petikan Berita Harian, 13 Julai 1986
Oleh Mohd Ruzaimi Mustari
SETELAH berjaya memikat hati para peminat lagu-lagu rock Melayu menerusi album pertama mereka berjudul Isi Atau Kulit, kini kumpulan Search telah pun selesai merakamkan album keduanya di studio rakaman Polygram di Singapura. Lagu-lagu dari album pertama mereka seperti Cinta Sepi, Isi Atau Kulit dan Jiwa-jiwa Luka, masih segar lagi didengar hingga ke hari ini. Kepuasan masih belum terasa oleh peminat-peminat kumpulan tersebut. Maka itu, Search melahirkan album keduanya pula. Antara lagu-lagu yang dijangka mendapat sambutan baik daripada sepuluh lagu yang terkandung dalam album baru kumpulan Search ini ialah Pasti (Lagu/Lirik: Bakri Johari), Kau Pergi (Lagu/Lirik: M. Nasir), Pada Satu Kedudukan (Lagu: M. Nasir, Lirik: S. Amin Sahab), Musnah (Lagu/Lirik: M. Nasir), dan Bisa (Lagu: M. Nasir, Lirik: Amir Hamzah).Dengan usaha dan kerjasama penyanyi, penggubah dan penerbit, M. Nasir, penjualan album sulung Search telah melebihi angka 45,000 unit. Menurut ketua kumpulan Search, Suhaimi Rahman, yang juga selaku penyanyi utama, dua orang anggota kumpulan tersebut, Rahman dan Yan, telah keluar untuk kembali ke kumpulan asal mereka, Left Handed. "Sebagai gantinya, Search mendapat semula khidmat dua orang anggota lamanya, Hillary Ang dan Nasir Daud, untuk rakaman album kedua ini," jelas Suhaimi semasa dihubungi baru-baru ini.
