ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label Kontroversi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kontroversi. Papar semua catatan

Ahad, Disember 17, 2017

Selepas lebih 20 tahun, ini kata M Nasir tentang isu 'Siapa Mahathir?'

petikan Malaysiakini 17 Disember 2017

 Dua patah kata “siapa Mahathir” yang didakwa diucapkan oleh M Nasir pada 1996 telah menyebabkan komposer dan penyanyi terkenal itu digam daripada radio dan televisyen kerana dianggap kurang ajar terhadap perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lebih 20 tahun kemudian, apabila ditanyakan semula berkenaan kontroversi itu, M Nasir tidak berminat memberikan ulasan.


“Saya tak suka bincang isu ini. Tak mendatangkan hasil,” katanya kepada wartawan selepas program Magnum Opus 40 Tahun M Nasir Kembara ke Solo yang diadakan di Pusat Informasi Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur hari ini.

M Nasir sebelum itu diminta mengulas berkenaan pujian Mahathir baru-baru ini kepada golongan artis yang membuat kenyataan yang cenderung dilihat mengkritik kerajaan.

Mahathir yang kini berada di barisan pembangkang sebelum ini memuji tindakan Datuk Sheila Majid yang menulis di Twitter berkenaan ekonomi negara yang tersasar dari landasan sementara rakyat terhimpit dengan beban hutang.


"Anak muda khususnya kena berani ke hadapan. Masa depan terletak di tangan anda. Kalau bukan kita, siapa lagi? Terima kasih Sheila Majid,” kata Mahathir.

Mahathir turut memuji selebriti lain termasuk Fathia Latiff yang mengeluarkan kenyataan yang cenderung dilihat sebagai mengkritik kerajaan.

Kenyataan Ratu Jazz dan pelakon itu bagaimanapun dikecam oleh beberapa ahli politik kerajaan dan antaranya ada yang menyifatkan agar artis tidak masuk campur hal-hal politik.

Beberapa artis lain termasuk penyanyi Adibah Noor dan pengacara Sarimah Ibrahim tampil menyatakan sokongan terhadap Sheila dengan menyifatkan bahawa artis berhak bersuara kerana mereka juga rakyat Malaysia.

Larangan menyiarkan karya

Pada 1996, M Nasir dikatakan tidak dapat hadir latihan sempena Malam Puisi Utusan yang menampilkan Mahathir sebagai tetamu kehormat.

M Nasir yang baru mendapat berita kematian ayah mertuanya dan perlu bergegas pulang ke Singapura telah diasak wartawan yang menanyakan alasan beliau tidak hadir.

Anak seni kelahiran Singapura itu menjelaskan bahawa menghadiri pengebumian ayah mertuanya lebih penting kepadanya berbanding acara itu.

Kenyataan M Nasir yang didakwa mengandungi ungkapan "siapa Mahathir" ketika itu telah digembar-gemburkan media meski syarikat naungan beliau BMG telah menghantar surat penafian kepada Utusan Malaysia.


Pihak M Nasir juga menulis surat kepada Kementerian Penerangan dan Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan kedudukan sebenar berhubung dengan kontroversi itu.

Namun timbalan menteri penerangan ketika itu Datuk Seri Suleiman Mohamed telah mengeluarkan larangan agar karya M Nasir tidak dikeudarakan atau disiarkan dan akhirnya menyebabkan konsert komposer itu yang dijadualkan di Kedah dan Selangor pada tahun berkenaan dibatalkan.

Larangan yang dikenakan ke atas M Nasir itu sering dirujuk sebagai peristiwa yang menggambarkan tahap kebebasan bersuara artis pada era pentadbiran Mahathir.

M Nasir hadir sebagai tetamu istimewa forum yang dianjurkan Kelab Sahabat M Nasir dengan kerjasama Matic.

Selama lebih 2 jam, forum itu membincangkan karya M Nasir dari album pertama kumpulan Kembara hingga album Solo pertama beliau bertajuk 'Solo'.

Di akhir forum, M Nasir sempat menghiburkan hadirin dengan lapan buah lagu, termasuk Mustika dan Rajawali Terbang Tinggi.

Khamis, November 12, 2015

M.Nasir enggan komen isu Sheeda

petikan Utusan Malaysia 12 November 2015
Khadijah Ibrahim

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Tiada permohonan maaf atau komen yang diberikan oleh Datuk M.Nasir, 58, tentang permintaan Bienda yang mahu dia memohon maaf secara terbuka atas tindakannya memberi komen terhadap Sheeda sewaktu konsert mingguan keempat, program Gegar Vaganza, Ahad lalu.

Komposer dan penyanyi popular itu sewaktu dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, tak ada apa yang nak dikomen dan enggan menjawab sebarang pertanyaan.

“Tak ada apa yang saya nak komen. Cukup ya. Terima kasih,” jawabnya ringkas.

Komposer tersohor itu lebih senang mengambil sikap berdiam diri kepada semua pertanyaan pihak media yang menghubunginya sejak semalam.

M.Nasir yang diundang sebagai juri program Gegar Vaganza pada 8 November lalu mendapat perhatian penyanyi Bienda selepas dia memberi komen sebaik sahaja Sheeda selesai mendendangkan lagu ‘Tiada Lagi’ bersama Aweera.

Antara komennya itu ialah: “Putera mencari ‘princess’ tapi rupa-rupanya terjumpa dengan emak ‘princess’ dan satu persembahan yang baik.”

Bienda menganggap komen penyanyi itu sebagai kurang ajar kerana tiada rasa hormat terhadap ibunya yang berusaha menyertai pertandingan tersebut dan memohon M.Nasir membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sheeda.

Malah Sheeda yang tersingkir pada minggu itu juga turut memuat naik statusnya di laman sosial, antara luahan isi hatinya, “Atas semangat untuk memeriahkan lagi industri muzik tanah air. “Seringkali komen faktor usia menjadi bahan ejekan dan ketawa terbahak-bahak...berjuta-juta rakyat Malaysia menonton melihat maruah saya diperlekeh sebegitu rupa....saya bertanding atas dasar vokal atau umur?.”

Rabu, Oktober 15, 2008

Kementerian bincang isu Shah Rukh dikurnia Datuk

petikan mstar.com.my 15 Oktober 2008
Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

PETALING JAYA: Surat bantahan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengenai isu aktor Bollywood, Shah Rukh Khan dikurniakan gelaran Datuk oleh kerajaan negeri Melaka akan disentuh dalam mesyuarat Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Nor Azmal Mohd. Nazir yang ditemui pemberita selepas menerima surat bantahan itu daripada Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof di Pejabat Finas semalam berkata:

"Saya akan usulkan isu ini dalam mesyuarat bersama Menteri Datuk Mohd. Shafie Apdal."

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut isu berkenaan.

Dalam pada itu, apabila ditanya tentang kandungan surat bantahan tersebut, Mustapha berkata, ia mengandungi luahan isi hati Seniman seperti yang diperkatakan pada sidang media kelmarin.

Isnin lalu, Mustapha menggesa pihak kerajaan negeri Melaka membuat penilaian yang sebaik mungkin apabila mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ekoran bantahan Seniman mewakili artis tanah air terhadap penganugerahan Datuk kepada Shah Rukh Khan sempena ulang tahun ke-70 hari kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob, Sabtu lalu.

Menurut Mustapha, mereka patut bertanya kepada pihak yang bersesuaian seperti Finas mengenai kelayakan untuk memberikan anugerah kepada seseorang selebriti.

Beliau turut menyuarakan nama artis lain yang lebih layak menerima anugerah seperti Azean Irdawaty, M. Nasir, Kuswadinata dan Ruminah Sidek atas sumbangan mereka kepada industri filem dan seni tanah air.

"Kami akan menunggu apa-apa keputusan yang diberikan oleh kementerian dan tidak akan melakukan sesuatu tindakan 'kasar' sebaliknya membuat secara aman damai," ujar Mustapha.

Selain Mustapha, ramai di kalangan penggiat seni yang turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka dan mempersoalkan kriteria Shah Rukh Khan lebih layak menerima anugerah tersebut berbanding artis-artis veteran tanah air yang lebih banyak berjasa kepada industri hiburan ini.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, penganugerahan gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang.

Isnin, Januari 21, 2008

Zainuddin: I never banned song by M. Nasir

taken from The Star 21 January 2008

KUALA LUMPUR: Information Minister Datuk Seri Zainuddin Maidin has denied allegations that RTM had banned a song by M. Nasir from being aired on its radio stations.

He said the matter was raised in Parliament by Opposition Leader Lim Kit Siang who claimed RTM had stopped playing the song, which repeatedly mentions the word bersih.

“The truth is I never banned M. Nasir’s song that he sang with Tan Sri S.M. Salim. Its actual title is Cak Kun Cak. All this is a misunderstanding,” Zainuddin said yesterday.

He added that the M. Nasir song, in any case, had nothing to do with an illegal gathering organised in the city by a group calling itself the Coalition for Free and Fair Elections (its Malay acronym is Bersih).

“I only came to know about the matter after it was brought up by the DAP in Parliament.

“We ourselves were taken aback by the DAP’s allegations and it is only proper that I clarify matters because I don’t want M. Nasir to have a negative perception of RTM,” he told reporters after opening a seminar organised by the ministry’s Special Affairs Department here.

Zainuddin also said that he would lift the ban on singer Faizal Tahir from appearing on RTM’s television programmes after the latter had served the three-month suspension slapped on him by the Malaysian Communications and Multimedia Commission.

Faizal had removed his T-shirt and bared his chest while performing at a concert broadcast live by a private TV station on Jan 13.

