Ahad, Julai 14, 2024
Di Sebalik Enigma Merungkai Pemikiran Sang Maestro
Ahad, Januari 10, 2021
Penuh mesej tersurat, tersirat
petikan MyMetro Rap 10 Januari 2021
oleh Riadz Radzi riadz@hmetro.com.my
S.O.L.O antara album yang terbaik pernah dihasilkan M Nasir.
Ruangan Reviu kali ini saya tampilkan kelainan dengan bernostalgia. Bukan mengenai filem tempatan seperti kebiasaannya, tetapi mengenai album yang dipasarkan hampir 32 tahun lalu iaitu S.O.L.O daripada Datuk M Nasir.Secara peribadi, saya merasakan album yang berada di pasaran dalam format kaset pada 13 November 1989 ini antara yang terbaik pernah dihasilkan M Nasir. Baik ketika dia bersama Kembara sebelum itu, ataupun album solonya selepas itu hingga yang terakhir, Sang Pencinta pada 2006.
S.O.L.O adalah album solo pertama M Nasir selepas Kembara dibubarkan. Album solo pertamanya berjudul Untuk Pencinta Seni pada 1979 (menggunakan nama Mohamed MN ketika itu) iaitu sebelum dia menubuhkan Kembara.
Bagi saya, S.O.L.O yang mengandungi 11 lagu diadun dengan cukup baik dari segi susunan muzik, melodi, lirik dan mesejnya. Semua lagu dan lirik dicipta M Nasir sendiri kecuali empat lirik ditulis Bob (Padang Lalang dan Falsafah Cinta), Dr Wan Zawawi (Tari Cinta Rimba Mistikal) dan Allahyarham Loloq (Seloka Jegela Melayu).
Walaupun album diletakkan dalam genre balada nusantara terutama menerusi lagu Mustika, Seloka Jegela Melayu dan Semakin Nyata yang menggabungkan muzik moden dan tradisional Melayu, tetapi saya dapat rasakan pengaruh rock sebenarnya kuat dalam album ini.
Dalam erti kata lain, pengaruh folk rock daripada Kembara masih ketara. Barangkali juga ketika itu pada era 80-an M Nasir memang sibuk dengan rakaman album rock terbitannya seperti Search, Wings, Bloodshed, BPR dan banyak lagi. Jadi, pengaruh itu tidak lari terutama dalam lagu Biarkan Luncai Terjun, Tari Cinta Rimba Mistikal, Falsafah Cinta serta solo gitar dalam lagu Semakin Nyata, Demi Masa dan Yang Bertakhta Akhirnya.
Barangkali juga nama M Nasir ketika itu cukup besar sebagai penerbit album dan komposer lagu popular, jadi pastinya dia akan 'pulun' untuk albumnya sendiri. Dan untuk saya, beliau berjaya melakukannya.
Nukilan lirik dalam album ini juga cukup bermutu. Ia penuh dengan mesej tersurat dan tersirat. Saya tidak tahu sekarang ada lagi atau tidak lirik sebegini? Rasanya tidak ada.
M Nasir dilihat menyindir sikap segelintir masyarakat (mungkin orang Melayu) dalam lagu Seloka Jegela Melayu dengan bait lirik seperti 'Sia-sialah bahasa yang indah.Tanpa berbudi pekerti sejati' dan lagu Biarkan Luncai Terjun dengan lirik 'Mabuk, amuk dan merajuk. Itulah cogan kata kita. Dan diwarisi dari Pak Tua'.
Lebih menarik adalah lagu Demi Masa yang liriknya ditulis berdasarkan ayat al-Quran iaitu Surah Al-Asr, ayat 1-3 iaitu 'Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran'.
Selain lagu, lirik dan susunan muzik, saya suka mengambil tahu mengenai individu di sebalik pembikinan album terutama pemuzik yang terbabit.
Untuk album ini, M Nasir menggunakan khidmat pemuzik berpengalaman seperti pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad dan bekas pemain dram Ariwatan, Amry. Bunyian keyboard pula dihasilkan Zulkifli Haji Mahat, bekas pemain gitar The Flybaits, Eddie Marzuki bermain gitar akustik manakala Maniam bermain bongo dan Benny Arjuna memainkan harmonika.
Apa yang menarik, tidak ada nama pada instrumen gitar dan bass dan hanya diletakkan tanda soal. Tidak tahu apa tujuannya, sama ada pereka kulit album terlupa atau ia memang salah satu unsur seni.
Namun, bekas pemain gitar Search, Hillary Ang yang saya dengar daripada mulutnya sendiri mengakui dia bermain lapan lagu untuk rakaman album itu. Bagaimanapun, rakaman bass terus dibiarkan menjadi tanda tanya walaupun ramai yang mendakwa ia dimainkan pemain bass Lefthanded, Yan. Ada juga yang mengatakan penyanyi popular dan legenda, Jay Jay yang bermain bass.
Apapun, secara peribadi ia tetap album M Nasir yang paling saya puas. Sehingga hari ini, ia masih menjadi peneman saya sama ada ketika memandu, membuat kerja di depan laptop atau komputer.
Bagi yang berminat dengan album ini, ia masih boleh didapati di beberapa kedai muzik yang masih 'bernyawa' di era baharu ini atau beli saja di portal beli-belah dalam talian.
• ALBUM: S.O.L.O
• PENYANYI: M Nasir
• PENERBIT: M Nasir
• TERBITAN/EDARAN: PMC/BMG Music
• TARIKH DI PASARAN: 13 November 1989
• ULASAN: Riadz Radzi
Ahad, Disember 30, 1990
Mustika - M Nasir (AJL 1990)
(nota : tarikh peristiwa tidak dapat dikenal pasti)
Juara Lagu 1990 ialah pertandingan yang membariskan lagu-lagu Melayu untuk dinobatkan sebagai "Juara Lagu" bagi tahun 1990. Malam pertandingan ini telah diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. JL 90 menampilkan juara bulanan untuk dipertandingkan.
Finalis
Januari: "Mustika" nyanyian M. Nasir
Februari: "Sentuhan Kecundang" nyanyian Kumpulan Ekamatra
Mac: "Pusara di Lebuhraya" nyanyian Kumpulan Ekamatra
April: "Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara" nyanyian Kumpulan Mega
Mei: "Sejati" nyanyian Kumpulan Wings
Jun: "Dari Sinar Mata" nyanyian Kumpulan BPR
Julai: "Kembang Terhalang" nyanyian Kumpulan Gamma
Ogos: "Sangkar Emas" nyanyian Endang S. Taurina
September: "Suci Dalam Debu" nyanyian Kumpulan Iklim
Oktober: "Janji Manismu" nyanyian Aishah
November: "CINTA" nyanyian Kumpulan XPDC
Pemenang
Juara Lagu
"Janji Manismu" nyanyian Aishah
"Suci Dalam Debu" nyanyian Kumpulan Iklim
"Sejati" nyanyian Kumpulan Wings
Persembahan Terbaik
Kumpulan Wings - "Sejati"
Aishah - "Janji Manismu"
Kumpulan Iklim - "Suci Dalam Debu"
Lirik Terbaik
"Suci Dalam Debu"
TAMBAHAN : Klip Asal Mustika
sumber Youtube
Sabtu, Disember 15, 1990
Muzik Video GeliHati karya Yo dari majalah Gelihati
Jumaat, Jun 01, 1990
Menilai Kejujuran M Nasir dalam Karya Muziknya
Tahniah kepada M.Nasir kerana menerima dua anugerah khas daripada BMG pada 28 Februari 1990 lalu atas kejayaan album (kaset) ‘solo'nya yang mencapai angka jualan melebihi 50.000 unit. Sebagai peminat setia M. Nasir sejak beliau menerbitkan album Ibuku (1981) duetnya dengan Yunizar saya kecewa juga kerana tidak dapat memilIki poster promosi album Solo. Saya hanya nampak poster M. Nasir dengan pelbagal aksi itu, di sudut potret. Pasar Budaya. Kuala Lumpur tetapi tidak ada di kedai kaset depan jalan Chow Kit, tempat saya membeli kaset itu.
Pertama kali melihat kulit album (kaset) 'Solo, saya tercari-cari makna perkataan ‘Solo' yang diabstrakkan. Dan saya memang sudah menjangka lagu 'Mustika' akan popular kerana gubahan muziknya memang unik. Itulah kreativiti M. Nasir. CayaLah.
Kepada mereka yang memiliki kaset M. Nasir ini akan dapat menghayati apa yang tersirat di sebalik lirik lagu yang dapat mempengaruhi pemikiran manusia terutama orang Melayu.
MUSTIKA
'Mustika'. lagu berirama Balada Nusantara ini pasti menjadi lagu evergreen kerana melodinya yang unik dengan muzik asli Jawa dan bunyi-bunyian seperti angklung gamelan dan gong.
Lirik lagu Mustika' itu sendiri mempunyai banyak makna. Seperti lagu Kepadamu Kekasih ciptaan M.Nasir adalah rasa cinta seorang hamba kepada Tuhannya tetapi boleh dianggap kepada seorang kekasih. Terpulang kepada penerimaan pendengar.
Begitu juga lagu 'Mustika' selain melambangkan rasa cinta seorang kekasih kepada kekasihnya, seorang suami kepada isterinya atau sebaliknya, juga melambangkan rasa cinta manusia kepada Tuhannya.
Ini jelas dalam lirik 'Malam dingin yang kejam, aku tidak gentar kerana cintamu'. Hanya orang-orang yang dicintai Allah yang diberi kekuatan untuk bangun di malam dingin untuk sembahyang malam dan berqiamullail. M. Nasir memang suka menggunakan perkataan 'malam' mungkin kerana malam yang sunyi banyak memberi ilham kepadanya. Sembahyang di waktu malam waktu paling baik untuk manusia mendekati Tuhannya. Lagu ‘Malam' nyanyian dan ciptaan M. Naslr yang berbentuk puisi pernah dinyanyikan oleh Ruhil dalam pertandingan Bintang Pujaan RTM dan dirakamkan dalam album “Live Search' nyanyian Amy dengan baik sekalI. Selalunya selepas mendengar lagu Maiam 'nyanyian M.Nasir saya akan mcmutarkan lagu Malam yang di rock kan oleh Amy Search.
Tahniah kepada M. Nasir kerana lagu Mustika menjadi juara rancangan paling popular 'Pujaan 10' Radio 1 RTM selama 7 minggu berturut-turut bermula pada 17 Disember 1989 lalu. Dan menjadi juara bulan Januari rancangan Muzlk-Muzik 90' TV3. Tahniah juga kerana lagu ‘Sentuhan Kecundang' ciptaan M. Nasir nyanyian kumpulan rock remaja Ekamatra pula mcnjadi juara bulan Februari Muzik-Muzik '90 TV3. Wa caya sama lu brother M.Nasir! Terus hidup!
'RAJAWALI TERBANG TINGGl' & SEMAKIN NYATA’
Dalam Kaset Solo' M. Nasir mengetengahkan melodi kaum Cina dan Tamil untuk menarik perhatian pendengar kaum itu dan sebagai melambangkan budaya nasional.
Lagu 'Rajawali Terbang Tinggi'. intronya bermuzik Cina. Lagu patriotik berentak rancak ini mempunyai lirik yang baik seperti “Seluruh Nusantara rentaknya sama”. Kerana seluruh Nusantara (Kepulauan Melayu) rentaknya sama maka lahirnya irama Balada Nusantara.
Sementara lirik “Aku tak mahu dijajah lagi” menyedarkan orang Melayu yang pemikiran mereka masih dijajah dan kebaratan.
Lagu ‘Semakin Nyata', melodi lirik, gaya penyampaian dan suasananya mempunyai unsur India dan Hindustan. Masyarakat kita memang meminati irama Hindustan dan dangdut seperti yang banyak terdapat dalam lagu ciptaan A. Ali dan Ahmad Nawab. Tetapi ciptaan M.Nasir unik kerana lebih progresif.
‘DEMI MASA'
Lagu 'Demi Masa' yang mengambil masa panjang selama 6 minit 44 saat diambil dari terjemahan Surah Al-Ashr (Masa). Surah ini menerangkan bahawa manusia yang tidak menggunakan masanya dengan sebaik-baiknya termasuk golongan yang rugi.
Antara liriknya. “Demi masa manusia sentiasa dalam rugi melainkan mereka yang tahu”. Mereka yang tahu adalah mereka yang beriman beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Surah ini selalu dibawa sebagai penutup majlis ilmu atau ceramah agama.
Sebelum ini M. Nasir mencipta lagu ‘Dedaun Masa’ dan ‘Suatu Masa’ yang menggunakan tajuk masa. Ramli Sarip juga pernah mencipta lirik lagu yang diambil dari Al-Quran menerusi Surah Al-lkhlas dalam lagu ‘Kau Yang Satu' untuk filem Tsu Feh-Sofia.
PADANG LALANG
Lagu Padang Lalang mcmpunyai unsur muzik Jepun sesuai dengan lirik oleh Bob yang mengisahkan percintaan tiga segi antara tiga bangsa ketika pemerintahan Jepun dulu. Lirik lagu berbentuk cerita ini menggunakan unsur simbolik. Kisah seorang pemuda Cina (dilambang sebagai lalang) yang dicintai gadis Melayu (Si Kembang Cina) dan seorang pegawai Jepun wanita (Sakura).
Walaupun tidak sepopular lagu 'Isabella' tetapi lagu ini mempunyai peminat sendiri terutama peminat setia M.Nasir. Juga mereka yang suka melihat lalang.
SELOKA JEGELA MELAYU
‘Seloka Jegela Melayu', lirik oleh Loloq membawa kita mengenali perkataan Jegela. bahasa orang Perak bermaksud bandut atau 'pelawak’.
Bahasa menunjukkan bangsa. Orang Melayu memang terkenal dengan sopan santun, budi bahasa dan peribahasa tetapi sekarang ini telah dilupakan. Sorakan 'La la la la ' dalam lagu ini berciri kemelayuan. Sebelum ini lagu 'Putar Alam’ bercntak 'reggae' ciptaan M. Nasir menggunakan sorakan 'Eya, eya, eyo' yang berciri kemelayuan.
BIARKAN LUNCAI TERJUN
Hanya lagu 'Biarkan Luncai Terjun' yang berirama rock dalam album ini. Lagu ini adaptasi (penulisan semula) dari puisi Pyanhabib.
Sejak dalam filem 'Kembara... Seniman Jalanan’ lagi telah nampak minat M.Nasir mengetengahkan puisi Pyanhabib yang sinis kepada orang Melayu. Kepada pembaca yang pernah menghayati lirik lagu yang menggarapkan sifat orang Melayu ini dan membaca puisi "Melayu uv Melayu". Pyanhahib akan faham maksud saya.
Lagu-lagu lain lagu Tarian Rimba Mistikal lirik oleh Dr. Wan Zawawi memang cukup abstrak kerana mcnyentuh alam tasawuf. Tasawuf adalah ajaran untuk mengenal dan mendekatkan diri dengan Allah. Lagu ini mengajak kita membersihkan jiwa (dilambangkan sebagai 'rimba') yang telah temoda.
LAGU-LAGU LAIN…
Lagu ‘Sayembara Hidup’ menggunakan hembusan harmonika yang mirip irama blues dan country. Lagu ini mcmpunyai tema kehidupan seperti lagu 'Lebuh Raya Kehidupan' ciptaan M. Nasir, nyanyian Kumpulan Kopratasa.
Sementara lagu Yang Bertakha Akhirnya adalah lagu cinta untuk mereka yang kecewa tetapi liriknya tidak mengecewakan atau mengkhayalkan.
Lagu ‘Fasafah Cinta' lirik oleh Bob yang dinyanyikan secara duet M.Nasir dan Rahim Maarof yang mempunjai ‘key' suara yang hampir sama mengajak kita mencintai keindahan dan kedamaian.
Lagu ini pernah menjadi lagu tema cerekarama TV3, 'Alina’ lakonan M.Nasir dan arahan pengarah muda yang kreatif dan berbakat. Aziz M. Osman. Siapa kata kita tidak boleh buat drama futurisme.? Tahniah kepada Aziz! Semoga filem Fenomena lakonan M.Nasir dan arahan Aziz M Osman akan mendapat sambutan hangat! Sehangat lagu Isabella!
Ada maksud yang tersirat dalam dialog terakhir M.Nasir sebagai Zahfuan dalam cerekarama 'Alina' iaitu “Kita sembang, apa saja, mengenai Tuhan mengenai alam mengenai kita (manusia)”. Ketuhanan alam dan kemanusiaan (kehidupan) itulah yang sering menjadi tema lagu-lagu M.Nasir.
M.Nasir memang suka memegang watak yang unik seperti dalam cerekarama ‘Novel Oleh Atikah (Ogy’s Production) dan Alina.
Apakah M.Nasir yang telah menjadi warganegara Malaysia tahun 1989 lalu akan memberi saingan hebat kepada pelakon lelaki lain dalam Pesta Filem Malaysia dan kepada pcncipta lagu lain dalam rancangan Muzik Muzik 90' TV3 itu? Bagi saya itu tidak mustahil kerana M,Nasir memang seorang dramatis dan pelakon berbakat. M.Nasir juga banyak mencipta lagu yang "evergreen" sejak dulu seperti lagu 'Srikadi Cintaku” dan banyak lagi……
Sambungannya di ….majalah URTV 1 Jun 1990
Khamis, November 23, 1989
M.Nasir memburu muzik Nusantara
petikan Berita Harian 23 November 1989, Page 5
Penulis sambilan
“Kita semua sedang mencari apakah sebenarnya irama muzik Nusantara yang sebenarnya kerana ia meliputi pelbagai negeri di nusantara ini dan banyak alat muziknya"
Atas permintaan M.Nasir, bekas pengurus kumpulan Wings menubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan Gong. Kumpulan seramai empat orang ini adalah pem pemuzik pemuzik berpengalaman.
MUZIK Nusantara menjadi ‘buruan’ pencipta lagu dan penyanyi M. Nasir dewasa ini. Muzik demikian sedang dicari, diteroka dan diteliti untuk diketengahkan kepada pendengar.
Jenis muzik begini masih lagi dipertikaikan dan para pencipta muzik belum menemui nilai-nilainya yang sebenar.
Ini diterangkan oleh Bob, seorang pencipta lagu dan penulis lirik, yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bob berkata, beliau dan M. Nasir akan memperkenalkan muzik Nusantara itu secara beransur-ansur melalui lagu-lagu ciptaan M. Nasir. Lagu-lagu itu akan diselitkan dengan pelbagai bunyian daripada alat-alat bunyi tradisional.
“Kami telah membuat percubaan ini melalui lagu Mustika yang terdapat dalam album solo M. Nasir berjudul Solo,” jelas Bob. Bunyi gamelan terdapat dalam lagu ini.
Beliau menyambung: “Dari maklum balas yang saya terima, lagu itu mendapat sambutan baik. Ini satu percubaan yang mengalakkan kerana dengan adanya alat-alat bunyian tradisional, sekaligus akan membangkitkan semula citarasa, mengenal dan mencintai alat-alat yang kian pupus itu.
“Masanya sudah sampai bagi pencipta dan penerbit lagu-lagu Melayu memuatkan lebih banyak irama tradisional ke dalam muzik. Bob, atau nama sebenarnya Mohd Lokman Hakim dan bertindak selaku pengurus peribadi kepada M. Nasir, menambah: “Alat-alat muzik tradisional sudah tidak lagi menjadi alat utama.
“Lebih 20 alat bunyi tradisional yang harus digunakan untuk mewujudkan citarasa muzik Nusantara yang sebenarnya.
“Saya percaya dengan adanya alat-alat muzik tradisional dalam lagu-lagu moden hari ini akan menghasilkan irama muzik nusantara.
Mereka ialah Muhd Hanif Mohd Ali (gitar utama), pemuzik yang sering membantu M. Nasir di dalam studio; Sahar Adam (dram), Yanto Yan (bass) dan Zulkifli Haji Mahat (keyboard), bekas pemain kumpulan Memories.
Selain bertindak selaku kugiran pengiring, kumpulan Gong, Bob dan M. Nasir akan cuba mencari sesuatu yang dapat diperkenalkan sebagai muzik Nusantara meskipun sekarang belum ada suatu irama yang pasti dapat diperkenalkan.
Mahu kenalkan Muzik Nusantara : M Nasir (tengah) dengan para anggota Gong, Dari kiri Mohd Hanafi, Sahar Adam, Yanto Yan dan Zulkifli
Rabu, November 15, 1989
M.Nasir Punya Peminat Tersendiri
oleh Fatimah Hassan
Bila Pegawai Perhubungan Syarikat PMC, Azhar menghubungi URTV dan meminta pihak majalah ini melakukan sesi fotografi artisnya M Nasir untuk promosi album terbaru M. Nasir, SOLO saya telah menyerahkan penentuan tempat dan bentuk fotografi kepada M.Nasir sepenuhnya.
Beberapa hari kemudian, sekali lagi Azhar menelefon Pejabat URTV menentukan lokasi fotografi di Balai Seni Lukis Negara. Bentuk fotografi? Lihatlah sendiri gambar gambar yang telah dirakamkan oleh jurugambar URTV, Sa’ari Amin.
Tapi itulah M.Nasir yang penuh dengan daya cipta sebagai seorang penyanyi dan pencipta lagu tetapi juga sebagai seorang seniman.
Sememangnya daya ciptanya itulah yang membuatnya mempunyai peminat tersendiri. Ini diakui oleh M.Nasir yang menurutnya; "Saya percaya muzik saya ada yang pendengarnya. Mereka terdiri dari Mat Mat Rock,budak budak sekolah, golongan puisi dan yang kecewa "
Dakwaan itu terbukti sewaktu meminta keizinan menggunakan Balai Seni Lukis Negara sebagai lokasi fotografi. Peringkat awal mendengar M.Nasir memilih balai tersebut sebagal lokasi, dada berdebar memikirkan dapatkah keizinan dari pentadbir balai?
Memang pada awalnya, agak sukar juga. Namun setelah mengetahui penyanyi yang kami maksudkan ialah M. Nasir, keizinan menggunakan balai berkenaan terus saja kami miliki. Ternyata, Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Tuan Syed Ahmad Jamal begitu mengenali nama M.Nasir. Kami diberi kebebasan sepenuhnya menggunakan balai tersebut. Terima kasih kepada yang berkenaan!
Begitulah meluasnya pendengar muzik M.Nasir. Pun begitu M.Nasir tidak pula berharap album terbarunya SOLO dijual sehingga beratus ribu unit sepertimana terjualnya album Fenomena Search yang pernah dlterbitkannya.
Kata M. Nasir, “Album I kalau dapat dijual 30 hingga 40 ribu unit pun dah bagus. I tak mahu lebih dari itu”
Pelikkan? Sebenarnya ltulah pendirian M.Nasir - mahukan sebuah kehidupan yang mendatar.
Menurutnya; “I lebih suka begitu. 10 tahun I melibatkan diri dalam seni muzik dan rakaman kalau you perhatikan selama itu album-album I tidak ada yang betul betul meletup”
Memang betul. Setiap album M.Nasir menghasilkan beberapa lagu hits. Tapi lagu lagu itu tidak pula meletup sepertimana lagu lagu yang pernah diciptakannya untuk penyanyi lain seperti lagu Jangan Kau Rayu, Cinta Kristal untuk Rahlm Maarof, Fantasia Bulan Madu, Gadisku, Fenomena untuk Search, Hingga Akhlr Nanti, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi untuk Alleycats, Kasih untuk Sharifah Aini, Kabut Serangkai Mawar untuk Zaiton Sameon dan Penyeksaanku untuk Jamal Abdlllah. Kerana begitu pendiriannya, kata M.Nasir, “Saya tidak mencari duit. Bagi seniman yang penting dia mesti berkarya dan melibatkan diri dalam kerjanya”
Menitikberatkan nilai kerja iniIah, M.Nasir telah mengambil masa selama 8 bulan untuk menyiapkan SOLO. M.Nasir ingin agar tahap hasil SOLOnya itu dapat merangkumi jiwa semua lapisan masyarakat berbilang kaum.
Untuk itu melalui SOLO, M.Nasir cuba menyelitkan sedikit perkembangan dari segi muzik dengan satu pendekatan yang lain. Namun SOLO masih mempunyai unsur-unsur Melayu. Meskipun terdapat unsur unsur barat tapi masih ada budaya Melayu Nusantara.
Ahad, November 05, 1989
Album solo Nasir unik?
petikan Berita Harian, 5 November 1989, ms 8
SETELAH beberapa kali tersangkut, akhirnya album solo M. Nasir dipasarkan. Bagi peminat yang rindukan suara Nasir, mereka tentu akan terhibur dengan lagu-lagu terbaru Nasir tu.
Haron sendiri dah dengar persembahan Nasir dalam album itu. Hmm.. ada beberapa lagu yang sedap-sedap. Gubahan muziknya pun ada identiti tersendiri, lain dari yang lain. Memang Nasir sendiri gemar-kan sesuatu yang agak lain...
Sampaikan tulisan pada judul sampulnya pun nampak lain. Mula-mula Haron sangkakan tulisan Jarman ataupun Russia, tapi... bila tengok betul-betul, haa... rupa-rupanya terselit judul sebenar berwarna merah yang berbunyi: SOLO. Di situlah terletak keunikan sampul album Nasir!
Tapi... ada jugak Haron dengar teman-teman yang komen sebab ada beberapa lagu Nasir tu agak panjang. Memakan masa lebih lapan minit, boleh jadikan dua lagu, kata mereka.
Aii?... baru lapan minit, bukan lapan jam! Lagipun, mutu sesebuah lagu bukan berapa pendek atau panjangnya. Yang penting isinya. Kalau lagunya cuma dua tiga minit tapi merepek, lagi tak guna.
HARON: Suka tengok artis yang melatah bila kena tegur.
Ahad, Ogos 20, 1989
'SOLO' M Nasir Ditunda Pengedarannya
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)
Album solo terbaru M Nasir dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya pada akhir Julai yang lalu tetapi sehingga hari ini album yang diberi judul “SOLO” itu masih belum menemui peminat-peminat komposer dan penyanyi itu.
Walaupun sudah 10 buah lagu disiapkan yang dijangka akan dimuatkan di dalam album tersebut tetapi M Nasir masih belum berpuas hati lagi. Beliau mahu mencipta beberapa buah lagu lain yang kemudiannya akan dijadikan pilihan bersama lagu-lagu yang telah disiapkan lebih awal itu.
Bagaimanapun baru baru ini M Nasir diberitakan telah menghilangkan diri. Kehilangannya itu menimbulkan keraguan dan keresahan kepada Syarikat Rakaman PMC yang telah pun mengatur strategi bagi urusan promosi album ‘SOLO’.
Selepas beberapa hari tidak ditemui, akhirnya M Nasir telah menghubungi pengurusan PMC dan memberitahu beliau kini tengah bercuti di tempat kelahirannya Singapura.
Di samping bercuti juga M Nasir masih terus mencari ilham bagi lagu-lagu baru yang akan menjadi pilihan untuk album SOLO.
Menurutnya setelah sekian lama tidak merakamkan suara, beliau mahu mempersembahkan sesuatu yang istimewa kepada penggemar-penggemarnya.
M.Nasir masih mempunyai pengemar yang setia. Buktinya sewaktu menyertai Konsert Kesyukuran Search bulan Mac lalu di Stadium Negara, penonton bersama sama turut menyanyikan Iagu-lagu yang didendangkannya seperti ‘Duit-Duit’, ‘Seniman Jalanan’, ‘Hati Emas’, Keroncong Untuk Ana' dan banyak lagi yang telah dirakamkannya beberapa tahun lalu. Begitu juga sewaktu beliau menjayakan konsert “Bintang & ilham' di Singapura beberapa minggu lalu.
Insan seni yang kreatif ini berharap agar mereka yong menantikan album 'SOLO' dapat bersabar dan beliau berjanji akan menyudahkan segala urusan rakaman setelah berpuashati dengan lagu-lagu yang dirakamkan.
Sabtu, Julai 15, 1989
Nantikan Hadiah Istimewa M Nasir
Oleh Rumizah Baki
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)
Kebolehannya sebagai seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit album memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Dia juga seorang pelakon dan seorang pelukis yang berbakat besar. Keanehan dan keunikan dirinya menjadi perhatian umum. Dia yang dimaksudkan ialah M.Nasir, penerbit paling sibuk dan paling popular masa kini.
Kejayaan yang dicapainya pada hari ini adalah hasil kerja keras. Dia juga pernah melalui kegagalan apabila album pertamanya dahulu kurang mendapat sambutan. Namun ianya tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha bagi memperbaiki kesilapan dan kelemahan. Kebolehannya di dalam seni muzik disegani ramai. Banyak artis yang telah berjaya di mercu kejayaan kerana dia. Album-album mereka mendapat sambutan yang di luar dugaan. Diantaranya ialah kumpulan Alleycats, Wings, Search, Bloodshed, Rahim Maarof, Ruhil, Roy dan ramai lagi. Kejayaan mereka adalah di atas usaha kreatifnya.
Apabila kita imbas kembali, penerbit yang berusia awal tiga puluhan ini dahulunya mempunyai sikap aneh. Hal ini menimbulkan pelbagai keresahan terutama kepada mereka yang ingin membuat wawancara dengannya. Hanya orang-orang tertentu dan telah biasa bergaul dengannya sahaja yang mudah untuk berbual panjang.
Bagaimanapun perubahan yang berlaku kepada dirinya kebelakangan ini memberikan kesan yang positif. Dia menjadi semakin peramah dan senang diajak berbual di dalarn pelbagai hal terutama perkara yang ada sangkut paut dengan bidang seni muzik.
M.Nasir yang telahpun mendirikan rumahtangga dan mempunyai dua orang anak ini berpuas hati dengan pencapaiannya selama ini. Ini tidak bermakna dia akan terus tenggelam di dalam arus kagemilangan tanpa berusaha untuk mengekalkannya.
Sekurang-kurangnya dia mesti dapat bertahan dengan kedudukannya sekarang sehingga tahun yang akan datang. M.Nasir yang dibesar dan mendapat pendidikan di Singapura ini menganggap impiannya yang besar tercapai ialah apabila diiktiraf menjadi warganegara Malaysia baru-baru ini. Inilah hadiah yang sekian lama diidam-idamkannya.
Pastinya ini akan memberinya nafas baru untuk melahirkan ciptaan-ciptaan yang lebih bermutu kerana tidak ada sekatan yang menghalang dia daripada menyertai pertandingan muzik yang dianjurkan. Sebelum ini adakalanya dia terpaksa berlindung di sebalik nama orang lain kerana keadaan memaksa.
Kini setelah puas dia menaikkan dan mempopularkan album penyanyi lain dia bersengkang mata pula menyiapkan rakaman album solonya yang kedua keluaran PMC. Ini adalah beban paling berat yang terpaksa dipikulnya. Walaupun begitu dia tidak pernah menampakkan keresahan dan kesukarannya.
Dia tetap tenang menjalankan tugasnya untuk menyiapkan albumnya secepat yang boleh. Di samping itu dia juga menerbitkan album ramai penyanyi lain di dalam waktu yang sama.
Kesabaran, ketenangan dan sikap teliti yang diamalkannya itulah yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang selain hari ini. Dia amat serius ketika melakukan sebarang tugas. Tidak hairanlah kalau ada penyanyi yang ‘susah hati’ dan menitiskan air mata bukan kerana tengking herdik tetapi kerana sikap seriusnya semasa rakaman dijalankan.
Album terbarunya yang menerapkan konsep penerokaan ciri-ciri semasa dan tradisional awal awal lagi sudah menampakkan keunikannya. Apatah lagi jikalau peminat mendengar lagu lagu yang akan didendangkannya. Inilah kelainan yang ingin ditonjolkan oleh M.Nasir melalui album solonya yang kedua ini. Sebagaimana penyanyi lain yang sudah berjaya hasil daya usahanya, dia tentunya mengharapkan agar album solonya ini demikian juga. Ini adalah satu penghargaan kepada dirinya dan hadiah kepada para peminat yang telah mernberikan sokongan terhadapnya selama ini.











