petikan Berita Harian, 31 March 1997
KUALA LUMPUR — Kementerian Penerangan Malaysia mengarahkan komposer terkenal, M. Nasir, supaya membuat laporan bertulis mengenai dakwaannya baru-baru ini bahawa kononnya syarikat rakaman terpaksa "memberi makan" kepada juruhebah radio bagi memastikan lagu mereka disiarkan.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Suleiman Mohamad, berkata laporan bertulis itu perlu mengandungi butir-butir terperinci jika kejadian tersebut benar-benar berlaku.
Laporan itu pula hendaklah diserahkan kepada kementerian tersebut atau Ketua Pengarah Siaran, tambahnya.
"Tuduhan Nasir itu berat dan menggambarkan juruhebah radio terbabit dengan gejala rasuah.
"Jika benar tuduhannya itu berasas, saya mahu Nasir menyerahkan laporan itu kepada saya supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap juruhebah yang terbabit," kata Datuk Suleiman kepada para pemberita selepas majlis penutup sambutan ulang tahun ke-50 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri kelmarin.
Ketika menjadi anggota panel dalam Seminar Media dan Industri Muzik sempena Minggu Muzik Malaysia minggu lalu, M. Nasir, yang sebelum ini telah mencetuskan beberapa kontroversi, mendakwa bahawa syarikat rakaman kadang-kadang terpaksa "memberi makan" kepada orang-orang tertentu supaya lagu mereka disiarkan di radio.
Ekoran kenyataan itu, juruhebah Radio 1, Encik Ainul Jamal Zainal, yang mendakwa mewakili rakan-rakan setugasnya, menyifatkan komposer itu sebagai celupar dan sengaja mahu mencari fasal dengan stesen radio.
Datuk Suleiman, yang turut kesal dengan kenyataan komposer itu, berkata Nasir tidak sepatutnya berkelakuan demikian kerana ia menjatuhkan imej dan maruah juruhebah radio. — BMM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan