petikan Bintang Popular, Berita Minggu 10 Februari 2008
oleh Hardi Effendi Yaacob
Selepas kontroversi dengan kenyataan 'Siapa Mahathir?' yang merujuk kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, M Nasir terus mencetuskan kontroversi dengan mendakwa juruhebah radio perlu dibayar untuk memutarkan lagu seseorang artis.
Berita Harian pada Mac 1997 melaporkan karyawan muzik itu dengan lancang mendakwa syarikat rakaman terpaksa 'memberi makan' kepada orang tertentu di stesen radio supaya lagu mereka boleh disiarkan. Kenyataan itu dibuat ketika Nasir menjadi saiah seorang ahli panel di seminar muzik berjudul Media dan Industri Muzik sempena Minggu Muzik Malaysia.
Akibat kenyataan itu, Juruhebah Kanan Radio 1, Ainul Jamal Zainal yang bertindak mewakili rakan setugas menyifatkan komposer itu bermulut celupar dan bagaikan hendak mencari pasal dengan stesen radio. Menurutnya, dakwaan itu seolah olah hendak memalukan semua juruhebah radio sekali gus merendahkan martabat mereka yang terbabit dalam tugas ini.
Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Mohamed Rahmat (kini Tan Sri), berkata M Nasir akan menerima padah jika tidak memberikan penjelasan secara rasmi kepada Kementerian Penerangan berhubung dakwaannya.
Beliau berkata, dakwaan itu dianggap serius kerana mengeluarkan kenyataan secara terbuka iaitu pada satu seminar rasmi dan ini bukan pertama kali komposer itu bermulut celupar dan mencari pasal dengan RTM.
"Sama ada suka atau tidak, dia (M Nasir) perlu beri penjelasan atau laporan secara rasmi kepada kita. Saya menganggap dakwaannya itu serius dan berat. Saya juga perlu memelihara maruah kakitangan saya. Kalau laporan dia betul, kita boleh mengenakan tindakan tatatertib terhadap kakitangan terbabit. Tapi kalau laporan itu tidak betul, dia kena sedia menerima padahnya," katanya.
Pada masa sama, pihak media memaparkan terhadap apa yang disebut budaya payola, iaitu suatu kegiatan syarikat rakaman membayar dan memberi ganjaran tertentu kepada juruhebah untuk membolehkan lagu mereka mendapat perhatian dan kerap disiarkan. Payola dikatakan mula wujud di Amerika Syarikat dan ada pandangan mengatakan ia tidak mustahil boleh berlaku di mana saja, termasuk negara ini.
nota kaki: Petikan asal dari tahun 1997 berkenaan insiden ini tiada dalam simpanan, jadi petikan dari tahun 2008 ini sebagai gantinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan