petikan Berita Harian 21 Januari 1990
Oleh A. Kadir Pandi.
PENCIPTA lagu dan penyanyi M. Nasir telah dapat menyelamatkan sebuah kumpulan rok dari Kuala Lumpur yang hampir tenggelam dalam persaingan memenangi hati peminat.Dengan lagu ciptaannya, Sekuntum Bunga Sakura Di Gunung Sahara, M. Nasir dikatakan telah menaikkan semula nama kumpulan Mega.
Ini disahkan sendiri oleh Asma Zarith Ismail, penyanyi utama kumpulan itu. Menurutnya, lagu ciptaan M. Nasir itu adalah lagu terbaik antara sepuluh lagu kumpulan tersebut.
Turut menyumbang mengharumkan nama kumpulan yang terdiri daripada lima orang itu ialah penulis lirik S. Amin Shahab.
Semasa ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini, Asma berkata Mega beruntung kerana M. Nasir sudi menyumbangkan lagu ciptaannya itu.
Tambahnya, Rahim Othman, seorang pemuzik yang dikenali di Malaysia, juga mengakui lagu itu mempunyai mutu dan nilai komersil.
"Rahim yang menerbitkan album kami, memberitahu lagu itu akan menaikkan nama Mega dan ia kini menjadi kenyataan. Kami berasa berbesar hati," kata Zarith.
Beliau menambah: "Malah, semasa merakamkan lagu itu kami sudah mengagak Sekuntum Bunga Sakura Di Gunung Sahara akan meletup."
Bagaimanapun, mereka tidak pasti tentang masa depan Mega. Mereka tidak dapat mengambil album sulung mereka yang berjudul Mega, sebagai satu jaminan yang utuh.
Anggota-anggota Mega terdiri daripada Hasdi Kamal Arif, 21 tahun (gitar utama); Husni Kamal Arif, 23 tahun, (gitar kedua); Abdul Hamid Sahlan, 18 tahun (dram); Ahmad Sulaiman, 24 tahun (bes) dan Zarith sendiri.
Zarith berkata: "Apa yang dapat saya katakan di sini ialah lagu Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara hanya dapat mendorong kami untuk terus berusaha memperbaiki persembahan dan nyanyian kami.
"Kalau boleh, kami mahukan sumbangan M. Nasir lagi bagi album kami yang akan datang. Tapi ini tidak bermakna kami bergantung semata-mata kepada sumbangan beliau. Dalam pada itu kami akan berusaha untuk menyamakan kedudukan Mega dengan kumpulan-kumpulan yang terkenal dewasa ini."
— Asma Zarith Ismail, penyanyi utama Mega.
