ANALITIC

Ahad, April 22, 1984

M. Nasir jadi ‘hero’ filem muzikal

petikan Berita Harian, 22 April 1984

Oleh Mohd Kamsah Sirat


M. NASIR...cerita dan lagu-lagu yang menghiasi filem ‘Seniman Jalanan’ adalah karyanya sendiri.

M. NASIR akan mendokong watak utama dalam sebuah filem keluaran Era Film Productions di Kuala Lumpur.

Beliau akan berlakon sebagai seorang pemuda berjiwa seni dan datang ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Ketika mengesahkan demikian menerusi telefon, penulis lakonlayar filem Seniman Jalanan, Encik Hamzah Hussein, menambah bahawa pelakon utama wanita masih belum ditetapkan.

“Beberapa nama ada dalam senarai kami. Tetapi kami belum dapat membuat keputusan,” jelasnya.

Seniman Jalanan adalah cerita tulisan Nasir sendiri dan namanya sebagai penulis asal tetap diumumkan dalam filem itu, Encik Hamzah memberitahu.

Pengarah

Menurut beliau lagi, cerita itu telah pun selesai dijadikan skrip filem yang sempurna. Beliau juga telah mempadatkan cerita tersebut menjadikannya lebih kemas dan berisi.

Turut diambil berlakon dalam filem drama muzikal itu ialah kumpulan Kembara pimpinan Nasir. Kira-kira 10 lagu ciptaan Nasir bersama Kembara akan dipenuhkan di dalam filem tersebut. Ada di antara lagu-lagu itu telah pun dirakamkan ke piring hitam.

Tempat-tempat menarik seperti Jalan Chow Kit dan bangunan-bangunan ternama di Kuala Lumpur akan menjadi latar Seniman Jalanan.

Penggambaran filem ini akan dimulakan dalam tahun ini juga. Pengarahnya ialah Robert Helmy, jelas Encik Hamzah.

Berbangga

Apabila pemilihan pelakon-pelakon sepenuhnya sudah diputuskan, Nasir akan dihubungi kelak, tambahnya.

Keupayaan Nasir sebagai pelakon filem belum kita ketahui. Bagaimanapun, dengan menjejakkan kakinya ke bidang perfileman ini, bermakna beliau sudah menambahkan satu lagi bidang seni kepada berbagai kegiatan seni kemahirannya yang lain seperti melukis, menulis senikata lagu, mencipta/menggubah lagu dan menyanyi.

Jika boleh dibandingkan dengan artis-artis lain, ternyata bakat Nasir adalah luar biasa. Ini bukan pujian melulu, tetapi kenyataannya ada di depan mata kita.

Kita, sebagai para peminat muzik Melayu umumnya dan seni khususnya, harus berbangga dengan pencapaian Nasir ini — kalau Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian Sudirman Haji Arshad.

Malah, tidaklah keterlaluan jika kita mahu mengakui bahawa Nasir mempunyai kelebihan dari Sudirman dalam bidang seni.

Dalam hal ini, Nasir pernah berkata bahawa kadangkala beliau merasa takut kerana kemajuannya melampaui masa dan ruang, terutama sekali dalam bidang muzik.

Katanya, “Kadang-kadang saya terfikir, apakah saya ini terlalu cepat ke depan dalam bidang muzik.”

Mencuba

Jika demikian, Nasir seharusnya tidak usah gusar kerana kemajuanlah yang sememangnya dikehendaki. Dalam mencari kemajuan itu, maka usaha dan penyelidikan adalah satu kewajipan dan ini telah ditunjukkan oleh Nasir.

Walaupun tidak dalam semua lagunya, namun Nasir memperlihatkan pembaharuan-pembaharuan di dalam banyak lagunya, terutama menerusi album kumpulan Kembara.

Sedikit sebanyak beliau menampakkan pembaharuan itu dalam gubahan muzik dan tema senikata lagunya.

Sebagai contoh ialah lagu-lagu Hati Emas, Gadis Dan Kota, Bas No 13, Penjual Suratkhabar, Nusantara, Cetak Rompak dan Impian Anak Jalanan dan dalam album-album artis lain.

Sebagaimana katanya lagi, “Kita mesti mencari. Kita mesti mencuba. Bagi saya, saya mahu terus mencari, mencuba dan mengemukakan yang baru dan yang belum dibuat oleh orang lain di dunia sebelah seni.”

Tiada ulasan: