ANALITIC

Isnin, Julai 06, 2026

CIPTA 4 saksi karya M. Nasir terus dekat di hati peminat

petikan Berita RTM 6 Julai 2026

Datuk M. Nasir/ Bangsawan Pictures

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Selepas 47 tahun mewarnai industri muzik tanah air, Datuk M. Nasir membuktikan karya seorang maestro tidak pernah luput ditelan zaman, sebaliknya ia terus mekar di hati peminat tanpa mengira usia.

Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Sabtu lepas, yang juga merupakan hari ulang tahun ke-69 beliau, menjadi saksi karya-karya malar segar artis ini terus hidup dalam jiwa serta ingatan peminat.

Ketika lampu arena dipadamkan, sorakan hampir 13,000 penonton bergema menyambut kemunculan penyanyi legenda itu yang membuka persembahan menerusi Ekspres Rakyat, diikuti Hati Emas, Perjuangan dan Aku Dah Bosan.

Segmen rampai menampilkan Sentuhan Kecundang, Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara, Azura dan Milik Siapakah Gadis Ini mengingatkan penonton sentuhan M. Nasir tidak terhad pada sebuah genre atau seorang penyanyi.

Diiringi barisan pemuzik berpengalaman diketuai pengarah muzik Aznan Alias, setiap karya diberikan susunan baharu tanpa menghilangkan identiti asal.

Antara detik paling mencuri perhatian apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang hadir sebagai tetamu, memenuhi permintaan penonton untuk naik ke pentas berduet bersama-sama M. Nasir menerusi Bagaikan Sakti pada pertengahan konsert

Kemunculan spontan itu disambut sorakan gemuruh sehingga memenuhi segenap ruang arena.

Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4/ Bangsawan Pictures

Suasana penuh nostalgia itu diteruskan dengan kemunculan Datuk Awie yang bergandingan dengan M. Nasir menerusi Ghazal Untuk Rabiah, sebelum legenda rock tanah air itu mengambil alih pentas dengan persembahan solo Istana Menanti.

Penyanyi dan komposer Indonesia Melly Goeslaw kemudian menyuntik semangat Nusantara menerusi duet Suatu Masa dan Fantasia Bulan Madu yang memperlihatkan karya M. Nasir juga merentasi sempadan negara.

Konsert kemudian dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada sambutan ulang tahun kelahiran M. Nasir dengan pulut kuning dibawa ke pentas sebelum barisan rakan artis yang hadir berserta ribuan penonton menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu.

Belum sempat keterujaan itu reda, M. Nasir sekali lagi menghadiahkan kejutan apabila menjemput Ziana Zain ke pentas untuk mendendangkan Halaman Asmara, sekali gus melengkapkan himpunan figura besar industri muzik yang bersama-sama meraikan perjalanan seninya.

Menjelang penghujung konsert, Unifi Arena bertukar menjadi lautan suara apabila hampir semua penonton bangun menyanyikan lagu demi lagu dengan M. Nasir antaranya Kembara, Apokalips dan Raikan Cinta.

Malah, ketika mendendangkan lagu terakhir iaitu Mentera Semerah Padi, beliau sempat turun dari pentas untuk mendekati dan meraikan peminat, menghulurkan tangan serta menyanyi bersama-sama mereka dalam satu momen yang menggambarkan hubungan akrab antara seorang legenda dengan pencinta karya-karyanya.

Persembahan yang berlangsung lebih tiga jam itu bukan sekadar susunan lagu atau produksi pentas tetapi menjadi himpunan memori kolektif bersama.- BERNAMA

M.N47IR CIPTA 4: Tetralogi pengajian khazanah seni M Nasir yang cukup sempurna

petikan GEMPAK 6 Julai 2026

Maliah Surip

BARANGKALI tulisan ini bersifat sedikit peribadi tetapi penulis tetap mahu berbagi rasa mengenai seorang seniman yang menerima beragam panggilan termasuk sifu dan meastro dengan nama Datuk M Nasir.

Ini juga bukan reviu pertama mengenai persembahan M Nasir ; sudah beberapa kali penulis diberi amanah melunaskan tanggungjawab menonton, melihat dan merasa atmosfera yang ditebarkan karyawan seni unggul sejak beberapa tahun menekuni bidang kewartawanan hiburan.

Empat siri, satu Legenda: M. Nasir lengkapkan konsert CIPTA

Namun, setelah duduk menonton dan menikmati tetralogi atau saga konsert dengan penjenamaan Cipta yang telah dimulai sejak Ogos 2024, penulis berasa ‘kecil’ kerana bagaimana seorang penulis amatur mahu menggisahkan perjalanan seni dan karya seorang M Nasir.

Antara sebabnya juga ialah, M.N47IR CIPTA 4 yang berlangsung di Unifi Arena Kuala Lumpur adalah perayaan 47 tahun beliau meneroka lalu menerjemahkan karya-karya seninya yang beragam; bukan buat dirinya peribadi tetapi ‘menghidupkan’ nama banyak penyanyi tempatan dengan cukup gah. Ironi, penulis hanya baru menjadi wartawan hiburan sekitar 22 tahun.

Apa sangat yang penulis tahu mengenai karya-karyanya seperti Suatu Masa, Bas No 13, Padang Lalang, Empat Penjuru, Andalusia, Berikan Nurbisa atau Sahabat Gua dan Apokalips (hanya beberapa yang didendangkan malam itu) yang bukan hanya melodinya sudah jauh ke depan daripada zaman ia diciptakan tetapi bagaimana sarat isu kemanusiaan, perasaan, pemerhatian serta ‘kelembutan’ yang dibina dalam bunyi bahasa, pembentukan kata, pembinaan ayat serta makna yang disampaikan dalam karya bernama budaya pop.

M Nasir tahu segalanya. Beliau seperti punya poket Doraemon ; minta, maka lahirlah pula karya-karya ikonik seperti Fantasia Bulan Madu (Search), Dari Kekasih Kepada Kekasih (Datuk Hattan), Sampai Hati (Spring), Azura (Datuk Jamal Abdillah), Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara, (Mega) Andai Aku Pergi Dulu (Alleycats) dan Istana Menanti (Rahim Maarof) yang beragam nuansa (juga beberapa karya yang disampaikan malam itu). 

Entah apa yang ada dalam otak beliau atau berapa ‘megabait’ data yang disimpan secara manual sebagai seorang manusia dengan bakat luar biasa ini.

Baik, masuk kepada konsert yang dianjurkan Icon Entertainment ini. Dengan penjenamaan Cipta, ia sesungguhnya signifikan dengan keseluruhan konsep yang dipersembahkan. M Nasir adalah pencipta. Beliau adalah manusia yang dicipta Allah dengan keajaiban menyentuh jiwa manusia lain memenerusi bakat yang dianugerahkan kepadanya.

Beliau mencipta karya-karyanya mengikut firasat bergantung rasa atau momen peribadi dan peristiwa yang terjadi sehari-hari (saya tebak begitu). Beliau kemudian memanjangkan ilmu dengan mencipta pula karya-karya buat penghibur mengikut acuan masing-masing lalu ’subur’ dengan sentuhan listrik seorang M Nasir. Bersama karya-karya yang dicipta, M Nasir mencipta eko sistem atau kumpulan pemuzik yang cukup mahir dengan ‘peralatan perang’ masing-masing’.




Lihat sahaja bagaimana enak dan mempersona permainan setiap pemuzik diketuai pengarah muzik, Aznan Alias yang juga pemain gitar (satu) dibantu pembantu pengarah muzik,  Firdaus Mahmud (keyboard) bersama rakan lain seperti Rafi Mohd, Norman Abdullah, Ujang Exists, Eddie Slam, Pa’ang Zaman, Awe, Mohar, dan penyanyi Yuaz, Eja, Widy, Juanita serta Awe. M Nasir telah mencipta rantaian pemuzik tempatan dengan kualiti tinggi. Dan semuanya dipersembahkan dalam sebuah konsert yang mengusung penjenamaan Cipta. 

Tahniah juga buat Icon Entertainment selaku penganjur dan OPR Network yang pakar dalam memberi hala tuju penganjuran ; kalian telah mencipta satu lagi sejarah manis tentang belantika hiburan tanah air yang patut dibanggakan.

