinnya kepada pengantin perempuan.

Tiga belas keping wang dinar emas bernilai RM2,000 menjadi bukti penyatuan kedua-dua mereka.

Menurut M.Nasir, dia memilih wang dinar tersebut kerana 'ingin kembali kepada tradisi Islam.'

M.Nasir duda lima anak itu kematian isteri sejak dua tahun lepas.

Daripada perkahwinan pertama, M.Nasir memiliki lima orang anak iaitu Muhammad Ilham, 14, Muhammad Yasin, 12, Muhammad Hidayat, 6 tahun, Muhammad Syafii, 5 tahun dan Nilam Sari, 2 tahun. Cuma Hidayat, Syafii dan Nilam Sari kelihatan hadir pada majlis tersebut.

Penyatuan pasangan Nasir-Marlia kini secara tidak langsung menjadikan Marlia 'ibu segera' kepada lima orang anak tiri.

Kata Marlia, dia tidak mempunyai masalah dengan anak-anak M.Nasir kerana proses penyesuaian antara dirinya dengan mereka berjalan lancar.

Biar apa pun kata Marlia, dia akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi ibu kepada anak-anak yang masih kecil itu.

Begitu pun artis itu memang agak berkecil hati apabila persoalan penerimaan anak-anak tiri itu diajukan berulang kali. Marlia tidak menafikan bahawa dia memang agak sensitif dengan soalan seperti itu.

"Hanya mereka yang melihat saja tahu bagaimana rapatnya hubungan saya dengan anak-anak Abang Nasir.

"Saya tetap sentiasa memperbaiki hubungan tersebut. Tanggungjawab itu bukan kecil kerana kini saya bukan saja harus memikirkan dua kepala tetapi lima yang lain,'' kata Marlia.

Berbulan madu? Kata M.Nasir, setakat ini mereka tidak merancang untuk ke mana-mana lantaran kesibukan kerja. Tetapi mereka tetap akan mencari satu tarikh yang sesuai kelak.

"Tetapi mungkin dalam negara saja kerana kami ingin menyambut seruan kerajaan,'' katanya.

Bercerita tentang percintaan mereka, kata M.Nasir, dia sebenarnya sudah lama mengenali Marlia iaitu sejak Marlia berusia 16 tahun. Ketika itu M.Nasir berusia 26 tahun. "Pada masa itu Marlia adalah pelakon radio di Singapura,'' katanya.

Kata M.Nasir, dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Marlia kerana menganggap wanita itu cukup sesuai untuk mengisi kekosongan hidupnya dan anak-anak.

Bagi Marlia pula, M.Nasir adalah cinta sejati yang pertama. Seperti pasangan lain, Marlia dan M.Nasir berharap ikatan itu berkekalan.

Kata Marlia, selepas berkahwin M.Nasir tetap tidak menghalang dirinya untuk terus berlakon. Bagaimanapun kata Marlia, selepas ini dia harus teliti memilih tawaran. Itu kerana dia tetap akan mengutamakan masa untuk keluarga barunya.

"Kalau berlakon drama televisyen mungkin itu agak berat tetapi kalau drama pentas saya akan menimbangkan sebarang tawaran,'' kata Marlia yang merupakan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Marlia juga menolak dakwaan bahawa dia akan bekerja dengan syarikat M.Nasir iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd.

Selepas diijab kabulkan, M.Nasir dan Marlia mengadakan majlis persandingan mereka di salah sebuah hotel di Subang Jaya pada 1 September dan di rumah pengantin lelaki di Sungai Buloh pada 2 September.

Jumaat, September 01, 2000

M. Nasir dan Marlia pilih bernikah di Hari Kebangsaan

petikan Utusan Malaysia 1 September 2000

Akhirnya penyanyi itu memilih pelakon Marlia Musa sebagai pasangan hidupnya. Mereka bernikah semalam ketika rakyat negara ini dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan ke-43.

Tarikh itu sengaja dipilih untuk menyenangkan mereka mengingati dan merayakan ulang tahun perkahwinan serentak dengan perayaan sambutan Hari Kebangsaan.

M. Nasir, 43 membawa wang hantaran se-banyak RM20,000 serta tujuh dulang hantaran manakala pihak Marlia, 33 membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Penyanyi itu membawa 13 keping dinar emas bernilai RM2,000 sebagai mas kahwin ketika bernikah di rumah keluarga Marlia di Subang Jaya tengah hari semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Subang Jaya, Othman Arifeen. M. Nasir menjawab akad nikah sebanyak dua kali.

Dalam majlis yang diadakan secara sederhana itu dihadiri oleh kira-kita 500 tetamu. Sekitar 50 orang rombongan daripada pihak M. Nasir menghadirinya termasuk bapanya yang kelihatan uzur.

Majlis persandingan akan diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya malam ini manakala M. Nasir akan mengadakan majlis di Dewan Serbaguna Bandar Baru Sungai Buloh, tengah hari esok.

Ditanya mengenai perancangan berbulan madu M. Nasir berkata dia belum memikir-kannya kerana masih banyak komitmen kerja yang harus diselesaikan.

"Saya hanya cuti beberapa hari sahaja dan akan meneruskan kerja selepas ini,'' katanya semasa ditemui selepas majlis akad nikah itu.

Mereka menyatakan kemungkinan akan berbulan madu bersama lima anak M. Nasir hasil perkahwinan terdahulu di kawasan peranginan dalam negeri.

M. Nasir yang kelihatan ceria sepanjang majlis berlangsung tidak pernah menghalang Marlia aktif berlakon, malah dia senang melihat isterinya maju dalam kerjayanya.

"Sekiranya dia maju ke depan, saya lagi suka,'' kata M. Nasir apabila ditanya mengenainya.

Sementara itu Marlia berkata dia akan membataskan aktiviti seni untuk memberi tumpuan pada keluarga dan kerjanya sebagai pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan.

"Telah lebih dua tahun saya tidak berlakon drama televisyen dan kali terakhir saya berlakon teater pada April lalu,'' kata Marlia.

Dia akan menimbangkan tawaran berlakon drama televisyen sekiranya dapat menguruskan masa dan keutamaan akan diberikan kepada keluarga.

"Saya akan terus berlakon teater selepas ini,'' kata Marlia lagi.

Ditanya mengapa dia memilih dinar emas sebagai mas kahwin kata M. Nasir dia ingin kembali kepada tradisi Islam dalam perkahwinan.

Dia akan membawa Marlia pindah ke rumahnya di Sungai Buloh selepas majlis perkahwinan mereka selesai sepenuhnya.

Ahad, Ogos 27, 2000

Cabaran Marlia sebagai isteri M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 27 Ogos 2000


MARLIA berikrar memberikan kebahagiaan kepada M. Nasir dan anak-anaknya.

Dalam debaran itu, seperti juga bakal isteri lain, Marlia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan kenyataan ini dirasakan sendiri oleh Mingguan Malaysia.

Seminggu sebelum Marlia bergelar isteri orang, Mingguan Malaysia sempat menemu bual Marlia dan pelakon yang berusia 30 tahun itu nyata sukar untuk menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya.

Bukan mengelak, tetapi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata kerana pada ketika itu, fikiran Marlia melayang memikirkan pelbagai perkara dan persiapan yang perlu dilakukan.

"Seperti orang lain juga, selain gembira saya juga berdebar kerana tidak lama lagi akan bergelar isteri orang,'' kata Marlia yang merupakan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Perkahwinan mereka, pertama buat Marlia dan yang kedua buat M. Nasir (yang kematian isteri, Allahyarham Junainah Johari) pastinya satu cabaran baru yang perlu ditempuhi oleh Marlia khususnya.

Bagi Marlia tanggungjawabnya begitu besar apatah lagi dia perlu mengambil alih tanggungjawab memberikan kasih sayang kepada lima anak M. Nasir hasil perkahwinan terdahulu.

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Marlia dalam temu bual eksklusif majalah URTV tidak lama dulu, Marlia menerangkan, sememangnya perkahwinan suatu cabaran baru buatnya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana sehingga hari ini kelima-lima anak bakal suaminya itu sudah boleh menerima kehadirannya.

"Saya impikan yang terbaik untuk saya dan Abang Nasir, apalagi Abang Nasir dah ada lima orang anak... saya mahu diterima bukan sahaja sebagai isteri malah kawan kepada anak-anaknya,'' jelas Marlia penuh makna.

Anak kepada pasangan Allahyarham Musa Al-Bakri (pelakon drama) dan Zaiton Shamsuddin (bekas juruhebah radio) ini turut mengakui, bukan suatu perkara yang mudah untuk anak-anak M. Nasir menerimanya sebagai ibu mereka.

"Saya tahu saya tidak dapat ganti ibu mereka kerana emak mereka adalah emak mereka, tapi saya harap saya dapat sama-sama dengan Abang Nasir mendidik mereka,'' ikrar Marlia.

Pun begitu jauh di sudut hatinya, Marlia yakin bahawa dia sudah mampu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya.

Seperkara yang membuatkan Marlia begitu optimis bahawa kehadirannya dapat diterima oleh kelima-lima cahaya mata itu ialah berdasarkan kemesraan yang ditunjukkan oleh mereka.

"Bila saya masuk dalam keluarga Abang Nasir, saya ingin memenuhi kekosongan yang diperlukan oleh anak-anak Abang Nasir.

"Saya faham bukan senang nak mengisi kekosongan mereka tetapi saya mencari apa yang mereka mahu, selain kasih sayang tentu perhatian. Mereka pun nampaknya menerima kehadiran saya dan mereka mesra terhadap saya,'' kata Marlia.

Janji Marlia lagi, dia ingin memberikan perhatian dan sepenuh kasih sayang kepada mereka dan kesemuanya itu dilakukan dengan seikhlas yang mungkin.

Ditanya apakah dia terkejut dengan jodoh yang telah ditentukan oleh Allah, Marlia mengakui hakikat tersebut.

"Bukan sahaja kawan-kawan saya, malah saya sendiri macam tidak percaya tapi inilah yang dikatakan takdir. Saya tidak pernah menyangka saya akan berkahwin dengan M. Nasir,'' katanya sambil menyimpul senyum penuh makna.

Marlia dan M. Nasir, 42, akan disatukan pada pagi 31 Ogos ini di kediaman keluarga Marlia di Subang Jaya, Selangor.

Selain wang hantaran yang difahamkan berjumlah RM20,000 (Marlia dan M. Nasir enggan memberitahu jumlahnya), Marlia juga akan menerima hantaran-hantaran lain termasuk mas kahwin berjumlah RM80 daripada M. Nasir.

Pasangan ini juga akan meraikan teman-teman rapat dan saudara-mara pada dua majlis persandingan yang berbeza.

Pertama di Grand Selangor Ballroom, Hotel Sheraton Subang, Subang Jaya pada 1 September, yang dianjurkan oleh keluarga Marlia.

Sementara bagi pihak M. Nasir pula, majlis kenduri dan persandingan akan diadakan pada 2 September di Taman Permainan Dewan Kemas 1B, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Kepada para pembaca yang ingin melihat gambar-gambar eksklusif Marlia, M. Nasir bersama lima orang anaknya jangan lupa mendapatkan majalah URTV keluaran 1 September yang mula berada di pasaran pada 30 Ogos ini

Ahad, Mei 21, 2000

Marlia & M. Nasir hanya tunggu hari

petikan Utusan Malaysia 21 Mei 2000

M. NASIR tergelak besar apabila dikatakan wajahnya semakin berseri dan ceria kerana dia tahu itu adalah jambatan untuk bertanya mengenai perancangan perkahwinannya dengan pelakon Marlia Musa.

Dia sendiri menduga soalan sedemikian akan ditujukan kepadanya apabila segala persoalan mengenai penghijrahannya ke syarikat Warner Music terungkai.

Namun mencungkil rahsia M. Nasir bukan semudah mendapat perkembangan sensasi artis lain kerana sesuai dengan dirinya yang dikatakan berseni itu, M. Nasir menjawab semua soalan dengan seni juga.

Ditanya bilakah tarikh atau bulan dia dan Marlia akan bernikah, M. Nasir cuma menjawab, dalam masa terdekat.

''Kamu akan tahu juga kerana saya akan membuat sidang akhbar mengenainya,'' kata M. Nasir sambil tergelak besar.

M. Nasir dan Marlia bertunang dengan dihadiri oleh keluarga terdekat di rumah keluarga Marlia pada 7 Mei lalu.

''Saya akan kahwin dalam masa terdekat ini,'' katanya apabila ditanya tarikh pernikahannya.

Dia juga enggan memberitahu berapakah hantaran dan wang hantaran yang bakal dibawa apabila bernikah nanti kerana baginya itu adalah sesuatu yang sensitif.

''Kamu akan tahu juga nanti apabila menghadiri majlis pernikahan saya,'' kata M. Nasir ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak menjadi artis rakaman Warner Music, Rabu lalu.

Penjelasannya membayangkan bahawa masa untuk M. Nasir dan Marlia disatukan semakin hampir. Malah persiapannya telah dibuat.

Mengenai perancangan perkahwinan di pihaknya, sekarang ini segala persiapan telah dilakukan oleh kakaknya di Singapura.

M. Nasir mengakui anak-anaknya rapat dengan Marlia dan mereka kini memanggilnya dengan panggilan Yaya.

''Sebenarnya panggilan nama itu dimulakan oleh Nilam (Nur Nilamsari) dan sehingga kini terus melekat,'' katanya.

Apabila bernikah nanti dia ingin anak-anaknya memanggil Marlia dengan panggilan 'Mak', ujar penyanyi itu lagi.

Ditanya mengapa dia memilih Marlia, kata M. Nasir ciri-ciri seorang wanita yang disukainya ada pada anak pelakon drama Allahyarham Musa Al-Bakri itu.

''Saya suka sesuatu perkara misalnya sejenis kain dan dia (Marlia) ada kain itu,'' katanya dengan kiasan tersendiri.

Ditanya warna kegemaran Marlia, M. Nasir memegang hujung baju warna kulit kayu yang sedang dipakainya.

''Dia suka warna ini,'' kata M. Nasir merujuk kepada warna baju yang dikenakannya hari itu.

Dia tidak menganggap keputusannya memilih Marlia sebagai pasangan hidup sebagai keputusan yang sukar untuk dilaksanakan.

''Bukan saya yang pilih dia tetapi kami sama-sama memilih antara satu sama lain,'' katanya lagi.

Ditanya sama ada sukar baginya membuat persiapan perkahwinan kali kedua itu, M. Nasir berkata dia ada banyak saudara yang membantu.

''Aku ada banyak kot dulu-dulu,'' katanya sambil tergelak apabila ditanya apakah pakaian yang akan dikenakan semasa bersanding nanti.

Oleh: ROSLI MANAH

Khamis, Ogos 13, 1998

Apabila irama terhenti seketika

petikan Utusan Malaysia 13 Ogos 1998

HIDUPNYA penuh berirama. Dia memujuk dengan irama, berhujah dengan irama dan marah juga dengan irama. Tetapi pada senja Sabtu lalu, iramanya semacam terhenti. Sepi dan hening menyambut tetamu yang datang juga tanpa banyak bersuara.

Awal malam itu bermulalah imbasan warna pudar lagi menyayukan. Cuma rintik-rintik hujan dan halaman yang basah menggantikan irama yang terhenti itu.

Tentunya irama ini tidak sama dengan sebelumnya yang melahirkan Mentera Semerah Padi, Canggung Mendonan, Anak-Anak Kita, Tanya Sama Hud Hud atau Bonda.

Pola iramanya yang dianggap menerobos hukum-hakam muzik yang lapuk sering dipertikaikan. Tetapi pada masa yang sama memikat banyak orang untuk mengamati irama daripada getaran jiwa seninya.

Demikian M. Nasir yang menghadapi satu kehilangan besar dalam hidupnya. Isterinya, Allahyarham Junainah Johari yang meninggal dunia petang Sabtu lalu ketika M. Nasir berada di ambang kejayaan dan kegemilangan.

Luncai Emas, syarikat rakaman dan studio rakaman di Sungai Buluh membuktikan visi Junainah dan M. Nasir mengubah nasib industri muzik tempatan.

Sebenarnya tidak banyak syarikat rakaman bumiputera yang berjaya dan berpengaruh seperti Luncai Emas.

Senja itu, pada wajah anak-anak berlima yang bermata jernih banyak meruntun air mata saudara dan rakan yang berkunjung dan mengucapkan takziah.

Demikian jugalah sepinya isyarat sebuah kehilangan setelah lengkapnya sebuah keluarga; anak lelaki dan perempuan, sebuah rumah, kehidupan yang bahagia dan mampu berkarya dengan selesa.

M. Nasir dan Junainah memang mengimpikan anak perempuan sebagai melengkapkan keluarga mereka.

Lalu kehadiran Nilam Sari berusia tiga bulan terlalu membawa erti.

Allahyarham Junainah penyanyi Ideal Sisters yang meninggal dunia petang itu semacam menyentak seluruh irama M. Nasir. Selain isteri, Junainah adalah orang yang sentiasa di sisi M. Nasir dalam apa juga keadaan; manis dan pahit. Tenang dan gelora.

Allahyarham sentiasa di sisi pentas apabila M. Nasir muncul dalam Konsert Akar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tiga tahun lalu.

Malah ikut bangun apabila M. Nasir dihempap kontroversi yang paling getir dalam kariernya dua tahun lalu. Itulah wanita bernama Junainah.

Junainah menjadi penting dalam hidup M. Nasir bukan kerana dia penyanyi Ideal Sisters yang popular akhir 70-an. Allahyarham penting kerana menjadi sebahagian daripada proses kreatif karya-karya terbaik yang pernah dilahirkan oleh seniman ini.

Mereka mempunyai lima anak; Ilham, Yassin, Hidayat, Syafie dan Nilam Sari. Mereka juga banyak menyumbang kepada penghasilan irama yang menjadi penghantar buah fikiran M. Nasir.

Memang benar, manusia ada persamaan dalam sekian banyak perbezaan dan jurang. Peristiwa pilu yang menimpa M. Nasir dapat dirasakan oleh semua. Melihat Nilam Sari yang tidak tahu apa-apa tentang kehilangan ibunya, siapa yang dapat menahan daripada ikut sebak di dada?

Perlu diingat, seniman juga manusia yang mempunyai perasaan seperti orang lain. Kehilangan ini bukan main-main. Bukan gimik yang menjadi sebahagian daripada tradisi budaya pop kita.

Tidak semua kehilangan itu menjadi begitu sepi lagi menyayukan. Dan kematian pula bukan suatu yang luar biasa. Tetapi pemergian Junainah begitu menyentuh dan mengharukan. Kalau mata yang memandang terasa sebaknya, apa lagi M. Nasir yang setiap detik melihat mata jernih mata anak-anak tanpa ibu di sisi mereka.

Perasaan ini membuktikan manusia dihubungkan oleh tali perikemanusiaan yang sama; dapat ikut merasa dari jiwa yang berbeza. Lalu kesayuan banyak orang pada majlis menziarahi Allahyarham Junainah adalah kelangsungan keutuhan kemanusiaan antara kita. Kita sebenarnya mengerti dan merasai apa yang orang lain rasa.

Tetapi tanpa bicara dan tanpa irama juga manusia boleh mencipta suasana yang dimengertikan oleh semua orang.

Kunjungan ke rumah M. Nasir di luar waktu tugas nampaknya lebih bermakna untuk menyelami kejernihan di kelopak mata seorang seniman dalam mendepani saat-saat segetir ini.

Biasanya dia diselubungi keriangan. Irama yang dilahirkan menghiburkan orang selain mencubit dalam kemanisan.

Dalam perjalanan pulang, saya teringat pada sebuah kehilangan setelah lengkapnya sebuah keluarga, ada anak lelaki dan perempuan, rumah dan kedamaian.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Oleh: KU SEMAN KU HUSSEIN

Isnin, Ogos 10, 1998

Pemergian tragis Junainah Johari

petikan Bintang Popular 14 September 2008
Oleh Hardi Effendi Yaacob

M Nasir dan Junainah

INDUSTRI hiburan tanah air dikejutkan dengan berita kematian bekas anggota Ideal Sisters, Junainah Johari, 36, yang juga isteri kepada seniman terkenal, M Nasir, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 3 petang, 8 Ogos 1998, akibat penyakit lelah dihidapinya.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Nana, diserang penyakit itu kira-kira jam 10 pagi beberapa hari sebelum kematiannya sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan tidak sedar diri sejam kemudian.

Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan selanjutnya, namun sehingga menghembuskan nafas terakhirnya, arwah masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Lebih menyedihkan, Allahyarham masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak bongsunya, Nur Nilam Sari, yang ketika ibunya meninggal dunia, baru berusia dua bulan.

Selain Nur Nilam Sari yang juga satu-satunya cahaya mata perempuan Nana dan Nasir, mereka turut mempunyai empat anak lelaki - Ilham, Yasin, Mohd Hidayat dam Shafie - yang ketika itu berusia dalam lingkungan 3 hingga 13 tahun ketika itu.

Dilahirkan di Singapura, Allahyarham dibesarkan di Kampung Kembangan, Singapura sehinggalah beliau berkahwin dengan komposer dan penyanyi terkenal itu pada 12 September 1981

nota kaki: Petikan asal berkenaan peristiwa ini tiada dalam simpanan, jadi petikan dari tahun 2008 ini sebagai gantinya.

Ahad, Disember 12, 1993

Junainah sibuk dengan tiga anak lelaki

petikan Berita Harian, 12 Disember 1993

BUKAN tidak mahu menyanyi lagi, kesibukan menjaga tiga orang anak lelaki menghalang Junainah Johari, isteri M. Nasir, daripada aktif lagi.

“Tiga anak lelaki dah cukup buat saya ribut setiap hari,” kata Junainah atau lebih senang dengan panggilan Nana. Anak-anaknya berusia antara dua dengan lapan tahun.

Namun lebih daripada tugas sebagai suri rumah, Junainah juga merupakan tulang belakang utama sebagai Pengarah Urusan syarikat Luncai Emas Sdn Bhd, milik suaminya.

Syarikat tersebut menghasilkan dan menerbitkan lagu-lagu.

Syarikatnya juga baru membuka studio rakaman yang disiapkan dengan belanja $700,000.

Junainah hanya menyanyi sekali-sekala untuk rakaman jingle atau lagu iklan.

Ahad, Januari 05, 1986

M. Nasir, Nana bangga timang putera sulung

 petikan Berita Harian, 5 Januari 1986

Oleh Karim Iskandar

 “Itu semua bergantung kepada keadaan. Saya tidak akan memaksanya untuk mengikut jejak kami. Dia bebas memilih bidang apa yang disukai. Mungkin dia ingin menjadi pelukis atau cenderung menjadi saintis, terpulanglah pada dia untuk menentukan.”

Jawapan M. Nasir bila ditanya tentang anaknya.

● KERIANGAN jelas tergambar pada wajah kedua-dua ayah dan ibu baru ini. Mohamed Ilham tenang dalam pangkuan.
SEBAGAI penggubah dan pencipta lagu yang prolifik, M. Nasir telah mendengar bermacam bunyi irama, tetapi irama yang didengar semenjak bulan lalu, begitu menyenangkan hatinya.

Irama tersebut adalah tangisan anak sulungnya. Dia selamat dilahirkan oleh isterinya, Junainah Johari, anggota kumpulan Ideal Sisters pada 30 November lalu.

● KERIANGAN jelas tergambar pada wajah kedua-dua ayah dan ibu baru ini. Mohamed Ilham tenang dalam pangkuan.

M. Nasir, yang juga penyanyi dan pelakon berbakat kini telah menjadi seorang ayah.

Mohamed Ilham, begitulah nama yang diberikan kepada anaknya yang beratnya 3.6 kilogram apabila dilahirkan. Dia adalah putera pertama daripada perkongsian hidup pasangan penyanyi itu selama empat tahun.

Memaksa

“Saya tidak pernah merancang untuk memberi nama pada anak saya. Nama Ilham itu saya beri sebaik saja pertama kali saya melihatnya,” kata M. Nasir dengan wajah gembira.

Apakah si kecil itu akan mengikut jejak langkah ayah dan ibunya? Pertanyaan itu tidak segera dijawab oleh Nasir dan Nana (nama timangan Junainah). Kata Nasir:

“Itu semua bergantung kepada keadaan. Saya tidak akan memaksanya untuk mengikut jejak kami. Dia bebas memilih bidang apa yang disukai.

“Mungkin dia ingin menjadi pelukis atau cenderung menjadi saintis, terpulanglah pada dia untuk menentukan.

“Bagi kami, segala ilmu akan kami curahkan kepadanya dengan harapan dia berjaya dan menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat,” ujarnya.

Menurut M. Nasir, yang ditemui di rumahnya di Commonwealth Drive, kelahiran Mohd Ilham sangat tepat sekali di saat beliau sedang berehat.

Beliau baru sahaja selesai dalam pembinaan filem ‘Kembara ...Seniman Jalanan’ keluaran ZSA Filem. Skrip filem itu dihasilkan oleh M. Nasir dan diarahkan oleh Nasir Jani.

Tidak berapa lama setelah selesai pembinaan filem itu di Kuala Lumpur, secara kebetulan Junainah melahirkan anaknya di sini.

Hasrat M. Nasir untuk berehat panjang sesudah berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia kerana terbabit dalam pembinaan filem itu, nampaknya tidak tercapai kerana beliau sedang menyiapkan lagu-lagu untuk filem yang akan datang berjudul ‘Menara Kaca’.

“Mungkin ini juga rezeki Ilham,” katanya.

Pengasas kumpulan Kembara yang terkenal dengan lagu-lagu puisinya, M. Nasir dan isteri dan anaknya dijangka kembali ke Kuala Lumpur setelah Junainah habis pantang hujung bulan ini.

Ahad, Oktober 06, 1985

Junainah dan Nasir nanti kelahiran cahayamata pertama

petikan Berita Harian, 6 October 1985

Oleh ALISA

JUNAINAH, salah seorang penyanyi kumpulan Ideal Sisters dan isteri kepada pelakon/penyanyi/penggubah lagu, M. Nasir, telah disahkan hamil dan menjangka menyambut kelahiran anak sulungnya dalam November atau Disember ini.

Junainah yang pernah dikhabarkan "hilang kandungannya" pada suatu ketika dahulu, kelihatan begitu gembira dan tenang.

"Doktor tidak pernah mengesahkan bahawa Nana hamil ketika itu. Itu cuma berita angin saja," jelas penyanyi tersebut.

Inspirasi

Junainah dan Nasir telah mendirikan rumah tangga selama empat tahun. Mengapa tunggu begitu lama untuk mendapatkan anak? Nasir tersenyum dan berkata:

"Dulu belum sedia. Ini pun sekarang kemahuan dia (isterinya). Tapi saya turut gembiralah. Tak lama lagi saya akan dipanggil Abah. Anak itu kelak akan menjadi penghibur setelah saya penat menghabiskan kerja-kerja seni saya. Anak itu akan menjadi inspirasi dalam perjuangan saya."

Junainah yang pertama kali mengandung, tidak mengamalkan banyak pantang larang. Beliau hanya mendapatkan nasihat daripada ibu dan doktor peribadinya.

Apabila ditanya sama ada mereka mahukan anak lelaki atau perempuan, kedua-duanya berkata mereka tidak terlalu mengambil berat soal itu. "Asalkan anak itu selamat dilahirkan, sudah," kata Junainah.

Bagaimanapun, Junainah dan Nasir enggan menyatakan di manakah mereka ingin anak tersebut dilahirkan — Singapura atau Malaysia.

Mereka berdua kini telah berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjaya.

Sementara itu, semasa melakukan penggambaran filem Kembara... Seniman Jalanan, M. Nasir pula telah ditimpa kemalangan yang menyebabkan rambutnya terbakar.

"Dalam satu adegan filem, saya dikehendaki menyelamatkan seorang pemuda dalam satu kebakaran. Malangnya, tanpa saya sedari rambut saya turut dijilat api. Mujur kakitangan filem tersebut sempat memadamkan api yang membakar rambut saya itu. Kalau tidak, mungkin lebih parah lagi keadaan saya," kata Nasir.

Setelah kebakaran tersebut, rambutnya rosak. Nasir kemudian terpaksa menggunting rambutnya. Pada suatu ketika, rambut Nasir begitu panjang sehingga menjadi perhatian peminatnya. Kini, rambutnya dipotong fesyen ala Tomahawk (nama sejenis kapak orang dayak Amerika).

"Kalau Misbun (Sidek) boleh buat, kenapa saya tak boleh?" katanya.

Nasir, bagaimanapun, tidak menganggap potongan rambut barunya itu sebagai fesyen atau kegilaan punk-rock.

 M. NASIR... terpaksa gunting pendek kerana rambutnya terbakar ketika membuat penggambaran filem 'Kembara... Seniman Jalanan'.

 JUNAINAH... dijangka melahirkan anak dalam November atau Disember.

Syukur

"Saya terpaksa menyesuaikan diri setelah kemalangan tersebut. Kalau dianggap fesyen oleh orang ramai, saya tak menghalang. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana saya selamat. Tuhan nak panjangkan umur saya, tapi pendekkan rambut saya ini," kata Nasir bersenda.

Nasir telah tamat berlakon dalam filem Kembara... Seniman Jalanan. Beliau akan pulang ke Singapura untuk menyiapkan lagu latar bagi filemnya itu dan menyusun sekali lagu untuk filem arahan Rahim Razali berjudul Tsu Fe.

Bagaimanapun, Nasir tidak berlakon dalam filem yang baru itu.