Rabu, Disember 29, 2021

Konflik Search ada dirujuk kepada M Nasir

petikan Harian Metro 29 Disember 2021

Ridzuan Abdul Rahman  mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komposer dan penerbit album terkenal, Datuk M Nasir tidak mahu masuk campur dalam isu perbalahan kumpulan Search yang kini terpecah dua iaitu yang dianggotai pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid serta satu lagi kumpulan dianggotai bekas penyanyinya, Amy, Nasir Daud (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang (gitar) yang turut menggunakan nama Search.

Bagaimanapun, M Nasir yang sinonim sebagai penerbit dan komposer kebanyakan lagu Search mengakui tindakan Noordin dan Kid mengeluarkan kompilasi lagu berat dan balada Search dalam produk Rockology Search : Kid'Din Collection Series baru-baru ini bukanlah satu kesalahan. 

"Tiada masalah kerana ia memang dibuat oleh industri rakaman. Ia boleh dijual dengan cara yang dibenarkan. Syarikat rakaman boleh jual tapi dengan syarat berlesen. Memang ada perniagaan di situ. Namun, perbalahan membabitkan hal yang empunya itu yang serba salah. Dia bukan tak suka kerana orang yang jual benda ini, tapi dia tak suka orang yang ambil benda ini," katanya.

M Nasir mengakui, konflik kumpulan rock legenda itu pernah dirujuk kepadanya.

"Tiada penyelesaian sebab komunikasi pun lambat. Kita bercakap mengenai satu kumpulan yang dah lama. Usia mereka pun ada dah lebih 60 tahun," katanya.

Terdahulu, Noordin berkata, situasi yang berlaku membuatkan peminat Search kini berpecah kepada dua.

M Nasir berkata, perkara ini mungkin nampak buruk kepada dia dan pemerhati, namun tidak pada mereka yang terbabit. 

"Benda itu boleh diselesaikan sebenarnya dengan adanya komunikasi di tengah-tengah," katanya.

Selain terbabit dalam sebahagian besar penerbitan album-album Search, M Nasir juga orang bertanggungjawab membawa Search ke industri rakaman apabila memperkenalkan mereka kepada syarikat rakaman Polygram yang membawa kepada penghasilkan album sulung Search, Cinta Buatan Malaysia pada 1985.

Namawee tewaskan M Nasir

petikan Harian Metro 29 Dismeber 2021

Ridzuan Abdul Rahman  mohamadridzuan@hmetro.com.my


DATUK M. Nasir berucap perasmian anugerah MACP 2021. FOTO Owee Ah Chu

Kuala Lumpur: "Nampaknya kali ini ada pesaing," demikian jawapan spontan Pengerusi Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) Berhad, Datuk M Nasir ketika mengumumkan kategori utama iaitu Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah MACP 2021, semalam.

Majlis yang berlangsung dalam suasana norma baharu di The Bee, Publika, di sini, mengiktiraf komposer dan penyanyi, Namawee atau Huang Ming Zhi sebagai pemenang sekali gus menewaskan M Nasir yang sinonim dengan kategori itu serta komposer Ezra Kong yang turut tercalon. 

M Nasir berkata, penggunaan meluas platform digital dilihat menjadi penyelamat kepada industri muzik yang lumpuh ekoran penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun lalu.

"Ahli yang berdaftar dengan MACP harus merebut peluang mengetengahkan karya mereka di platform digital seperti yang dimanfaatkan oleh Namewee. Lagunya tidak dimainkan di stesen radio tetapi Namewee muncul sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi tahun ini. Hasil karyanya kuat di media sosial. Begitu juga dengan I Am Me ciptaan Edry Abdul Halim yang dinyanyikan Datuk Seri Vida," katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu apa strategi mereka dan berapa banyak yang mereka laburkan untuk lagu itu dimainkan di platform digital.

"Namun, berdasarkan royalti yang kita kutip, lagu I Am Me mendapat sambutan di pusat karaoke sehingga berjaya muncul Lagu Inggeris Dengan Dendangan Terbanyak. Walaupun keadaan itu boleh memberikan tekanan kepada orang yang serius buat lagu tetapi kita terpaksa akur kerana ini adalah cabaran dan juga peredaran dunia muzik. 

"Orang sekarang membeli budaya dan gaya hidup seperti TikTok dan ia berlaku di seluruh dunia. Berbanding dahulu, imej dan personaliti seseorang artis itu lebih menjadi ukuran lagunya diminati pendengar yang hanya menikmatinya di radio," katanya.

Sementara itu, Namawee dalam ucapan menerusi rakaman video mengucapkan terima kasih kepada MACP serta peminat yang menyukai lagu ini.

"Saya menghargai mereka yang memahami karya-karya Namewee," katanya yang kini berada di luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, M Nasir berkata, kesan Covid-19 mengakibatkan banyak aktiviti persembahan nyanyian seperti konsert, persembahan terbuka, majlis korporat, perkahwinan termasuk pusat karaoke tidak dapat beroperasi sehingga menjejaskan kutipan MACP.  

Justeru, dia menggesa penggiat muzik harus bersedia untuk berubah serta perlu menyesuaikan diri dengan budaya baru industri muzik, sekiranya tidak mahu ketinggalan.

"Komposer lama yang bergantung kepada kaedah konvensional sudah mula merasakan kesan apabila pendapatan tahunan royalti mereka mula terjejas. Kalau tanya kepada saya sampai bila kita akan berada dalam keadaan ini, saya tidak ada jawapan. Mungkin perlu tunggu antara dua ke tiga tahun. 

"Bukan kita saja yang mengalami masalah itu, tetapi komposer di seluruh dunia turut merungut apabila album tidak boleh jual sehingga ada yang terpaksa memberikan album percuma kepada peminat," katanya. 

Diminta mengulas mengenai isu pengusaha produk yang berlumba-lumba ingin bergelar penyanyi, M Nasir berkata ia  juga sebahagian daripada peredaran semasa. 

Bagaimanapun katanya, sedikit sebanyak ia tetap memberi kesan kepada industri muzik terutama mereka yang serius mahu menghasilkan lagu. Tambahan pula industri muzik negara ini tidak sebesar mana.

M Nasir bagaimanapun lega dengan kelahiran komposer generasi muda yang diberi gelaran BBNU kerana mereka inilah juga yang membantu menggerakkan industri muzik mengikut arus semasa.

  "Saya rasa gembira bila melihat komposer muda yang konsisten menghasilkan lagu seperti Ezra Kong, Zynakal dan beberapa nama lagi. Mereka ini berjaya mewujudkan satu komuniti untuk menggerakkan lagi industri muzik kita. Namun, mereka haruslah konsisten dan janganlah minat itu hanyalah sekadar sementara saja," katanya.

Isnin, Disember 13, 2021

M Nasir positif COVID-19

petikan Berita Harian 13 Disember 2021

Oleh Fatin Farhana Ariffin  fatin.farhana@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya selepas disahkan positif COVID-19.

Berita sedih berkenaan disahkan isterinya, Datin Marlia Musa ketika dihubungi BH Online.

"Ya benar, Datuk M Nasir positif COVID-19. Suami sekarang sedang berehat dan menjalani proses kuarantin di rumah," katanya.

Marlia berkongsi, suaminya dikesan dijangkiti virus berkenaan selepas menjalani ujian sebanyak dua kali.

Berikutan itu, Marlia dan anaknya, Suci Musalmah turut melakukan ujian dan keputusan diperoleh, negatif.

"Kami selalu buat kit ujian kendiri COVID-19 di rumah. Suami melakukan ujian kerana secara kebetulan, sepatutnya berada program di Pesta Buku Selangor, semalam.

"Ujiannya positif. Kami terus buat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan keputusannya pagi ini turut positif. Bagaimanapun, saya, anak dan pembantu rumah bebas COVID-19.

"Namun, kami tetap menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat suami," katanya.

Marlia dan Suci Musalmah turut melakukan ujian dan keputusan diperoleh, negatif selepas M Nasir disahkan jangkitan. - Foto IG Marlia Musa

Marlia dan Suci Musalmah turut melakukan ujian dan keputusan diperoleh, negatif selepas M Nasir disahkan jangkitan. - Foto IG Marlia Musa

Tambah Marlia, dia tidak tahu dari mana punca jangkitan berkenaan.

"Tak tahulah dari mana suami dapat virus ini," katanya.

Ekoran itu, Marlia berharap orang ramai mendoakan kesembuhan buat suaminya.

"Insya-Allah, doakan kesembuhan suami dengan segera," katanya.

Menerusi tinjauan BH, M Nasir mahupun isterinya tidak berkongsi mengenai jangkitan berkenaan dalam laman sosial.

Selasa, September 07, 2021

Kertas kosong jadi permulaan!

petikan Harian Metro 7 September 2021

Syafil Syazwan Jefri

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Jiwa patriotik dan rasa cintakan negara dapat diungkapkan menerusi pelbagai medium dan kreativiti. 

Ada yang berjuang di barisan hadapan demi negara dan ada juga yang menggunakan pelbagai cara lain untuk menunjukkan rasa patriotisme mereka.

Bagi penyanyi veteran, Dr Sam namanya cukup dikenali menerusi lagu Saya Anak Malaysia yang menjadi siulan masyarakat sejak 35 tahun lalu.

Siapa sangka, lagu yang kedengaran ringkas dan bercerita mengenai perjalanan hidup penyanyi dengan nama sebenarnya Salim Ibrahim ini mampu terus kekal menjadi lagu patriotik malar hijau sehingga ke hari ini.

Menjengah ke usia 68 tahun, Dr Sam mengimbau kembali kenangan kehidupannya sebagai anak Malaysia yang pernah bermusafir di Eropah satu ketika dahulu.

"Saya nak kongsikan sedikit kisah sewaktu saya berada di Eropah satu ketika dahulu. Arwah ayah saya menghantar saya untuk melanjutkan pelajaran.

"Namun, bila berada di sana, jiwa untuk belajar dah tak boleh nak bercambah dan rasa cinta saya mula beralih kepada muzik," katanya.

Dari situ, Dr Sam mula belajar berkarya di jalanan sebagai busker atau pemuzik jalanan dengan caranya yang tersendiri.

"Saya bukanlah pandai main muzik sangat. Bolehlah sikit-sikit. Pada ketika itu, saya hafal pun dalam lima hingga enam lagu.

"Bila berada di negara orang, saya belajar pelbagai benda untuk meneruskan kehidupan. Busking satu latihan terbaik untuk seseorang pemuzik.

"Di Eropah pula ramai busker. Jadi, saya tak boleh nak berdiri 'tercacak' saja sambil menyanyi. Saya kena fikirkan showmanship yang mampu menarik perhatian penonton," katanya.

Usai menjalani kehidupan di Eropah, Dr Sam pulang ke tanah air dan mencuba nasib dalam muzik.

"Ibu bapa saya kecewa apabila saya maklumkan ingin jadi penyanyi. Biasalah, pada ketika itu, penyanyi bukan dianggap satu pekerjaan tetap yang mampu menjana pendapatan.

"Namun saya lihat ia sebagai cabaran untuk saya cuba buktikan. Saya nak buktikan ia mampu menjadi satu kerjaya dan punca rezeki buat saya," katanya.

Pada 1986, Dr Sam terbabit dalam pembikinan filem Kembara Seniman Jalanan yang turut dibintangi Datuk M Nasir dan Datuk Khatijah Ibrahim.

"Alhamdulillah, Allah bagi satu rezeki pada 1986 di mana ketika saya menjalani penggambaran filem Kembara Seniman Jalanan, M Nasir muncul dengan satu ilham muzik.

"Sambil-sambil kami duduk bersama, dia menggoreng gitarnya dan memainkan satu melodi yang menjadi bahagian korus lagu Saya Anak Malaysia.

"Kebetulan saya pun merancang menghasilkan album. Jadi, dia minta saya menyambung dan jadikan melodi itu sebagai karya," katanya.

Berkongsi mengenai lirik lagu Saya Anak Malaysia, Dr Sam pada awalnya meminta sahabatnya yang juga penulis lirik terkenal, S Amin Shahab untuk menulis lirik lagu itu yang berakhir dengan kertas kosong.

"Memandangkan belum ada lirik, jadi saya hantar susunan muziknya kepada S Amin Shahab memandangkan dia pakar dalam penulisan lirik. 

"Selepas berbulan-bulan, dia belum siapkan lirik lagu ini sedangkan saya dah nak mulakan proses rakaman. Bila saya berjumpa dengannya, dia beri saya kertas kosong," katanya.

Siapa sangka, kertas kosong menjadi permulaan untuk lagu yang mengukir kisah perjalanan hidup Dr Sam sendiri di samping meluahkan rasa kecintaannya kepada Malaysia.

"Dia tanya saya, lahir tahun berapa. Saya cakap, 1953. Jadi, dia beri idea kepada saya supaya mulakan lagu itu dengan bercerita mengenai diri saya.

"Jadi, saya masukkan cerita mengenai latar belakang saya dan perjalanan hidup saya yang berhijrah ke luar negara.

