ANALITIC

Memaparkan catatan dengan label Akar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akar. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 19, 1996

Cakera padat Konsert Akar M. Nasir di pasaran

petikan Berita Harian, 19 Januari 1996

KONSERTNYA telah mendapat ulasan yang amat memberangsangkan daripada pihak media. Kini, anda yang terkilan kerana tidak berkesempatan menyaksikan Konsert Akar M. Nasir yang diadakan di Kuala Lumpur akhir tahun lalu, berpeluang menikmati persembahan 'live' seniman popular itu menerusi cakera padat dan video yang dikeluarkan oleh syarikat BMG Music.

Cakera padat itu kini berada di pasaran.

Pengurus promosi BMG, Rohani Ismail, berkata selain cakera padat konsert tersebut juga telah dirakamkan dalam bentuk cakera laser.

"Album ini adalah sebagai ganti bagi peminat yang kecewa yang gagal mendapatkan tiket konsert itu dulu," kata Rohani.

Konsert itu berjaya memukau 3,000 peminatnya sewaktu diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 26 Oktober.

Persembahan penyanyi berasal Singapura itu diiringi 27 pemuzik, termasuk 12 daripada Filipina.

Apa yang menarik perhatian, album itu juga memuatkan lagu duet dengan penyanyi Indonesia, Ebiet G. Ade, berjudul Berita Kepada Kawan.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu ialah Akar Kita, Ada Lambaian Sukma, Di Jalan Sesat, Mustika, Berita Kepada Kawan, Keroncong Nostradamus, Keroncong Untuk Ana, Kepada Mu Kekasih, Mencurah Janji, Kau Yang Satu, Rindu dan Nusantara.

Ahad, Oktober 29, 1995

Keunggulan Muzik Melayu

Petikan PESTA (1995 - tarikh tidak dapat dikenalpasti)

Muzik dan lagu Melayu dapat diterima oleh pelbagai kaum. Inilah yang dibuktikan oleh M.Nasir menerusi Konsert Akar yang berlangsung di PWTC pada bulan Oktober lalu yang dihadiri oleh penonton berbilang bangsa.

“Jika kena gaya dan memberi satu persembahan bermutu tinggi tidak ada sebab kita tidak boleh menarik minat bangsa lain menyaksikan konsert lagu lagu Melayu.”

Pada malam persembahan itu M Nasir telah mempersembahkan konsert yang berkualiti tinggi dan menghiburkan.

Konsert Akar Manifestasi Akustika telah menelan belanja RM250,000 membuktikan kepada para penganjur bahawa artis artis tempatan mampu membuat persembahan yang lebih baik dari artis luar sekiranya diberi peluang yang adil.

Persembahan M Nasir diiringi oleh 12 orang pemuzik bertali dari Filipina yang dipimpin oleh Eddie Marzuki dan para pemuzik tempatan iaitu Yan (Bass), Aznan (gitar), Rafi (gitar), Mohar (seruling), Zul Mahad (piano), S Atan (akordian), Tom (dram), Addie (saksofon), Mohd Rejab (trombon) dan Cony Soliano (trompet).

Dua batang pokok berakar mengisi bahagian kiri dah kanan pentas sementara dua buah lukisan besar direntangkan sebagai penghias dan mewarnai latar belakang. Sistem pencahayaan yang menarik memberi mood kepada lagu lagu yang dinyanyikan oleh M. Nasir.

Kumpulan Freshies sebagai penyanyi latar membuktikan kemampuan vokal mereka dan M Nasir sentiasa mengekalkan khidmat mereka dalam banyak pertunjukan.

Irama muzik M Nasir pada malam itu disulam dengan beberapa unsur-unsur simbolik seperti seorang bayi (anak bongsunya) yang dijulang menandakan permulaan konsert sebelum N Nasir berusaha keluar selubungan kain merah dan memulakan nyanyian dengan lagu Nusantara.

Dewan yang riuh dengan sorakan penonton senyap sunyi seketika bilamana seniman serba bole ini menyampaikan lagu Kau Yang Satu yang dihidupkan dengan pancaran bulatan lampu yang dihalakan ke arah penonton.

Setelah menyampaikan lima lagu antaranya Mustika, Kepadamu Kekasih, dan Lambaian Sukma, M Nasir telah menjemput penyanyi yang diundang khas dari Indonesia, Ebiet G Ade. Mereka berduet menyampaikan sebuah lagu berjudul Khabar buat Kawan.

Ebiet meneruskan persembahan secara solo dengan menyanyikan dua buah lagu yang diminati di negara ini iaitu Titip Rindu Buat Ayah dan Kamelia ll.

Kemudian tanpa berlengah M Nasir meneruskan persembahannya dengan lagu lagu lama dan baru antaranya Akar Kita, Panji Gelora, Nyanyian Jiwa, Keroncong Buat Ana, Mencurah Janji di Daun Keladi, Tanya Sama Itu Hud Hud, Mentera Semerah Padi, Bonda dan lain-lain.

Walaupun telah lebih dua jam menyaksikan persembahan, para penonton masih tidak berpuas hati dan meminta M Nasir meneruskan nyanyiannya. Untuk tidak menghampakan M. Nasir menyanyikan lagu Apokalips sebagai lagu perpisahan.

Kira-kira lebih tiga ribu penonton malam itu pulang dengan penuh rasa puas dan tidak merasa rugi mengeluarkan duit RM50-RM70 bagi menyaksikan persembahan yang bermutu ini. Malah ramai juga yang berbelanja lebih daitu bagi mendapatkan barangan cenderamata seperti kemeja T khas konsert yang dijual di ruang legar Dewan Merdeka.

M Nasir berharap para peminatnya yang tidak dapat menyaksikan persembahan pada malam itu akan turut sama terhibur melalui video, cakera padat atau kaset rakaman konsert ini yang akan dipasarkan oleh BMG tidak lama lagi.

Gambar Tambahan :

Tiket Konsert : Sumber osmantikus.tripod.com

Isnin, Oktober 02, 1995

Nasir, Ebiet bergabung dalam konsert

 petikan Berita Harian, 2 October 1995


"Ebiet sudah mengesahkan untuk muncul dalam konsert itu. Saya pegang janjinya.

Di konsert itu nanti, Ebiet akan membawakan lagu-lagunya sendiri dan kemungkinan kami akan berduet, tetapi belum pasti apakah lagu yang sesuai kami nyanyikan."

 — Penggubah dan penyanyi M. Nasir.


HASRAT M. Nasir untuk bergabung tenaga dengan penyanyi lagu-lagu puisi, Ebiet G. Ade hampir terlaksana kerana penyanyi terkenal dari Indonesia itu telah bersetuju untuk muncul bersama Nasir dalam konsertnya pada 26 Oktober ini.

Konsert yang diberi nama Akar Manifestasi Akuistika itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur.

"Ebiet sudah mengesahkan untuk muncul dalam konsert itu. Saya pegang janjinya.

"Di konsert itu nanti, Ebiet akan membawakan lagu-lagunya sendiri dan kemungkinan kami akan berduet, tetapi belum pasti apakah lagu yang sesuai kami dinyanyikan bersama," kata Nasir kepada Berita Harian Malaysia.

Bagaimanapun, kata Nasir, ketika ini beliau sedang menyiapkan sebuah lagu khas yang diharap dapat dibawakan bersama-sama Ebiet di konsert itu kelak.

Konsert itu adalah anjuran bersama tabloid Harian Metro, BMG Music dan syarikat Nasir, Luncai Emas.

Bila ditanya rancangan untuk menghasilkan album bersama Ebiet, Nasir berkata perkara itu belum diputuskan dan beliau menyerahkan tugas itu kepada syarikat BMG.

Mengenai judul konsert yang agak unik itu, Nasir berkata perkataan 'akar' adalah cermin konsert itu yang menggambarkan semuanya bermula dengan akar manakala 'manifestasi akuistik' pula bermakna penjelmaan muzik akuistik.

Sesuai dengan nama tersebut, lagu-lagu yang dimainkan dalam konsert itu banyak menggunakan alat-alat 'string' seperti gitar, biola dan chelo.

Nasir dijangka membawakan 17 lagu lama dan baru. Antaranya, termasuklah Nusantara, Keroncong Untuk Ana, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Rindu, Keroncong Nostradamus, Di Balik Cermin Mimpi, Nyanyian Jiwa, Hati Emas dan Mustika.

