petikan Berita Harian, 5 Januari 1986
Oleh Karim Iskandar
SEBAGAI penggubah dan pencipta lagu yang prolifik, M. Nasir telah mendengar bermacam bunyi irama, tetapi irama yang didengar semenjak bulan lalu, begitu menyenangkan hatinya.“Itu semua bergantung kepada keadaan. Saya tidak akan memaksanya untuk mengikut jejak kami. Dia bebas memilih bidang apa yang disukai. Mungkin dia ingin menjadi pelukis atau cenderung menjadi saintis, terpulanglah pada dia untuk menentukan.”
Jawapan M. Nasir bila ditanya tentang anaknya.
Irama tersebut adalah tangisan anak sulungnya. Dia selamat dilahirkan oleh isterinya, Junainah Johari, anggota kumpulan Ideal Sisters pada 30 November lalu.
● KERIANGAN jelas tergambar pada wajah kedua-dua ayah dan ibu baru ini. Mohamed Ilham tenang dalam pangkuan.
M. Nasir, yang juga penyanyi dan pelakon berbakat kini telah menjadi seorang ayah.
Mohamed Ilham, begitulah nama yang diberikan kepada anaknya yang beratnya 3.6 kilogram apabila dilahirkan. Dia adalah putera pertama daripada perkongsian hidup pasangan penyanyi itu selama empat tahun.
Memaksa
“Saya tidak pernah merancang untuk memberi nama pada anak saya. Nama Ilham itu saya beri sebaik saja pertama kali saya melihatnya,” kata M. Nasir dengan wajah gembira.
Apakah si kecil itu akan mengikut jejak langkah ayah dan ibunya? Pertanyaan itu tidak segera dijawab oleh Nasir dan Nana (nama timangan Junainah). Kata Nasir:
“Itu semua bergantung kepada keadaan. Saya tidak akan memaksanya untuk mengikut jejak kami. Dia bebas memilih bidang apa yang disukai.
“Mungkin dia ingin menjadi pelukis atau cenderung menjadi saintis, terpulanglah pada dia untuk menentukan.
“Bagi kami, segala ilmu akan kami curahkan kepadanya dengan harapan dia berjaya dan menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat,” ujarnya.
Menurut M. Nasir, yang ditemui di rumahnya di Commonwealth Drive, kelahiran Mohd Ilham sangat tepat sekali di saat beliau sedang berehat.
Beliau baru sahaja selesai dalam pembinaan filem ‘Kembara ...Seniman Jalanan’ keluaran ZSA Filem. Skrip filem itu dihasilkan oleh M. Nasir dan diarahkan oleh Nasir Jani.
Tidak berapa lama setelah selesai pembinaan filem itu di Kuala Lumpur, secara kebetulan Junainah melahirkan anaknya di sini.
Hasrat M. Nasir untuk berehat panjang sesudah berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia kerana terbabit dalam pembinaan filem itu, nampaknya tidak tercapai kerana beliau sedang menyiapkan lagu-lagu untuk filem yang akan datang berjudul ‘Menara Kaca’.
“Mungkin ini juga rezeki Ilham,” katanya.
Pengasas kumpulan Kembara yang terkenal dengan lagu-lagu puisinya, M. Nasir dan isteri dan anaknya dijangka kembali ke Kuala Lumpur setelah Junainah habis pantang hujung bulan ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan