Ahad, Mac 28, 2021

M. Nasir kongsi ilmu seni dengan karyawan muda

Petikan Utusan Malaysia 28 Mac 2021

Oleh Zaki Salleh


IPOH: Datuk M. Nasir mahu berkongsi ilmu serta mencurahkan pengetahuan sepanjang 40 tahun berkecimpung dalam industri seni agar boleh mencambah minat pada anak-anak muda.

Menurut penyanyi dan komposer terkenal tanahair itu, perkongsian itu juga bagi mencetuskan inspirasi kepada golongan tersebut bahawa peluang untuk mereka berjaya dengan berkarya dalam industri seni sangat luas.

Beliau yang telah menghasilkan puluhan karya-karya hebat berkata, melalui syarikatnya, Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) berkata, perkongsian ilmu itu juga merupakan pemberian kembali beliau kepada masyarakat.

“Sejak 2017 Luncai Emas telah terlibat menjayakan bengkel seni di serata negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Saya ingin lihat daripada penganjuran bengkel seni ini kita ingin lihat bakat dan mahu peserta pergi jauh, jadikan industri seni sebagai mata pencarian untuk capai cita-cita.

“Kita nak mendekati komuniti seni yang kecil seperti di Ipoh ini agar anak-anak mudanya dapat menggilap kreativiti mereka, bengkel ini cuma asasnya sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada penutup Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik di Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.

Bengkel berkenaan anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Luncai Emas Sdn. Bhd. dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Majlis perasmian penutupnya disempurnakan oleh Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid.

Bengkel selama dua hari itu disertai seramai 100 peserta yang terdiri daripada anak-anak muda termasuk pengkarya, penulis lagu dan pengendali laman sosial.

Menurut M. Nasir, pada masa ini industri muzik dan seni sendiri telah mengalami perubahan platform yang ketara termasuklah norma baharu disebabkan pandemik Covid-19.

“Semua mengalami perubahan tetapi kita mesti boleh menjana pendapatan dengan syarat pandai menggunakan kemahiran yang ada,” katanya.

Sementara itu, Zakaria memberitahu, Finas sangat menyokong usaha-usaha menganjurkan bengkel seperti ini yang melibatkan insan seni hebat seperti M. Nasir dan lain-lain pengkarya.

Katanya, ia juga sebahagian daripada program pembangunan modal insan untuk membantu industri kreatif mengikut dana yang disediakan oleh Finas.