ANALITIC

Selasa, Oktober 12, 1999

Kathy senang hasil album dengan M. Nasir

petikan Berita Harian, 12 October 1999

Laporan dan gambar oleh A. Kadir Pandi

ALBUM terakhir Kathy Ibrahim berupa nyanyian duet bersama Ramli Sarip, sudah berusia enam tahun. Selepas album berjudul Lagu Zaman itu, tiada lagi album terbaru rakamannya.

Sepanjang enam tahun itu, namanya hanya dikaitkan dengan kegiatan mengurus perniagaan restoran di New Zealand — seolah-olah bidang nyanyian sudah menjadi setakat sejarah dalam hidupnya.

Benarkah begitu?

Tidak, kata Kathy.

Beliau hanya 'menghilang' sebagai seorang artis rakaman kerana selama enam tahun itu, beliau masih aktif menyanyi di majlis-majlis korporat sekiranya diundang.

Kini, selepas restorannya di New Zealand dijual kepada orang lain, Kathy kembali ke dunia hiburan.

Bukan itu saja, cita-citanya untuk menyanyikan lagu-lagu yang mempunyai sentuhan M. Nasir juga tercapai.

"Dua tahun dulu memang ada rancangan untuk mengambil M. Nasir sebagai penerbit.

"Tetapi oleh kerana beliau baru kehilangan isteri yang tercinta dan adanya krisis ekonomi, maka rancangan itu tergendala buat sementara.

"Bagaimanapun, sekarang krisis ekonomi sudah menampakkan tanda-tanda pemulihan dan M. Nasir juga kembali seperti sedia kala," katanya.

Inilah kali pertama Kathy bekerjasama dengan M. Nasir dalam studio.

"Saya dapati M. Nasir menjalankan tugasnya secara profesional.

"Tidak susah bekerja dengan M. Nasir kalau dapat memahaminya. Beliau juga nampaknya boleh bertolak ansur kerana ada beberapa lagu ciptaannya yang saya tolak kerana tidak sesuai dengan suara saya.

"M. Nasir menerimanya dengan sikap terbuka," kata Kathy.

Sebanyak 10 lagu telah dirakamkan — sembilan ciptaan M. Nasir sementara yang satu lagi dicipta oleh Yan dari kumpulan Lefthanded.

"M. Nasir mempunyai cara tersendiri dalam melahirkan sesebuah album.

"Misalnya, beliau tidak hanya menuju kepada sesebuah lagu yang difikir akan menjadi lagu hit tetapi bekerja untuk setiap lagu yang dirakamkan, iaitu keseluruhan album.

"Saya senang bekerja dengannya biarpun ada orang berkata M. Nasir ni seorang yang outspoken.

"Biarpun saya cerewet memilih lagu, M. Nasir dapat mengatasinya dengan baik.

"Kesemua sembilan lagu ciptaan M. Nasir dalam album berjudul Terbang Pulang ini sesuai dengan cita rasa saya," kata Kathy.

Kathy menambah bahawa album itu adalah usaha syarikat miliknya sendiri, iaitu Ozona Sdn Bhd.

Dua buah syarikat rakaman telah melahirkan hasrat untuk mengedarkan album tersebut.

Apakah selepas ini Kathy akan berduet semula dengan Ramli Sarip dalam sebuah album baru?

Memang ada rancangan seperti itu, kata Kathy.

Malah, tambahnya, Ramli sendiri pernah melahirkan hasrat yang sama ketika mereka berbual-bual melalui telefon.

"Tengoklah nanti kalau masa dan keadaan mengizinkan, saya dan Ramli akan kembali berduet," kata Kathy.

Bagaimana pula kalau berduet dengan M. Nasir?

Menurut Kathy, Nasir menolaknya dengan alasan belum masanya lagi.

"Insya-Allah, kalau M. Nasir sudah bersedia dan saya juga begitu, kami mungkin berduet dalam satu album," katanya.