ANALITIC

Ahad, Julai 05, 2026

M Nasir usik Siti terus naik pentas

petikan Berita Harian 5 Julai 2026

Oleh Affan Rostam 

Siti Nurhaliza menyahut pelawaan spontan M Nasir untuk berduet menyampaikan lagu Bagaikan Sakti pada konsert M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Konsert solo maestro muzik legenda, Datuk M Nasir menerusi M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena Kuala Lumpur, di sini, malam ini dikejutkan dengan kemunculan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Siti yang hadir sebagai penonton bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, diundang M Nasir pada pertengahan konsert untuk tampil ke pentas dan menyanyikan lagu duet bersamanya.

"Saya dengar Siti Nurhaliza boleh menyanyi. Kalau hendak, silakan," kata M Nasir dalam nada berseloroh sehingga mengundang sorakan gemuruh ribuan penonton.

Pada mulanya, Siti dilihat teragak-agak untuk menyahut pelawaan komposer dan penyanyi yang digelar 'Sifu' itu, namun mengubah fikiran selepas menerima sorakan serta 'desakan' peminat, apatah lagi wajahnya dipaparkan di skrin gergasi arena.

Sebaik melangkah ke pentas, Siti mengakui sukar menolak pelawaan daripada seniman yang dihormatinya itu, lebih-lebih lagi konsert berkenaan berlangsung pada hari ulang tahun kelahiran M Nasir.

"Demi seorang legenda yang saya hormati dan hari ulang tahunnya hari ini, saya sudi menyanyi.

"Saya cubalah walaupun tiada earpiece. Ini antara karya terhebat yang pernah saya nyanyikan. Kita buat konsert bersama-sama selepas ini," katanya.

Dua figura seni tanah air itu kemudian menghiburkan penonton menerusi lagu Bagaikan Sakti, iaitu karya duet popular yang turut menjadi antara lagu tema filem epik Puteri Gunung Ledang.

Selain Siti, konsert anjuran Icon Entertainment itu turut dimeriahkan dengan kemunculan vokalis Wings, Datuk Awie, serta penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.

Penampilan artis jemputan terbabit menambah kemeriahan persembahan yang menghimpunkan pelbagai karya malar segar ciptaan M Nasir.

Pada penghujung konsert, M Nasir turut diraikan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-68.

Majlis sambutan itu diserikan dengan kehadiran beberapa rakan artis termasuk Ziana Zain, Marsha Milan, Sherry Alhadad dan Siti.

"Takbir! Terima kasih kepada semua yang sudah memberi sokongan. Saya harap persembahan ini tidak membosankan anda," katanya sebelum memotong pulut kuning dan bersama-sama penonton menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu.

Konsert kemudian melabuhkan tirai dengan M Nasir dan Ziana bergandingan menyampaikan lagu Halaman Asmara.

Tiada ulasan: