Rabu, Februari 25, 2015

Gemuruh doa langit & bumi

petikan Harian Metro 25 Februari 2015
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bukan sekadar persembahan biasa, Konsert Doa Langit dan Bumi menampilkan empat nama besar dan bertaraf legenda ia­itu Datuk Ramli Sarip, Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Awie serta Daqmie sebagai artis undangan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad lalu membawa makna tersendiri terhadap mereka serta penonton yang hadir.

Lebih 2,000 penonton yang hadir pada konsert anjuran Kumpulan AmBank, Rasamusic Sdn Bhd dan PWTC ini bukan datang untuk berhibur semata-mata, sebaliknya secara tidak langsung turut menyumbang kepada tabung pembangunan pasca banjir AmBank bagi membantu mangsa banjir di pantai timur dan Perak akhir tahun lalu.

Konsert yang bermula pada jam 2.30 petang itu dibuka oleh pengacara yang tidak asing dalam kalangan penggemar genre rock, Ismahalil Hamzah yang bijak mengendalikan pentas dengan kepetahannya berkata-kata.

Sesuai dengan tema konsert yang berunsurkan alam dan kehidupan, Daqmie tampil sebagai pembuka pentas, memilih menyanyikan lagu Yang Terindah serta lagu popularnya Tangis Sebatang Tamar.

Berehat seketika bagi memberikan peluang pemuzik pengiring mengambil posisi masing-masing, peminat tidak dibiarkan ternanti-nanti begitu saja apabila dihidangkan dengan paparan video kemusnahan akibat banjir di Kelantan.

Selepas itu, Ramli yang dikenali dengan panggilan Papa Rock tampil menyampaikan lagu Warisan Alam, Hilang Gelap Terbitlah Terang dan Doa.

“Saya dibawa mengikuti rombongan bantuan AmBank ke Kuala Krai, Kelantan. Dari situ saya melihat kesusahan dan kesukaran hidup yang terpaksa dilalui mangsa banjir dan bagaimana mereka nak bangkit meneruskan kehidupan semula.

“Memang tersentuh hati dibuatnya dan spontan saya beritahu Penge­rusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim yang turut serta untuk anjurkan satu konsert bertujuan mengutip dana. Alhamdulillah beliau setuju dengan idea saya dan berikan sokongan,” katanya.

Selepas itu, pentas diambil alih Awie yang menyampaikan lagu Romania, Sayap Illusi dan Hukum Karma. Mungkin konsert ini lari dari kebiasaan kerana berlangsung pada waktu petang hingga membuatkan penonton kurang memberi reaksi terhadap persembahan artis.

Menyedari situasi ini, Awie menerapkan elemen jenaka menerusi dialognya dan ternyata ia memberi impak positif apabila peminat mula agresif menyanyi bersamanya menjadikan suasana kembali panas.

Selepas itu, giliran Hattan pula menghiburkan penonton de­ngan menyampaikan lagu Biso Bonar, Memburu Rindu dan Hani. Dalam cuba menghiburkan penonton, dia tidak lupa menyelitkan kata-kata berguna terutama berkenaan nasib kanak-kanak di Pantai Timur yang menjadi mangsa banjir sehingga membuatkan penonton kembali diam tanda simpati.

Bukan sahaja artis, bahkan Azman sendiri ‘sporting’ apabila turut menyumbang suara menyampaikan dua lagu iaitu Apo Nak Dikato dan What A Wonderful World.

Sememangnya barisan artis yang ditampilkan mempunyai aura dan kekuatan tersendiri. Kemunculan M Nasir menerusi lagu Phoenix Bangkit, Apokalips dan Mentera Semerah Padi berjaya menghangatkan lagi keadaan.

Seterusnya kehangatan ini diteruskan lagi oleh Ramli yang tampil menyanyikan rangkaian lagu popularnya iaitu Bukan Kerana Nama, Kau Yang Satu, Berita Gempa, Musibah, Keliru, Batu, dan Teratai.

Melengkapi profilnya sebagai penyanyi berpengalaman, Ramli berjaya menarik penonton untuk sama-sama menyanyi dengannya. Reaksi timbal balas dirinya dan penonton berjaya menggamatkan ke­adaan serta menceriakan semua yang hadir.

Kemuncak konsert ini sudah tentunya lagu Kamelia yang disampaikan oleh Ramli, M Nasir dan Hattan. Gabungan trio ini ternyata menjadi dan menerima tepukan dan sorakan bergemuruh daripada penonton.

Keseluruhannya, konsert iringan pemuzik hebat yang dinamakan The Soul Journey terdiri daripada Man Kidal (gitar utama), Aji Samin (gitar kedua), Tom Anuar (dram), Fauzie Zain (bass), Rozario Rasul (keyboard utama), Uda (keyboard kedua/violin/akordian), Paang Zaman (perkusi utama) dan Boy Razli (flute/gambus) ini berjaya menghiburkan semua yang hadir termasuk tetamu kenamaan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bukan sahaja penonton di PWTC, konsert selama dua jam 30 minit yang turut disiarkan secara langsung menerusi ntv7 dari jam 3 petang hingga 5 petang itu, berjaya membuat penonton di rumah melekat menyaksikannya dari awal hingga akhir.
Ditemui pada sidang media selepas itu, Ramli dan Azman melahirkan kegembiraan masing-masing kerana berjaya menganjurkan konsert ini.

“Walaupun orang masih bercuti panjang kerana sambutan Tahun Baru Cina, sambutan penonton yang diterima dikira bagus dan menggalakkan. Ada juga yang beli tiket tapi tidak hadir menonton kerana niat mereka hanya untuk menyumbang kepada tabung ini.

“Kami tidak akan menunggu lama untuk agihkan bantuan ini dan akan berusaha menyalurkannya secepat mungkin kepada mangsa banjir,” kata Azman.

Ramli pula berterima kasih dengan sokongan pelbagai pihak termasuk rakan-rakan artis lain yang menjayakan konsert ini.
“Saya sangat beruntung dikelilingi oleh mereka yang sudi berikan kerjasama. Selepas berbual dengan Tan Sri (Azman), saya terus hubungi rakan artis lain dan mereka terus berikan persetujuan.

“Mungkin penganjuran konsert begini boleh diadakan lagi kalau ada permintaan tinggi daripada peminat. Harapnya bukan AmBank saja tetapi semua pihak boleh berganding bahu untuk bantu mangsa banjir.

“Perlu diingat kita semua ada peranan dalam hidup untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai betapa pentingnya semangat perpaduan dalam usaha membantu masyarakat.

“Tarikh ini dipilih kerana PWTC hanya ada kekosongan hari ini. Saya juga pilih buat pada waktu petang kerana tidak mahu susahkan penonton yang terpaksa bekerja pada keesokan harinya.

“Apapun, gabungan ini tidak menjadi masalah kecuali Ella yang terpaksa menarik diri kerana terbabit dengan program Mentor Legend. Dia bersetuju untuk menyanyi pada saat akhir tetapi sukar kerana ia membabitkan susunan lagu dan masa,” katanya.

Menerusi kerjasama dengan artis ini juga, Ramli membayangkan mahu menerbitkan single atau sebuah album khas yang bertujuan mengutip derma bagi membantu mangsa bencana.



Isnin, Februari 16, 2015

Episod terakhir 'Akustika Bersama' akan tampilkan M Nasir

petikan Berita Mediacorp 16 February 2015
Oleh: Emillia Amin

SINGAPURA: Episod terakhir program 'Akustika Bersama' di saluran SURIA akan menampilkan penyanyi, penggubah dan penulis lagu yang disegani, M Nasir.

'Akustika Bersama' merupakan program lapan episod yang mengetengahkan artis tempatan dari pelbagai genre, yang membuat

persembahan secara akustik di the Arts House diiringi para pemain muzik profesional.

Episod pertama 'Akustika Bersama' yang disiarkan pada 10 Februari lalu menampilkan kumpulan duo hip hop Sleeq dan penyanyi Trisno Isak.

Bukan setakat satu persembahan nyanyian, program itu juga menyelitkan wawancara santai bersama para penghibur undangan untuk mereka berkongsi kisah perjalanan muzik masing-masing.

Dalam episod terakhir yang akan disiarkan pada 31 Mac nanti, seniman kelahiran Singapura yang tidak asing lagi, M Nasir, menyanyikan lagu-lagu beliau yang popular dan malar segar, dan turut berganding dengan kumpulan Kembara yang dianggotainya dulu.

Mengulas lanjut, M Nasir berkata: "Ia satu persembahan yang 'raw' saya rasa, akustik, spontan, maknanya kalau ada kesilapan ke apa... dia akan terakam macam gitu, dia akan jadi sejarah. Akustika ini satu persembahan yang bersahaja.. dia mempunyai peminat-peminat sendiri, jadi kita nak dapatkan itu, minat sederhana itu yang kita nak."

Anak didik beliau, Ikhsan Ace, bekas penyanyi kumpulan Aryan juga akan tampil menyanyikan lagu tema dari filem 'Azura'.

Barisan artis-artis tempatan lain bagi 'Akustika Bersama' termasuk penyanyi baru dan mapan seperti Awie Rafael, Aisyah Aziz, Art Fazil dan Ramli Sarip