Tidak perlu penulis menulis panjang lebar tentang reviu vokal terkucil, lupa atau salah lirik, lampu malap atau terlebih terang kerana tugas penulis bukan untuk menghakimi (ia juga pasti banyak diluahkan peminat sendiri di media sosial) tetapi penulis hanya mahu menikmati dan meraikan karya seniman negara yang perlu terus dimartabatkan, kecuali telah berlaku momen yang sangat tidak logik atau merugikan banyak pihak terutama peminat yang mengeluarkan duit mereka untuk menikmati hiburan yang dihidangkan.

Sementelah jika kalau penulis tidak salah menyimpulkan dengan melihat betapa bergembiranya peminat ‘bertemasya’ dengan karya-karya yang disampaikan melalui ‘cara M Nasir’ yang bila-bila masa boleh menjadi lain kerana dipersembahkan secara langsung melalui improvisasi spontan, penulis percaya semua menerima baik konsert terakhir itu.

Meski tidak dilakukan secara berlebihan untuk meraih pengiktirafan atau pujian, sebenarnya penghormatan terbesar yang diperoleh M Nasir dan seluruh tim produksi adalah konsert berjalan lancar serta berjaya menyempurnakan pengajian khazanah seni beliau yang telah menemani kita dalam banyak fasa hidup.

Dengan semua yang penulis sampaikan, melihat bagaimana stadium dipadati peminat pelbagai generasi merayakan tetralogi Cipta M Nasir dengan penuh antusias, ia cukup memberi justifikasi bahawa M Nasir adalah seniman sakti. Terima kasih M Nasir semoga kita mampu melihat, mendengar, merasa dan menikmati  lagi karya-karya sakti anda di masa depan.

Ahad, Julai 05, 2026

Diasak penonton, Siti pecah ‘protokol’ duet dengan M. Nasir

 petikan KOSMO 5 Julai 2026

Oleh Mohd Haikal Isa

KUALA LUMPUR – Bagai sebuah upacara keraian seorang pemuzik legenda,  konsert M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena Kuala Lumpur malam tadi menyaksikan Datuk M. Nasir berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi ‘papan atas’ termasuklah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.Seni & Hiburan

Siti yang hadir sebagai penonton bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, diundang M. Nasir pada pertengahan konsert untuk tampil ke pentas dan menyanyikan lagu duet bersamanya.

“Saya dengar Siti Nurhaliza boleh menyanyi. Kalau hendak, silakan,” kata M. Nasir dalam nada berseloroh sekali gus mengundang sorakan gemuruh ribuan penonton.

Siti dilihat teragak-agak untuk menyahut pelawaan pemuzik diberi julukan ‘Sifu’ itu sebelum beliau berubah fikiran apabila terus ‘didesak’ peminat dengan sorakan yang menggemakan satu arena.

“Demi seorang legenda yang saya hormati dan hari ulang tahunnya hari ini, saya saya sudi menyanyi.Persembahan Muzik & Duet

“Saya cubalah walaupun tiada ear monitor. Ini antara karya terhebat yang pernah saya nyanyikan. Kita buat konsert bersama-sama selepas ini,” katanya.

Dua figura  seni tersohor tanah air itu kemudian menghiburkan penonton menerusi lagu Bagaikan Sakti, karya duet popular yang turut menjadi antara lagu tema filem epik, Puteri Gunung Ledang.

Selain Siti, konsert anjuran Icon Entertainment itu turut dimeriahkan dengan kemunculan vokalis Wings, Datuk Awie, serta penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.Muzik & Audio

Pada penghujung konsert, M Nasir atau nama lengkapnya, Mohamad Nasir Mohamed turut diraikan bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-69.

Majlis sambutan itu diserikan dengan kehadiran beberapa rakan artis termasuk Ziana Zain, Marsha Milan, Sherry Alhadad, Elyana, Mawi dan Siti.

“Takbir! Terima kasih kepada semua yang sudah memberi sokongan. Saya harap persembahan ini tidak membosankan kalian,” katanya sebelum memotong pulut kuning sementelah penonton menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu.

Tidak cukup dengan itu, M. Nasir juga sempat berduet Ziana Zain menyampaikan lagu Halaman Asmara. – KOSMO! ONLINE