petikan Harian Metro 29 Disember 2021
Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Komposer dan penerbit album terkenal, Datuk M Nasir tidak mahu masuk campur dalam isu perbalahan kumpulan Search yang kini terpecah dua iaitu yang dianggotai pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid serta satu lagi kumpulan dianggotai bekas penyanyinya, Amy, Nasir Daud (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang (gitar) yang turut menggunakan nama Search.Bagaimanapun, M Nasir yang sinonim sebagai penerbit dan komposer kebanyakan lagu Search mengakui tindakan Noordin dan Kid mengeluarkan kompilasi lagu berat dan balada Search dalam produk Rockology Search : Kid'Din Collection Series baru-baru ini bukanlah satu kesalahan.
"Tiada masalah kerana ia memang dibuat oleh industri rakaman. Ia boleh dijual dengan cara yang dibenarkan. Syarikat rakaman boleh jual tapi dengan syarat berlesen. Memang ada perniagaan di situ. Namun, perbalahan membabitkan hal yang empunya itu yang serba salah. Dia bukan tak suka kerana orang yang jual benda ini, tapi dia tak suka orang yang ambil benda ini," katanya.
M Nasir mengakui, konflik kumpulan rock legenda itu pernah dirujuk kepadanya.
"Tiada penyelesaian sebab komunikasi pun lambat. Kita bercakap mengenai satu kumpulan yang dah lama. Usia mereka pun ada dah lebih 60 tahun," katanya.
Terdahulu, Noordin berkata, situasi yang berlaku membuatkan peminat Search kini berpecah kepada dua.
M Nasir berkata, perkara ini mungkin nampak buruk kepada dia dan pemerhati, namun tidak pada mereka yang terbabit.
"Benda itu boleh diselesaikan sebenarnya dengan adanya komunikasi di tengah-tengah," katanya.
Selain terbabit dalam sebahagian besar penerbitan album-album Search, M Nasir juga orang bertanggungjawab membawa Search ke industri rakaman apabila memperkenalkan mereka kepada syarikat rakaman Polygram yang membawa kepada penghasilkan album sulung Search, Cinta Buatan Malaysia pada 1985.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan