ANALITIC

Selasa, Julai 11, 1995

Kekalkan identiti

petikan Berita Harian, 11 Julai 1995

M. Nasir mahu ‘Melayukan’ muzik ciptaannya

BUDAYA dan rohani tidak boleh dipisahkan. Sebab itulah, sebagai orang Melayu, penyanyi M. Nasir beranggapan bahawa lagu-lagunya harus beridentitikan Melayu.

Muzik asing yang dianggap moden sejak sekian lama, membuat beliau semakin peka terhadap perkembangan muzik Melayu sendiri.

"Seboleh-bolehnya saya mahu meMelayukan semua muzik saya," kata M. Nasir dalam majlis penyampaian anugerah platinum berkembar dua bagi album Canggung Mendonan dan juga pelancaran konsertnya, Akar Manifestasi Akuistik di Kuala Lumpur minggu lalu.

Penjualan album Canggung Mendonan telah melebihi 120,000 unit dan Nasir menerima anugerah sebagai penyanyi dan penerbit.

Dalam majlis tersebut, Nasir memotong kek hari jadi yang pertama dalam hidupnya yang kini menjangkau 38 tahun.

Menurutnya, beliau tidak pernah menyambut hari jadi kerana "itu bukan budaya Melayu". Bagaimanapun, pada malam itu, beliau terpaksa melakukannya atas permintaan para tetamu yang hadir di majlis tersebut.

Konsert Akar Manifestasi Akuistik dijangka diadakan bulan depan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Katanya, beliau masih berbincang dengan penaja mengenai kos produksi dan butir-butir yang diperlukan.

Beliau juga berkata, kemungkinan penyanyi lagu-lagu puisi terkenal dari Indonesia, Ebiet G. Ade akan diundang menjayakan konsert tersebut.

"Pada dasarnya, Ebiet telah memberikan persetujuan," kata Nasir.

Tiada ulasan: