ANALITIC

Ahad, Disember 22, 1996

Review Filem : Nasir bawa penonton berfikir dalam ‘Merah’

 petikan Berita Harian, 22 December 1996

SEBAGAIMANA M. Nasir mengangkat isu-isu kehidupan yang tidak dilihat oleh mata kasar orang lain menerusi lagu-lagunya, begitulah juga beliau melakukannya menerusi filem pertamanya, Merah.

Nasir, pengarah, penulis lakon layar dan cerita asal Merah, membawa penonton berfikir dan nilaikan dilema warga hina yang hidup bergelandangan dan terpaksa memilih jalan seterusnya apabila tiba di persimpangan.

Merah, adalah filem realis yang mempunyai makna berlapis — daripada nama-nama wataknya hinggalah kepada dialog-dialognya yang kaya dengan falsafah. Ia membentangkan masalah kehidupan biasa — moral, kejujuran dan cinta — tetapi berjaya lari daripada pendekatan biasa dengan prasarana segar, mantap dan tajam pengertiannya.

Cerita ini bertambah segar dengan pendekatan naratif oleh watak utamanya, Merah, lakonan Awie.

Cerita bermula dengan pertemuan semula Merah dengan sahabat lamanya, Salleh (Hani Mohsen), sebaik saja dia dibebaskan dari penjara. Menerusi pertemuan itu, kita didedahkan bahawa Merah, Salleh dan seorang lagi rakan sekampung mereka, lima tahun lalu pernah merompak sebuah bank kerana terdesak dengan kesempitan hidup. Ketika melarikan diri, mereka terjebak dalam satu kepungan polis. Merah menyuruh Salleh dan Hassan melarikan diri sementara dia seorang menghadapi hukumannya.

Lima tahun kemudian, Merah mendapati Salleh masih hidup dalam kesusahan, dikelilingi tiga orang anak. Salleh menuduh Hassan melarikan wang rompakan mereka. Merah marah. Tetapi apa yang Merah tidak tahu bahawa kekayaan yang dinikmati Hassan hari ini adalah hasil kerja kerasnya sendiri — biarpun perniagaan yang diceburinya, begitu menyalahi undang-undang.

Merah cuba menjalani kehidupan lurus, tetapi hidup sebagai banduan sering menemukan beliau dengan kehidupan di lorong hitam. Akibatnya beliau juga rasa terhina apabila mendapat tahu kaunselor yang semakin rapat dengannya, Kasih (Ziana Zain), rupa-rupanya anak seorang hartawan.

Cerita ini bukan soal orang baik dibalas baik dan orang jahat akan mendapat hukumannya, sebaliknya mebongkar hati manusia yang begitu sukar memilih jalan yang lurus selepas sekali berbuat jahat.

Sebagai pengarah, Nasir telah menangani filem ini dengan baik, teratur dan tepat megena sasarannya.

Kejayaan terbesarnya ialah mengubah penampilan Awie sebagai pelakon. Awie langsung mengikis imej penyanyinya seperti yang ditonjolkan dalam kesemua filemnya bersama Yusoff Haslam. Beliau relaks, manja tetapi pada masa yang sama sukar ditumbangkan oleh lawannya — ciri watak hero yang mengingatkan saya kepada pelakon Patrick Swayze.

Sabtu, Disember 14, 1996

'Merah' jadi rebutan pemilik panggung

 petikan Berita Harian, 14 December 1996

GANDINGAN IDEAL: Dengan barisan pelakon utama yang mengemukakan Ziana Zain (kiri), Nasir (tengah) dan Awie (kanan) sebagai bintang utamanya, filem keluaran Nasir ini dikatakan bakal mendapat sambutan baik dari orang ramai.

FILEM pertama arahan M.Nasir, Merah menjadi rebutan pemilik panggung seluruh Malaysia.

Menurut Yusoff Haslam, pengarah urusan Skop Productions yang ditugaskan memasarkan filem tersebut, sejumlah 40 panggung telah membayar sebanyak M$100,000 ($65,000) sebagai cengkeram untuk mendapatkan hak tayangan Merah mulai Khamis depan.

Di Singapura, filem itu menemui penonton sejak kelmarin di Pavillion, Golden Village di Tampines.

Yusoff berkata, tempahan awal yang dibuat oleh para pemilik panggung tersebut menunjukkan mereka yakin dengan kemampuan M. Nasir menghasilkan filem bermutu tinggi dan bakal mendapat sambutan orang ramai.

Reaksi itu juga menunjukkan bahawa kemunculan Ziana Zain dan Awie, sebagai antara pelakon filem tersebut, tidak menjejas minat orang ramai biarpun sebelum ini kedua-dua penyanyi itu dilaporkan telah mendapat pendedahan yang berlebih-lebihan di layar perak sehingga menjemukan sesetengah pihak.

"Selain daripada itu, saya percaya ramai yang tak sabar untuk melihat kebolehan Nasir menangani filemnya sendiri kerana beliau telah diakui begitu unggul menghasilkan kerja seni," kata Yusoff.

Ditanya pendapat beliau sendiri mengenai filem itu, Yusoff berkata beliau menganggap Merah sebagai "cermin semangat Nasir".

"Filem ini ada gaya tersendiri. Tetapi kita tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi mengenai kutipannya kerana ini merupakan filem pertama arahannya. Tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan ceritanya," kata Yusoff.

Yusoff juga menjelaskan bahawa biarpun Nasir masih menggunakan penyanyi dalam filem itu, beliau bijak menggarapnya dengan baik kerana kedua-dua Ziana dan Awie langsung tidak dihilangkan daripada imej glamour penyanyi.

Filem ini mengupas kisah masyarakat yang terpaksa melakukan kesalahan kerana terhimpit dengan pelbagai kesusahan.

Ia menjejak kehidupan bekas banduan, Merah (Awie) yang cuba meneruskan kehidupannya selepas dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan merompak.

Dia mendapati kawan yang pernah merompak bersamanya dulu, Salleh, sudahpun berkahwin dan hidup dalam keadaan serba sederhana. Seorang lagi kawan mereka, Hassan, pula menikmati kemewahan hasil wang rompakan yang dilarikan.

Dalam pada itu, Merah menjalin hubungan dengan kaunselornya, Kasih (Ziana) yang sentiasa mengekori langkahnya untuk memastikan dia tidak terjebak kembali dalam jenayah.