petikan Berita Harian, 28 Oktober 1993
Kelelolaan Hanim Mohd Saleh
RAMLI Sarip dan M. Nasir — dua bintang yang telah pun disifatkan sebagai legenda dalam arena muzik Melayu — akan ditemukan dalam satu konsert besar pada 3 Disember ini.
Berlangsung di Auditorium Harbour Pavilion Pusat Dagangan Dunia (WTC), konsert tersebut bakal menjadi suatu penghormatan kepada dua insan seni ini yang telah banyak mempengaruhi perkembangan perusahaan muzik sejak 10 tahun lalu, kata penganjurnya, Serunai Sakti Productions.
Kehadiran Ramli dan M. Nasir juga diharap dapat memberi inspirasi kepada aktivis seni muda di Singapura agar bekerja keras untuk mencapai kejayaan.
Pertemuan antara Ramli dengan M. Nasir ini merupakan yang kedua dianjurkan oleh syarikat yang sama.
Tetapi konsert yang diadakan tahun lalu itu hanya dibuat secara kecil-kecilan iaitu di Balai Rakyat Boon Lay sempena Pesta Seni yang berlangsung di sana, jelas jurucakap penganjur, Halimah Rahmat.
"Sebenarnya, kami menghadapi masalah untuk menyatukan Ramli dan Nasir kerana kedua-duanya selalu sibuk dengan penerbitan album.
"Tetapi kejayaan konsert di Boon Lay dulu mendorong mereka untuk bersama lagi," tambah Halimah.
Di Harbour Pavillion, penonton boleh menjangkakan persembahan pandang dengar (audio visual) yang dimainkan selari dengan persembahan Ramli dan M. Nasir sepanjang konsert dua jam itu.
"Konsep konsert ini akan membawa penonton mengikuti perjalanan masa yang telah dilalui Ramli dan Nasir sepanjang pelibatan mereka dalam bidang muzik," kata Halimah lagi.
Ramli pula, ketika dihubungi, berkata beliau memang telah biasa bekerja dengan M. Nasir di studio, tetapi antara mereka, begitu berbeza citarasa dan gayanya.
"Nasir adalah seorang rakan baik saya dalam bidang muzik.
"Walaupun gandingan antara saya dengan Nasir sebenarnya bukan satu perkara yang baru, tetapi untuk konsert ini, saya sifatkannya sebagai satu penghormatan kerana ia membawa saya dan Nasir menyingkap semula susah payah kami selama ini," ujar Ramli.
Untuk memastikan persembahan yang harmoni, mereka akan berkongsi pemuzik latar yang terdiri daripada karyawan muzik yang begitu berpengalaman seperti Jay Jay, Man Kidal dan Wan Ahmad.
"Pemuzik yang season seperti mereka memang seronok diajak bermain bersama. Persembahan akan banyak menggunakan akoustik," jelas raja rok itu lagi.
M. Nasir akan membawakan lagu-lagu daripada album terbarunya, Saudagar Mimpi, dan beberapa lagu popular lamanya seperti Mustika, Keroncong Untuk Ana dan Kiambang.
Ramli pula akan membawa peminatnya kembali ke zaman beliau bersama kugiran Sweet Charity menerusi lagu Kamalia, Teratai dan lagu-lagu daripada album solonya seperti Warisan, Istilah Cinta, Temasya Desa Gemalai dan Tawakal.
Tiket-tiket berharga $20, $30, $40 dan $50 boleh didapatkan di Centrepoint, Northpoint dan Serunai Sakti Productions (telefon: 388-2108).