Zainuddin said a newspaper report saying that Faizal would still be able to appear on RTM’s programmes was wrong, and that the singer would only be allowed back once he was freed by the commission. – Bernama

Isnin, Disember 03, 2007

Sebut bersih: Lagu Tan Sri S M Salim kena gam?

petikan Malaysiakini.com 3 Disember 2007

Benarkah lagu Seloka Cak Kun Cak nyanyian bersama Tan Sri SM Salim dan M Nasir kena gam kerana terlalu banyak menyebut perkataan 'bersih'?

Itulah yang sedang heboh diperkatakan oleh orang ramai dan menjadi perbincangan hangat di kalangan masyarakat siber.

Ini kerana lagu tersebut sering diputarkan ke udara tetapi sejak akhir-akhir ini, ia tidak kedengaran lagi, sehingga menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai.

Pada 10 November lalu, Bersih atau Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil telah menganjurkan perhimpunan di ibunegara.

Bersih merupakan gabungan parti-parti pembangkang dan lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia.

Seloka Cak Kun Cak

Tan Sri: Satu masa yang telah silam
M.Nasir: Tak dapat diambil kembali

Tan Sri: Melayu mashyur serata alam
M.Nasir: Hidup mewah gagah sekali

Tan Sri: Pahlawan kita nama terbilang
Ditakuti ramai perwira

M.nasir: Melawan musuh tak terbilang
Duet : Gerak semangat kerana bangsa

Tan Sri: Kelekaan jangan dikenang
M.Nasir: Lautan duka kelak dikenang

Tan Sri: Hampir tinggal sehelai benang
M.Nasir: Bencana sengaja dipinang

Tan Sri: Jika perhati bangsa dagang
Kapak beliung ditangan memegang

M.Nasir: Kekayaan hendang diregang
Duet : Akhirnya saudagar pangkat dijulang

Tan Sri: Disulami syair termashyur
M.Nasir: Usahlah berdengkur
Kita yang bertafakur

Duet: Yang mana khilaf tegur menegur
La..la...la..la...

Korus:
Tan Sri: Kulitnya bersih, hati pun bersih
Budi yang baik hatinya pengasih

Kulitnya bersih hatipun bersih
Memikul belati tiada memilih

Jadikah bersih hatipun bersih
Berkata bermulut fasih

Jadikah bersih, hatipun bersih

Duet: Dialah khazanah pintu terpilih
a.a.aa...aa

Tan Sri: Awak yang payah membelah ruyung
M.Nasir: Orang bertandang yang beroleh untung
Akhirnya kita tak akan dihitung

Selasa, September 18, 2007

Papita bangkit bela nasib artis tempatan

petikan Berita Harian 18 September 2007
Oleh Zainuri Misfar

Tindakan stesen radio swasta utama lagu Indonesia dibantah, lantik peguam siapkan memorandum

PERSATUAN Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) sudah melantik peguam untuk menyiapkan memorandum bantahan mengenai tindakan stesen radio swasta yang lebih mengutamakan penyanyi luar, terutama Indonesia sehingga karyawan muzik tempatan tidak dipedulikan.

Apabila memorandum itu siap, Papita akan menyerahkannya kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan ahli Parlimen supaya isu penyiaran lagu dari Indonesia yang mendapat keutamaan oleh stesen radio swasta diberikan perhatian dengan sewajarnya.

Presidennya, M Daud Wahid berkata, draf memorandum itu dibuat dengan serta merta susulan rungutan komposer dan penyanyi disegani ramai, M Nasir mengenai lambakan penyanyi luar, terutama dari Indonesia selain sikap stesen radio swasta, ketika mesyuarat agung persatuan kira-kira dua bulan lalu.

"Susulan aduan M Nasir itu, kita sudah arahkan peguam menyiapkan memorandum untuk dikemukakan kepada pihak atasan, terutama kepada kementerian berkaitan.

"Antara kandungan memorandum itu ialah untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan cara radio swasta memainkan lagu orang luar. Apakah mereka tidak peka dengan kesan ini?" katanya kepada Hip.

Daud berkata, buat masa ini, Papita tidak akan membuat sebarang rundingan atau perbincangan dengan mana-mana persatuan muzik dari Indonesia kerana ia tidak memberikan sebarang kesan.

Tegasnya lagi, istilah Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan budaya serumpun hanyalah retorik saja kerana ia hanya satu konsep yang menarik di atas kertas tetapi secara praktikalnya, negara ini yang lebih banyak mengalah dengan karyawan seni dari negara seberang.

"Sebelum ini Papita sudah buat memorandum persefahaman (MOU) dengan badan atau persatuan Indonesia supaya mereka juga memberikan sokongan kepada mana-mana penyanyi kita yang hendak mencari peluang di sana. Tapi mereka tidak berbuat apa-apa.

"Jadi, Papita sekarang akan banyak bertindak dari sini saja. Kita juga akan mendesak kepada mana-mana pihak seperti kerajaan, agensinya dan stesen radio dan TV supaya berpada-pada dengan kemasukan penyanyi dari Indonesia.

"Sudah tiba masanya kita berbuat sesuatu dengan lebih agresif lagi. Menyediakan memorandum untuk diberikan kepada kerajaan adalah antara langkah yang kita sedang lakukan," katanya.

Daud berkata, memorandum yang dibuat oleh Papita itu juga turut meminta kementerian dan agensi di bawahnya iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar memberi perhatian kepada stesen radio yang kerap menyiarkan penyanyi luar kerana ia mengakibatkan pengaliran wang ke luar negara dalam bentuk royalti.

"Setiap tahun sejumlah royalti daripada penyiaran lagu atau muzik dibayar oleh kerajaan. Royalti itu sepatutnya diberikan kepada karyawan tempatan tetapi terpaksa digunakan untuk membayar penyiaran lagu luar oleh stesen radio kita," jelasnya lagi.

Ditanya mengenai tindakan vokalis kumpulan Search, Amy yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap stesen radio swasta, Daud berkata, sesiapa pun berhak untuk berbuat demikian selepas mendapati pihak berkaitan seolah-olah menekan kepentingan penyanyi dan pemuzik tempatan.

Katanya, Papita turut mendesak supaya Senator Tan Sri Jins Shamsudin turut membentangkan isu ini di Dewan Rakyat kerana beliau dilihat di kalangan orang seni sebagai mewakili kepentingan dan masalah karyawan seni tanah air.

Beliau akur dengan kelemahan persatuan, tetapi pada masa yang sama berharap penyanyi dan pemuzik juga dapat berbuat sesuatu bagi membolehkan persatuan boleh bertindak dengan berkesan.

Katanya, penyanyi seperti Amy boleh menulis surat aduan menyatakan rasa tidak puas hati atau bantahan supaya Ahli Jawatankuasa Papita boleh melakukan tindakan.

“Dalam masa sama, saya mintalah agar Jins dapat bawa perkara ini ke Dewan Rakyat. Masalah ini kena diberikan perhatian juga. Janganlah fikirkan masalah dalam industri perfileman saja.

"Beliau juga harus memberi perhatian terhadap kesan kemasukan penyanyi luar, penyiaran lagu Indonesia yang begitu kerap di stesen radio swasta, kemasukan drama, muzik dan album.

"Kemasukan mereka yang tidak terkawal bukan saja menyekat peluang bakat tempatan tetapi juga kerugian kepada negara kerana ia membabitkan pengaliran wang rakyat ke luar negara," katanya.

Rabu, Februari 28, 2007

Cit Cat Azwan palit sejarah kelat

petikan Harian Metro 28 Februari 2007
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Majlis yang dikatakan terbaik dibanding pernah dianjurkan sebelum ini banyak timbulkan kekecohan sehingga ramai artis pulang dengan kecewa, penganjur menjual meja sedangkan artis tidak dibayar, malah tiada tempat duduk untuk artis manakala wartawan dan jurugambar hanya duduk di luar

ENTAH mana silapnya, majlis Mesra Sokmo Cit-Cat Azwan (MSCCA) kali Ke-7 yang berlangsung selama empat hari di Kuala Terengganu, baru-baru ini meninggalkan banyak pengalaman pahit buat rombongan artis, wartawan mahupun peminat sendiri.

Walaupun Azwan sebelum itu menjelaskan MSCCA adalah yang terbaik dibandingkan dengan majlis yang pernah dianjurkan sebelum ini, namun banyak peristiwa lama mengulangi sejarah lalu.

Paling hangat diperkatakan ahli rombongan ialah mengenai pengurusan majlis malam gala yang menimbulkan kekecohan sehingga ramai artis ‘angkat punggung’ dan pulang ke Kuala Lumpur kerana kecewa dengan penganjurannya. Perkara sama pernah berlaku sewaktu Parti Cit-Cat Azwan di Sungai Petani, Kedah, dulu.

Sebahagian artis yang mengikuti MSCCA memberitahu mereka tidak tahu menahu majlis itu dinaungi kerajaan Terengganu dan berlangsung atas tajaan Kelab Teluk Warisan, Pulang Duyong turut menjual meja dengan alasan sebahagian keuntungan diserahkan kepada tabung bantuan banjir Johor dan negeri itu sendiri.

Beberapa artis popular dikatakan berang apabila mengetahui pada malam gala, penganjur menjual meja, sedangkan artis langsung tidak dibayar. Kata mereka, sekurang-kurangnya penganjur harus membayar sedikit sagu hati, kerana begitulah konsepnya.

Sekiranya niat penganjur ikhlas untuk mengadakan majlis kutipan derma bagi membantu mangsa banjir, mengapa tidak diadakan di konsert terbuka pada malam 24 Februari?