Beliau akan diiringi kumpulan muzik Gong dan kumpulan Freshies sebagai penyanyi latar.

Selasa, Julai 11, 1995

Kekalkan identiti

petikan Berita Harian, 11 Julai 1995

M. Nasir mahu ‘Melayukan’ muzik ciptaannya

BUDAYA dan rohani tidak boleh dipisahkan. Sebab itulah, sebagai orang Melayu, penyanyi M. Nasir beranggapan bahawa lagu-lagunya harus beridentitikan Melayu.

Muzik asing yang dianggap moden sejak sekian lama, membuat beliau semakin peka terhadap perkembangan muzik Melayu sendiri.

"Seboleh-bolehnya saya mahu meMelayukan semua muzik saya," kata M. Nasir dalam majlis penyampaian anugerah platinum berkembar dua bagi album Canggung Mendonan dan juga pelancaran konsertnya, Akar Manifestasi Akuistik di Kuala Lumpur minggu lalu.

Penjualan album Canggung Mendonan telah melebihi 120,000 unit dan Nasir menerima anugerah sebagai penyanyi dan penerbit.

Dalam majlis tersebut, Nasir memotong kek hari jadi yang pertama dalam hidupnya yang kini menjangkau 38 tahun.

Menurutnya, beliau tidak pernah menyambut hari jadi kerana "itu bukan budaya Melayu". Bagaimanapun, pada malam itu, beliau terpaksa melakukannya atas permintaan para tetamu yang hadir di majlis tersebut.

Konsert Akar Manifestasi Akuistik dijangka diadakan bulan depan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Katanya, beliau masih berbincang dengan penaja mengenai kos produksi dan butir-butir yang diperlukan.

Beliau juga berkata, kemungkinan penyanyi lagu-lagu puisi terkenal dari Indonesia, Ebiet G. Ade akan diundang menjayakan konsert tersebut.

"Pada dasarnya, Ebiet telah memberikan persetujuan," kata Nasir.

Ahad, Jun 04, 1995

Gabungan dengan Nasir bergantung pada tujuan

 petikan Berita Harian 4 Jun 1995

M.Nasir: Menanti peluang bergabung dengan Ebiet.

EBIET G. Ade terkenal dengan lagu-lagu puisi yang penuh kejiwaan. M.Nasir pula sering dikaitkan dengan lagu-lagu rakyat dan kini, sudah mula menyentuh sejarah Islam seperti lagu Tanya Sama Itu Hud Hud.

Bagaimana kalau Ebiet dan Nasir digandingkan? Tentu menarik.

Syarikat rakaman BMG yang mengedarkan album kedua-dua penyanyi tersebut pernah merancang untuk menggabungkan Ebiet dan Nasir.

Bagi Nasir, kesempatan itu memang dinantikan. Tetapi, Ebiet pernah dikatakan mahu berfikir panjang tentang tawaran itu.

Apabila ditanyakan hal ini sendiri oleh wartawan Berita Minggu, Ebiet lebih bersedia dengan jawapannya.

"Sama ada saya terima atau tidak, bergantung kepada tujuannya. Apakah manfaat yang saya atau Nasir terima daripada projek ini? Apakah semata-mata mahu mencari pasaran? Jika untuk pasaran, ya, saya tidak mahu sebab tanpa gandingan ini pun, album saya atau Nasir boleh dijual.

"Apa yang penting, projek ini harus melahirkan sesuatu yang bererti buat kita. Apapun bentuk pekerjaan yang kita lakukan, haruslah yang kita mahukan, bukan kerana orang lain mahu," kata Ebiet berterus terang.

Tetapi secara peribadi, akui Ebiet, beliau mengagumi kebolehan Nasir.

"Saya pernah menonton persembahannya tujuh atau lapan tahun lalu. Saya dapat rasakan, nafasnya dekat dengan lagu saya.

"Bezanya, Nasir dapat memisahkan antara mencipta lagu untuk orang lain dengan menghasilkan lagu untuk albumnya sendiri.

"Contohnya, album Search. Lagu-lagu Search begitu jauh sekali daripada album Nasir sedangkan penerbitnya dan penggubah lagu-lagunya sama."