petikan Berita Harian, 30 September 1996
SENIMAN M. Nasir akan menggunakan kepakaran penerbit 'Six Million Dollar Man' iaitu Yusof Haslam, untuk mengedarkan filem pertama arahannya, Merah.
Beliau juga menyerahkan kepada syarikat Yusof, Skop Productions, untuk menentukan tarikh baru yang paling sesuai selepas tarikh asal penayangan filem itu, November ini, ditarik balik.
Nasir bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut kemungkinan Merah terpaksa menunggu agak lama kerana membatalkan tayangan pada tarikh yang sudah ditetapkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Yusoff mendapat gelaran 'six million dollar man' kerana kejayaannya mengutip lebih MS6 juta menerusi filem Sembilu II.
Hampir kesemua filem Yusoff dalam dekad ini berjaya mencapai kutipan lebih M$1 juta.
"Keputusan menarik balik tayangan filem Merah bukan dibuat secara mengejut. Sekarang kami melantik Yusof Haslam. Kami memilihnya kerana keupayaannya dari segi pemasaran filem.
"Saya fikir beliau lebih berpengalaman. Dan kini terserahlah kepada pihak Skop untuk mencari tarikh yang difikirkan paling sesuai untuk penayangan filem ini.
"Saya harap tarikh baru penayangannya nanti tidaklah terlalu lama," kata Nasir, sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian Malaysia.
Menurut Nasir, syarikatnya, Luncai Emas, masih belum mempunyai kepakaran untuk mengatur strategi pemasaran filem, tetapi mereka akan tetap membantu dari segi penyusunan promosi filem itu.
"Kami belum ada pengalaman. Harapkan nama saya saja belum dapat memasarkan filem ini dengan baik. Sebab itulah kita perlukan pengedar bebas. Bagaimanapun, kami tetap akan membantu dari segi promosi," katanya.
Bagaimanapun, Nasir mengaku terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan penayangan filem Merah ditangguhkan daripada tarikh asalnya.
Ini termasuk penglibatan Awie, pelakon utamanya, dalam promosi filem Tragedi Oktober yang dikhuatiri "akan terlalu mendedahkan" penyanyi tersebut kepada peminatnya.
Selain itu, Nasir juga berpendapat November bukan musim yang sesuai kerana secara umum, waktu itu ramai yang mengambil cuti hujung tahun.
"Secara umum, mereka yang bercuti panjang ini tidak akan menonton filem, kerana tumpuan mereka ialah menghabiskan cuti saja," jelasnya.
Sementara itu, Yusof mengesahkan syarikatnya menjadi pengedar filem Merah.
Kata Yusof, Skop Productions akan mengadakan pertemuan dengan Luncai Emas dan BMG Music untuk memutuskan tarikh baru penayangan filem itu.
"Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai soal tarikh penayangan baru filem itu. Hak mengedar itu belum sepenuhnya.
"Lagipun, kami belum ada perbincangan secara rasmi (mengenai tarikh tayangan). Bagaimanapun, kami akan mengadakan perbincangan dengan BMG dan Luncai Emas untuk menentukan tarikh yang sesuai.
"Walaupun hanya sekadar pengedar, saya juga perlu mengambil kira persetujuan daripada penerbitnya," katanya sambil mengharapkan tarikh tayangan tidak dijadikan isu besar.