Oleh kerana meja dijual menyebabkan artis tidak mempunyai tempat duduk sebaik selesai berarak di permaidani merah masuk ke dalam dewan, sementara wartawan dan jurugambar pula ditempatkan di luar.

Lebih parah, ada peminat yang membeli meja dengan harga RM2,000 tidak berpeluang duduk di dalam dewan dan terpaksa menunggu hampir setengah jam baru masalah dapat diselesaikan.

Sebaik majlis tamat, Azwan memberitahu media pihaknya tidak tahu menahu mengenai rancangan jualan meja di malam gala dan meminta kerajaan Terengganu dan Mediate Communication, selaku agensi dilantik memberikan penjelasan.

“Mengenai kerusi tidak cukup dan peminat yang membeli meja tidak ada tempat duduk, itu saya tidak dapat komen banyak.

“Ia harus ditanya kepada agensi dilantik kerajaan negeri. Bagaimanapun, perkara ini sudah saya beritahu kepada pihak Astro. Selepas ini pihak saya akan mengadakan perbincangan bagi mendapatkan maklumat sebenar apa yang berlaku,” katanya.

Azwan mengakui, masalah berlaku apabila sebahagian agenda majlis diserahkan kepada agensi untuk melaksanakannya.

Tidak seperti selalu, dia akan melakukan sendiri semua urusan dan apabila timbul masalah ini dapat diketahui lebih awal.

Dalam pada itu, Azwan turut membidas pihak yang menyebarkan cerita kononnya dia menerima RM1 juta daripada kerajaan Terengganu bagi menguruskan majlis itu, sedangkan artis hendak makan terpaksa membayar sendiri.

“Sumpah dengan nama Tuhan, saya tidak menerima sesen pun daripada kerajaan Terengganu, sebaliknya duit saya banyak keluar. Kalau ada pun ia hanyalah dari sudut tajaan.

“Contohnya, selepas permohonan tajaan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Terengganu ditolak saya terpaksa membayar belanja empat bas untuk membawa rombongan ke sini.

“Begitu juga dengan Trofi Mulut Laser yang dibuat dari Kristal berharga RM400. Saya keluarkan duit sendiri RM5,200 untuk 13 trofi yang diserahkan kepada mereka yang dirasakan layak,” katanya.

Mengenai pelbagai rungutan ditimbulkan artis membabitkan rasa kurang senang mereka terhadap pelbagai isu termasuk di malam gala, jelas Azwan, dia tidak bimbang mengenai perkara itu.

“Perkara itu timbul disebabkan salah faham, tetapi saya rasa semuanya sudah diperjelaskan. Kalau benar ada artis yang meninggalkan majlis kerana rasa tidak puas hati sebutkan saya nama mereka.

“Rasanya semua ada. Saya difahamkan mereka pulang kerana esok mereka terbabit dengan majlis Breakfast With Stars anjuran Stars Movies,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mediate Communication, Gary Thanesan, menjelaskan pihaknya mewakili kerajaan Terengganu sudah memberitahu pihak Azwan mengenai jualan meja di malam gala bagi mengisi tabung bantuan banjir lebih awal.

“Segalanya sudah diperjelaskan dan dokumen mengenai apa yang ingin dilakukan itu sudah ditandatangani secara hitam putih. Azwan sendiri bersetuju sebahagian wartawan dan jurugambar diletakkan di luar.

“Mengenai masalah mereka yang sudah membeli meja tetapi tidak dapat masuk ke dalam dewan, perkara itu akan pihak saya selesaikan. Kami akan memulangkan semula wang mereka dan membenarkan mereka masuk ke dalam dewan untuk menyaksikan persembahan,” katanya.

Begitupun, malam gala berlangsung dengan lancar di mana majlis penyerahan Trofi Mulut Laser diserikan dengan persembahan artis popular.

Berikut keputusan anugerah diberikan Azwan bagi menghargai insan seni yang banyak membantu rancangan diterbitkan.

. Krew Paling Meletup:
Ros Suci

. Peminat Paling Meletup:
Azizah Tawang

. Artis Baru Paling Meletup:
Faizal AF4

. Artis Paling Kacak:
Ashraf Sinclair

. Artis Wanita Paling Cun:
Marsha

. Artis Paling Sporting:
Rabbani

. Episod Paling Kontroversi:
Bersama Diana Naim

. Artis Paling Laser:
Azharina

. Seniman Terbilang:
Aziz Sattar

.Seniwati Terbilang:
Mak Nani

. Vokal Terbaik:
Hattan

. Artis Terbaik:
M Nasir

. Persembahan Terbaik:
Rabbani

Kecoh & panas

1) Ramai artis tidak tahan dengan celoteh Azwan yang tidak henti-henti mengomel sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur hingga ke Terengganu. Begitu juga, apabila setiap kali acara berlangsung sehingga ada yang bertanya mulut Azwan tidak pernah penat ke?

2) Tidak kurang juga artis dan pengurusan mereka berkecil hati apabila makan dan minum terpaksa dibayar sendiri, sedangkan selama empat hari mereka tidak pernah berkira mencurahkan segala tenaga dan kudrat untuk menjayakan apa saja aktiviti diatur pengacara itu.

3) Acara yang diatur Azwan amat padat sehingga membuatkan sebahagian artis mengeluh kerana aktiviti mereka berlangsung seawal jam 8 pagi hingga jam 2.30 pagi keesokan harinya. Disebabkan kepenatan, acara sukaneka yang dijadualkan berlangsung pada 25 Februari sepi dengan kehadiran artis.

4) Untuk menjaga eksklusif tempat penginapan Kelab Teluk Warisan Terengganu, acara sukaneka diadakan tanpa pembabitan masyarakat setempat dan hanya membabitkan artis. Kedengaran juga cerita acara itu pada awalnya mahu dibatalkan kerana tidak mahu ia mencuit sensitiviti masyarakat setempat.

Pengarang majalah HAI, Huzzaini Kamaluddin, hampir mengamuk apabila pengurusan resort enam bintang itu tidak membenarkan orang awam masuk menyertai majlis promosi diadakan. Bagaimanapun selepas berbincang ia dapat dilakukan dengan sempurna.

5) Pada malam konsert di Dataran Shah Bandar, Ning Baizura ditegur pihak kerajaan negeri dengan alasan dia kelihatan seksi walaupun penyanyi itu memakai baju berlengan panjang sehingga ke paras peha dan kaki bersarung ‘legging’. Atas alasan itu dia tidak dibenarkan bergerak dari tempat duduknya, membuatkan Ning sedih dan kecewa kerana tidak dapat bermesra dan bergambar bersama peminat.

6) Walaupun tidak menerima wang tajaan RM1 juta, namun menurut orang kerajaan Terengganu sendiri mereka memberikan wang belanja kepada Azwan Ali Production sebanyak RM100,000.

7) Sedih melihat acara bermesra dengan anak-anak yatim yang diadakan di A&W Pantai Batu Buruk tidak seperti apa yang dibayangkan apabila artis diberikan keutamaan duduk di dalam restoran sementara anak-anak yatim terpaksa menunggu di luar di bawah khemah disediakan. Mereka hanya masuk setelah rombongan habis menikmati hidangan.

8) Azwan memberitahu dia terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menyediakan Trofi Mulut Laser, namun sebelum itu sebaik majlis bermula dalam ucapannya dia memberitahu Leesa Formula menaja trofi kristal terbabit. Seorang wartawan sempat melihat dan memberitahu dia nampak lambang Leesa Formula terlekat di trofi itu. Sekarang ini yang mana satu betul Azwan?

9) Artis yang kecewa dengan penganjuran malam gala pulang ke Kuala Lumpur sebaik majlis bermula. Malah, menyedihkan apabila Ning dan Salamiah Hassan hanya makan di belakang pentas kerana tiada tempat duduk disediakan. Adibah Noor yang mengetahui terpaksa berebut tempat duduk dengan seorang jurugambar turut kecewa dan terus keluar meninggalkan dewan.

10) Selepas sidang akhbar, teman wartawan terdengar Azwan meninggikan suaranya kepada Gary, bertanya bagaimana kekecohan boleh berlaku mengenai susun atur majlis, cepat-cepat Gary terus memujuk Azwan agar perkelahian antara mereka tidak didengari orang luar.

*baca berita tambahan di klubbkidd

Khamis, Januari 11, 2007

AJL21 guna khidmat juri luar?

petikan Mstar 10 Januari 2007
Wahida Asrani

Bertemakan 'Rentak Kita, Rentak Dunia', Anugerah Juara Lagu ke-21 (AJL21) akan kembali menyaksikan 12 buah lagu berentap untuk dinobatkan sebagai 'Juara Lagu' pada 21 Januari ini, bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil.

12 buah hasil karya pencipta-pencipta lagu dan penulis lirik tempatan seperti Azlan Abu Hassan, Ajai, M.Nasir, Pak Ngah, Habsah Hassan, Loloq dan Aidit Alfian akan dipersembahkan oleh artis-artis terkemuka tanahair seperti Mawi, Misha Omar, Zahid, Adibah Noor, Nora, Hazami dan Pretty Ugly di dalam tiga kategori iaitu Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, Pop Rock dan Balada.

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, AJL kali ini masih menggunakan khidmat juri profesional di dalam industri hiburan untuk menilai kualiti lagu-lagu yang dipertandingkan.


Walaupun, seringkali tercetus isu tidak puas hati dengan sistem penilaian oleh juri, pihak TV3 masih merasakan format tersebut akan terus digunakan di dalam AJL.

"AJL memang tak sah tanpa kontroversi. Mungkin ada perkara yang berbangkit kemudian hari nanti. Harapan saya, apa saja keputusan malam itu tidak akan dipertikaikan.

"Kita akan mempertimbangkan sama ada untuk menggunakan khidmat orang luar sebagai juri atau tidak. Perkara itu masih di dalam perbincangan. Mungkin akan ada 'kejutan', kami sendiri tidak tahu," kata Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan pada sidang media AJL21 di Starhill Gallery, semalam.

Menurutnya, penjurian akan dibuat seperti biasa di mana ia akan dijalankan sebelum malam kemuncaknya. Hanya kategori persembahan dan vokal terbaik sahaja yang akan dinilai pada malam AJL nanti.

"Kebiasaannya kita akan perdengarkan CD lagu-lagu tersebut pada juri dan mereka akan nilaikan. Kita akan ada juri yang hanya akan menilai lagu dan untuk vokal, juri lain pula yang akan menilainya," tambah Azhar lagi.

Ujarnya, tiga kriteria penting untuk penilaian lagu-lagu tersebut masih dikekalkan iaitu kreativiti, keaslian dan impak.

Manakala bagi sistem undian SMS untuk kategori persembahan terbaik, AJL21 berkemungkinan akan memansuhkan sistem tersebut dan hanya menggunakan penilaian oleh juri.

"Kita sudah menggunakan sistem undian SMS ni sejak dua tahun lalu. Kami masih membincangkan tentang perkara ini, tetapi kemungkinan untuk gunakan khidmat juri sahaja sepenuhnya memang ada," kata Azhar.


Barisan artis yang akan mempersembahkan lagu-lagu yang terpilih ke 'final' AJL21 (Foto The Star oleh Ong Soon Hin)

AJL21 akan mengekalkan pengacaranya, Cheryl Samad serta digandingkan dengan dua lagi personaliti, Ally Iskandar dan Fara Fauzana. AJL kali ini menjanjikan satu malam yang penuh dengan persembahan istimewa, bukan saja dari artis-artis yang bertanding, malah bagi keseluruhan majlis berprestij itu.

Program siaran langsung itu akan bermula dengan acara 'Glam Walk' yang akan dihoskan oleh Awal Ashaari dan Maya Karin. Pada acara tersebut, seorang selebriti atau personaliti yang paling 'glamor' akan dianugerahkan dengan 'Anugerah Glam L'oreal Paris'.

Lebih menarik, orang ramai juga berpeluang hadir menyaksikan acara gilang-gemilang itu di Stadium Putra dengan bayaran tiket berjumlah RM3 sahaja, selain menonton secara langsung di saluran TV3 mulai jam 8.30 hingga 11.30 malam.

"Kita jual tiket ini dengan harga RM3 sebenarnya untuk mengawal jumlah penonton. Kita tidak mahu terjadi seperti tahun-tahun terdahulu. Memang RM3 murah, tetapi ia terhad untuk 6,000 penonton saja.

"Kami langsung tidak mengambil sebarang keuntungan dari jumlah kutipan itu nanti. Semuanya diserahkan kepada ejen tiket, Ticket Axcess sebagai caj servis.

"Lokasi kami kali ini juga ditukarkan dari PWTC ke Stadium Putra semata-mata untuk menampung bilangan penonton yang lebih ramai, kerana di stadium kapasitinya lebih besar kira-kira 8,000 penonton," ujar Azhar.

Tiket boleh didapati dengan melayari laman web www.axcess.com.my

AJL21 juga akan disiarkan secara langsung melalui stesen radio Hot FM.

Senarai lagu yang akan bertanding di AJL21:

Irama Malaysia & Etnik Kreatif

1. Hantaran Hati - Bob & Aspalela - Komposer: Nik Nizam - Penulis lirik: Rosminah Tahir

2. Candak - Siti Nordiana - Komposer: Pak Ngah - Penulis lirik: Lokman Ghani

3. Warkah Buat Laila - Zahid - Komposer: Ayob Ibrahim - Penulis lirik: Habsah Hassan

4. Zapin Cinta SMS - Senario & Adibah Noor - Komposer: Anuar Dahlan - Penulis lirik: Anuar Dahlan

Pop Rock

1. Lagu Jiwa Lagu Cinta - Mawi & M.Nasir - Komposer: M.Nasir - Penulis lirik: Loloq

2. Diari Seorang Lelaki - Pretty Ugly - Komposer: Neves - Penulis lirik: Neves

3. Juwita Citra Terindah - M.Nasir - Komposer: M.Nasir - Penulis lirik: M.Nasir

4. Tak Tercapai Akalmu - Elyana - Komposer: Aidit Alfian - Penulis lirik: Ad Samad

Balada

1. Mungkir Bahagia - Hazami - Komposer: Hazami - Penulis lirik: Hazami & Ita

2. Terlalu Istimewa - Adibah Noor - Komposer: Azlan Abu Hassan - Penulis lirik: Adibah Noor

3. Ku Seru - Misha Omar - Komposer: Ajai - Penulis lirik: Habsah Hassan & Shuhaimi Baba

4. Secebis Harapan - Nora - Komposer: Zulkifli Mahat - Penulis lirik: Noor

Komen finalis:

Mawi:

"Setakat ini saya belum buat sebarang latihan dengan M.Nasir. Saya sendiri belum fikir lagi konsep persembahan yang bagaimana akan dibuat.

Mawi belum buat sebarang persiapan untuk AJL21
"Masa memang sudah semakin dekat, tetapi saya tidaklah risau sangat memandangkan lagu ini memang sudah biasa kami berdua bawa. Jadi tidaklah begitu nervous. Rasa macam buat show biasa saja. Saya akan berlatih juga dengan M.Nasir, cuma tidak tahu bila akan kami mulakan.

"Tentang harapan saya pada AJL kali ini, memanglah kalau boleh di dalam mana-mana pertandingan, kita ingin menang. Tapi, terpulanglah pada juri. Lagipun, ini adalah pertandingan lagu."

Gambar dari laman AJL21Adibah Noor:

"Persediaan saya untuk AJL ini tidaklah sebesar mana. Ketika ini, saya sedang giat melatih 17 kanak-kanak dari sebuah sekolah rendah sebagai penyanyi latar saya pada malam itu.

"Begitu juga dengan latihan vokal, saya memang sudah memulakan latihan. Memandangkan saya akan bawa dua buah lagu pada malam tersebut, sudah tentu saya kena buat persiapan yang sepenuhnya.

"Saya tidak letak harapan tinggi, terpilih masuk ke final pun sudah saya kira menang. Pada pendapat saya, Warkah Buat Laila nyanyian Zahid ada potensi cerah untuk menang sebab lagu ini pernah terima banyak anugerah sebelum ini."

Hazami:

"Saya sudah lama mulakan latihan intensif bersama 'team' saya. Saya percaya, banyak elemen yang boleh saya lakukan dalam persembahan saya nanti untuk naikkan mood lagu 'Mungkir Bahagia'.

"Lagu itu mempunyai satu jalan cerita dan saya akan 'bongkarkan' kisahnya dalam persembahan saya nanti. Yang pasti, anda akan menangis dengan persembahan saya nanti."

Zahid:

"Memang jika diikutkan sejarah lagu Warkah Buat Laila, ia pernah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik di AIM tahun lalu. Tetapi, ini tidak bermaksud saya boleh letak harapan tinggi untuk menang.

"Tiada kelainan yang akan saya lakukan pada persembahan saya nanti. Saya akan menyanyi seperti yang asal, cuma kemungkinan akan diiringi oleh orkestra."

Rabu, Oktober 11, 2006

M. Nasir enggan komen pendirian Mawi

petikan Utusan Malaysia 11 Oktober 2006
Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

KERJASAMA Mawi dan M.Nasir dalam bidang lakonan bakal direalisasikan dalam filem Aduh Saliha“SOALAN tidak relevan. Datang pejabat la cerita panjang,” demikian jawab komposer terkenal M.Nasir selepas berakhirnya program Zoom In Bersama Mawi di Angkasapuri malam Sabtu lalu.

Apa yang nyata, M.Nasir enggan membuka mulut tentang perkembangan filem terbaru yang akan diarahnya Aduh Saliha yang bakal dibintangi penyanyi kontroversi lewat ini, Mawi.

Sukar benar untuk mengetahui cerita di sebalik pembikinan filem itu seolah menjadi rahsia negara yang terlalu besar dan sulit.

“Dalam perancangan lagi,” ulas M.Nasir pendek.

Bagaimanapun bekas pengetua Mawi di Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu tidak menafikan skrip filem tersebut sudah siap sepenuhnya.

“Komedi seram,” jawabnya ringkas.

Namun apabila menyentuh pendirian Mawi yang tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita sekiranya menceburi bidang lakonan, M.Nasir hanya melemparkan senyum kelat di wajahnya.

“Saya tiada komen,” terang M.Nasir yang terkenal dengan sifatnya yang berat mulut jika tidak kena gaya.

Juara AF3 itu, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita sebagai salah satu syarat sekiranya mahu dirinya menceburi bidang lakonan.

Hasilnya, kenyataan penyanyi yang dikatakan sudah mula berubah sikap itu menjerat dirinya sendiri.

Pelakon Rosyam Noor dan M.Rajoli tampil memberi penjelasan tentang pendirian Mawi itu.

Pelakon berkenaan terkilan seolah-olah mereka ingin sangat bersentuhan dengan pelakon wanita ketika berlakon dan mengabaikan tentang hukum bersentuhan dengan bukan muhrim.

Namun apa yang menghairankan mengapa baru sekarang penyanyi yang digelar produk mee segera itu tidak mahu bergambar dan bersentuhan dengan artis wanita. Sedangkan di awal kemunculannya Mawi tidak kisah bergambar dengan artis wanita.

Cuma pada awal pertemuan ketika mengeluarkan kenyataan itu Mawi berkata, “Kenapa saya tidak mahu? Kerana saya tidak suka. Itu sahaja.”

*Zoom In Bersama Mawi

Selesai menonton persembahan Mawi, kesimpulannya ialah peminat fanatiknya masih menyukai penyanyi yang selesa berimej kepala botak itu.

Auditorium Perdana tetap penuh sesak hinggakan segelintir sanggup duduk di tangga dan berdiri hingga ke pintu keluar sepanjang dua jam rancangan itu berlangsung.

Apa sahaja yang dituturkan Mawi walaupun bukan kelakar, penonton pasti ketawa. Malah ada segelintir penonton remaja wanita tanpa segan silu terjerit-jerit sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada Mawi.

Malam itu, Mawi mendendangkan lagu-lagu popular antaranya Kian, Aduh Saliha, Al-Jannah dan Perempuan.

Sementara itu M.Nasir dan Zarina turut dijemput berpadu suara bersama Mawi melalui lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Cinta Di Hujung Rindu.

Rabu, April 12, 2006

Isu banding P. Ramlee lucu - M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 12 April 2006

KUALA LUMPUR 11 April - Komposer muzik terkenal, M. Nasir menganggap isu membandingkannya dengan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai `melucukan'.

Malah beliau menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz bahawa dia tidak setanding dengan karyawan tersohor negara itu, tidak perlu diambil serius.

Sehubungan itu, M. Nasir menegaskan, beliau tidak mahu dikaitkan dengan isu tersebut kerana ia langsung tidak menjejaskan kehidupan sehariannya.

Ketika ditanya sama ada beliau `ambil hati' dengan kenyataan wakil rakyat itu yang seolah-olah memperlekehkan sumbangannya dalam industri muzik, beliau menyatakan: ``Saya tidak tersinggung.''

``Isu ini melucukan, kelakar,'' ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

M. Nasir diminta mengulas kenyataan Mohamed yang mempertikaikan siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam yang menyiarkan perdebatan siapa lebih hebat antara P. Ramlee, Sudirman dan M. Nasir.

Wakil Rakyat itu menyatakan: ``P. Ramlee tiada tandingan, siapa M. Nasir, siapa Sudirman nak dibuat perbandingan.''


Kakak Sudirman tersinggung
lagi petikan Utusan Malaysia 12 April 2006

KUALA LUMPUR 11 April - Keluarga Allahyarham Sudirman Hj. Arshad tersinggung dengan keceluparan seorang ahli Parlimen yang membandingkan penghibur tersohor itu dengan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee.

Kakak penyanyi tersebut, Datin Rudiah @ Rodziah berkata, Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz juga tidak wajar membandingkan P. Ramlee dengan M. Nasir.

Menurut beliau, sumbangan Seniman Agung itu memang tidak dapat dinafikan tetapi ia tidak harus menidakkan langsung bakat kedua-dua anak seni yang banyak berjasa kepada negara.

Katanya, bukan semua boleh menghibur seperti Allahyarham Sudirman sehingga digelar Penghibur Terbaik Asia manakala hasil karya M. Nasir memang diakui antara yang terbaik sehingga digelar `Sifu'.

``Sikap mengkritik membuta-tuli seperti itu amat tidak wajar dan tidak adil kepada Sudirman dan M. Nasir kerana bakat seni mereka anugerah Allah s.w.t.

``Sudirman sudah meninggal dunia, dia tidak dapat mempertahankan dirinya, jika saya M. Nasir, sudah tentu saya berkecil hati,'' ujarnya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau meluahkan kekesalannya berhubung kenyataan Mohamed yang mempertikaikan siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam yang mendebatkan siapa lebih hebat di antara P. Ramlee, Sudirman dan M. Nasir.

Wakil Rakyat itu menyatakan: ``P. Ramlee tiada tandingan, siapa M. Nasir, siapa Sudirman nak dibuat perbandingan.''

Ekoran kenyataan itu, Rudiah berkata, mereka sekeluarga terluka kerana ia ternyata memperlekehkan hasil penat lelah Sudirman yang tidak jemu-jemu mengangkat martabat seni tanah air.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan, keluarganya boleh menerima perdebatan itu jika ia disertai oleh tokoh-tokoh akademik yang menjalankan penyelidikan mendalam mengenai sumbangan ketiga-tiga pihak.

Selasa, April 11, 2006

Perbincangan siapa lebih hebat dianggap hina P Ramlee

petikan Berita Harian 10 April 2006

KUALA LUMPUR: Program Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam mendapat perhatian Dewan Rakyat apabila seorang penyokong kerajaan mempertikaikan kewajaran satu siaran langsung malam tadi yang disifatkan menghina Tan Sri P Ramlee.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, program itu yang mendebatkan siapa lebih hebat antara P Ramlee, Sudirman dan M Nasir menimbulkan kemarahan rakyat kerana P Ramlee adalah seniman kebanggaan negara dan tidak layak dibandingkan dengan penyanyi lain.

“Saya terpaksa melahirkan perkara ini kerana program malam tadi mendebatkan siapa lebih hebat antara P Ramlee, Sudirman dan M Nasir... rakyat marah kerana segmen ini menghina P Ramlee.

“P Ramlee sebenarnya tidak ada tandingan. Jangan cuba membandingkan seniman agung yang menjadi kepunyaan, kebanggaan bangsa. Siapa M Nasir, siapa Sudirman, nak dibuat perbandingan?

“Boleh ke kita buat perbandingan mana (lebih) hebat Kinabatangan dengan Perdana Menteri...mana lebih hebat Larut dengan (Tun) Dr Mahathir, boleh? Tak boleh, tak boleh,” katanya ketika membahaskan usul mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Mohamed berkata, penerbit rancangan TV harus berhati-hati dan sensitif dengan perasaan rakyat terutama dalam menyentuh perkara yang menjadi milik dan kebanggaan bangsa.

“Saya tak menyalahkan Menteri, saya tak salahkan Timbalan Menteri, saya tak salahkan Ketua Pengarah tapi mengapa segmen yang macam ini boleh dibenarkan? P Ramlee tak ada tolok bandingan.

“Itu sebabnya ada lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti,” katanya sambil menyanyikan baris pertama lagu itu.

Kenyataan Mohamed itu mendapat perhatian Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang bangun mencelah dan menerangkan tajuk program itu sebenarnya bertujuan menyanjung P Ramlee berbanding penyanyi lain yang hebat selepasnya.

“Memang P Ramlee tak ada tolok bandingnya. P Ramlee tetap P Ramlee,” katanya sambil bertanya sama ada Mohamed sedar TV1 dan TV2 sekarang sudah bertukar nama masing-masingnya kepada RTM1 dan RTM2 memandangkan wakil Sri Gading itu masih menyebut siaran TV1 dan TV2.

Kenyataannya itu mendapat reaksi spontan beberapa Ahli Parlimen yang berkata tindakan menukar slogan dan sebagainya oleh RTM adalah perkara biasa bagi stesen itu setiap kali bertukar Menteri.

“Itu memang kerja RTMlah...sikit-sikit tukar, tukar menteri je tukar.

Esok kalau Menteri di bagi kepada Jasin, Jasin agaknya tukar juga. Kalau saya jadi Menteri, Ketua Pengarah dia sekali saya tukar,” kata Mohamed.

Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) turut mencelah dengan berkata: “Yang dulu rebranding habis dekat RM11 juta, hari ini infotainmen dah habis...hari ini inforia pula, entah berapa juta pula habis.”

Terdahulu beberapa penyokong kerajaan memuji program televisyen pada masa kini sama ada oleh TV3 atau RTM yang banyak mengutara dan mendedahkan masalah rakyat. – Bernama


Saudagar Mimpi : Nampaknya YB pun menonton TV sedangkan banyak lagi isu rakyat yang boleh diperjuang. Perbincangan isu forum itu bukan sahaja hangat di Dewan Rakyat tetapi juga di Forum Cari.com. dan juga di sini

Ahad, April 09, 2006

Jati diri seniman dalam Ehwal Semasa (RTM1)

petikan Mingguan Malaysia 9 April 2006

Program Ehwal Semasa di RTM 1 malam ini akan dijangka hangat apabila membincangkan mengenai tiga ikon seniman negara ini : Allahyarham P.Ramlee, Allahyarham Sudirman dan M.Nasir.

Ketiga-tiga seniman ini bukan sahaja ikon populariti pada era masing-masing malah menjulang jati diri sebagai teras pengkaryaan. Jati diri dalam konteks ini bukan hanya Melayu malah mewakili pemikiran dan idealisme Malaysia.

Program bertajuk Siapa Lebih hebat? (P.Ramlee, Sudirman dan M.Nasir.) ini disiarkan secara langsung dari Angkasapuri. Sumbangan golongan seniman sering kali diketepikan padahal mereka mempunyai pengaruh untuk membentuk aliran pemikiran khalayaknya.

Menurut sumber, sekalipun perbincangan mengenai jati diri yang sewajarnya bagi seniman Malaysia, ahli-ahli panel juga mempunyai persepsi masing-masing terhadap ketiga-tiga ikon tersebut.

Generasi baru misalnya selalu menganggap karya-karya P.Ramlee sama ada filem atau lagu-lagunya hanya sekadar nostalgia. Tetapi karya-karya itu tidak mencapai tahap karya agung setaraf dengan sanjungan terhadap P.Ramlee.

Malah ada juga pihak yang mendakwa, dalam lakonan, Nordin Ahmad jauh lebih berkarisma, dalam pengarahan filem M.Amin dan Hussein Hanif lebih cemerlang. Lalu di mana P.Ramlee.

Ada pihak tidak mengiktiraf P. Ramlee sebagai ikon seniman hebat negara. Ada pula yang berkata P. Ramlee hanya menyambung gaya pengarahan pengarah dari India. Tengok filem P. Ramlee mesti ada tarian dan nyanyian macam filem India. Benarkah?

Sesetengah pihak pula menganggap Sudirman hanya penghibur bukan seniman. Ini kerana Sudirman bukan pencipta lagu atau penulis lirik. Sudirman hanya menyanyi.

Tanya mereka di mana jati diri Sudirman sebagai seniman di Malaysia? Tambahan pula Sudirman memilih aliran pop dan bukan lagu-lagu macam nyanyian Siti Norhaliza yang berteraskan lagu tradisional.

Sementara M. Nasir pula dilihat lebih keterampilan muzik-muzik ciptaannya. Selepas era kegemilangan rock rock menerusi lagu nyanyian Wings dan Search, M.Nasir menemui jati diri dalam ciptaannya.

Ada orang menganggap M. Nasir lebih berjati diri daripada P Ramlee kerana mempergayakan irama-irama tradisional seperti keroncong, ghazal dan inang menjadi muzik pop.

Peminat P Ramlee pasti membantah. Mana boleh M. Nasir mengatasi P. Ramlee. Malam ini peminat-peminat boleh membuat panggilan secara langsung kepada moderator dan ahli panel di studio.

Tetapi ahli-ahli panel nampaknya tidak berkompromi antara satu dengan yang lain. Mereka terdiri daripada penulis lirik dan produser filem Habsah Hassan, pencipta lagu dan penyanyi Kopratasa, Siso dan Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain. Moderator adalah Rosyam Nor.

Walaupun ada pertentangan pendapat tetapi program Ehwal Semasa malam ini cuba menyingkap bagaimana seharusnya menjadi seniman yang membawa jati diri Malaysia.

Dalam ledakan seni pop yang bercita rasa rendah, karya-karya seni yang bernilai tinggi oleh seniman yang berjiwa besar sangat diperlukan.

Saudagar mimpi : Buat peminat sifu jangan lupa menyaksikan forum ini.

Khamis, September 06, 2001

Penyair kecewa kebebasan berkarya disekat

petikan Utusan Malaysia 6 September 2001

Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin
Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) perlu melihat bahasa-bahasa puitis yang disampaikan di dalam puisi dan sajak daripada sudut yang pelbagai sebelum membuat penilaian terhadapnya.

Paling penting, mereka yang berkenaan perlu melihat mesej yang ingin disampaikan oleh seseorang penyair daripada sudut intelek dan kefahaman yang luar biasa sifatnya.

Untuk menilai sesebuah karya, pihak berkenaan wajar melihat ia dari sudut pandangan sebagai seniman dan karyawan yang berjiwa besar.

``Jika kita melihat sajak dan puisi daripada sudut politik, ia akan menjadi isu politik.

``Tetapi jika kita melihat sesebuah karya daripada sudut pandangan sebagai seorang seniman, ia menghantar makna yang lebih mendalam dan jauh lebih intelek,'' kata penyanyi lagu-lagu puisi dan penyair Sani Sudin.

Sani mengulas mengenai tindakan LPFM yang tidak meluluskan penyiaran segmen puisi yang disampaikannya dalam konsert Phoenix Bangkit M. Nasir, baru-baru ini.

Turut mendeklamasikan puisi dalam konsert yang disiarkan di stesen ntv7 itu ialah Pyanhabib dan Marsli N.O.

Penampilan penyair-penyair ini dalam konsert berkenaan sealiran dengan konsep itu yang disiarkan pada malam menyambut kemerdekaan negara yang ke-44 30 Ogos lalu.

LPFM mengeluarkan arahan berkenaan kepada stesen ntv7 dengan alasan sajak yang dideklamasikan oleh penyair terkemuka tanah air ini boleh mengundang kontroversi dan provokasi.

Di dalam konsert berkenaan, Nasir memilih tiga rakan baiknya itu untuk menyampaikan puisi masing-masing di dalam memberi nadi dan kelainan, berbanding dengan konsert yang pernah diadakannya sebelum ini.

Menurut Sani lagi, puisi seharusnya tidak hanya menceritakan perihal yang memuji-muji dalam sesuatu perkara.

Sebaliknya, ia boleh juga menyampaikan kritikan yang berada di tahap seharusnya dan semua pihak wajar menerimanya daripada sudut positif.

Sementara itu, menurut Marsli N.O, puisi Menyintaimu, Aduhai Tanah Airku yang dideklamasikan olehnya pada konsert berkenaan dihasilkan bertolak daripada perasaan dan tanda tanya di dalam dirinya setelah melihat cara kebanyakan rakyat menyambut malam keramat, 31 Ogos.

``Puisi berkenaan mempersoalkan apakah sudah cukup untuk kita menjadi seorang warganegara Malaysia yang mencintai tanah airnya jika menyambut 31 Ogos dengan berdansa dan hiburan semata-mata?''

Menurutnya, jika kontroversi dijadikan alasan puisi berkenaan disekat penyiarannya, ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

``Nama pun puisi. Banyak menggunakan bahasa perlambangan dan simbolik. Sebagai penyair, kami melihat sesuatu dari sudut pandangan yang berbeza,'' jelasnya yang didatangkan khas dari Pahang untuk terbabit dalam persembahan berkenaan.

Sementara itu, Pyanhabib yang turut muncul dalam konsert berkenaan mendeklamasikan sajak Assalamualaikum Malaysia yang ditulis pada awal tahun 80-an.

Sajak berkenaan pernah dibacakan di hadapan pemimpin-pemimpin negara dan di universiti tempatan di pelbagai tempat.

``Sajak ini mengenai kecintaan terhadap Malaysia tetapi daripada pandangan yang terbalik. Kalau orang lain cakap fasal merdeka setahun sekali, saya pun cakap fasal merdeka juga, tetapi `merdeka' yang bagaimana?.

``Semua orang dilahirkan berbogel, kemudian diberi berpakaian. Tetapi pakaian masing-masing tidak sama saiz dan coraknya,'' jelasnya, sinis.

Menyentuh mengenai LPFM, Pyan menjelaskan ``saya tak tahu apa relatifnya segmen puisi tu kena `gam'. Setahu saya, LPFM kerja tapis filem, bukan tapis puisi.

``Banyak kerja lagi yang sepatutnya LPFM tapis. Siri kartun TV bersepah babak yang sepatutnya mereka tapis,'' katanya lagi.

Sementara itu, M. Nasir yang kecewa dengan penilaian LPFM itu turut menjelaskan kenapa dia memilih puisi di dalam persembahannya selama satu setengah jam itu.

``Saya pilih mereka sebab itulah yang paling tepat dengan memaknakan hari kemerdekaan. Tidak ada apa-apa yang silap pada bacaan dan puisi mereka, pada pandangan saya,'' jelasnya.

Selain itu, deklamasi tiga penyair itu juga selari dengan aliran yang ingin disampaikan di dalam album Phoenix Bangkit itu sendiri. Nasir turut melahirkan rasa kecewa dengan keputusan LPFM itu dan menyifatkan persembahan penyair berkenaan sebagai sesuatu yang memberangsangkan walaupun daripada sudut hiburan.

``Sayangnya ia tidak sampai kepada penonton. Sesuatu yang tidak sampai, hasilnya tentu mengecewakan,'' katanya lagi.

Konklusinya, jika kontroversi menjadi alasan pihak LPFM untuk menidakkan penyiaran sajak berkenaan di TV, ia satu kesilapan besar.

Kreativiti seniman sewajarnya tidak disekat oleh pihak berkenaan kerana karya mereka seringkali menjadi penyampai mesej penting ke arah kesejahteraan dan keamanan negara.

Rabu, September 05, 2001

Konsert khas -- Lembaga penapis potong segmen puisi

petikan Utusan Malaysia 5 September 2001

Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin

Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) telah memotong segmen deklamasi puisi oleh tiga penyair dalam konsert khas kemerdekaan, Phoenix Bangkit M. Nasir yang disiarkan di stesen ntv7 baru-baru ini.

Konsert yang diadakan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-44 ini menampilkan penyair Marsli N.O, Pyanhabib dan Sani Sudin sebagai artis undangan.

Semasa menyaksikan rakaman itu pada 17 Ogos lalu, semua puisi-puisi itu menjurus kepada patriotisme dan kemerdekaan dalam bahasa yang puitis. Rakaman itu disiarkan di ntv7 pada malam menjelang ulang tahun kemerdekaan.

Menurut sumber daripada ntv7, arahan itu diterima beberapa jam sebelum rakaman itu ke udara sedangkan pihak ntv7 telah menghantar rakaman untuk dinilai pada 27 Ogos lalu.

Difahamkan pemotongan segmen puisi itu dikatakan beberapa perkataan di dalam puisi-puisi berkenaan yang tidak sesuai dengan keadaan semasa dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada khalayak.

Justeru, ntv7 memilih untuk menyiarkan terus konsert berkenaan dengan memotong segmen tersebut meskipun agak terjejas kerana penampilan tiga penyair berkenaan turut memainkan peranan dalam konsert tersebut.

Marsli N.O mendeklamasikan puisi Menyintaimu, Aduhai Tanah airku yang disampaikan dalam nada yang keras dan mendalam maknanya.

Puisi itu mengajak masyarakat berfikir kembali cara-cara dan haluan yang sepatutnya dilakukan oleh generasi hari ini di dalam meraikan sambutan hari kemerdekaan negara.

Bait yang berbunyi ``Apakah bangsa berani dan merdeka ini berani jiwanya hanya dengan disemarakkan oleh nyanyi dan dansa di padang-padang''.

Marsli memilih untuk berbicara dengan khalayak melalui sajak tersebut tentang bagaimana seharusnya yang dinamakan bangsa yang besar dan merdeka jiwanya.

Puisi berkenaan juga menghantar mesej yang cukup murni dalam menghargai jasa-jasa pemimpin lama dan baru yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara.

Puisi Kembang Kempis oleh Sani Sudin pula mengenai kekuatan dalaman yang harus ada dalam diri seorang warga negara merdeka. Dideklamasikan dengan gaya bersahaja, Sani mendapat perhatian khalayak yang nyata cukup terhibur dengan caranya.

Tindakan LPFM memotong segmen puisi memberi gambaran puisi itu akan mencetuskan kontroversi atau provokasi kepada khalayak. Benarkah puisi itu bahaya dan kenapa pula arahan itu sampai ke saat akhir sebelum rakaman tersebut ke udara?

Ini adalah kontroversi terbaru LPFM yang bertindak ke atas program untuk TV. Sebelum ini LPFM mengharamkan penyiaran filem Tjut Nyak Dhien arahan Eros Djarot dari Indonesia yang juga dirancang disiarkan di ntv7.

Tjut Nyak Dhien adalah sebuah filem sejarah tokoh srikandi Acheh yang mengabdikan diri kepada perjuangan menentang Belanda. Arahan supaya tidak menyiarkan filem ini diterima sehari sebelum tarikh siarannya sedangkan ntv7 telah membuat banyak publisiti tentang filem tersebut.

LPFM tidak pernah sunyi daripada perhatian kerana kerap terjebak dengan tindakan yang kontroversi. Sebelum ini LPFM banyak diperkatakan kerana memotong babak yang ``difahami'' tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Malah pernah bertindak nekad mengharamkan filem tempatan, Fantasia arahan Aziz M. Osman dan Amok arahan Adman Salleh. Bagaimanapun akhirnya kedua-dua filem itu dilepaskan untuk tayangan dengan beberapa potongan.

Sementara itu M. Nasir ketika dihubungi berkata, dia kecewa dengan pemotongan itu kerana pada pandangannya kehadiran tiga penyair itu menepati konsep kemerdekaan yang hendak ditonjolkan.

``Bagi saya tidak ada yang silap dalam puisi mereka. Kena dengan konsep Phoenix Bangkit,'' kata M. Nasir.

``Benda dah lepas nak buat apa lagi. Tapi apa yang saya nak sampaikan tak tercapailah,'' kata penyanyi itu.

Ahad, September 07, 1997

Jangan Biarkan Artis Lelaki Saja Di Gam

Petikan Utusan Zaman 7 September 1997

Penulis: Raja Yusuf Ariffin

**Teks Penuh Transliterasi (Rumi)**

Isu M. Nasir mendakwa juruhebah radio (DJ) perlu diberi 'makan' oleh syarikat rakaman untuk menyiarkan lagu penyanyi tertentu masih belum selesai. Dari senyap ke kemuncak, ia diperkatakan sekali. Hingga kini, sudah berlarutan lebih lima bulan.

Selama itu, semua pihak berkaitan menjadi gempar, DJ memaling, syarikat rakaman tidak sanggup duduk, Kementerian Penerangan mula mengeluarkan kenyataan dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertindak menjalankan siasatan.

Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat dan Timbalannya, Datuk Dra. Suleiman Mohamed berkali-kali mengeluarkan kenyataan untuk bertindak adil, iaitu mana-mana pihak yang terbukti bersalah akan dihukum.

Ini bererti, jika dakwaan M. Nasir benar, maka DJ yang rasuah itu akan dihukum. Sebaliknya, jika DJ yang bersih, maka M. Nasir pula akan menerima padah, kemungkinan didenda.

Ekoran dakwaan yang dibuat, BPR menjalankan siasatan, M. Nasir telah disoal siasat sebanyak dua kali, begitu juga dengan pegawai sebuah syarikat rakaman antarabangsa.

Bagi pihak radio (Radio Televisyen Malaysia - RTM) pula, sebanyak 18 DJ telah disoal siasat. Setakat ini, 11 disahkan bersih, tujuh lagi masih disiasat.

Sebagaimana siasatan kes-kes lain, hukuman tidak boleh dilaksanakan selagi belum terbukti kesalahan penyanyi. M. Nasir pula, lagi telah dihukum.

Penyanyi, komposer, penulis lirik, pelakon dan pengarah ini seolah-olah di"dekam" oleh para DJ walaupun belum terbukti bersalah. Lagu M. Nasir, terutama nyanyian tidak lagi disiarkan menerusi radio RTM.

Hal ini menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat adakah M. Nasir benar-benar telah "didekam" sedangkan kes belum selesai?

Jawapan Mohamed Rahmat dan Doktorandus Suleiman menurut mereka, Kementerian Penerangan tidak mengharamkan karya M. Nasir.

Namun demikian, lagu M. Nasir terus sepi di radio RTM. Desas-desus yang kedengaran menyatakan para DJ sudah berpatah arang dengan M. Nasir. Ini bererti semua lagu M. Nasir mahupun ciptaan sendiri mahupun penyanyi lain telah "diboikotkan".

Saya juga ingin menarik perhatian kepada suatu kenyataan Mohamed Rahmat baru-baru ini yang membayangkan kata Mohamed, "Untuk keadilan, tiada penyanyi yang lagunya disiarkan setiap hari. Jika ini berlaku, DJ berkaitan akan disoal siasat."

Bagaimanapun, apa yang berlaku amat menghairankan. Bukan hanya lagu penyanyi yang sama tersiar setiap hari, malah terlempar lebih daripada sekali.

Sepanjang pendengaran saya jika tidak salah, lagu penyanyi wanita yang baru terbit. Selama ini, saya fikir sungguh berani, pelik dan tidak senang dengan soalan "tidak pernah penyanyi wanita 'didekam' oleh Kementerian Penerangan/RTM."

Bukan tidak pernah penyanyi (atau pelakon) wanita yang membuat salah. Lalu apakah tafsiran Kementerian atau RTM tentang salah laku hanya kepada mulut celupar (kononnya), rambut panjang (lelaki), manakala dadah dan khalwat sahaja?

Bagaimana dengan aksi penyanyi (atau pelakon) wanita bergambar di majalah hiburan atau akhbar? Apakah tafsiran Kementerian atau RTM mengenai aksi dan bentuk pakaian mereka yang menjolok mata setiap kali bergambar? Apakah berpakaian mendedahkan pusat, dada dan paha itu bukan salah laku?

Saya, bukan cemburu dengan kejayaan penyanyi (atau pelakon) wanita cuma saya pelik/tidak senang dengan pelaksanaan "double standard". Apakah anggapan kejayaan (lebih kepada populariti) hak dibeli oleh mendedahkan aurat?

Jika bercakap mengenai sumbangan seni dan kebebasan untuk masyarakat, kita haruslah rasional serta realistik. Saya perhatikan setakat ini penyanyi (atau wanita yang mahu dipertahankan oleh Kementerian Penerangan atau RTM. Hak penyanyi, lelaki, cuma saja di gam atau dihukum. Tidak boleh bersuara atas kebenaran langsung).

Khamis, Mei 01, 1997

DJ Rasuah: PRO Syarikat Diberkas

petikan Berita Harian 1 Mei 1997

KUALA LUMPUR— Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menahan seorang pegawai perhubungan awam (PRO) sebuah syarikat rakaman antarabangsa di Malaysia kerana disyaki memberi sogokan kepada juruhebah-juruhebah radio atau deejay supaya lagu-lagu daripada album keluaran syarikatnya diperdengarkan ke udara.

Pegawai berusia 35 tahun itu, yang juga seorang artis dan pengurus rakaman dalam jabatan perhubungan awam syarikat tersebut, diberkas minggu lalu.

Pegawai itu ditahan selama lima hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Penangkapan ini menyusuli penyiasatan selama lima minggu oleh BPR ekoran dakwaan bahawa para deejay radio menerima rasuah daripada syarikat-syarikat rakaman.

Pasukan pegawai BPR yang menyiasat kes ini mempunyai bukti bahawa kira-kira 10 juruhebah radio dikatakan menerima rasuah.

Pencipta lagu dan penyanyi M. Nasir, yang terkenal dalam kalangan industri muzik Malaysia kerana pandangan-pandangannya yang kontroversi, mendedahkan bahawa sesetengah syarikat rakaman terpaksa 'beri makan' kepada juruhebah radio supaya lagu-lagu mereka diperdengarkan di udara.

Sementara itu, Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (Penyiar) meminta juruhebah negara tersebut mengambil pendirian tegas terhadap syarikat-syarikat rakaman yang cuba menawarkan sogokan. Penyiar juga meminta juruhebah berwaspada apabila berurusan dengan syarikat rakaman atau wakilnya supaya tidak menimbulkan sebarang tohmahan kurang menyenangkan seperti yang dibuat oleh M. Nasir.

Akhbar Berita Harian Malaysia melaporkan, Setiausaha Agung Penyiar, Mazlan Abdul Hamid, berkata isu yang dicetuskan oleh M. Nasir dianggap serius kerana ia membabitkan kredibiliti dan profesionalisme juruhebah di Malaysia keseluruhannya.

"Penyiar berpendapat dakwaan terbuka M. Nasir kali ini keterlaluan. Beliau melihat daripada sudut dan kacamata peribadinya. Soal rasuah membabitkan dua pihak, pemberi dan penerima.

"Kalau benar wujud seperti yang didakwanya, syarikat rakaman juga wajar dipertikaikan. M. Nasir sebagai karyawan, mengapa tidak menegur syarikat rakaman," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Radio, Angkasapuri, kelmarin.

Penyiar ditubuhkan pada 1984 dan mempunyai lebih 1,000 anggota. Lebih 300 anggotanya ialah juruhebah daripada semua stesen radio di Malaysia.

Mengenai penyelesaian yang perlu dibuat untuk menjernihkan keadaan, Mazlan menjelaskan perkara itu bergantung pada pendirian M. Nasir.

"M. Nasir melalui Papita mungkin boleh mengadakan perbincangan dengan Penyiar, yang menjadi orang tengah antara beliau dengan juruhebah. Ini bergantung pada kehendak kedua-dua belah pihak," katanya.

Beliau juga menegaskan sehingga kini tiada juruhebah bertindak menggam lagu M. Nasir.

"Namun ibarat orang yang hatinya sudah terluka, sudah tentu sedikit sebanyak perkara itu mempengaruhi perasaan juruhebah. Tetapi setiap juruhebah sentiasa diawasi oleh ketua masing-masing supaya dapat menjalankan tugas mengikut arahan yang ditetapkan," kata Mazlan.

Sabtu, April 26, 1997

Menteri Nafi Karya M. Nasir 'Digam', DJ Diarah Siar Semua Lagu Beliau

petikan Berita Harian Singapura 26 April 1997

SEMUA karya seni ciptaan M. Nasir tidak 'digam' atau menjadi mangsa diskriminasi pihak deejay atau penyiar-penyiar rancangan hiburan radio di Malaysia, ekoran kontroversi mengenai juruhebah radio rasuah yang dicetuskan oleh artis tersebut baru-baru ini. 

Semua karya seni M. Nasir dibenarkan terus disiarkan di media elektronik, kata Timbalan Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Suleiman Mohamed. 

Katanya, ini adalah mengikut arahan Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Mohamed Rahmat, yang baru-baru ini meminta semua karya pencipta lagu itu dimainkan di radio dan televisyen tanpa sekatan.

 Datuk Suleiman memberitahu Berita Harian Malaysia kelmarin, arahan Datuk Mohamed itu disampaikan sendiri oleh menteri itu kepadanya bagi menghentikan spekulasi bahawa karya-karya seni M. Nasir digam. 

"Tidak timbul soal karya seni Nasir digam. Arahan Datuk Mohamed itu jelas meminta layanan terhadap Nasir diberi seperti biasa. 

"Nasir tidak digam dan maklumat yang diperoleh menunjukkan tidak berlaku amalan 'menggam' karya seni Nasir seperti yang dihebohkan baru-baru ini," katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak terutama peminat dan dunia hiburan Malaysia mengesyaki karya-karya seni Nasir mula digam dari siaran radio dan televisyen tempatan sebagai langkah untuk mengajarnya ekoran isu 'beri makan' deejay yang didedahkan oleh artis itu. 

Datuk Suleiman berkata, kementerian beliau juga menafikan ada kalangan juruhebah yang mengamalkan dasar diskriminasi terhadap karya Nasir dengan bertindak enggan menyiarkan karya-karyanya, terutama lagu, di corong radio. 

"Tidak ada juruhebah yang bertindak demikian. Lagu Nasir atau karyanya yang dinyanyikan artis-artis lain dibenarkan terus disiarkan di radio tempatan seperti yang dilakukan sekarang," katanya. 

Beliau menambah bahawa kementeriannya sama sekali tidak bercadang mengambil langkah 'menggam' karya Nasir, walaupun artis itu sehingga kini masih belum mengemukakan laporan bertulis lengkap mengenai isu 'beri makan' DJ. 

"Kes itu tidak berlarutan sehingga kami menghentikan penyiaran karya Nasir. 

Biarlah kes itu dikendalikan oleh pihak berkuasa seperti Badan Pencegah Rasuah yang sudah memulakan siasatan," katanya.

Khamis, April 03, 1997

DJ Mahu 'Gam' M. Nasir

petikan Berita Harian Singapura 3 April 1997

Sekumpulan juruhebah Malaysia dilaporkan sedang menimbang untuk mengambil tindakan terhadap M. Nasir yang baru-baru ini mendakwa syarikat rakaman terpaksa 'memberi makan' kepada DJ radio bagi memastikan lagu-lagu mereka boleh disiarkan.

Antara tindakan yang sedang difikirkan sebagai tindak balas ialah sama ada hendak menyiarkan atau tidak lagu-lagu ciptaan mahupun nyanyian artis berkenaan. M. Nasir membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan para DJ itu ketika beliau menjadi salah seorang ahli panel dalam seminar muzik berjudul 'Media dan Industri Muzik Malaysia' anjuran Akademi Industri Muzik Malaysia bulan lalu.

Menurut sekumpulan DJ yang menimbang tindakan balas itu, kenyataan M. Nasir dianggap 'celupar' dan wajar sesuatu tindakan diambil sebagai pengajaran kepada beliau supaya lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan.

Isnin, Mac 31, 1997

Dakwaan 'beri makan': M. Nasir diarah buat laporan bertulis

 petikan Berita Harian, 31 March 1997

KUALA LUMPUR — Kementerian Penerangan Malaysia mengarahkan komposer terkenal, M. Nasir, supaya membuat laporan bertulis mengenai dakwaannya baru-baru ini bahawa kononnya syarikat rakaman terpaksa "memberi makan" kepada juruhebah radio bagi memastikan lagu mereka disiarkan.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Suleiman Mohamad, berkata laporan bertulis itu perlu mengandungi butir-butir terperinci jika kejadian tersebut benar-benar berlaku.

Laporan itu pula hendaklah diserahkan kepada kementerian tersebut atau Ketua Pengarah Siaran, tambahnya.

"Tuduhan Nasir itu berat dan menggambarkan juruhebah radio terbabit dengan gejala rasuah.

"Jika benar tuduhannya itu berasas, saya mahu Nasir menyerahkan laporan itu kepada saya supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap juruhebah yang terbabit," kata Datuk Suleiman kepada para pemberita selepas majlis penutup sambutan ulang tahun ke-50 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri kelmarin.

Ketika menjadi anggota panel dalam Seminar Media dan Industri Muzik sempena Minggu Muzik Malaysia minggu lalu, M. Nasir, yang sebelum ini telah mencetuskan beberapa kontroversi, mendakwa bahawa syarikat rakaman kadang-kadang terpaksa "memberi makan" kepada orang-orang tertentu supaya lagu mereka disiarkan di radio.

Ekoran kenyataan itu, juruhebah Radio 1, Encik Ainul Jamal Zainal, yang mendakwa mewakili rakan-rakan setugasnya, menyifatkan komposer itu sebagai celupar dan sengaja mahu mencari fasal dengan stesen radio.

Datuk Suleiman, yang turut kesal dengan kenyataan komposer itu, berkata Nasir tidak sepatutnya berkelakuan demikian kerana ia menjatuhkan imej dan maruah juruhebah radio. — BMM

Ahad, Mac 30, 1997

M Nasir tempelak juruhebah radio

petikan Bintang Popular, Berita Minggu 10 Februari 2008
oleh Hardi Effendi Yaacob

Selepas kontroversi dengan kenyataan 'Siapa Mahathir?' yang merujuk kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, M Nasir terus mencetuskan kontroversi dengan mendakwa juruhebah radio perlu dibayar untuk memutarkan lagu seseorang artis.

Berita Harian pada Mac 1997 melaporkan karyawan muzik itu dengan lancang mendakwa syarikat rakaman terpaksa 'memberi makan' kepada orang tertentu di stesen radio supaya lagu mereka boleh disiarkan. Kenyataan itu dibuat ketika Nasir menjadi saiah seorang ahli panel di seminar muzik berjudul Media dan Industri Muzik sempena Minggu Muzik Malaysia.

Akibat kenyataan itu, Juruhebah Kanan Radio 1, Ainul Jamal Zainal yang bertindak mewakili rakan setugas menyifatkan komposer itu bermulut celupar dan bagaikan hendak mencari pasal dengan stesen radio. Menurutnya, dakwaan itu seolah olah hendak memalukan semua juruhebah radio sekali gus merendahkan martabat mereka yang terbabit dalam tugas ini.

Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Mohamed Rahmat (kini Tan Sri), berkata M Nasir akan menerima padah jika tidak memberikan penjelasan secara rasmi kepada Kementerian Penerangan berhubung dakwaannya.

Beliau berkata, dakwaan itu dianggap serius kerana mengeluarkan kenyataan secara terbuka iaitu pada satu seminar rasmi dan ini bukan pertama kali komposer itu bermulut celupar dan mencari pasal dengan RTM.

"Sama ada suka atau tidak, dia (M Nasir) perlu beri penjelasan atau laporan secara rasmi kepada kita. Saya menganggap dakwaannya itu serius dan berat. Saya juga perlu memelihara maruah kakitangan saya. Kalau laporan dia betul, kita boleh mengenakan tindakan tatatertib terhadap kakitangan terbabit. Tapi kalau laporan itu tidak betul, dia kena sedia menerima padahnya," katanya.

Pada masa sama, pihak media memaparkan terhadap apa yang disebut budaya payola, iaitu suatu kegiatan syarikat rakaman membayar dan memberi ganjaran tertentu kepada juruhebah untuk membolehkan lagu mereka mendapat perhatian dan kerap disiarkan. Payola dikatakan mula wujud di Amerika Syarikat dan ada pandangan mengatakan ia tidak mustahil boleh berlaku di mana saja, termasuk negara ini.

nota kaki: Petikan asal dari tahun 1997 berkenaan insiden ini tiada dalam simpanan, jadi petikan dari tahun 2008 ini sebagai gantinya.