ANALITIC

Ahad, Jun 04, 1995

Gabungan dengan Nasir bergantung pada tujuan

 petikan Berita Harian 4 Jun 1995

M.Nasir: Menanti peluang bergabung dengan Ebiet.

EBIET G. Ade terkenal dengan lagu-lagu puisi yang penuh kejiwaan. M.Nasir pula sering dikaitkan dengan lagu-lagu rakyat dan kini, sudah mula menyentuh sejarah Islam seperti lagu Tanya Sama Itu Hud Hud.

Bagaimana kalau Ebiet dan Nasir digandingkan? Tentu menarik.

Syarikat rakaman BMG yang mengedarkan album kedua-dua penyanyi tersebut pernah merancang untuk menggabungkan Ebiet dan Nasir.

Bagi Nasir, kesempatan itu memang dinantikan. Tetapi, Ebiet pernah dikatakan mahu berfikir panjang tentang tawaran itu.

Apabila ditanyakan hal ini sendiri oleh wartawan Berita Minggu, Ebiet lebih bersedia dengan jawapannya.

"Sama ada saya terima atau tidak, bergantung kepada tujuannya. Apakah manfaat yang saya atau Nasir terima daripada projek ini? Apakah semata-mata mahu mencari pasaran? Jika untuk pasaran, ya, saya tidak mahu sebab tanpa gandingan ini pun, album saya atau Nasir boleh dijual.

"Apa yang penting, projek ini harus melahirkan sesuatu yang bererti buat kita. Apapun bentuk pekerjaan yang kita lakukan, haruslah yang kita mahukan, bukan kerana orang lain mahu," kata Ebiet berterus terang.

Tetapi secara peribadi, akui Ebiet, beliau mengagumi kebolehan Nasir.

"Saya pernah menonton persembahannya tujuh atau lapan tahun lalu. Saya dapat rasakan, nafasnya dekat dengan lagu saya.

"Bezanya, Nasir dapat memisahkan antara mencipta lagu untuk orang lain dengan menghasilkan lagu untuk albumnya sendiri.

"Contohnya, album Search. Lagu-lagu Search begitu jauh sekali daripada album Nasir sedangkan penerbitnya dan penggubah lagu-lagunya sama."