Rabu, Mac 23, 2022

DENTING DENGUNG M.NASIR (1999-2001)

sumber Facebook Dr. Taki Takiyuddin 

Denting Dengung adalah ruang pojok penting bagi peminat sifu. Penulisan M.Nasir dalam ruang Denting Dengung menjadi jambatan bagi pembaca melihat idea dan sudut pandang beliau dalam pelbagai prespektif.

Dr Taki Takiyuddin melalui Facebook beliau telah menulis satu artikel khusus mengenai pentingnya kolum Denting Dengung yang terbit sebanyak 58 siri dalam sisipan Bi-Pop Berita Minggu. Penulisan Denting Dengung menjadi unik kerana merakam pemerhatian M Nasir dalam ruang lingkup budaya termasuk dalam perkembangan muzik rock yang hangat pada masa itu. 


DENTING DENGUNG M.NASIR (1999-2001)

petikan artikel oleh Taki Takiyuddin 23 Mac 2022

Sumber FB Taki Takiyuddin

DENTING DENGUNG M.NASIR (1999-2001)

Bekas Presiden AS, Lyndon Johnson (LBJ) terkenal dengan “Johnson Treatment” iaitu kaedah pemujukan unik untuk meyakinkan kawan dan lawannya. Lazimnya, “si mangsa” akan mati kutu dan mengalah dengan kehendak Johnson. Kisah ini mengingatkan aku pada M.Nasir yang turut mempunyai “treatment” tersendiri. “M.Nasir treatment” menjadi “urban legend” sekitar 1980-an dan 1990-an khususnya dalam kalangan wartawan. Mereka-mereka yang tidak bersedia untuk menemubual beliau akan mati kutu dan pulang dengan kehampaan berikutan karakter beliau yang “lebih kurang” dan reserved. 

Tapi adakalanya “Nasir treatment” boleh mencetuskan situasi yang unik. Dalam temubual aku dengan Aris Ariwatan, beliau ada menceritakan bagaimana idea yang diperolehi M.Nasir untuk lirik lagu Pertama dan Selamanya nyanyian kumpulan Ariwatan. M.Nasir ketika itu didatangi seorang wartawan yang datang bertanyakan lagi isu yang sama. Dan M.Nasir memberikan respon yang kemudiannya dijadikan bait pertama lagu itu – “apa lagi misteri, apa lagi mahu mu yang bisa ku penuhi”. 

Melewati waktu, “M.Nasir treatment” bukan lagi satu karakter yang dekat dengan diri beliau. Beliau kelihatan semakin “senang diri” dan “tidak ketat” (walaupun elemen “lebih kurang”, sinikal dan sarkastik tetap muncul sekali sekala dalam banyak temubualnya dengan media sehingga ke hari ini). 

Bagi peminat ketika itu, “M.Nasir treatment” menyukarkan peluang untuk mengenali beliau dengan lebih dekat. Jurang ini semacam dirapatkan apabila beliau dijemput sebagai kolumnis tamu di Berita Minggu sekitar 1999-2001. Sejauh yang aku kesan setelah menyelongkar banyak sumber arkib, ia merupakan kali pertama beliau diberi gelanggang sendiri untuk menulis pengalaman dan pandangannya. 

Kolum yang diberi nama Denting Dengung itu disiarkan dalam sisipan Bi-Pop Berita Minggu bermula dari Ogos 1999. Menemui pembaca dengan purata kekerapan dua minggu sekali, ia kekal sebagai satu-satunya catatan rasmi yang ada didokumentasikan oleh penghibur tersebut. Kolum ini disiarkan selama dua tahun sehingga Ogos 2001 – satu tempoh yang cukup lama bagi seseorang kolumnis tamu. Sejauh yang diketahui, figura seni lain yang pernah menulis selama itu di sesuatu platform media ialah Nasir Jani di akhbar Sinar Harian (2014-2016). 

Terdapat sejumlah 58 artikel yang ditulis oleh M.Nasir dalam tempoh itu. Tajuk yang disentuh beliau adalah rencam. Dari perjalanan karier beliau sejak zaman anak muda hinggalah pemerhatian beliau mengenai perkembangan seni dalam dan luar negara. Dari era pop yeh-yeh hinggalah era Ekspress Rakyat. Dari Santana hinggalah ke Pink Floyd. Dari nusantara hinggalah underground.  Dari kisah kambingnya yang bernama “Jali” hinggalah “Chinamen” yang berpengaruh dalam industri hiburan.

Dalam konteks penyelidikan, penulisan yang datang dari tuan punya badan mempunyai pemberat yang lebih penting kerana tulisan itu dilakukan dalam keadaan “bersedia” dan “terfokus”. Hal ini berbeza dengan temubual media yang menyaksikan adakalanya seseorang itu memberikan jawapan yang spontan dan “mana yang terlintas di fikiran”. 58 artikel yang ditulis beliau adalah seperti di bawah:

1. Berita kepada kawan 

2. Dangdut bis malam 

3. Keraton dan skala pantatonik 

4. Pop yeh yeh dan orang kahwin 

5. Manusia itu pengembara 

6. Gendang Turki dan patriotime 

7. Penerbit ‘total’ 

8. Ke Pulau Dewata 

9. Serangan penjajah baru 

10. Dalam perarakan panjang 

11. Siapa pemayung muzik 

12. Demak uji keimananku 

13. Batik: Cetusan rasa tradisi 

14. Aku tersinggung pendirian kolonis tua 

15. Biola Serindai jemputku ke teater 

16. Flybaits dan Kenangan Lalu 

17. Terima Kasihhhh! 

18. Musim dingin di Paris 

19. RM50 untuk sekeping gambar segera 

20. Tour De Louvre (1) 

21. Tour De Louvre (2) 

22. Paris buat aku khayal 

23. La Obe dan Kassim Selamat 

24. Search dalam pencarian 

25. Pencarian belum berakhir 

26. Wings jadi pencabar 

27. Politik dalam Search 

28. Kasta dalam industri muzik 

29. Pengaruh muzik Santana 

30. Anak zaman terkeliru 

31. Kerana abang longku 

32. Kisah Ekspress Rakyat 

33. Pengalaman buat lagu filem 

34. Kemelut muzik Melayu 

35. Biar penonton tak sempat ke bilik air 

36. Rentak ada asal usul 

37. Lagu Melayu dalam iklan kari dan sabun saja 

38. Apabila Mohar meniup seruling 

39. Memahami istilah lagu, nada dan irama 

40. Bila komposer Israel bertemu Lubnan 

41. Kecewa wartawan tidak faham muzik 

42. Pencuri tidak peduli hak siapa 

43. Mencari pembaharuan dalam kemelut budaya 

44. Kereta rosak tengah malam dekat hutan 

45. Bungkusan album simbol imej artis 

46. Penyanyi setengah masak rosak lagu lama 

47. Syukur dapat tonton acara antarabangsa 

48. Kita mampu eksport muzik 

49. ‘Orang gila’ diperlukan dalam dunia rakaman 

50. Masuk studio setiap hari bukan bermakna berkarya 

51. Wanita lambang kekasih 

52. S.M Salim dan Ahmad Nawab bagaikan sifu 

53. Lagu peminat setengah masak 

54. Musuh dalam selimut lebih berbahaya 

55. Teater Kampung Wak Hasan gamit kenangan 

56. Tak berdayakah kita 

57. Hanya ulangan kesilapan 

58. Lulusan bahasa patut ceburi penulisan lirik 

Banyak sekali artikel yang “berdengung”. Tentu sekali catatan yang paling “stim” (kepada peminat rock) ialah artikel 24,25, 26 dan 27 kerana ia secara khusus membincangkan kumpulan rock pertama yang menerima air tangannya iaitu Search. Beliau mencatatkan pemerhatiannya sejak kali pertama terbaca keratan akhbar mengenai kumpulan Search dalam show di Port Dickson sehinggalah perkembangan yang menyaksikan perpecahan pertama Search pada tahun 2000 (yang berlaku tidak lama sebelum itu).

Siri Search yang disentuh M.Nasir merupakan catatan yang agak terperinci, berterus-terang dan menjangkau ke penyentuhan personaliti anggota-anggota Search - bagaimana perubahan yang berlaku kepada kumpulan itu selepas kejayaan album Mentari, krisis dengan Polygram, saingan yang dikenakan oleh kemunculan Wings terhadap populariti mereka, faktor yang menolak Hillary keluar, impak album Fenomena, karakter setiap ahli mereka dan konflik yang mendorong pertukaran demi pertukaran. Mengakhiri catatan empat siri itu, M.Nasir mengemukakan ramalan dan rumusan yang tepat mengenai apa yang menimpa Search 22 tahun kemudiannya. Ujarnya:

“Kisah Search tidak akan habis sehingga mereka “berpecah” kerana “master” milik mereka akan menjadi isu baru…(Search merupakan) perkahwinan yang sepatutnya musnah lama dahulu, tapi bertahan dalam cinta yang sedikit demi sedikit pudar dan saling hormat sesama mereka pun hilang ditelan arus industri muzik yang kejam”. 

Bagi mereka yang berada dalam lingkungan Search sejak sekian lama – rakan rapat, krew, kelab peminat dan sebagainya, - apa yang ditulis oleh M.Nasir bukanlah perkara asing. Namun apabila seseorang membaca pemerhatian yang ditulis sendiri oleh M.Nasir mengenai kumpulan itu, ia memberikan kesan yang berbeza. Hal ini barangkali disebabkan kerana beliau tidak pernah memberikan insight mendalam mengenai apa yang berlaku dalam kumpulan itu.  

Setelah 22 tahun, sebahagian besar tulisan tersebut seolah-olah baru ditulis semalam kerana banyak isu yang dibangkitkan masih relevan sehingga ke hari ini. Begitu pun, ada dua perkara yang aku ralatkan. Pertama, beliau tidak menyentuh beberapa isu yang dibangkitkan oleh beliau dalam media lain sebelum itu seperti mutu dan kualiti kumpulan rock, penggunaan sessionist dalam rakaman album atau sorotan mengenai album atau pemuzik yang berkaliber. 

Ralat yang lebih penting ialah tidak adanya usaha untuk membukukan tulisan-tulisan ini. Tidak semua peminat membeli akhbar dengan konsisten pada sesuatu masa. Lebih lagi pada waktu itu. Justeru, tulisan-tulisan kolumnis seringkali dibukukan agar pembaca mempunyai akses mudah dan boleh membaca kesemua tulisan itu dengan lebih sistematik (seperti tulisan Nasir Jani  yang kemudiannya dijadikan buku). Melainkan seseorang itu sanggup menjejakkan kaki ke Perpustakaan Negara, Arkib Negara atau Perpustakaan Universiti untuk membaca tulisan-tulisan ini, ia akan kekal tersimpan selama-lamanya sebagai arkib.  

Sehinggalah M.Nasir memperolehi mimpi untuk menulis memoirnya sendiri, 58 catatan yang terkandung dalam kolum Denting Dengung ini adalah dokumentasi komprehensif paling hampir mengenai 20 tahun pertama yang dilalui beliau.


Selasa, Mac 15, 2022

Singkap rahsia 36 tahun

petikan Berita Harian 15 Mac 2022

Oleh Zaidi Mohamad 

zaidim@bh.com.my

 


Pelakon KSJ dari kiri Imuda, Ramli, M Nasir, Ito, Amy Search, Pyanhabib dan DR Sam pada majlis tayangan wayang pacak filem berkenaan di ibu negara, Ahad lalu.

Pelakon KSJ dari kiri Imuda, Ramli, M Nasir, Ito, Amy Search, Pyanhabib dan DR Sam pada majlis tayangan wayang pacak filem berkenaan di ibu negara, Ahad lalu.

KUALA LUMPUR: Ironinya, selepas 36 tahun, filem 'realisme' Kembara Seniman Jalanan (KSJ) terbitan 1986 memaparkan realiti hidup anak seni berdepan isu plagiat, cetak rompak, korupsi dan kepincangan politik serta ekonomi bangsa Melayu, masih menjadi nanah yang mencemari landskap industri hiburan.

Ketika dipertontonkan di pawagam, filem pengembaraan muzikal arahan Nasir Jani terbitan ZSA Holdings Sdn Bhd itu mencetuskan kontroversi apabila dikatakan ada pihak 'panas punggung' dengan isu diangkat dan cuba menyekat KSJ daripada ditayangkan.

Malah, KSJ dikatakan dinafikan hak untuk dinilai pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-6 pada 1986 dengan alasan penulis skrip dan pelakon utama, Datuk M Nasir bukan rakyat Malaysia, sebaliknya, masih memegang kerakyatan Singapura.

Apa yang penting, ironinya, KSJ dianggap filem ikonik yang terus relevan. Malah, ada antara isu yang dibangkitkan dalam filem berkenaan belum berkesudahan atau menemui jalan penyelesaian.

Selepas 36 tahun, nostalgia KSJ dibangkitkan semula pada sesi tayangan filem versi restorasi secara wayang pacak di Rumah Tangsi, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Pada sesi itu, semua pelakon utama KSJ iaitu M Nasir, Datuk Ramli Sarip, DR Sam, Amy Search, Pyan Habib, Ito Blues Gang dan Imuda dipertemukan semula.

Acara itu dicetuskan platform perkhidmatan strim filem Melayu, Siar buat kali pertama dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Melalui sesi bual bicara dikendalikan penyampai radio, DJ Nazz, M Nasir memberitahu, idea asal penulisan inti pati cerita KSJ lebih bersifat mudah dan boleh jual.

"Idea asal KSJ tercetus tidaklah besar, bahkan, penceritaannya santai dan mudah. Tetapi selepas berjumpa kawan lain iaitu Nasir, Pyan dan DR Sam, ia jadi besar.

"Idea asal filem ini dirombak Nasir supaya lebih menjurus kepada konflik seniman dan pemuzik berkaitan ekonomi mereka.

"Judul asal filem ini sebenarnya tanpa istilah kembara, tetapi Nasir hendak masukkan unsur pengembaraan.

M Nasir dalam salah satu babak filem KSJ di mana beliau memegang watak Bujang.

"Begitu juga isu lain, termasuk cetak rompak atau disebut 'lanun' menerusi watak Bujang lakonan saya," kata suami kepada Datin Marlia Musa ini.

Penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu juga berterima kasih kepada pengarah KSJ yang membawanya berfikir di luar kotak atau jauh daripada zon selesa.

"Dia (Nasir) bawa tahap pemikiran saya lebih dewasa. Pemikiran begitu sepatutnya sudah ada dalam diri saya, bukan setakat berfikir menghasilkan cerita boleh jual semata-mata.

"Sambutan KSJ pada tahap biasa. Cuma masih ingat lagi masa tayangan perdananya, pada minit awal, saya perhatikan ramai terhibur dengan watak Osman Tikus lakonan Pyan. Selang beberapa minit berikut, sesetengah daripada mereka (penonton) terdiam.

"Saya tidak pasti kenapa jadi begitu. Malah, perasaan apa yang bersarang dalam diri mereka pun tidak tahu.

"Mungkin perasaan bersifat 'misteri'. Bagi saya filem jenis ini tidak ada di Malaysia ketika itu. Saya bangga berada dalam filem itu," katanya.

Penyanyi kelahiran Singapura yang sudah berkecimpung dalam dunia muzik sejak empat dekad lalu itu juga menyifatkan KSJ sebagai karya inspirasi yang memperjuangkan keadilan.

"Di sebalik 'pekung' dan realiti yang dipamer pengarahnya dalam KSJ, saya lihat Nasir terpengaruh dengan filem Hang Jebat. Lalu, semangat Jebat menderhaka itu mungkin cuba dizahirkan dalam KSJ.

"Saya berpuas hati dengan hasil akhir filem ini. Ia adalah pembaharuan dalam industri seni ketika itu. Ia bersifat eksperimentasi dalam banyak aspek.

"Filem ini juga mencungkil masalah cetak rompak yang berkaitan korupsi dalam masyarakat, jiwa nurani artis muda yang ghairah dengan fasa awal kembara seni dan macam-macam lagi.

"Boleh dikatakan 80 peratus apa yang saya bayangkan dalam skrip diterjemahkan dalam KSJ.

"Banyak kesan atau tamparan dalam karya itu yang ada unsur rakyat dan popular. Proses pembikinan dan produksi pun dengan cara baharu. Pendek kata di Malaysia tahun itu belum ada filem rock muzikal seperti KSJ," katanya.

Sementara itu, pengendali platform penstriman filem Melayu, Siar iaitu Muhammad Ali Isnan atau Ali Agung berkata, usaha untuk mengumpul dan mendapatkan persetujuan hampir semua pelakon asal KSJ pada sesi tayangan semula, amat bermakna.

Bagaimanapun, Nasir tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan hanya berkongsi ucapan menerusi rakaman video.

"Ini adalah satu daripada usaha untuk mengangkat martabat filem tempatan ke tempat lebih tinggi. Ini kerana tiada 'reunion' seperti ini yang pernah dilakukan.

"Kehadiran nama penting di sebalik filem ini amat istimewa buat peminat filem tempatan," katanya.

Ditanya mengenai mengapa KSJ dipilih untuk sesi tayangan wayang pacak, Ali berkata, pengisian filem yang membawa isu cetak rompak menepati misi penubuhan Siar.

Tambahnya, Siar dibangunkan bagi menghalang individu memuat turun filem tempatan secara tidak sah.

"Siar memelihara karya filem tempatan terutama naskhah lama dan dapat ditonton secara sah. Kami merancang menganjurkan program seperti hari ini bagi filem lain pula," katanya.

Selain daripada filem tempatan, Siar kini di dalam proses perbincangan bersama pihak Malay Films Production Ltd dan Cathays Keris Film untuk mendapatkan hak tayangan bagi koleksi filem di bawah hak milik kedua syarikat itu di platform penstrimannya di http://siar.my/.

"Perbincangan bersama dua syarikat itu telah bermula sejak tahun lalu. Mereka amat kagum dengan usaha kami memartabatkan kembali filem Melayu.

"Kami juga akan membawa filem keluaran syarikat itu seperti Gelora, Sayang Anakku Sayang dan banyak lagi selewat-lewatnya suku keempat tahun ini.

"Aplikasi Siar juga sedang dibangunkan untuk memenuhi kehendak pelanggan yang ingin menonton melalui telefon pintar dan TV android," katanya sambil menambah KSJ boleh ditonton di platform berkenaan.

Siar dibangunkan Ali pada 2017 tanpa bantuan dan sokongan kewangan daripada mana-mana agensi kerajaan mahupun organisasi korporat.

Bermula dengan 24 filem tempatan antaranya Azura, Ali Setan dan Gila-Gila Remaja. Siar berjaya mengumpul hampir 150 filem tempatan yang dihasilkan sejak tahun 1950 hingga 2000.

Siar menawarkan langganan secara bulanan, akses tanpa had koleksi tayangan filem pada harga serendah RM10 dan yuran langganan untuk setahun bernilai RM100.

Sedutan filem lama boleh ditonton melalui laman Facebook (FB) Siar yang kini mempunyai 1.6 juta pengikut.