ANALITIC

Khamis, Jun 30, 1988

Nasir nafi mutu merosot

petikan Berita Harian, 30 Jun 1988

Oleh A. Kadir Pandi

Penulis sambilan

Pencipta lagu M. Nasir tidak mengakui dan tidak menafikan apabila diajukan pertanyaan apakah mutu lagu-lagu ciptaannya kini merosot. 

Kata beliau, setiap lagu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan pendengarnya juga berlainan. 

Ini terpulang kepada mereka untuk menilai sendiri sama ada lagu itu bermutu atau tidak. 

"Saya harus berkemampuan menukar selera para pendengar melalui tren dan perkembangan muzik semasa," katanya. 

Nasir sendiri tidak faham kenapa persoalan itu boleh ditimbulkan sedangkan lagu-lagu ciptaannya sejak kebelakangan ini menampakkan sedikit kelainan seperti lagu-lagu nyanyian The Bloodshed, Search dan Wings. Lagu-lagu mereka mendapat sambutan baik. 

Nasir berkata lagi: "Saya sendiri merasakan Fantasi Bulan Madu sesuatu yang unik dan tersendiri kalau dibandingkan dengan lagu-lagu ciptaan saya yang lain. 

Lagu itu begitu hit sekali. Jadi, untuk menjawab pertanyaan itu saya mahu pendengar menilai sendiri dengan baik dan wajar. 

Penentuan nilai dan mutu lagu itu harus diukur pada tahap perkembangan seni muzik," jelas Nasir. 

Nasir juga memberitahu dia sedang bersiap sedia untuk berlakon dalam drama swasta, 

Novel Atika, keluaran Fauziah Ahmad Daud Production. 

Ini adalah drama swasta kedua bagi Nasir. Drama pertama ialah Jeneral Hambali arahan Rahim Razali dan keluaran ASA XX.

Mempunyai kekuatan sendiri : Terpulang kepada pendengar untuk buat penilaian.


Isnin, Mac 28, 1988

Di Pintu Sepi. M Nasir Ambil Tindakan Mahkamah

Petikan Media Hiburan 28 Mac 1988

Terima kasih Abang Azwira Yahya (Wirazz) atas sumbangan foto artikel ini :)

Artikel mengenai album Pintu Sepi yang telah ditahan pengedarannya melalui tindakan mahkamah yang dikemukakan oleh M Nasir selaku penerbit. Klik disini untuk membaca artikel tersebut.

Khamis, Mac 10, 1988

Perang terhadap cetak rompak jadi tema

petikan Berita Harian, 10 Mac 1988

Oleh Noorazizah Kamal

Penulis sambilan

PEMBUKA MATA: Filem 'Kembara' cuba menyedarkan pihak-pihak yang terlibat dalam dunia hiburan terhadap peranan mereka dalam usaha membanteras kegiatan haram cetak rompak.

---

DUNIA hiburan dan perusahaan rakaman, terutama mereka yang mencetak rompak, telah diberikan semacam gugatan yang amat kuat dan pedas apabila seniman muda yang berjiwa gelora tampil melepaskan kemarahannya dan fikirannya yang tidak dapat disangkal-sangkal lagi.

Dan anak muda itu tidak lain dari M. Nasir yang memegang watak utama sebagai Jebat dalam filem Kembara — Seniman Jalanan. Nama 'Jebat' itu sendiri secara tidak langsung merupakan satu simbolik yang mengingatkan kita kepada Hang Jebat dalam zaman kerajaan Melaka dahulu kala.

Pencipta mana yang tidak akan marah kalau lagu ciptaannya tiba-tiba saja didapati dinyanyikan oleh orang lain setelah dilakukan sedikit ubahsuai sana sini pada ciptaan asal. Jebat menyifatkan perbuatan itu sebagai satu rompakan di siang hari.

Filem ini tidak teragak-agak dan tidak berselindung lagi mendedahkan kepincangan dan perbuatan haram syarikat-syarikat rakaman. Mereka menangguk keuntungan besar daripada jerih payah orang lain dan perbelanjaan besar yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat rasmi yang jujur dan mahu menolong bakat-bakat muda menjadi artis-artis rakaman yang diminati.

M. Nasir, sebagai penulis cerita asal filem ini, telah membentangkan kejadian-kejadian nyata sebagai isu-isu utama untuk menyedarkan penyanyi-penyanyi, syarikat-syarikat rakaman rasmi dan juga wartawan hiburan tentang peranan mereka yang harus dimainkan secara kolektif untuk membanteras kegiatan cetak rompak.

Cerita ini mengisahkan Jebat, yang berbekalkan sebuah gitar, datang ke Kuala Lumpur untuk membuat rakaman setelah menerima surat dari sebuah syarikat rakaman.

Malangnya, tanpa pengetahuan Jebat, judul lagu dan ciptaan asal diubah serba sedikit oleh pengurus syarikat tersebut. Ia memanggil artisnya sendiri untuk menyanyikan lagu itu. Album itu kemudian didapati dalam pasaran.

Jebat, yang sentiasa mahukan pembaharuan dalam lagu-lagu ciptaannya, merasa kecewa. Untuk mencari makan dia bernyanyi sambil memetik gitar di tepi-tepi jalan dan di mana saja ada orang ramai. Bakatnya dikesan oleh seorang wartawan hiburan (Khatijah Ibrahim). Dia kemudian menjadi artis rakaman sebuah syarikat rasmi. Albumnya menjadi hit. Jebat mulai dikenali.

Tetapi Jebat tidak puas hati. Dia mahu kawan-kawan artis, syarikat-syarikat rakaman rasmi dan wartawan hiburan memainkan peranan penting secara kolektif untuk membasmi sikap tamak dan mementingkan diri sendiri oleh setengah-setengah pihak.

Kita ikuti sedikit dialog Jebat dalam filem ini: “Pencipta dan penyanyi orang Melayu. Penerbit orang Melayu. Tapi siapa yang mendapat untung? Bukan orang kita.”

Dalam filem ini Jebat kelihatan marah dengan wartawan-wartawan hiburan yang hanya menulis tentang cerita-cerita ringan tentang artis, gosip dan hal-hal tetek-bengek yang tidak menguntungkan. Apa yang dia mahu tulisan-tulisan yang sama-sama menolong para artis, pencipta lagu dan syarikat-syarikat rasmi menumpaskan kegitan cetak rompak.

Isu-isu yang dikemukakan oleh M. Nasir dalam filem ini amat baik. Ia menjadi satu kesedaran dan pembuka mata mereka — terutama pencipta dan penyanyi — yang selama ini, sama ada sedar atau tidak, telah menjadi mangsa cetak rompak tetapi tidak membuat sesuatu untuk membela nasib mereka sendiri.

Cerita ini akan lebih padat dan lebih bertenaga jika Nasir dapat membentangkan juga masalah-masalah yang dihadapi oleh wartawan hiburan bersabit dengan mengapa tidak menulis tentang kegiatan cetak rompak, sikap tidak kisah setengah-setengah pencipta dan penyanyi, undang-undang hakcipta yang masih longgar dan tidak meluas dalam hal tersebut.

Filem ini tetap memuaskan bukan saja dari segi sudut dan teknik penggambaran, arahan dan lakonan tetapi juga isi yang disampaikan. Inilah pertama kali kita dapat menonton sebuah filem muzikal yang mengandungi perutusan-perutusan kuat yang harus menjadi bahan renungan bersama, termasuk para pembeli kaset.