"Walaupun negara orang indah sekali, Malaysia tetap di hati," katanya.

Selepas 35 tahun, Saya Anak Malaysia masih lagi diterima dengan baik walaupun pada awal-awal kemunculannya, ia dianggap sebagai lagu biasa.

"Dulu, tak sangat (sambutan) macam sekarang. Saya pun pelik. Tapi, itulah Allah punya perancangan yang kita hamba-Nya tak pernah tahu.

"Dulu, kalau sambutan Hari Kemerdekaan pun, tak seperti sekarang. Kini, dalam usia saya sekarang masih dijemput untuk berborak secara santai dan berkongsi mengenai lagu ini," katanya.

Bagaimanapun, Dr Sam lebih selesa untuk memberi tumpuan kepada amal ibadah di samping mencari bekalan untuk akhirat.

"Kalau dah dalam umur sekarang, takkan nak kejar dunia lagi. Kita kena fikir akhirat juga. Sekarang, alhamdulillah, banyak usaha saya untuk bina kehidupan akhirat.

"Yang menjadi ingatan saya adalah iman sebagai pasport dan amal umpama wang. Nak ke mana-mana pun, kita kena ada dua benda ini. Sama juga untuk kita ke akhirat. Kena ada dua benda ini," katanya.

Khamis, Julai 22, 2021

'Lantik tokoh layak'

petikan Berita Harian 22 Julai 2021

Oleh Zaidi Mohamad dan Fatin Farhana Ariffin 

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Mengimpikan agensi kerajaan yang efektif dalam mengawal selia pembangunan industri muzik termasuk menangani isu lapuk, penggiat seni mahu tokoh profesional yang tahu selok-belok dunia muzik dilantik mengetuai Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM).

Menyambut baik keputusan kerajaan menubuhkan PIMM seperti diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Isnin lalu, penggiat industri muzik berharap perbadanan itu dapat menjaga kepentingan semua pekerja muzik di Malaysia.

Malah, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang membentangkan cadangan penubuhan PIMM kepada kerajaan, tahun lalu, berharap diberi peluang memberi sumbangan idea dan kepakaran dengan rekod lebih 40 tahun terbabit dalam dunia muzik tempatan.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata pihaknya amat gembira dengan penubuhan PIMM susulan pembentangan dibuat persatuan itu kepada kerajaan, pertengahan tahun lalu.

"Selama ini, tidak ada sebuah badan kerajaan yang menjaga kepentingan industri muzik.

"Pada pembentangan itu, kami cadangkan sebuah badan khusus di mana fungsinya sama seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menjaga kepentingan industri filem, ditubuhkan.

"Alhamdulillah, apa yang dikemukakan akhirnya direalisasikan dengan penubuhan PIMM," katanya kepada BH Online.

Ketika mengumumkan penubuhan PIMM, Saifuddin berkata, keputusan dibuat Kabinet, minggu itu mampu memperkasakan ekosistem muzik tempatan.

Rosmin berkata, PIMM mampu membawa industri muzik tempatan ke tahap lebih tinggi kerana produk dihasilkan sama seperti kandungan digital lain seperti filem dan permainan, boleh membangunkan ekonomi negara.

"RIM berharap dapat menduduki salah satu kerusi ahli lembaga pengarah penaja PIMM yang merangkumi ahli profesional berpengalaman luas dalam industri muzik," katanya.

Rosmin berkata, dengan adanya PIMM, jaringan kerjasama antara penggerak industri muzik dan kerajaan lebih utuh.

"RIM berharap dengan penubuhan PIMM, kita dapat bekerjasama menganjurkan misi dagangan ke Indonesia dan negara lain bagi mengeksport produk muzik tempatan.

"Kita juga boleh bekerjasama menganjurkan Anugerah Industri Muzik (AIM). Acara begini memerlukan pembiayaan, jadi mungkin kita boleh mendapatkan bantuan kerajaan untuk menganjurkan acara yang mengiktiraf penggiat muzik tempatan," katanya.

Sementara itu, komposer bergelar sifu, Datuk M Nasir berkata, tokoh profesional yang mahir dan berpengetahuan mengenai muzik dan industri, wajar mengepalai PIMM.

"Saya tidak kisah sesiapapun... Apa yang penting beliau profesional, mahir dan berpengetahuan mengenai muzik dan industri muzik itu sendiri," katanya.

M Nasir berkata, PIMM juga perlu membuat kajian dan pertimbangan dalam semua aspek industri muzik tempatan bagi menentukan hala tujunya.

"Perbadanan sudah ditubuhkan, jadi, apa yang perlu adalah mereka yang terbabit duduk semeja dan atur hala tuju sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, penulis lirik, Ad Samad jelas dengan pembahagian ekosistem industri muzik kepada tiga bahagian iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan dalam PIMM, seperti diumumkan Saifuddin.

"Saya nampak objektif mereka jelas untuk memudahkan mencapai tujuan membantu penggiat muzik.

"Tetapi, bagi sya, kita perlu letak hierarki agar boleh lihat bahagian mana yang penting. Paling utama adalah penghasilan iaitu merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi rakaman dan sebagainya.

"Biar apa pun kaedah diambil, kita harus memastikan golongan ini berada pada kelompok 50 peratus di atas.

"Contohnya, kalau kita ambil 10 orang sebagai lembaga pengarah, lima daripada mereka mestilah mewakili mereka yang berada dalam industri rakaman muzik seperti komposer, penulis lirik, pemuzik dan penyanyi rakaman," katanya.

Ad bimbang jika pelantikan ahli lembaga pengarah dibuat dalam kalangan individu tidak berkelayakan, dikhuatiri kepentingan penggiat industri muzik terabai.

Komposer Ajai berharap individu yang bakal menerajui PIMM mempunyai pemahaman mendalam mengenai industri muzik dan tiada kepentingan tertentu.

"Sesiapapun yang dipilih, biarlah tiada kepentingan. Nanti yang merana adalah anak seni di mana nasib mereka terus terbiar tanpa pembelaan.

"Kalau boleh, biarlah orang baharu atau lebih utama, tahu selok-belok dan fungsi dunia muzik. Kita mahu orang yang 'cakap serupa bikin', jangan ambil 'lanun' yang tahu cakap tapi kerja tak jalan," katanya.

Ajai turut mencadangkan pengenalan modul khas bagi meneliti dan memahami kitaran industri muzik tempatan.

"Setahu saya, RIM ada modul industri muzik. Daripada situ, boleh difikirkan langkah seterusnya termasuk perancangan mengukuhkan persatuan yang berkaitan," katanya.

Penyanyi dan komposer, Naim Daniel, berkata berharap penubuhan PIMM memberi justifikasi kepada industri muzik tempatan.

"Di Malaysia, ada beberapa badan atau agensi yang sepatutnya menjaga pengkarya muzik dan artis.

"Diharapkan, PIMM boleh membaik pulih ekosistem yang sudah ada. Tidak mahu nanti sudah ada lambakan badan, tetapi nasib anak tidak terbela," katanya

Naim berkata, perbadanan itu diharap telus dan dapat mengatasi masalah dalam industri muzik asalkan tidak mempolitikkan seni.

"Sudah banyak kali saya tengok, nasib anak seni tidak terjaga selagi ada mereka yang hanya mempunyai kepentingan peribadi," katanya.

Enam objektif utama penubuhan PIMM antaranya menjadi badan khusus merangka dan memastikan pembangunan industri muzik yang diselaraskan secara holistik dengan sinergi pelbagai pihak.

Berfungsi sebagai pemudah cara dan memberi khidmat nasihat dalam membantu permasalahan, kebajikan dan perlindungan hak pemain industri muzik agar ditangani secara kolektif dan harmoni.

Menyelaras infrastruktur sektor muzik selain mengurus agihan insentif kewangan serta dana bagi tujuan pengembangan industri dan penggiatnya.

Rabu, Jun 30, 2021

Negara kehilangan pemain bass berbakat - M. Nasir

petikan Astro Awani 30 Jun 2021

Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Pemergian bekas pemain bass kumpulan Spider, Tony Iskandar Alberto merupakan satu kehilangan besar buat industri muzik, kata komposer terkenal, Datuk M. Nasir.

Menurut M. Nasir, Allahyarham Tony merupakan seorang pemain bass dan komposer yang berbakat besar.

Tony juga digambarkan beliau sebagai seorang yang ahli kumpulan muzik yang jati.

“Tony seorang yang ceria. Dia juga setiakawan dan setia kepada muziknya. Dia bangga dengan muzik dan mainan bassnya.

“Kita hilang seorang pemain bass dan komposer berbakat,” kata seniman itu kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Astro AWANI melaporkan, sekitar pukul 1 pagi Rabu, Tony meninggal dunia di sebuah bilik persendirian di studio Luncai Emas milik M. Nasir di Sungai Buloh, Selangor.

Allahyarham yang berusia 49 tahun memeluk Islam pada 2004 dan difahamkan mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

Allahyarham merupakan anggota asal Spider yang turut dianggotai Tam (vokalis), Nafie (pemain gitar) dan Aie (pemain gitar).

Antara lagu popular kumpulan Spider ialah Relaku Pujuk, Kasih Latifah, Laukku Cukup Masin dan Nazraku.

Sementara itu, Pengarah Urusan Luncai Emas, Keon Omar menyifatkan Tony sebagai seorang komposer yang mempunyai banyak idea-idea segar.

Katanya, sejak akhir-akhir ini Tony sangat aktif dalam menghasilkan lagu dan menerbitakan album.

“Sebenarnya Tony kini dalam proses menerbitkan album terbaru kumpulan Jinbara, tapi disebabkan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) proses rakaman album itu tertangguh,” ujarnya.

Bagi komposer Aidit Alfian pula, Tony merupakan seorang yang sangat menghormati orang lain.

Aidit yang sudah dua dekad mengenali Allahyarham berkata, sekalipun seorang yang berbakat besar dalam muzik, namun Tony tetap merendah diri.

“Dia antara kawan yang saya sayang. Kalau bertemu Tony suka berbual tentang ketuhanan.

“Kali terakhir dia menghubungi saya pada Isnin lepas untuk ucap selamat hari lahir,” kata Aidit yang mengakui terkejut menerima khabar duka itu.

Rakan seperjuangan Tony, Firdaus Mahmud pula berpendapat, Allahyarham merupakan antara pemain bass yang ada gaya tersendiri.

Menurut Firdaus kali terakhir bertemu Tony pada Isnin lepas di Studio Luncai Emas.

“Dia ada telefon Tam (vokalis Spider) pada hari Ahad ajak solat berjemaah. Sehari selepas itu dia hubungi lagi Tam dan ajak saya sekali untuk solat berjemaah. Itu kali terakhir saya jumpa dia,” kata Firdaus yang juga seorang pemain keyboard.

Seorang lagi rakan Allahyarham, Ishmael Shariff pula mengambarkan Tony sebagai seorang yang bersemangat dengan muziknya.

“Dia begitu minat dengan muzik dan mencurahkan segala-galanya dalam lagu ciptaan dan mainan bassnya,” jelasnya.

Pemergian Tony ke rahmahtullah turut mendapat perhatian ramai rakan seperjuangan yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham.

Kesemua mereka yang terkejut dengan pemergian Allahyaham berkongsi doa serta ucapan takziah di laman media sosial.

Ahad, Jun 13, 2021

Garasi Kupas Falsafah Datuk M Nasir

 sumber Youtube Garasi TV.


Ikuti temubual Tuan Haji Zainal Ahmad (Channel Garasi TV) bersama Datuk M Nasir. Membincangkan falsafah seorang seniman renaissance muzik Melayu. 

Wajib tonton!

Isnin, Mei 17, 2021

Suatu Hari Di Hari Raya & Salam Dunia (Live DM)

Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut dengan pergerakan yang ketat dan terbatas kerana wabak Covid19 yang masih melanda negara kita dan seluruh dunia. 

Baru baru ini dua buah tangan terbaru dari Datuk M Nasir yang membawakan dua lagu Raya secara live telah dirilis. 

Lagu Suatu Hari Di Hari Raya (Live DM) & Salam Dunia (Live DM) ini juga boleh didengar di saluran Youtube, dan platform penstriman digital seperti Spotify dan lain lain.

Moga kita semua menemui kemenangan!



M.NASIR - SATU HARI DI HARI RAYA (LIVE DM):  Youtube / Spotify



M.NASIR - SALAM DUNIA (LIVE DM)  Youtube / Spotify 

Pemuzik

Gitar : Aznan Alias, Rafi Shafie

Bass : Norman

Keyboard : Firdaus , Eddie Slam

Drum : Ujang

Perkusi : Pa'ang

Seruling : Mohar

Penyanyi Latar : Eija, Norakmal , Yua

Hakcipta Rakaman  : Luncai Emas Sdn Bhd

Khamis, April 01, 2021

Karya perlu ada tarikan massa

petikan Berita Harian 1 April 2021

oleh Balqis Jazimah Zahari  bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seiring peredaran zaman, industri muzik dan seni tanah air bergerak pantas melangkau pelbagai medium.

Dalam mengejar arus itu, sudah pasti ada segelintir pemain industri yang menganggap diri ketinggalan dan karya hilang daya tarikan, lalu lenyap daripada industri seni.

Situasi ini mengakibatkan pemain industri atau pengikut menganggap rentak dunia seni semakin perlahan dan kurang produk malar segar atau tidak lapuk ditelan zaman.

Namun, bagi penerbit album dan komposer, Datuk M Nasir, 63, yang lebih empat dekad mengabdikan diri dalam dunia muzik, pemain industri kurang menonjol sebenarnya tidak memiliki apa yang digelar tarikan massa atau 'mass appeal'.

Menurut penyanyi lagu Keroncong Untuk Ana ini, industri seni secara keseluruhan bukan berjalan perlahan atau menurun secara mendadak seperti persepsi segelintir pihak.

"Kita ada statistik dan orang luar tiada statistik. Sesetengah orang merasakan industri ini sudah perlahan atau tidak berjalan. Ini mungkin kerana tidak menguntungkan dia atau memang sudah sampai waktunya tidak laku.

"Saya tidak nampak isu. Apa yang selalu kita dengar adalah mengenai hasil kerja tidak dapat ditonjolkan dengan betul, tidak mendapat perhatian daripada media dan khalayak.

"Ada juga yang melihat pihak lain dapat perhatian dan merasakan dia juga perlu mendapat perhatian sedemikian rupa walaupun kerja mungkin tidak sebagus mana.

"Jadi, sebenarnya hak mereka tidak dapat dicapai. Mereka rasa hak mereka diganggu. Sepatutnya, mereka mendapat peluang lagu dimainkan di radio dan sebagainya. Namun, hakikatnya, susah hendak dijual," katanya kepada BH Online.

Sehubungan itu, paling utama, bagi M Nasir, sesebuah karya perlu ada tarikan massa.

"Masalahnya, banyak kumpulan yang tidak menghasilkan karya yang mempunyai tarikan ramai. Karya mereka bagus tetapi tidak mempunyai tarikan ramai," katanya.

M Nasir berkata, persoalan dan perdebatan mengenai karya yang sering mendapat perhatian umum dianggap lumrah industri seni sejak dahulu lagi.

"Orang rasa barang tidak laku dan mengeluh mengenai teknologi, pilih kasih dalam penyiaran baik di radio atau jarang keluar di televisyen (TV) serta melihat artis sama sahaja.

"Masalahnya sama, tetapi zaman dahulu tiada media sosial, sekarang sudah ada media sosial dan tumpuan bukan sahaja pada muzik tetapi pelbagai benda lain muncul hingga orang minat.

"Sebagai 'orang yang setengah masak' buat benda yang kelakar dan 'cute' pun ramai minat. Sekarang ini perlu ada Instagram, TikTok dan semua dalam sosial media ini. Mungkin separuh dari mereka (pemain industri) tidak berminat.

"Jadi, semua hendak mendapatkan penonjolan yang dicita-citakan, tetapi dalam industri hiburan ini, tidak semua yang akan dapat. Namun, dengan karya yang baik dan memiliki nilai komersial, ia akan menonjol," katanya.

M Nasir berkata, situasi sama seperti pembikinan filem di mana sesetengah karya tidak dapat menonjol dan tidak laku dijual.

Justeru, beliau berkata, untuk mendapatkan mass appeal, pemain industri perlu belajar mengenai perkara disukainya dan orang lain.

"Pertama, dia kena betul-betul suka apa yang dia buat, banyak buat kajian dan belajar aspek teknikal kerja itu. Dia juga kena mahir dalam semua dan menguasai ilmu seni yang mahu difahami.

"Sebagai contoh, penggunaan kamera. Kalau ini bidang yang dia hendak lakukan, dia perlu mahir dalam bidang pembikinan video menggunakan telefon bimbit.

"Kita lihat sekarang banyak di YouTube orang membuat filem pendek atau besar hanya menggunakan telefon bimbit. Namun, perkara teknikal lain juga mereka perlu ada dan mahir," katanya.

M Nasir ditemui selepas menghadiri majlis penutup Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik yang disempurnakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid di Ipoh, baru-baru ini.

Bengkel anjuran Luncai Emas, FINAS, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan kerajaan negeri dengan disokong Persatuan Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) itu diadakan selama dua hari.

Peserta didedahkan mengenai cara menerbitkan video muzik dan proses suntingan. Peserta juga mempelajari cara rakaman muzik dan video boleh dieksploitasi dan pemasaran dalam medium digital.

Dikendalikan moderator, Pengurus Perhubungan Awam Luncai Emas, Sham Amir Hussain, bengkel membawa peserta mendapatkan tip daripada ahli panel profesional.

Sementara itu, M Nasir yang juga Pengarah Luncai Emas berkata, bengkel seumpama itu dianjurkan sejak 2017 bagi berkongsi ilmu kepada generasi muda.

"Bengkel ini sebagai inspirasi kepada mereka yang baru hendak mencuba atau tidak tahu bagaimana hendak bermula. Kita ada banyak bakat yang boleh diketengahkan dan boleh menjadikannya sebagai karier," katanya yang sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan bengkel sama di seluruh negara.

Lebih empat dekad dalam dunia seni, M Nasir digelar sifu oleh industri muzik Malaysia. Berasal dari Singapura, M Nasir merakamkan album pertama berjudul Untuk Pencinta Seni di bawah nama Mohamad MN pada 1981.

Ahad, Mac 28, 2021

M. Nasir kongsi ilmu seni dengan karyawan muda

Petikan Utusan Malaysia 28 Mac 2021

Oleh Zaki Salleh


IPOH: Datuk M. Nasir mahu berkongsi ilmu serta mencurahkan pengetahuan sepanjang 40 tahun berkecimpung dalam industri seni agar boleh mencambah minat pada anak-anak muda.

Menurut penyanyi dan komposer terkenal tanahair itu, perkongsian itu juga bagi mencetuskan inspirasi kepada golongan tersebut bahawa peluang untuk mereka berjaya dengan berkarya dalam industri seni sangat luas.

Beliau yang telah menghasilkan puluhan karya-karya hebat berkata, melalui syarikatnya, Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) berkata, perkongsian ilmu itu juga merupakan pemberian kembali beliau kepada masyarakat.

“Sejak 2017 Luncai Emas telah terlibat menjayakan bengkel seni di serata negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Saya ingin lihat daripada penganjuran bengkel seni ini kita ingin lihat bakat dan mahu peserta pergi jauh, jadikan industri seni sebagai mata pencarian untuk capai cita-cita.

“Kita nak mendekati komuniti seni yang kecil seperti di Ipoh ini agar anak-anak mudanya dapat menggilap kreativiti mereka, bengkel ini cuma asasnya sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada penutup Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik di Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.

Bengkel berkenaan anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Luncai Emas Sdn. Bhd. dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Majlis perasmian penutupnya disempurnakan oleh Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid.

Bengkel selama dua hari itu disertai seramai 100 peserta yang terdiri daripada anak-anak muda termasuk pengkarya, penulis lagu dan pengendali laman sosial.

Menurut M. Nasir, pada masa ini industri muzik dan seni sendiri telah mengalami perubahan platform yang ketara termasuklah norma baharu disebabkan pandemik Covid-19.

“Semua mengalami perubahan tetapi kita mesti boleh menjana pendapatan dengan syarat pandai menggunakan kemahiran yang ada,” katanya.

Sementara itu, Zakaria memberitahu, Finas sangat menyokong usaha-usaha menganjurkan bengkel seperti ini yang melibatkan insan seni hebat seperti M. Nasir dan lain-lain pengkarya.

Katanya, ia juga sebahagian daripada program pembangunan modal insan untuk membantu industri kreatif mengikut dana yang disediakan oleh Finas.

Khamis, Januari 28, 2021

Singer M. Nasir’s father passed away at 96 in Singapore

 Taken from The Star 28 January 2021

By MUMTAJ BEGUM

Datuk M. Nasir dad, Mohamed Sam, passed away at the of 96 at his home in Singapore today (Jan 28) at 7.30am.

The sad news was shared by Nasir’s wife Datin Marlia Musa on her Instagram.

Berita Harian reported that Nasir and his family hadn’t been able to visit the dad in Singapore due to Covid-19 travel restrictions.

Nasir was born in Singapore. He started his music career there before becoming a Malaysian citizen in 1989. His parents remained in Singapore.

Marlia was reported saying: “We tried to get permission to enter Singapore and visit the family, but the authority wouldn’t allow it due to the Covid-19 situation.”

She added that the last time Nasir saw his dad in person was about a year ago before the start of the pandemic.

“Since then, we’ve been communicating with him via phone and video calls only, ” she said.